Sunday, February 17, 2008

Cerpen: Kambing Oh! Oh Kambing



Oleh A Ghani Abdullah


OMBAK melabuh tenang ke gigi pantai. Pantai sudah tidak seperti dulu. Sekali menghempas ombak, jauh rasa terjangkau ke tanah daratan. Di tepi tebing pantai ada sekumpulan kambing sedang meragut rumput. Lorinya di situ.

Zakaria berehat di situ. Selepas menghantar selori kotak kosong untuk kegunaan kilang. Kilang perlukan kotak untuk mengisikan barang-barang keluarannya.

Di tepi pantai itu sering menjadi tempat berhenti dan rehatnya. Tempat menenangkan fikiran. Dia tidak rumit-rumit sangat hendak fikir tentang membayar ansuran bulanan dan membetulkan kerosakan lori.



Kambing di tepi pantai itu sering mendekatinya. Dia tidak menghiraukannya. Itu kambing orang. Tuan punya kambing itu di hujung tanjung pantai itu. Itu yang diberitahu oleh orang-orang di situ. Kambing hitam bertanda putih duit sebesar syiling lima puluh sen di telinga kanan sering meminta makanan kepada Zakaria.

Tentang lori yang dipandunya itu memang kepunyaannya. Upek kelindannya. Upek itu isterinya.

Isteri tersayangannya. Upek hitam manis kulitnya macam kulit Zakaria juga. Badan Upek lebih berisi. Upek baca berehat dalam lori.

Zakaria dan isteri mencari rezeki untuk anak-anak maju dalam pelajaran. Niatnya semoga anaknya belajar hingga mempunyai ijazah dan menjadi pakar bidang seperti dalam bidang ekonomi, doktor, jurutera, arkitek atau angkasa. Ibu bapa cari duit. Kerja keras untuk masa depan anak-anak.

Zakaria kurus sedikit daripada Upek. Dulu Zakaria suka hisap rokok. Kini dia tidak suka menghisap rokok lagi. Teguran anak perempuannya menyebabkan dia berhenti menghisap rokok.

“Nanti duit ayah habis kerana hisap rokok. Penyakit senang bersarang dalam perut. Nanti ketika sujud di tikar sembahyang surau akan meninggalkan kesan bau rokok di tempat sujud. Orang lain akan pening kepala!” Kata anak perempuan yang masih di bangku sekolah rendah.

Zakaria menghirup udara laut petang itu. Kini ada deburan ombak kecil. Deburan hanya tiba di batu piramid yang condong seperti tujahan lembing ke tanah. Kalau ada deburan ombak kuat kerana ada tiupan angin kencang, maka deburan ombak akan melepasi batu piramid.

Batu piramid itu atau dikatakan bongkah batu atau seperti bongkah batu Piramid di Mesir. Bongkah itu menjadi penggalang pertama ombak tiba ke tebing pantai. Selepas melepasi bongkah batu pertama, ombak terpaksa berdepan dengan bongkah batu tembok yang menahan tanah tebing dari runtuh.

Kambing hitam bertanda putih duit sebesar syiling di telinga kanan datang mendekati Zakaria. Zakaria menghulurkan kuih karipap yang ada di tangannya. Kambing makan kuih karipap itu. Kambing membebek seperti mengucapkan terima kasih. Kambing berlalu.

Sambil merenung sekumpulan kambing di tembok batu pantai, Zakaria teringatkan dirinya ketika berada di surau. Dia suka membancuh teh dan kopi untuk jemaah surau.

Apatah lagi jika dalam bulan puasa. Bukan itu sahaja, malah menghidangkannya. Bujang, Jamal dan kadang-kadang Herman turut sama menghidang makanan. Bilal Husni suka sikap baik dan mulia Zakaria itu.

Mejar Husin dan Jamal kadang-kadang datang menolongnya. Kini, Cikgu Syaari sering ikut kumpulan Tabliq. Jika Imam Dolah Bank tak datang, Cikgu Syaari atau Cikgu Aziz bekas Nazir Masjid akan jadi imam surau. Kalau tidak Razali Yusuf , Setiausaha Surau kena jadi imam.

Zakaria berdiri di tepi pantai. Seekor kambing datang lagi kepadanya seperti meminta kuih karipap. Zakaria seperti bercakap dengan kambing, “Karipap sudah habis! Pergilah makan rumput!”

Jauh ke tengah laut, nelayan dan perahu dilihat sebesar ibu jari. Mereka sedang menarik pukat gayanya.

Pasir-pasir tepi pantai tidak pernah lemas. Pasir tetap muncul walaupun selepas bah besar atau taufan melanda. Sedangkan kapal ada yang tenggelam. Ada perahu nelayan yang hilang. Pasir tidak pernah hilang.

Bagi Zakaria, pasir seperti diri pemancing. Pemancing tidak pernah luput di muka bumi selagi ada pantai, ada ikan ,ada daratan. Pasir selagi ada air, angin dan matahari.

Pemancing ramai yang datang dengan motosikal. Mereka menghalau kambing mendekati tempat mereka memancing. Mengganggu!

Orang-orang tua memang suka memancing. Apatah lagi pada waktu bekerja. Mereka orang-orang pencen. Jika hari minggu atau hari cuti, orang-orang pejabat berderet datang memancing.

Zakaria seperti Wahid atau Husin Lori, siang malam berusaha untuk menambah pendapatan. Cari duit. Semua kena kira. Masalah lori bermacam-macam.

Ada syarikat menyewa lorinya bagi mengangkut barang-barang kilang setiap hari kerja. Waktu lapang atau malam, kadang-kadang angkut dan pasang khemah orang kenduri kahwin. Mejar Husin (pesara) dan rakan-rakan akan menolongnya. Untung akan diserahkan kepada Encik Razali untuk kegunaan kebajikan surau. Kira tabung surau.

Kambing hitam bertanda putih sebesar duit syiling lima puluh sen datang lagi apabila nampak Zakaria mengunyah kacang. Zakaria menghulurkan kacang. Kambing pun makan kacang.

“Kuih kodok pun dimakannya.” Kata seorang pemancing yang berdiri dekat dengan Zakaria. Macam manusia kambing ini.

Zakaria teringat, anak perempuannya suka mengusik kambing. Jika balik kampung anaknya akan ke reban kambing. Anaknya memberi kambing makan daun nangka. Dia akan ikut kambing mengembek-ngembek.

Sinar matahari petang mula menyuluh diri pemancing. Pemancing berlindung atau berteduh di bawah pokok. Mereka duduk di tebing bongkah batu tembok. Mereka merenung ke arah mata pancing yang diayun ke tengah laut. Kambing datang lagi. Mereka menghalaunya.

Pak Tua kaki pancing, pakai baju berlengan panjang, seluar panjang. Bawa umpan dan batang kail siap dengan tali, batu ladung dan mata kail. Pak Tua melemparkan tali pancing ke arah gelombang laut dan menunggu. Ketika seekor kambing mengembek-ngembek. Kaki pancing halau kambing lagi. Kambing menggeledah bekalan makanan pemancing.

Ada pemancing yang berseluar pendek dan baju lengan pendek. Dia menari-narik pancing, umpan sudah dimakan ikan. Tetapi ikannya tidak melekat. Angin kencang seketika. Ombak menghempas kuat sedikit. Bau asam tanah paya dan asin laut berdekatan menusuk ke lubang hidung ketika ada angin bertiup.

Pak Tow bertopi hijau, seluar panjang, baju lengan panjang dengan teliti membubuh umpan di mata kail. Ada beg hitam yang terkepit di tali pinggang. Dia melepar jauh mata pancing ke tengah ombak.

Awal pagi sebelum itu, Zakaria bertemu Muhammad Fauzi dan Pak Abu di gerai kopi tepi pantai. Muhammad Fauzi belanja makan roti canai dan teh. Itu kenalannya.

Muhammad Fauzi masuk kerja jam lapan pagi di TNB. Pak Abu kerja kampung. Dia punya ladang getah. Sebahagian hasil getahnya disimpan dalam Tabung Haji. Mana tahu, ada rezeki naik haji.

“Air pasang petang rupanya!” Bisik Zakaria.

Ombak tiba ke bongkah batu tembok tebing pantai. Air laut memercik tinggi dan melepasi bongkah batu.

Di sini tentu penuh kenangan. Zakaria tersenyum memandang Pak Tow yang menaikkan seekor ikan sebesar tapak tangan.

Di pantai kiri ini ada timbunan pasir yang menaburkan ratusan tapak kaki manusia. Ada ribuan tapak kaki kambing juga. Ramai orang menginap di chalet . Mereka bermain dan bermandi-manda pantai itu.

Pengunjung pantai, jika pada malam hari, mereka membuat unggun api sambil bercerita sambil makan-makan. Terhibur. Apatah lagi ada deruan angin malam yang mesra dan mengasyikkan.

Zakaria sudah cukup berehat di tepi pantai petang itu. Dia memandu lorinya. Upek tertidur. Fikirnya mahu pulang ke rumah sahaja. Tidak jauh dari chalet tepi pantai, Zakaria terdengar bunyi detakan ayam dan kemudian berkokot-kokot bunyinya.

Biji buah ketapang banyak di tebing batu di hadapan jalan pantai. Pokok ru dan ketapang sebaris di tepi pantai. Semut-semut hitam memanjat seluar pengunjung. Kambing tidak pedulikan semut itu.

Pondok-pondok dan meja atau bangku batu tersedia di tepi pantai. Gerai-gerai makan pun ada. Tidak jauh ada Balai Polis kampung. Ada kedai di persimpangan jalan masuk pantai. Sepanjang tiga ke lima kilometer itu mudah ditemui chalet atau rumah inap atau pondok inap untuk pengunjung pantai.

Zakaria sudah sampai rumah. Upek terkejut kerana ada bunyi kambing dalam lori. Zakaria terkejut ada kambing dalam lorinya. Kambing siapa? Siapa pula menaikkan kambing ke dalam lorinya? Zakaria resah.

Zakaria baru cam. Kambing hitam itu ada tompok putih sebesar duit syiling lima puluh sen di telinganya. Ini sah kambing kepunyaan tuan atau penjual kambing di hujung pantai tanjung. Rumah tauke kambing. Kambing yang diberi makan kuih karipapnya petang itu.

Ini mesti dipulangkan. Lima puluh kilometer jauhnya. Hak orang. Haram menjual atau memakan dagingnya. Kira daging curi. Binatang curi. Berdosa. “Aku tak mahu subahat. Aku mesti pulangkan kepada tuannya.”

Zakaria menghidup enjin lori, tetapi enjin lori tidak hidup. Zakaria keriau. Dia hendak memanggil isteri dan anak-anaknya untuk menolong menunda lori, tetapi niatnya dibatalkan. Dia kasihan kepada isterinya yang baru pulang. Isterinya sedang hendak menyediakan makanan.

Zakaria telefon Daud Bengkel Kereta kawan Mat Misai dan Cikgu Anuar jirannya. Daud datang dengan motosikal . Daud mendapati bateri lori sudah kong. Kena beli bateri baru! Mahu tidak mahu Zakaria terpaksa membeli bateri baru.

“Daud, engkau ambil bateri di bengkel engkau dulu. Esok aku bayar.”

“Tak jadi masalah.” Kata Daud sebab Zakaria memang pelanggannya.

Lori Zakaria meluncur ke rumah tuan punya kambing hitam putih sebesar syiling lima puluh sen di telinga. Dia terdesak juga, dia perlu buat tuntutan hantar kambing pergi balik dengan tuan punya kambing.

Pada mulanya Zakaria tidak mahu menuntut apa-apa. Tetapi memandang kambing itu bukan dalam ladang ternakan atau dalam kandangan, maka tuannya mesti diberi ingat bahawa ternakan mesti dijaga supaya tidak merayau-rayau ke sana ke mari mengganggu atau merosakkan tanaman orang. Apa tidaknya, habis pucuk anak pokok patah dan mati. Anak pokok yang baru ditanam bagi kempen menanam untuk menghijaukan bumi dan mengurangkan kepanasan bumi.

Setibanya di rumah tuan punya kambing hitam bertanda putih sebesar syiling lima puluh sen di telinga , Zakaria menyerahkan kambing. Tuan punya mengaku bahawa kambing itu kepunyaanya selepas Zakaria menceritakan hal kambing itu hingga berada dalam lorinya.

Zakaria pun menuntut duit perjalanan dan sewa lorinya sebanyak tiga puluh ringgit sahaja. Tuan punya kambing terkejut dan tiba-tiba marah.

“Engkau hendak mengugut aku ya.”

“Tidak, saya bertujuan baik.”

“Tidak. Ini bukan tujuan kamu memulangkan aku. Aku boleh tuduh engkau mencuri kambing aku.” Kata tuan punya kambing dengan marah-marah.

Zakaria tergamam dengan kata-kata itu. Tujuan baik. Kini sudah menjadi masalah pula. Apa harus dia buat sekarang?

Tuan punya ini mesti disedarkan akan kesilapannya. Dia sudah bersikap bongkak dan biadap kepada tetamu yang datang dengan baik.

“Aku mesti tuntut sewa lori pergi balik sebanyak tiga puluh ringgit. Kambing tidak berjaga. Tidak dalam kawasan ternakan sebenarnya. Biar tuannya tahu betapa bahaya jika kambing dibiarkan tanpa dijaga. Macam kerbau lembu juga. Jika dibiarkan, habis tanaman orang. Macam mana kalau kambing dikebas orang terus!” Congak Zakaria dalam hati.

Kambing hitam bertanda putih sebesar syiling lima puluh sen di telinga membebek-bebek. Bek! Bek! Tahu akan nasibnya. Kambing itu sedang menegur sikap tuannya, barangkali!

“Pandai engkau, sudah curi kambing aku dan kemudian pura-pura pulangkan, ya! Sudah aku tak mahu bayar satu sen pun. Pergi dari sini sebelum aku buat aduan ke Balai Polis!” Herdik tuan punya kambing dengan kasar sekali.

Ketika itu ada seorang pembeli kambing sedang mengira wang lebihan yang dikembalikan oleh tuan punya kambing. Tiba-tiba pembeli yang tidak dikenali itu menghulurkan wang sebanyak tiga puluh ringgit kepada Zakaria.

Kata pembeli itu dengan senyuman, “ Anggaplah saya tuan punya kambing dan ambil wang tiga puluh ringgit bagi membayar sewa lori kamu yang membawa pulang kambing itu. Ikhlas!”

Zakaria seperti tidak mahu membuat kecoh lalu menerima wang itu. Walaupun ada rasa hendak menolaknya. Lagi pun Zakaria bimbang tuan punya kambing akan menuduhnya sebagai pencuri kambing pula.

Pembeli kambing itu mendapati motosikalnya tidak boleh dihidupkan enjin. Zakaria menumpangkan pembeli dan motosikal itu ke lorinya untuk di hantar ke kedai motosikal berdekatan.

“Tuan membeli kambing berapa ekor dan mana kambingnya?” tanya Zakaria kepada pembeli kambing ketika berada dalam lori. Lori Zakaria menuju ke pekan kecil.

“Dua ekor. Penjual kambing itu akan menghantarnya ke rumah saya esok selepas seorang bekas imam masjid tolong menyembelihnya. “ Jelas pembeli kambing yang baik hati kepada Zakaria itu.

Pembeli kambing turun di pekan dan menurunkan motosikalnya dari atas lori Zakaria.

Sebelum bergerak, Zakaria menjengok mukanya dan melambai kepada pembeli kambing dan bertanya, “ Terima kasih kerana memberi saya duit tiga puluh ringgit itu tadi?”

“Oh tak mengapa. Lagi pun duit itu merupakan duit yang terlebih dipulangkan oleh tuan punya kambing kepada saya. Saya tidak rugi apa-apa.” Pembeli itu berkata macam sebuah lagu. Zakaria tersenyum dan melambai. Zakaria angguk-angguk.

Tiba-tiba hampir sampai ke rumah. Zakaria mengingatkan semula kata-kata pembeli kambing itu. Zakaria lemas. Nyawanya rasanya hendak tercabut. Dia sudah dipermainkan oleh pembeli kambing.

“Jadi duit itu duit tidak halal juga. Duit haram. Haram aku menerimanya. Apa mesti aku buat?” Zakaria gelisah.

Malam itu Zakaria tidak tentu arah. Fikirannya berkecamuk. Dia tidak boleh tidur lena. Dia ingatkan semula kata pembeli kambing itu, “Oh tak mengapa. Lagi pun duit itu merupakan duit yang terlebih dipulangkan oleh tuan punya kambing kepada saya. Saya tidak rugi apa-apa.”

Zakaria memberitahu isterinya Upek. Upek sungguh kasihan mengenangkan nasib suaminya.

Zakaria pun memutuskan bahawa esok, pagi-pagi dia akan memulangkan duit tiga puluh ringgit itu kepada tuan punya kambing iaitu penjual kambing di hujung tanjung pantai yang sering menjadi tempat rehatnya itu. Insya-Allah!

Biodata

A GHANI Abdullah, anak kelahiran Kampung Ramuan Cina Kecil, Melaka ini adalah mantan Pegawai Perancang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Setiausaha Barisan Bertindak Bosnia (BBB), Penyelaras Kelab Sastera DBP, Pengarah/ Pengurus Pentas/ Pelakon Drama Pentas, Penyelaras Pertandingan Drama Sekolah Menengah Malaysia, Fasilitator PPSB/PLKN Selangor, Penilai Manuskrip Sastera, Hakim/ Penilaian Hasil karya Kreatif, Penulis novel, cerpen, drama, puisi dan esei. Ahli Majlis Bersama Jabatan Badan Berkanun Malaysia, Lawatan sambil belajar ke Morocco, Sepanyol, Turki, Jordan, Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Palestin dan Mesir. Antara novel beliau ialah Camar Putih Di Awan Biru (DBP) dan Permaisuri (CESB). Novel yang akan terbit Apabila Hidup Menjadi Lembah Kesusahan (PKS). Kini penulis bebas dan perunding kreatif

No comments: