Sunday, February 17, 2008

Cerpen: Mencari Tuhan di celahan Cambrian



Oleh Rebecca Ilham


"KAU sepatutnya jadi biologis, bukannya geologis."

Vladimir mengejek, namun Maizurah tidak terpancing. Sebaliknya dia sekadar menjuring senyum tipis sebelum ralit menekuni helaian buku.

Slate Café bening. Percikan lampu kuning, malap tetapi tajam, menyakitkan anak mata. Vladimir mendengus. Maizurah bersungguh-sungguh menghubungi beberapa hari lalu, meminta pinjam naskhah The Origin of Species dan nota-nota lama tentang Teori Evolusi Charles Darwin.



"Yang ringkas-ringkas sahaja ya, Vladi? Otak aku terlalu teknikal untuk lekas menghadam yang dalam-dalam." Titip Maizurah lagi.

Vladimir akur. Seluruh pagi dihabiskan dengan memunggah kotak berisi buku-buku lama di loteng. Meski digetik curiga, dia tidak sanggup menghampakan. Demi Maizurah, bukan setakat merenang lautan api, dia juga rela mati.

Argh, siapa sangka, si geologis muda yang mengintimi batu, sedimen dan strata, tiba-tiba obses dengan organisme?

"Bukan hanya organisme, tetapi hidupan secara keseluruhan. Kalau mahu spesifik, erm, manusia." Maizurah membetulkan. Garis-garis halus di dahi Vladimir semakin jelas dan rapat. Maizurah menyambut The Origin of Species dan fail tebal berisi nota-nota dari kelas Biologinya pada tahun pertama program pra-perubatan dengan girang.

"Kau jumpa fosil yang membenarkan unjuran Darwinian?" Retina Vladimir membulat. Biru lembut di tinta hijau zamrud. Maizurah menyahut dengan tawa yang lunak. Sepasang lesung pipit melekuk. Vladimir terpesona.

"Kau percaya, kita ini anak cucu beruk?"

Giliran Maizurah pula menduga. Vladimir mengangguk laju. Telunjuk menuding The Origin of Species.

"Teori Darwinian diterangkan secara rinci dan disokong pula Teori Natural Selection yang disyorkan George Mendel. Kedua-duanya tak bersalahan dengan logik akal. Melainkan muncul pendapat lain, lengkap dengan bukti dan menawarkan jawapan, aku akan terus percaya."

"Pendapat lain." Maizurah mengulang, tersenyum lebih manis. Sukma lelaki Vladimir terbakar. “Kitab suciku, al-Quran, sudah 1200 tahun memberitakan. Manusia itu keturunan Adam."

Vladimir membuang muka. Gelas tinggi di pinggir meja bulat dicapai. Jus kranberi disedut; khusyuk dan tergesa.

"Iyalah, aku minta maaf. Sudah-sudahlah merajuk, komunis." Maizurah ketawa berpingkal-pingkal. Vladimir tidak menyahut. Gelaran komunis tak pernah-pernah memengkalkan, cuma hari ini dia sensitif tidak menentu. Maizurah dikerling dengan ekor mata. Gadis itu sudah tenggelam dengan Charles Darwin. Sebelah tangan menjinjit telinga cangkir porselin. Asap tipis daripada permukaan kopi pekat mengapung. Aroma hazelnut mencucuk-cucuk nostril Vladimir. Argh, cemburukah?

"Engkau pula, percaya, manusia semena-mena wujud di dunia, diturunkan dari syurga?” Vladimir mendehem. Maizurah menggumam, kurang senang pembacaan diganggu. Cangkir porselin dan piring berlaga.

"Bagi seorang saintis, itu kedengarannya terlalu far-fetched. Seakan magis."

"Kerja Tuhan sememangnya magis, Vladi. Asalkan Tuhan menginginkan, sebarang kejadian boleh terbentuk, tercipta. Ini difirmankan melalui ayat 82 dalam Surah Yasin; Sesungguhnya perintah-Nya apabila dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: 'Jadilah!' maka terjadilah ia."

Vladimir mengherotkan bibir. Maizurah mengalah. Mengatup The Origin of Species lalu menatap wajah Vladimir tanpa kelip. Lelaki ateis dari Chernobyl, Russia yang nakal digelarnya komunis - mengapalah terlalu keras hatimu?

"Jika kitab sucimu yang kauyakini kata-kata Tuhan itu menjawab segala persoalan, kenapa kau ghairah ingin mengakrabi Teori Darwin? Tak takut terpesong, terpercaya, sekali gus menderhakai Tuhan?"

Maizurah membalas dengan senyum. Vladimir mengecam aura rahsia yang dalam. Ada-ada saja perempuan Melayu ini!

"Apa kata kauterangkan pada aku tentang Teori Evolusi? Untuk pemahaman bersama, tentunya. Aku akan lebih arif, sementara kau, mungkin boleh segarkan kembali ingatan?" Pinta Maizurah lembut.

Vladimir menarik nafas. Bukankah untuk Maizurah dia tegar mati?

"Teori Evolusi pertama kali dibentangkan oleh Charles Darwin dan temannya Alfred Russell Wallace pada tahun 1859, sebagai hasil kajian mendalam rentetan pengembaraan mereka ke Kepulauan Galapagos beberapa tahun sebelumnya. Kebanyakan orang menyangka evolusi bermaksud proses mutasi yang dialami oleh hidupan sehingga mencetuskan kewujudan spesies-spesies baru. Namun Darwin, Wallace dan para biologis kemudiannya mendefinisikan evolusi sebagai perubahan frekuensi alel dalam populasi satu-satu generasi."

"Alel?" Maizurah mengecilkan mata. "Apa tu?"

"Alel adalah dua atau lebih bentuk daripada sejenis gen yang dijumpai di tempat yang sama pada satu-satu kromosom.”

Maizurah mengangguk faham. "Tadi kausebutkan juga tentang Mendel, tentang Teori Natural Selection. Bagaimana pula ia berkait dengan Teori Evolusi?"

"Terdapat empat komponen dalam Teori Natural Selection, iaitu pembiakan tanpa kawalan, sumber yang terhad, variasi dan pewarisan. Pembiakan tanpa kawalan dan sumber yang terhad menjurus kepada situasi yang sama, iaitu persaingan untuk memastikan kemandirian sesuatu spesies. Dengan ini, hanya spesies yang kuat dan gagah sahaja akan meneruskan keturunannya. Spesies yang kuat dan gagah ini telah mengubah sifat-sifat tertentu yang ada padanya untuk survival. Perubahan ini dikatakan variasi. Ia boleh jadi intraspesies atau juga interspesies, di mana sifat-sifat baik daripada spesies yang lain dicuplik dan dicantum dengan sifat-sifat baik sedia ada. Spesies yang baru ini akan membiak dan sifat-sifat yang sudah diubah itu akan diwariskan kepada keturunan seterusnya. Pewarisan ini dinamakan phylogeny. Phylogeny akan berulang-ulang dalam suatu proses yang dipanggil ontogeny. Inilah evolusi namanya."

"Aku tak ada masalah untuk menerima Teori Natural Selection bagi menerangkan tentang hidupan daripada kumpulan yang sama. Contohnya tumbuhan. Kenapa pohon setawar berdaun lebar, misalnya. Jikalau mahukan bukti visual, argh, aku hanyalah seorang saintis sepertimu, Vladi, terdidik oleh metodologi yang sistematis, perubahan ini terakam dalam pelbagai bentuk seperti fosil, trace dan trail, burrows, juga turbidites. Kesemuanya terpahat kemas antara setiap celahan laminasi dan formasi batu-batuan. Tapi untuk menghubungkan beruk sebagai nenek moyang manusia, argh, kedengarannya far-fetched pada pengertianku.” Maizurah bersuara ragu.

Vladimir pula tersenyum. Kerutan keliru Maizurah begitu cantik pada derianya.

"Itu mudah. Untuk membantu menerangkan kejadian evolusi, Teori Natural Selection telah dikaji semula. Hasilnya, lahirlah tiga hipotesis. Pertama, hanyutan genetik atau genetic drift. Hanyutan genetik menyatakan bahawa meskipun tanpa faktor keliling, frekuensi alel akan digugah komposisi asalnya, selaras dengan peredaran masa. Perubahan ini dirujuk sebagai hanyutan, drift dan kesan drastik dapat diperhati dalam populasi yang saiz relatifnya lebih kecil. Hipotesis kedua pula keseimbangan bertanda, atau punctuated equilibrium. Menurut hipotesis ini, evolusi paling berkesan apa kala suatu-suatu populasi itu diasingkan daripada kumpulan utama. Pemisahan itu mampu mempercepatkan perkembangan sifat-sifat baru pada hidupan yang langsung berbeza daripada sifat-sifat asalnya. Aspek perubahan mencangkupi kedua-dua sifat fizikal dan sikap. Hipotesis kedua ini pada pendapat aku hanyalah spin-off daripada hanyutan genetik. Hipotesis yang paling aku gemar tentulah yang ketiga - revolusi genetik.”

"Perubahan frekuensi alel dalam sekelip mata sekali gus mewujudkan spesies baru? Manusia daripada beruk?" Maizurah menjungkit kening. Tawa galak terlepas dari kerongkong. “Sekelip mata, tiba-tiba, semena-mena, bukan itu membawa maksud yang serupa? Tadi kaubantah kata-kataku. Kau kata magislah, apa-apalah…."

Vladimir menggeleng-geleng. "Hei, ada bezanya! Kaumengatakan manusia muncul tanpa asal, tanpa usul. Manakala aku memperjelaskan bagaimana tidak mustahil manusia itu daripada binatang primat. Kalau kaumahu, aku boleh bentangkan bukti-bukti kontemporari yang menyokong Teori Evolusi - "

"Cukup, cukup, Vladi!” Maizurah tuntas memintas. "Evolusi, seperti katamu baru sebentar, hanyalah teori yang asalnya daripada hipotesis. Hipotesis sekadar ramalan-ramalan awal. Dan bukti, argh, engkau mahu terus-terusan menggeletek hatiku dengan argumen artificial selection, non-optimal design dan geographical distribution?”

"Ada lagi! Penemuan fosil dan anatomi perbandingan. Engkau sebagai geologis, tentu tidak mampu menolak bukti visual sebegitu!" Vladimir enggan kalah.

Maizurah mengesipkan mata. “Bagaimana jika aku katakan penemuan-penemuan itu telah disalah tafsir oleh para saintis sejak sekian lama?"

Sepasang alis lebat dan perang mencantum. "Maksudmu?"

"Kaubiasa dengan istilah masa geologi?" Vladimir menggeleng sekali. Maizurah menghirup udara, duduk lebih tegak. Vladimir memasang perhatian penuh.

"Geologi adalah bidang kajian yang melibatkan subjek berusia berjuta-juta, malah berbilion-bilion tahun. Untuk mengatasi kekeliruan jurang masa, istilah masa geologi telah diperkenalkan. Tempoh masa dibahagikan kepada beberapa bahagian, bermula dengan eon, diikuti dengan era, period dan epoch. Sehingga hayat bumi atau setepatnya sehingga kajian oleh para saintis setakat ini, hanya dua eon dikenal pasti, iaitu Pra-Cambrian dan Cambrian. Eon Pra-Cambrian wujud selama lebih empat bilion tahun, ia terbahagi kepada beberapa period yang tidak relevan dengan perbincangan kita. Kemudian, kira-kira lima ratus juta tahun lalu, eon Cambrian pula dikesan. Batuan yang terbentuk semasa eon-eon ini dikenali sebagai batu pra-Cambrian dan batu Cambrian."

Maizurah terhenti. Tekak haus kerana bersyarah panjang. Vladimir mengangkat tangan, menggamit pramusaji. Cangkir porselin dipenuhkan. Dia menanti butir bicara Maizurah seterusnya.

"Tahukah engkau kriteria utama yang mencipta pemisahan antara dua eon ini?" Maizurah menyisip cangkir ke piring. Dia mengelap hujung bibir dengan napkin putih. Vladimir tergamam. Fokus pada jari-jemari Maizurah yang halus runcing terpancung.

Maizurah menjeling. “Hidupan. Analisis terhadap batu Pra-Cambrian tidak menunjukkan kehadiran sebarang fosil, sementara batu Cambrian pula sarat dengan unsur-unsur biologi."

"Tiba-tiba, semena-mena?" Vladimir terbuntang. Dadanya bergegar. Maizurah mengangguk tegas. “Tentu ada penerangan saintifik. Tentu sudah ada organisme mikro dan makro semasa eon Pra-Cambrian."

Maizurah membalas dengan gelengan. Cangkir porselin diangkat lagi, dihirup. Vladimir tergugah metah. Bukan oleh mulut comel yang terbuka membenarkan aliran kopi atau rengkung kecil yang bergerak-gerak tatkala cecair yang sama menuruni esophagus. Bukan!

"Tak ada langsung?" Dia memberanikan diri. Maizurah mencantumkan jari ibu dan telunjuk. Bentuk O besar terbentuk. Vladimir tersandar.

"Something out of nothing? Seakan big bang dalam astronomi?" Tanyanya lagi.

"Ya. Pemisahan itu juga dikenali sebagai letupan Cambrian, Cambrian explosion."

Khali. Vladimir masih cuba memaham ketika Maizurah perlahan mengujar. "Menakjubkan, bukan? Argh, Vladi, siapa saja mampu mencipta sesuatu daripada tiada apa-apa? Sesudah diciptakan bumi, tumbuhan dan hidupan, apa sangatlah penciptaan manusia pada kudrat Tuhan? Tak perlu beruk atau apa tu kata kau, binatang primat. Sebaliknya hanya berbekalkan gumpalan tanah yang dibentuk para malaikat, Tuhan meniupkan roh dan nyawa."

"Tapi, tapi, apa kaitannya dengan Teori Evolusi dengan batu?" Vladimir tergagap. Bebola mata Maizurah bersinar-sinar. Vladimir terpukul, terpukau serentak.

"Masih pada peringkat hipotesis, sebenarnya. Sebab itu aku belum berani mengemukakan kepada penyelia program sarjana, tak mahu jadi Darwin, Wallace dan Mendel; terburu-buru mencanang ramalan awal yang belum tentu benar. Namun dengan kaedah yang betul, aku yakin ia tidak mustahil dibuktikan."

"Apa?" Vladimir mengusul tidak sabar. Maizurah tergelak kecil, lucu dengan telatah rakan yang keanak-anakan.

"Aku bercita-cita untuk menyahbukti Teori Evolusi dan membuktikan kejadian manusia yang tiba-tiba, semena-mena tidak bersalahan dengan segala rakaman biofacies pada batu-batuan Cambrian. Malahan, ia adalah bukti paling jelas tentang kewujudan dan kehebatan suatu kuasa tertinggi yang berkeupayaan menciptakan. Something out of nothing, Vladi. Argh, bukankah terdapat desas-desus bahawa Albert Einstein menghentikan kajiannya tentang asal-usul dunia kerana khuatir akan bertemu kewujudan Tuhan?"

Vladimir diam. Kepala pusing, pening. Jantungnya melaju saban kali Maizurah menyebut-nyebut tentang Tuhan. Tiba-tiba. Semena-mena. Sekujur tubuh sejuk.

Vladimir mengurut-ngurut dahi. Gelas tinggi dijeling. Jus kranberi sudah lama kering. Vladimir mengangkat tangan, mahu memesan lagi, namun Maizurah sudah usai dengan kopi dan cangkir porselinnya. Dia bangun.

"Kau nak ikut?" Maizurah mempelawa. Beg sandang siaga tersangkut di bahu. Sementara The Origin of Species dan fail besar dikelek kemas. Vladimir mendongak. Melongo bodoh. "Ke mana?"

"Kita cari Tuhan, di celah-celah batu Cambrian!"

Rujukan:

1. Nichols, Gary, 1999. Sedimentary and Stratigraphy. Oxford: Blackwell Science Ltd.

2. Shorey, Christian, 2005. Earth System Science, Class Note: Evolutionary Theory. Colorado: Colorado School of Mines.

Biodata penulis:

REBECCA Ilham nama pena bagi Hazwani Rameli. Terbabit dalam genre cerpen, puisi dan esei, beliau muncul pemenang kedua Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2000. Karya Hazwani mendapat tempat dalam majalah dan akhbar arus perdana. Pelajar Fakulti Kejuruteraan Petroleum, Colorado School of Mines, Amerika Syarikat, ini adalah Setiausaha Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan moderator GKLN Cawangan Amerika Syarikat.

No comments: