Sunday, February 17, 2008

Cerpen: Ryan dan RM200,000



Oleh Hafizah Iszahanid

SEWAKTU Ryan melangkah masuk ke kamar bercat serba putih itu, jururawat bernama Dolly sudah menunggunya. Dari mata Dolly yang mengecil, Ryan tahu Dolly tersenyum. Ryan hanya sempat menarik nafas beberapa saat sebelum Dolly bertanya, "Boleh kita mula sekarang doc?"

Ryan mengangguk. Ah, apa lagi yang mahu ditunggu kalau semuanya sudah sedia. Di katil, Penyanyi Popular sudah sedia. Wajahnya berseri-seri. Penyanyi Popular seakan tidak sabar merasai pengalaman ini.

Ryan terasa cukup bertuah. Jika apa yang dilakukannya ini berjaya, dia akan menjadi masyhur. Bukan saja di Malaysia, tapi Asia tentunya. Memang, apa yang dilakukannya ini bertentangan dengan tatasusila agama dan budaya timur, tapi pada Ryan sampai bila tradisi penuh sopan dan santun warga Asia perlu dipertahankan, kalau semuanya hanya membuatkan warga Asia dan orang Malaysia mundur dan terkebelakang?



Ryan senyum lagi waktu menatap wajah Penyanyi Popular yang tersenyum cukup lebar. Tentu saja selepas ini Penyanyi Popular akan membayar lagi RM100,000 kepadanya, habuan menutup rahsia besar.

Mata bundar Penyanyi Popular berkelip-kelip dan bersinar seolah-olah tidak sabar menantikan pengalaman ini. Pengalaman dimasukkan sperma ke serviknya!

Dua bulan lepas, selepas Ryan bersetuju melakukan teknik persenyawaan benih luar rahim (IVF), Penyanyi Popular sudah tidak sabar-sabar hendak melahirkan anak.

Ryan tidak faham mengapa Penyanyi Popular sangat teruja melakukan IVF. Bukankah dia sebenarnya belum halal untuk mendapatkan anak? Apatah lagi usianya juga masih muda, baru 24 tahun.

Tapi ya, hujah Penyanyi Popular berbulan-bulan lalu seakan bergema di telinga Ryan, hujah yang memang menggelikan hatinya. Tapi tidak mengapalah Penyanyi Popular sanggup membayar RM200,000 bagi mendapatkan perkhidmatannya.

"Doktor cakap berapa puluh ribu doktor mahu? Saya boleh beri. Saya mahu doktor tolong saya," kata-kata Penyanyi Popular hampir 10 bulan lalu bergema dalam benaknya.

"Err... bukan tak boleh tolong... tapi... saya takut nanti ditangkap. Dipenjarakan pula,” Ryan menduga.

“Alah doktor ni… macam tak tahu pulak, di Malaysia ini tiada peruntukan undang-undang yang menghalang perkhidmatan penerimaan atau pendermaan sperma. Tak akan kena tangkaplah.”

Wah, hebat jugak Penyanyi Popular ini. Ryan fikirkan Penyanyi Popular pemegang SPM ini hanya tahu seputar dunianya saja!

Ryan teringat tiba-tiba kepada Sang Kekasih. Ryan kenal Sang Kekasih kerana lelaki itu mencetuskan kontroversi model Melayu pertama sanggup hanya berseluar dalam untuk menghiasi laman iklan di majalah dan billboard. Malah khabarnya Sang Kekasih juga berkeadaan demikian ketika menjadi cover majalah lelaki di New York. Sang Kekasih adalah lelaki yang sanggup mendermakan sperma kepada Penyanyi Popular.

“Awak ingat hari tu saya ada bagi tahu, tidak semestinya cubaan pertama akan terus berjaya?,” Ryan mengingatkan. Penyanyi Popular mengangguk. Dari tadi sebenarnya Penyanyi Popular ini sudah mengangguk-angguk, tanda sudah bersedia untuk prosedur pindahan sperma. Dolly juga sudah mengangkat ibu jarinya lebih daripada sekali, tanda dia juga sudah bersedia.

Prosedur memasukkan embrio sebenarnya hanya memakan masa yang singkat saja. Malah Penyanyi Popular tidak perlu dibius pun. Cukup hanya berehat selepas prosedur. Tapi walaupun sekejap, Ryan cukup teliti, jika berlaku kesilapan, reputasinya sebagai pakar perunding perbidanan dan kesuburan tentu terjejas.

“Doktor, janganlah lengah-lengah lagi,”

Ryan tersenyum. Kata-kata itu sama nada dan kesungguhannya sewaktu pertama kali Penyanyi Popular bertemu dengannya sekitar 10 bulan lalu.



II

"Majlis Fatwa Kebangsaan haramkan pendermaan dan penerimaan sperma untuk pasangan yang tiada ikatan perkahwinan, jadi macam mana saya hendak tunaikan kehendak awak?,”

"Diorang haramkan, memanglah. Tapi alah, buat apa nak beritahu mereka, kita diam-diam sajalah,"

"Tapi kenapa awak tak nak kahwin saja dengan Sang Kekasih?,”

"Eh, saya bukan hendak kahwin, saya hendak anak,"

"Kenapa hendak anak, tapi tidak mahu berkahwin? Awak dan Sang Kekasih seakan ingin meruntuhkan institusi perkahwinan,"

"Alah doktor ini macam ustaz pulak. Tak tahu ke, sekarang ini trend artis ambil anak angkat dan susukan mereka. Saya hendak ikut trend itulah. Tapi saya tidak mahu anak angkat, saya hendak anak sendiri. Dan saya hendak anak itu daripada baka Sang Kekasih, tapi saya tidak mahu kahwin dengan dia. Dan dia setuju untuk derma sperma. tak susahkan nak faham?,"

Ryan mengucap panjang. Dunia sekarang memang sudah sangat berada di hujung usia.

"Kalau kahwin saja dengan dia tak boleh ke,"

“Eh doktor ini, saya tidak cintakan dia. Bagaimana hendak kahwin, kalau tak cintakan orang itu? Kolot betullah doktor ni,”

“Kalau tak nak kahwin, kenapa tak cuba saja untuk hamil cara normal... alah... yang itu...,”

“Hissh doktor ni! Menggalakkan orang berzina pulak! Saya ni walaupun taklah berpendidikan agama sangat, tapi tahu hukum zina tu,”

Ryan terkulat-kulat menahan malu.

"Habis tu bagaimana awak nak menyorokkan kandungan sembilan bulan nanti, kalau awak tak kahwin dan kalau wartawan bertanya? Paparazi tentu kejar awak,”

Penyanyi popular ketawa besar.

“Di Malaysia mana ada paparazi. Alah, kalau mereka tahu perkara sebenar pun mereka tidak akan tulis, sekadar usik sikit-sikit dalam kolum ajelah. Itu pun tak sebut nama, emmhh... Antara wartawan hiburan dan penyanyi hubungan kami sangat rapatlah, dah macam adik beradik. Takan adik-beradik nak mengenakan adik-beradik?,”

“Habis tu, selama sembilan bulan perut memboyot, tak kan mereka tak bertanya?,”

“Alah doktor ini. Setakat empat bulan perut tak boyot lagi masih boleh ambil tawaran menyanyi. Lepas tu, bila dah nampak perut, pergilah jauh-jauh. Habis pantang nanti, aktiflah balik. Buatlah sidang akhbar cakap saya ambil anak angkat. Bukan susah sangat,”.

'Orang percaya ke?,”

'Alah percaya.... Saya tahulah dunia saya,'

'Tapi kalau boleh kahwin dapat secara sah kan bagus. Kenapa nak main derma-derma sperma pulak?,”

"Doktor, berapa kali saya nak cakap, saya tak cintakan dia, saya tak nak kahwin dengan dia. Saya memang tak minat nak kahwin dan terikat dengan seorang lelaki, tapi dalam masa yang sama saya tidak mahu ketinggalan dalam trend ambil anak angkat ini. Jalan mudah, derma spermalah. Hospital Ini kan ada bank sperma dan saya boleh memilih sperma mengikut cita rasa saya berpandukan latar belakang penderma sperma yang direkodkan pihak Hospital Ini.

“Tapi uniknya dalam kes ini, saya tak nak sperma kat bank Hospital Ini doktor, saya nak sperma Sang Kekasih," "Emmm.... tapi awak tahu kan prosedur pendermaan sperma ini 'open secret' di Malaysia? Tidak halal dan tidak haram? Saya bimbang jika buat, kalau orang tahu ia akan jadi isu besar. Entah-entah kementerian tarik balik lesen Hospital Ini. Bukan setakat Hospital Ini, mana-mana hospital yang ada prosedur pendermaan sperma semua dah tak boleh nanti. Eiii... saya tak berani,"

"Doktor ini sungguhlah penakut. Siapa nak tahu? Saya dan doktor sahaja. Saya ulang, saya dan doktor sahaja. Alah, cakap sajalah berapa puluh atau ratus ribu doktor. Doktor sajalah pakar di Malaysia ini yang boleh buat benda ini. Jadi saya rayu doktor. Saya akan bayar lebih lagi untuk tutup mulut doktor selepas prosedur ini berjaya,"

Ryan bermain-main dengan pen di jarinya. Betul, kalau tiada siapa yang akan tahu melainkan dia, Penyanyi Popular, Sang Kekasih dan mungkin nanti jururawatnya ,si Dolly. Emmm... Ryan tersengih.

"Tapi itu nanti bukan anak angkat,”

"Ya, anak kandung tapi siapa yang tahu? Saya dan doktor saja. Doktor, sekarang ini penyanyi ramai tahu? Saya kena kekal popular. Saya tidak mahu ketinggalan dalam trend ini... cakaplah berapa doktor mahu?,”

"Bukan soal duit ….”

“Habis tu, soal tak beretika? Alah tu doktor buat pada berpuluh-puluh orang bukan Islam boleh, kenapa dengan saya tak boleh?,”

“Sebab awak Islam,”

“Doktor pun Islam, tapi doktor boleh pula buat pada orang bukan Islam?,”



III

“Doktor, kita mula sekarang?,”

Ryan mengangguk. Pada waktu itu dia terasa ada peluh mula merenik di dahinya. Dia masih teringat-ingat kisah awal pertemuannya dengan Penyanyi Popular entah mengapa.

Beberapa bulan lalu, sebaik saja persetujuan dicapai dan wang pendahuluan RM100,000 bertukar tangan, Ryan membekalkan Penyanyi Popular dengan ubat hormon bagi menstimulasi ovari dan mengumpulkan telur. Tapi hanya di situlah kerja Ryan, selebihnya tentu saja disambung oleh Si Embriologis.

Sebelum Si Embriologis menyediakan telur dan sperma penderma dan disenyawakan, ada Si Embriologis itu bertanya latar belakang Penyanyi Popular sekali lalu. Tapi Ryan menjawab ala kadar, alah pesakit biasa bukan siapa-siapa dan buat IVF bukan suntikan sperma Intracytoplasmic (ICSI) sebab lelaki ini subur. Tapi rasanya bukan Si Embriologis tidak tahu fakta dengan melihat kualiti sperma.

Tapi Ryan tahu, Si Embriologis itu hendak juga mengorek rahsia sejak kekerapan kakitangan Hospital Ini terserempak dengan Penyanyi Popular di tangga belakang menuju ke tempat letak kereta peribadi.

Sepatutnya, embrio sudah boleh dimasukkan ke dalam servik Penyanyi Popular minggu lalu, tapi Si Embriologis mengejutkannya pada satu pagi. Satu pagi yang menyaksikan Si Embriologis termengah-mengah menerpa ke pintu bilik Ryan.

Katanya telur yang disenyawakan tidak ada ‘pronucleus”. Ryan terus terbangun dari kerusi. Dia hanya membayangkan satu perkara, cek pendahuluan bernilai RM100,000 ditarik balik.

“Bagaimana boleh tidak ada?,”

Si Embriologis sekadar mengangkat bahu.

Ryan resah. Sepatutnya keresahan itu milik Si Embriologis kerana dia yang bertanggungjawab mensenyawakan telur dan sperma. Sebaliknya Ryan pula yang berpeluh-peluh.

“Buat sekali lagi,”

Si Embriologis cepat mengangguk dan keluar. Ryan mengikut hingga ke makmal. Di makmal itu, Si Embriologis menunjukkan persenyawaan yang gagal.

Ryan memegang kepala. Sepatutnya, telur yang disenyawakan perlu menunjukkan dua pronucleus iaitu nukleus sperma atau sel telur ketika proses fertilization, selepas sperma masuk ke ovum, tetapi sebelum bersatu. Sepatutnya, sperma dan sel telur adalah haploid maksudnya membawa jumlah kromosom tertentu. Sepatutnya, apabila pronucleus sperma bersatu dengan pronucleus telur, kromosom kedua-duanya bersatu dan menjadi satu nucleus diploid yang menghasilkan embrio dan adanya dua pronuclei adalah tanda awal kejayaan proses persenyawaan .

Kalau tiada pronucleus, itu tanda awal kegagalan dan tanda awal dia perlu memulangkan cek RM100,000.

Waktu Penyanyi Popular menelefon dan bertanya bila prosedur pemindahan embrio boleh dibuat, Ryan tergagap-gagap menjawab, nanti dalam proses, lambat sikit. Ryan berbohong, proses pensenyawaan lambat, sebulan. Padahal proses itu hanya beberapa hari saja tempohnya, alah... bukan Penyanyi Popular tahu pun!

Dan anehnya, dua kali dicuba, dua kali gagal. Hanya cubaan ketiga, barulah berjaya. Embrio terbentuk dan Si Embriologis hanya menelefon dan berkata “dah dapat, tengoklah siapa yang buat,”

Dan dua hari selepas itu, Ryan menelefon Penyanyi Popular, prosedur pemindahan boleh dibuat.

Dan hari ini, di bilik ini Ryan akan memindahkan dua embrio menggunakan kateter kecil ke servik Penyanyi Popular. Harap-harap hanya satu embrio yang menjadi. Janganlah sampai beranak kembar, doa Ryan dalam hati. Kalau hamil menggunakan teknik IVF dan hamil kembar, itu bermakna prosedur IVF itu gagal. Rosaklah reputasi Ryan.

“Lambat lagi ke doktor,”

Ryan tersenyum lagi. Penyanyi Popular sudah sedia, Dolly sudah sedia, Ryan juga sudah sedia. Ryan memang kerap melakukan prosedur ini kepada pasangan atau orang bukan Islam. Penyanyi Popular ini adalah pesakit Islamnya yang pertama.

Ryan membayangkan, dia akan membentangkan hasil kejayaan menghamilkan Penyanyi Popular di Kongres Pakar Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan di Pusan, Korea, awal tahun depan.

Biar seluruh Asia bergema, biar seluruh Malaysia juga menyala. Ini kejayaan dunia perubatan, jadi ketepikan sentimen agama dan bangsa. Ryan tersenyum lagi, kalaupun Malaysia tidak mengiktiraf kejayaannya, Asia akan mengiktirafnya. Warga Asia perlu dikejutkan, orang Islam juga perlu dikejutkan. Sebenarnya, bukanlah dia hendak memalukan Penyanyi Popular. Dia tidak akan mendedahkan mengenai Penyanyi Popular pun. Dia hanya akan membentangkan kisah kejayaannya saja dengan gambar Penyanyi Popular yang dihitamkan mukanya. Ryan hanya ingin memberitahu kepada orang Islam, sebenarnya ada penyelesaian untuk mereka yang tidak mahu kahwin, tetapi mahu anak.

Ryan terfikir, kalaupun dia tidak dapat memperoleh ‘datukship’ di Malaysia, mungkin dia boleh mendapat pengiktirafan Kerajaan Perancis atau Britain? Bukankah mereka menghalalkan lesbian dan gay? Jadi apalah sangat kalau sekadar hamil tanpa suami? Jadi, soal diterima, ditolak di Malaysia, tidak menjadi isu kepadanya.

“Sedia ya?,” kateter kaca kecil akan dimasukkan ke servik. Ryan menarik nafas. Tapi sebaik saja dia cuba menghela nafas, dadanya terasa ketat. Dia menarik kembali kateter yang sudah dekat dengan servik.

Dadanya terasa sangat ketat, dia seakan tidak boleh bernafas. Tangannya tiba-tiba menggeletar, kateter yang dipegangnya terhempas ke lantai.

“Doktor?,”

“Doktor????,”



IV

Ryan sudah tidak dapat menjawab satu pun soalan yang diajukan wartawan mengenai cubaan Penyanyi Popular mendapatkan anak menerusi pendermaan sperma di Hospital Ini.

Sejak semalam, berpuluh-puluh wartawan datang ke Hospital Ini. Malah ada yang berkhemah di luar lobi Hospital Ini. Panggilan telefon jangan dikira, sudah beribu-ribu hingga Hospital Ini menjadi riuh-rendah dengan deringan telefon.

Sehingga pagi tadi, sudah tiga pesakit lemah jantung meninggal dunia di Hospital Ini, gara-gara terkejutnya bunyi deringan telefon. Malah, bayi-bayi yang baru lahir bersahut-sahutan tangisnya seiring dengan bunyi deringan telefon yang tidak sesaat pun berhenti.

Semuanya gara-gara Ryan yang tiba-tiba kejang dan lumpuh, lalu rebah ketika prosedur pemindahan embrio. Ryan sudah kaku dan tidak boleh bercakap. Dia juga terlantar di katil unit kawalan rapi dan bergantung pada alat bantuan pernafasan.

Gara-gara prosedur IVF menerusi pendermaan sperma juga, Kementerian Kesihatan sudah menarik balik lesen Hospital Ini untuk beroperasi.

Dolly, si jururawat lesap entah ke mana. Manakala Penyanyi Popular sudah mula membuat urusan saman menyaman. Saman pertama tentunya untuk Hospital Ini kerana kegagalan prosedur pemindahan embrio. Saman kedua untuk akhbar-akhbar dan wartawan hiburan di Malaysia yang kononnya ‘sudah menjadi adik-beradiknya’ kerana menyiarkan kisah Penyanyi Popular yang cuba hamil tanpa suami.

Ryan terfikir, bolehkah RM200,000 membeli keupayaannya untuk bernafas? Bolehkah RM200,00 membeli maruahnya yang terjual? Dadanya menjadi sebak dan semakin sesak.

Biodata

HAFIZAH Iszahanid adalah peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 1994. Beliau pernah dua kali memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) pada zaman remajanya dan pernah menghasilkan empat antologi cerpen bersama peserta MPR selain novel popularnya, Noktah Di Hujung Rindu, menemui pembaca pada 2005. Aktif dalam penulisan cerpen sejak kebelakangan ini dan sedang mengusahakan manuskrip novel kedua.

No comments: