Sunday, February 24, 2008

Resipi Dari Istana 2



Oleh Nisah Haron

CHEF Mariam terkedu apabila menerima surat undangan dari istana. Air mukanya yang tenang terkocak seperti permukaan muara sungai yang dilontar dengan sebiji kelapa laut. Kerut di wajahnya sukar kembali kepada keadaan asal kerana sebiji kelapa laut yang terapung akan teroleng-oleng sehinggalah ombak-ombak kecil menghantarnya ke tebing.

Tangannya pantas mendail nombor Chef Chimiko. "Kau dapat tak surat yang sama?"

Suara di hujung talian menafikan.



"Kaufikir aku harus pergi, Chimi?"

"Mengapa tidak? Kita tak harus terburu-buru dalam soal ini. Banyak perkara yang belum pasti. Jadi, elok juga kau dipanggil untuk mesyuarat di istana. Mungkin ada banyak telahan yang boleh dirungkai."

Chef Mariam tidak terus menjawab. Hatinya masih berbelah bahagi. Pada tarikh yang sama, dia telah menerima undangan untuk memberi bengkel dan tunjuk cara membuat pastri di sebuah sekolah kulinari tidak jauh daripada perkarangan istana. Sudah lama sekolah itu meminang supaya Chef Mariam tidak menguzurkan dirinya dan dia tidak berhasrat untuk membatalkan hanya kerana surat panggil mesyuarat dari istana yang sampai pada saat-saat akhir itu.

"Pergi sahajalah," cadang sahabatnya apabila dia masih tidak menjawab di hujung talian.

"Aku tak mahu buang masa dengan soal silibus sekolah kulinari ini. Kita ini tukang masak. Bukannya penggubal silibus ataupun pembuat soalan. Aku ada banyak kerja lain," tukas Chef Mariam.

"Habis tu, takkan kita nak biarkan pihak istana sewenang-wenangnya mahu memasukkan resipi-resipi makanan segera ke dalam silibus sekolah tu! Cacamarbalah masa depan semua sekolah kulinari tanah air."

Chef Mariam menarik nafas panjang. "Apa sangatlah daya aku untuk mengubahnya kalau perkara itu sudah pun diputuskan oleh pihak istana?"

"Yam, aku tak fikir perkara ini sudah muktamad. Berita yang tersebar di akhbar itu mungkin ada benarnya, tapi mungkin juga kurang tepat. Alah, wartawan pun kadangkala salah dengar dan salah tulis. Jadi, apabila isu ini sudah digembar-gemburkan pihak institusi pemakanan, pasti sudah ada kelam kabut di puncak istana. Jadi, inilah masanya untuk melakukan sesuatu yang terbaik. Fikirkanlah masa depan anak-anak kita. Apa yang akan mereka makan ataupun masak nanti, kalau masakan yang benar-benar asli pun mereka sudah tak tahu hendak masak. Jangan lupa, setiap yang kita makan itu akan menjadi darah daging!"

Kata-kata Chef Chimiko itu ada benarnya, fikir Chef Mariam. Semua ini angkara pihak yang mahu mengaut untung dalam jangka masa pendek. Setiap lima tahun, silibus sekolah masakan akan diubah resipinya. Resipi masakan tempatan, masakan serantau dan masakan antarabangsa semuanya akan dirombak. Oleh itu, buku-buku resipi baharu akan dicetak. Pihak sekolah kulinari seluruh negara menggunakan silibus yang sama sebagai teks.

Pencipta resipi berkhasiat dikenal pasti dan mana-mana tukang masak yang mempunyai resipi berwibawa akan diketengahkan. Resipi mereka diambil dan digunakan dalam silibus sekolah kulinari tempatan. Pencipta resipi itu akan dibayar satu jumlah sagu hati yang agak lumayan oleh pihak istana.

Perkara ini bukannya kali pertama terjadi. Lima tahun dahulu, istana ini kecoh kerana resipi yang tersenarai dikatakan pilih kasih. Pihak panel penilai didakwa memilih resipi di kalangan kawan-kawan sesama tukang masak. Ada unsur-unsur kronisme.

Ketika itu Chef Mariam sama-sama naik angin mendengar dakwaan itu. Apabila dia meneliti senarai resipi, semuanya dilihat resipi-resipi yang penuh khasiat.

Dunia masakan ini bukannya besar sangat. Berapa ramai yang dapat menghasilkan resipi yang enak, tetapi berkhasiat. Kalau setakat membuat resipi segera yang boleh dikilangkan dan dimasukkan ke dalam paket, tak perlulah panel bersusah payah menyenarai pendek resipi-resipi tersebut. Malah tidak perlu diajar pun kepada anak-anak di sekolah kulinari itu. Lebih baik makanan itu dipesan secara pukal dan dikirimkan ke sekolah-sekolah. Tetap mengenyangkan walaupun langsung tiada khasiat.

Inilah yang menjadi kekecohan kali ini. Pihak istana didakwa langsung tidak menyenaraikan resipi ilham chef-chef terkemuka tanah air. Kononnya, resipi mereka susah untuk diikuti pelajar. Sukatan pada bahan agak cerewet dan pelajar pula tidak mungkin dapat mencuba resipi-resipi tersebut. Bahan-bahannya pula agak payah diperoleh di pasar raya.

Ada sesetengah resipi itu akan menyebabkan pelajar-pelajar menyelongkar kedai-kedai rempah yang kecil-kecil kerana bahan-bahan seperti halba, biji sawi, serbuk ketumbar tidak dijual di semua pasar raya. Rasa resipi itu pula belum tentu sedap kerana pelajar jarang sekali dapat menyukat bahan-bahan dengan baik. Itulah antara yang menjadi keluhan para pelajar.

"Kalau bukan kita yang menentang silibus gila ni, siapa lagi Yam? Aku tak dapat suratnya, kalau dapat aku takkan menolak."

"Mereka sudah jelas mahu menolak resipi-resipi kita. Resipi masakan segera mahu diangkat sekarang supaya dapat menjimatkan waktu mengajar masakan kerana boleh siap dimasak dengan segera. Dua minit pun boleh selesai."

"Dengar sini, Yam. Cuba jangan beremosi dulu dalam soal ini. Kau sebenarnya akan memprotes bagi pihak seluruh tukang masak negara kita. Ini persoalan maruah semua yang terlibat dalam dunia kulinari. Kalau mereka jelas mahu memilih masakan segera – pelajar akan belajar menggoreng karipap samosa dan bukannya menguli karipap pusing – kau mesti jadi seperti seekor burung yang menolong Nabi Ibrahim. Kau masih ingat kisah itu?"

Chef Mariam senyap. Dengan itu, Chef Chimiko menerangkan lagi, "Apabila burung kecil itu ditanyakan kawan-kawannya yang lain mengapa dia sibuk hendak memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim sedangkan setitis air dari paruhnya langsung tidak akan memberi kesan kepada air yang sangat marak itu. Jawab burung itu, aku tidak mahu dipersoalkan di akhirat nanti. Aku mahu berusaha melakukan sesuatu walaupun dilihat sangat mustahil. Jika Allah bertanya kepadaku, apa yang telah aku lakukan sewaktu Nabi Ibrahim terbakar, sekurang-kurangnya aku boleh menjawab bahawa aku telah menolong untuk memadamkan api. Aku bukan sekadar memandang dari atas pokok yang jauh dari bahangnya."

Chef Mariam masih tidak bersuara.

"Jadilah burung itu, Yam!"

Dengan nasihat yang ditinggalkan sahabatnya, Chef Mariam pun menghadiri mesyuarat seperti yang dijadualkan pihak istana. Ramai juga mereka yang seangkatan dengan Chef Mariam rupa-rupanya turut dipanggil dalam mesyuarat itu. Ada yang bertaraf chef. Sous chef pun ada seorang dua, barangkali mewakili ketua mereka, fikir Chef Mariam. Turut hadir juga dua orang pengkritik makanan, pakar nutrisi dan ahli gastronomi.

Dalam surat undangan tempoh hari tidak dinyatakan sebarang agenda mesyuarat. Hari ini, sebaik-baik sahaja mendaftar dan mengesahkan kehadiran, setiap seorang ahli mesyuarat diberikan sebuah fail. Dia mengambil tempat di sebelah Atmahati, seorang pengkritik makanan.

"Mengarut betul nampaknya mesyuarat ni," kata Atmahati sambil menyuak rambut paras bahunya ke belakang.

Chef Mariam tidak terus menjawab. Matanya tunak memandang sehelai kertas yang dikeluarkan dari fail tadi.

Agenda mesyuarat: menentukan bilangan resipi untuk kurikulum sekolah kulinari seluruh negara.

Dia mencari lagi agenda yang berikutnya. Kertas sehelai itu dibalikkan, tetapi hanya itu yang tertera.

Satu agenda sahaja!

"Mengapa kita dipanggil sekian ramai hanya untuk menentukan jumlah resipi? Bukankah bahagian kurikulum istana boleh sahaja mengekalkan jumlah sedia ada?" terpacul soalan-soalan itu dari bibir Chef Mariam.

"Itulah saya kata tadi. Mesyuarat ini mengarut dan bakal membuang masa kita semua," tegas Atmahati lagi. Personalitinya tampak berbeza daripada yang sering dilihat di dalam televisyen untuk rancangan 'Ronda-ronda Selera'.

Ahli mesyuarat yang berbual-bual sesama sendiri dengan nada rendah mematikan bicara masing-masing apabila seorang lelaki separuh umur berbadan sederhana berdehem-dehem di hadapan mikrofon kecil di atas meja bujur.

"Tujuan pihak istana memanggil mesyuarat ini ialah untuk menentusahkan bilangan resipi yang harus dimasukkan ke dalam silibus baharu sekolah kulinari kita. Jadi, silalah kemukakan pendapat sama ada jumlah resipi sedia ada yang dipelajari oleh anak-anak kita ini mesti dikurangkan kerana terlalu membebankan ataupun dikekalkan."

"Tuan pengerusi, apa masalahnya dengan bilangan resipi sedia ada sehingga mesyuarat ini harus menentukan sama ada jumlahnya harus ditentukan semula?" pantas Atmahati menyambar medan bicara dengan menekan butang mikrofon di hadapannya.

Semua mata tertumpu ke arahnya. Dia menyambung lagi, "Saya tak fikir kita semua ini patut dipanggil beramai-ramai hanya untuk menentukan bilangan. Bukankah itu soal yang sangat teknikal. Biarlah pihak pentadbiran istana yang menentukannya."

"Benar, Cik Atmahati dan ahli mesyuarat sekalian, tetapi, pihak istana juga mendapat maklum balas daripada pihak sekolah bahawa resipi yang diajar di sekolah-sekolah ini agak berat hingga ramai yang gagal memahami aspek gastronominya. Terdapat juga permintaan daripada guru-guru supaya jumlah resipi ini biarlah dikurangkan supaya tidak terlalu membebankan para pelajar."

"Apa masalahnya?" Chef Mariam memancung tanpa disedari.

"Masalahnya ialah waktu mengajar yang tidak cukup untuk mengajar semua resipi sedia ada. Jadi, pelajar-pelajar pun tidak cukup masa untuk mengkaji buku teks sebaliknya, membaca buku-buku rujukan bagi tujuan peperiksaan," jawab pengerusi itu.

Seorang perempuan muda mengangkat tangan ke arah pengerusi lalu diizinkan oleh kepala mesyuarat itu.

"Biarlah saya beri pendapat sebagai guru yang terlibat secara langsung dengan pelajar. Tuan-tuan dan puan-puan sebagai chef ataupun tukang masak profesional tidak melalui apa yang kami hadapi di sekolah-sekolah. Pelajar-pelajar mengeluh kerana resipi yang perlu dihafal untuk peperiksaan terlalu banyak, sedangkan yang disoal amat sedikit. Apatah lagi, untuk pelajar tahap awal, soalannya dibuat dalam bentuk objektif sahaja. Jadi, wajarlah bilangan resipi itu dikurangkan supaya pengajaran menjadi lebih praktikal."

Chef Mariam menarik nafas dalam-dalam. Udara yang disejukkan oleh pendingin hawa itu diharap dapat melunakkan kehangatan yang sedang membakar perasaannya akibat luahan guru muda tadi.

"Tuan pengerusi, kalau hendak diikutkan, saya melihat jumlah resipi yang diajar di sekolah-sekolah ini harus dikekalkan tanpa sebarang kompromi. Malah, tidak menjadi hal kalau harus ditambah juga. Apabila mereka ini masuk ke dalam sektor pekerjaan, saya sebagai pengamal kerjaya ini secara profesional mendapati ramai tukang masak baru yang gagal menguasai hal-hal pemakanan yang asas. Takkanlah kita mahu kurangkan lagi hanya untuk tujuan peperiksaan. Terus terang, saya tidak pernah silau dengan gred pelajar yang dikatakan cemerlang. Saya akan uji mereka ini secara praktikal kerana peperiksaan sekadar menguji kebolehan pelajar di atas kertas dalam jangka waktu yang terhad. Mereka menjadi penghafal, bukannya pengamal!"

Desas-desus kedengaran di sekelilingnya.

"Betul kata Chef Mariam tu," seorang pengkritik makanan menyokong. "Sudah tu, mereka ini akan menjadi orang yang menyediakan makanan kepada orang ramai. Jika perkara-perkara asas tentang makanan pun mereka tidak didedahkan dengan kepelbagaian, macam mana mereka boleh menguasai bidang pemakanan? Resipi graduan kini saya lihat semakin tiada kualiti. Berbangga sangat dengan resipi-resipi makanan segera."

Guru yang menyuarakan pendapat tadi memuncungkan wajah. Masam kelat.

"Saya harap puan tidak bersuara mewakili semua guru di sekolah kulinari. Bimbang benar saya," kata pengkritik makanan itu lagi.

"Tuan-tuan dan puan-puan, mesyuarat ini perlu memutuskan berapa jumlah resipi yang wajar dipelajari dalam silibus yang baharu. Ini penting bagi banyak pihak terutama sekali bahagian penggubal soalan peperiksaan," kata pengerusi yang cuba mengawal agenda mesyuarat.

"Bagi saya, mesyuarat ini membazir waktu kerana jumlah resipi tidak penting, tetapi kandungannya lebih afdal." Tidak tahan, Chef Mariam menyampuk lagi. "Saya percaya pihak pakar nutrisi dan ahli gastronomi boleh bersetuju dengan saya bahawa mengetahui apa yang terkandung dalam setiap resipi itu jauh lebih penting daripada menghafal dan memuntahkan kembali resipi-resipi itu di dalam peperiksaan"

Chef Mariam tidak pasti sama ada pendapatnya ini boleh mengubah pendirian pihak istana. Dia cuma teringat pesanan Chef Chimiko.

"Jadilah burung itu, Yam!"

Biodata penulis

NISAH Haron yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan memulakan kerjaya penulis sejak zaman pelajarnya menghasilkan karya dalam genre cerpen, novel kanak-kanak, novel, esei dan cergas dalam kegiatan penulisan khususnya di negeri kelahirannya. Bekas peguam yang kini penulis sepenuh masa kerap memenangi sayembara peringkat negeri dan kebangsaan.

Cerpen -- Lembu betina

Oleh Wan Ahmad Ismail


PETANG/PANTAI
Aku sudah kata. Kataku. Dia diam. Dia tidak berkata apa-apa. Dia masih bermain- main dengan pisau di tangannya.

Aku sudah beritahu. Ceritaku. Dia diam, masih lagi berdiam. Kali ini pisau meraut rumput dipacak ke tanah. Dia melentang dirinya di tanah pasir pantai yang bersih. Ombak laut memecah pantai dan angin petang menderu kalbu.

“Beritahu apa, kata apa?” dia mula bersuara. Suaranya sedikit tenggelam oleh gelombang laut yang keras memukul pantai. Airnya hampir tempias mengena aku dan dia yang seorang gelisah. Sepanjang waktu berada di pantai itu dia amat gelisah.

“Jangan bermain api?” jelasku.

“Siapa yang bermain api?” keras suaranya.

“Kan sudah terbakar!” beritahuku lembut.

“Apa yang terbakar, siapa yang terbakar, kena bakar?” suaranya semakin keras. Beberapa ekor burung terbang berlalu melintasi kawasan tempat duduk kami. Hempasan ombak juga terasa keras bunyinya.

“Kaulah yang terbakar!" jelasku sambil melukis bentuk sebilah pisau di tanah pasir pantai, Pantai Batu Buruk itu. Aku meniru bentuk pisau yang dimain-mainkannya itu. Dia memerhati lukisan pasir itu. Di sebelah lukisan itu, dia melukis wajah seorang lelaki.

Dia tiba-tiba ketawa. Dia bangun dari tempat lentangan di atas tanah pasir pantai itu. Dia berlari-lari beberapa ela menjauhi daripada aku. Aku memerhati peredarannya seketika itu dengan sedikit kebingungan. Dia kembali ke tempat aku beberapa saat selepas itu.


“Memang aku rasa terbakar oleh perbuatan Seman yang celaka itu. Dia ingat dia gedebe, dia ingat dia samseng. Dia belum kenal aku siapa. Aku Rahim. Rahim yang pernah menumbang Mat Soh di gelanggang silat setahun dulu. Mungkin dia lupa,” jerkah dia.

“Ini bukan soal bertikam silat, ini soal lembu, lembu betina yang bakal beranak lebih daripada satu. Ini soal maruah. Soal lembu kamu boleh diambil oleh Seman begitu saja tanpa tentangan daripada kamu, Him. Sepatutnya sewaktu kamu masuk kawasannya kamu boleh tarik lembu itu keluar kerana kamu sudah kenal akan lembu kamu itu dan kamu pasti lembu itu lembu kamu. Kenapa kamu tidak bertindak. Dan sekarang bercakap soal kekuatan diri kamu, soal terbakar, soal kesamsengan kamu di hadapan aku, di tepi pantai ini, di hadapan laut yang luas ini.” Sindirku dengan penuh geram dan kegeraman. Aku seperti mahu melempar Rahim itu ke tengah laut. Cakap saja besar, berdegar-degar.

“Bukan begitu Karim!” jelasnya dengan suara yang agak kasar dan pongoh.

“Kalau bukan begitu, kalau bukan kerana lembu betina kesayangan kamu itu, kenapa kamu tak terjun laut tu, mati saja dalam laut itu. Semua akhbar siar tajuk “Rahim Mati Kerana Lembu Betina”, begitu?” sindirku lagi. Kali ini aku terus memanaskan dirinya untuk terus terbakar biar menjadi merah menyala.

“Kalau aku mati, macam mana aku dapat lihat gambar aku terpampang di dada akhbar, kartunlah kamu ni!” Dia memusnahkan lukisannya di tanah pasir dengan kakinya.

“Memang kartun, sebab kamu lebih kartun daripada aku. Kartun yang tidak berani berhadapan dengan kenyataan,” suaraku semakin tegas untuk meyakinkan Rahim supaya segera bertindak tanpa batasan. Itu bukan kemahuan aku, tetapi hanya satu arahanku sahaja.

“Apa yang mesti aku buat sekarang?” Dia bertanya dalam lagak seorang pahlawan yang bersedia untuk menentang musuh di gelanggang.

“Sekarang buat diam sajalah, kita di tepi pantai, bukan di kampung. Kita balik, kita bincang di rumah selepas isyak, kita cari jalan yang terbaik.” Aku meredakan keadaan apabila emosinya semakin memuncak. Akhirnya Rahim akur atas perbuatan dan tindakannya yang salah langkah itu. Panas barannya sering terjadi. Seperti ayahnya, seperti datuknya.

“Perlu kita lapor polis?” pintanya orang benar-benar kecewa. “Jangan!” Aku memintanya bersabar.

“Perlu kita beritahu Jabatan Haiwan?” Di alih sasar stationnya.

“Jangan lagi. Kita selidik sekali lagi, kita pastikan sekali lagi, entah-entah bila kita sampai kat rumah nanti, lembu betina kamu itu sudah berada di kandang kamu. Mana tahu.” Aku mahu meyakinkan dirinya.

Kami pulang meninggalkan pantai yang cantik, bersih itu. Ombak, air laut masih mengganas walaupun pukulan ke tepi pantai tidak mencederakan tepinya. Burung-burung, beberapa ekor burung masih lagi berterbangan, mungkin juga untuk pulang ke tempat masing-masing. Mereka juga faham erti waktu hampir hendak masuk maghrib. Sesetengah orang yang masih berlama-lamaan di pantai itu masih lagi menunggu. Mungkin mereka tidak faham akan isyarat kepulangan burung-burung itu.

Cerita yang diceritakan untuk diceritakan kembali bagi mencari jalan untuk memperbetulkan keadaan terbantut apabila Rahim membawa cerita lembu betina kesayangannya diambil oleh Seman. Cerita lembu itu semacam cerita yang seorang kami hadapi ketika itu. Lembu yang disayangi itu menjadi rebutan sebagaimana kumpulan yang sudah mulai reput tetapi masih bertahan untuk bergantung kerana ada di kalangan masih menahan dahan, batang yang reput itu daripada patah dan tumbang. Kami juga seperti sesetengah orang lain, sayangkan pohon kumpulan yang berusia empat puluh tahun itu.

Entahlah, kami sayangkan kumpulan yang tidak mafia itu sebagaimana Rahim sayangkan lembu betinanya itu. Bagi Rahim, Seman bagaikan seorang mafia. Tapi kata Rahim, lembunya diambil Seman. Itu kata Rahim.

Malam/wakaf

Setelah selesai sembahyang isyak, kami, aku dan Rahim bertandang ke wakaf. Kami duduk di wakaf di kampung kami yang bernama Wakaf Tembesu itu. Kami ingin menyambung sembang kami yang belum selesai sewaktu di pantai petang itu. Bukan cerita pasal kumpulan yang bukan mafia itu lagi. Bagi kami, cerita pasal kumpulan, pasal sahabat-sahabat yang membawa cerita buruk yang merosakkan itu sudah tidak lagi penting kerana ia permainan sebuah cerita dunia selagi hidup bernama manusia yang tidak akan selesai.

Sebelum itu lembunya itu pernah kehilangan sekali. Bukan hilang ke mana. Rahim tidak ingat untuk ditambat talinya di pokok kelapa tepi rumahnya. Lembu itu terlepas. Lembu itu merayau-rayau entah ke mana. Sepetang dicari Rahim. Dia cuba mengandaikan bahawa lembunya dicuri orang. Di buat tuduhan kononnya lembunya diambil oleh musuhnya, lembu itu dijual. Dia menyumpah seranah. Akhirnya lembunya balik ke kandang. Lembu itu cerdik. Dia lebih daripada Rahim, lebih cerdik daripada beberapa orang dalam kumpulan yang kami anggotai. Lembu betina itu kenal tempat duduknya, kenal akan kandangnya. Hanya orang seperti Rahim tidak kenal akan tabiat lembunya.

“Salah kamu, Him!” “Salah aku?”

“Seman yang curi lembu aku, kau kata salah aku. Kalau aku yang mencuri lembunya tentunya salah aku, ini lembu aku, jadi terbalik pengakuan kamu. Kamu semacam masuk menyebelahi Seman saja.”

“Bukan macam tu, Him!” “Habis macam mana?" “Kau membiarkan lembu kamu berkeliaran, tidak tambat. Jadi terlepaslah dia, masuklah kawasan Seman. Jadi aku rasa Seman ingat itu lembunya. Dia masuklah semuanya ke dalam kandangnya. Jadi lembu Semanlah walaupun kamu kata itu lembu kamu. Lembu itu dalam kandang Seman, lembu Semanlah.” “Kartun cerita kamu ni, Rim. Macam cerita Keluarga 69.”

“Sudah aku tambatkan, sebelum aku pergi kerja.” Dia buat pengakuan. Dia bertegas. Dia seperti pasti. Pengucapannya bersungguh.

“Alah sekarang ini kamu tahu, yang tambat dengan tali besi pun boleh terlepas, inikan pula tambat dengan tali sabut. Sekarang ini banyak binatang lebih cerdik daripada manusia. Hatta manusia pun makan rumput, makan daun,” jelasku. Aku tahu sekarang ini segala macam boleh berlaku. Ada orang boleh makan kaca.

“Cakap jangan sebarang cakap, mulut tu jaga sikit. Sebab itu ramai orang tak suka akan kamu, cakap celupar, cakap main lepas saja.” Rahim patah balik cakapku, Dia tahu sangat perangaiku. Aku bila bercakap tidak pernah bertepi. Cakap terus tanpa simpan-simpan. Kalau simpan akan Jadi darah, Jadi busut, jadi nanah dan jadi barah. Tidak perlu disimpan lama-lama, terus cakap saja tanpa bertapis. Itu aku, yang Rahim kenal.

“Apa tak betul ke cakap aku. Ramai orang cari rumput jarum emas. Makan rumput kononnya tambah tenaga. Bukan kamu tak ingat, suatu masa lalu, ramai yang berebut-rebut mencari dan memakan rumput jarum emas. Salah ke aku kata orang pun macam lembu makan rumput. Salah ke?” Aku nyatakan kebenarannya.

“Betul! Tak salah, aku pun cuba makan rumput itu, tak makan atas padang, makan dalam rumah.”

“Kamu makan rumputkan?”

“Makan!”

“Siapa lagi makan rumput?” “Lembu! Kambing!”

“Hah! Jadi lembu, jadi macam kambinglah kamu!" Rahim ketawa. Sikapnya mulai berubah kerana cerita kelakar yang benar itu. Marahnya sedikit reda.

“Tidaklah semacam itu!”

“Aku faham, tak banyak tuan lembu macam lembu. Membiarkan lembu berkeliaran. Sepatutnya jabatan Haiwan atau Majlis Daerah jangan tangkap lembu tapi tangkap tuan lembu macam kamu ni. Lembu memang dah bodoh, tapi tuan lembu juga bodoh kerana tak kandangkan lembu. Baik tuan dan lembu duduk dalam satu kandang. Lembu makan makanan orang, berak di merata, mengotorkan kawasan. Patut tuan lembu makan tahi lembu mereka supaya tempat yang diberak lembu itu bersih, kembali licin.”

“Kuatnya sindir kamu. Nak cari musuh ke, nak aku bakar kamu ke macam aku nak bakar Seman tu, macam aku tumbang Mat Soh tu.” Gertak Rahim. Semacam aku takut gertak kelingnya. Aku kenal Rahim. Penakut benar dia. Dua puluh kali lawan, sekali adalah dia menang.

“Bagaimana?" tanya Rahim. Matanya sedikit merah. Rambut sudah sedikit tak terurus.

“Bagaimana apa?" tanyaku balik tanpa melihat wajahnya semakin bengis. Macam wajah Salleh Kamil, Mahmud June, pelakon filem Melayu itu.

“Kita ke rumah Seman!” ajak Rahim dengan tegas dan penuh bara.

“Sekarang?" tanyaku seperti tidak percaya. Emosiku terganggu. “Sekarang!” bentaknya seperti perintah seorang askar.

“Macam tidak ada hari esok, malam-malam macam ni tak elok ke rumah orang, lebih-lebih lagi dalam suasana macam ni. Seman mungkin dah nak tidur, lembu pun nak tidur juga. Jangan kacau mereka dalam keadaan yang tegang seperti ini. Tidak menyelesaikan masalah. Esok saja. Selepas subuh kita ke rumahnya. Waktu-waktu macam tu, sejuk, nyaman dan tenang.” Aku cuba menenangkan emosi dan gangguan mental Rahim yang kian menjadi-jadi. Aku menyuruh dia mengucap dan mengingatkan Allah.

Kami terus berbual, berbincang dan berbicara malam itu.

“Kenapa kau bercakap macam tu, Rim? Hairanlah aku. Aku yang sepatutnya yang merasakan semuanya, ini pula kau, aku yang kehilangan buah hati aku yang harganya bernilai ribuan itu. Kau pula yang rasa sesuatu yang berlainan dalam diri kamu, kenapa?”

“Bila aku fikir tentang sahabat-sahabat kita, waktu kita berada, berpangkat, kita didekati, dikawani, disahabati tetapi bila kita sudah hilang sedikit kuasa mereka khianati kita. Entahlah begitulah mereka. Mungkin juga lumrah manusia begitu.”

“Mungkin Seman juga khianati aku dengan menggunakan lembu betina aku sebagai tebusan, mungkin.”

“Tebusan apa pula ni, macam cerita jenayah saja ni. Lain pula ceritanya. Aku cerita pasal kawan-kawan kita yang suatu had akan merasai sama jika seusia kita, secara kedudukan kita. Ini timbul tebusan pula, apa cerita ni, pelik aja bunyinya.”

“Entahlah, aku andai, aku reka, aku cipta saja ceritanya. Ini kerana dua tiga hari lepas dia ugut aku supaya calon dia jadi pengerusi JKKK. Dia minta aku beritahu YB. Aku tolak kerana ada orang lain lagi lebih layak.”

“Dia marah ke?”

“Marahlah, apa tak marahnya. Jadi pengerusi JKKK banyak dapat faedah dan ganjarannya. Dia tidak fikir banyak kerja, beban dan tanggungan serta tanggungjawabnya. Dia fikir nak senang saja.”

“Aku rasa bukan begitu, kau yang sering salah anggap. Kau yang salah melepaskan lembu betina kamu itu berkeliaran. Masuk kawasan Seman. Tentunya semuanya Seman kandangkan. Dia tentu tak akan kenal semua lembunya tidak akan ingat jumlah lembunya waktu itu.”

“Memang Seman jahat, depan baik, belakang ya Allah, macam syaitan. Banyak pura-

pura, muka-muka, mengada-ada. Aku tak bohong. Dia macam kawan-kawan kita dalam persatuan yang sedang digolokkan itu. Persatuan tak apa, orangnya saja sedang bermain sandiwara.”

“Begini sajalah Him, selepas subuh kita ketemu, kita ke rumah Seman, aku bantu kamu. Kita selesaikan masalah bersama, bagaimana?”

“Malam ini juga!”

“Tak elok macam-malam ke rumah orang, salah langkah, kita tumbang, besok sajalah.”

“Kalau ditumbang, disabotaj macam-malam buta, kalah kita. Oklah, oklah, besok saja. Besok saja kita jumpa.”

Kami pulang ke rumah masing-masing meninggalkan wakaf tempat kami sering bertemu selepas sembahyang subuh had minggu atau selepas sembahyang isyak jika ada masa kelapangan.

Langit semakin gelap. Hujan seperti mahu menjadi. Sejak petang lagi, keadaan di kampung aku menjadi redup dan gelap begitu.

Subuh/kawasan surau

“Assalaimualaikum.”

“Waalaikumusalam,” jawab kami berdua, aku dan Rahim.

“Hei! Seman, apa khabar, awal menyerah diri,”sindirku dalam keadaan bergurau.

“Serah diri, kenapa pula? Apa yang berlaku?”

“Kamu curi lembu betina aku ya?” tinggi suara Rahim. “Curi apa pula, jangan cepat menuduh, Him!”

“Lembu betina kesayangan aku, aku lihat ada dalam kandang kawasan kamu tu.”

“Mujur ada dalam kandang kawasan tempat aku, kalau dibawa lari oleh pencuri dengan lori apa jadi?

“Pencuri bawa lari dengan lori? Apa cerita ni? Jangan nak reka-reka cerita pula!”

“Itulah kau, biar lembu berkeliaran, makan tanaman orang, berak tengah jalan, menyusahkan banyak orang. Kamu tidak susah, yang susah orang ramai.” “Seman! Kamu kata aku tidak susah, sehari semalam aku susah bila lembu aku hilang, akhirnya aku dapati lembu aku ada dalam kandang kamu. Memang aku susah. Memang aku dendam, memang aku mahu bunuh kamu kalau dapat. Mahu aku makan kamu hidup-hidup.”

Seman ketawa dengan terus ketawa memanjang. Rahim hairan. Aku juga hairan. Dia berani datang ke tempat aku dan Rahim berada. Rahim tahu Seman yang mengambil lembu Rahim itu. Seman pun tahu, lembu Rahim berada dalam kandang Seman. Seman sanggup datang bersendirian seperti menyerah din kepada Rahim yang panas membara sejak kelmarin lagi.

“Kita susah, dia ketawa! Apa jenis manusia kamu ni Seman!”

“Patut kamu berterima kasih kepada aku. Kalau tidak kerana aku dan beberapa sahabat lain bertindak segera sudah tentu lembu kamu sudah naik lori dan dibawa lari. Macam-macam cara dikerjakan pencuri,” jelas Seman. Kami senyap seketika. Ramai jemaah sudah pulang. Yang tinggal di kawasan surau itu beberapa orang sahaja. Lembu Rahim tidak kelihatan di situ.

“Mana lembu aku?”

“Alah,di kadang kawasan akulah, bukan aku nak bawa, nak ajak lembu kamu berembun subuh bersama kita sudah berumur, masih tak erti makna seekor binatang, seorang manusia. Fikirlah sikit. Aku yang datang memberitahu, sepatutnya kamu datang ke rumah aku, sepatutnya. Kan come! jadinya.” Seman seperti menyindir. Diperbetulkan kopiah yang warna putihnya sudah kelabu.

“Memang aku mahu pergi ke rumah kamu, selepas sembahyang subuh ini, tapi kamu sudah datang, baguslah. Kalau tidak...”

“Kalau tidak kamu mahu ajak aku berperang dengan kamu kerana lembu itu. Aku bersedia. Tetapi aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa lagi. Aku juga tidak mengharapkan untuk menjadi pengerusi JKKK lagi. Tak perlu semua itu. Aku datang berjumpa kamu untuk kembali yang berhak.”

“Tak perlu diungkit-ungkit lagi. Yang penting tohmahan kamu terhadap Seman salah. Seman tidak seperti sahabat-sahabat lain. Kita tidak perlu bermusuh kerana seekor lembu, soal jawatan dalam JKKK. Yang penting kita bersatu dalam menghadapi semua dugaan, rintangan dan halangan. Kita mesti bersatu sekarang.”

Mujurlah lembu betina itu yang hilang, kalau tidak Seman dan Rahim masih bermasam muka. Cerdik juga menjadi lembu. Lembu itu memang cerdik sebab itu amat disayangi Rahim.

Lembu betina Rahim makan rumput. Aku juga lihat Rahim makan rumput. Rahim makan rumput jarum emas untuk kuatkan tenaganya. Lembu Rahim lembu betina.

Sunday, February 17, 2008

Cerpen: Abang Mus...!



Oleh Tongkat Jibril


DIA tekun mengelap meja yang basah. Wajahnya riang bersahaja, tiada menzahirkan sebarang keletihan waima sudah hampir seharian dia bekerja di situ. Mata bundarnya cekap mencari kotoran sisa makanan untuk dibersihkan. Usai mengelap meja, dia berganjak ke meja yang lain. Ditariknya besen besar berisi pinggan mangkuk kotor bersama.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya...

Suaranya sesekali kedengaran bergema di warung makan itu. Biarpun tidak semerdu mana, namun cukup sekadar dapat memuaskan hatinya. Dia tidak menghiraukan pelanggan yang sedang menikmati hidangan. Mereka juga sama. Sudah biasa dengan keadaan itu. Normal bagi seorang kurang upaya sepertinya terhibur dengan caranya yang tersendiri. Malah, jika suaranya tidak kedengaran, akan ada insan yang meminta.



Sebaik melihat iklan angkasawan negara di kaca televisyen, hatinya bernyanyi riang. Dia akan terhenti sejenak, melihat iklan dengan penuh bersemangat biarpun sudah puluhan kali ditayangkan. Senyuman jelas terukir di bibirnya.

"Den nak jadi macam abang Mus. Den nak poie ko bulan macam abang Mus! Mawi tak poie bulan. Datuk Siti pun samo..." Ucapnya bila orang bertanya. Cita-citanya melangit tinggi. Dia berazam untuk menjadi angkasawan juga suatu hari nanti. Dia kurang upaya dari segi minda dan pergerakan, namun dia tidak kisah. Kecacatan bukan penghalang kejayaan seseorang, tapi anugerah daripada Tuhan; itu pesanan arwah ibu yang dipegangnya sampai mati!

Dari awal lagi dia mengikuti perkembangan angkasawan negara tersohor itu. Malah, dia sanggup merayu kepada majikannya Pak Mud untuk pulang awal semata-mata mahu melihat pelancaran kapal Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan negara ke ISS di kaca televisyen. Di rumahnya penuh dengan poster dan maklumat mengenai angkasawan negara. Dikumpulnya dari majalah dan akhbar. Dialah orang pertama yang membeli akhbar Berita Harian di kedai Subramalai setiap pagi. Kemudian, dibawanya ke warung. Dia tidak pandai membaca. Namun sebelum memulakan kerja, dia meminta Pak Mud membacakan berita tentang angkasawan negara idolanya. Kalau tidak pun, dia akan ke rumah kebajikan orang tua, meminta 'ayah-ayah dan ibu-ibunya' membacakan berita. Tapi, akhbarnya haruslah dalam tulisan Jawi atau bahasa Cina. Senyuman pasti meleret di wajahnya bila mendengar perihal angkasawan negara. Melangit sekali sanjungannya!

"Kalau tak kerana dia dapat ke bulan, takkan ada orang yang nak kenal dia tau!" Entah bagaimana, telinga si kurang upaya menangkap suatu perbualan 'hangat'. Ada suara yang cuba menjatuhkan imej angkasawan negara yang baru berlepas ke bulan. Ya, angkasawan yang menjadi kebanggaan seluruh pelusuk tanah air. Dr Sheikh Muszaphar atau mesra dengan panggilan abang Mus oleh gadis-gadis kilang yang selalu berkunjung ke warung. Lebih hebat daripada Mawi, Datuk Siti Nurhaliza atau artis kegemaran masa kini yang lain.

"Membazir sahaja pergi ke sana... bukannya dapat apa pun!" Sampuk yang seorang lagi.

"Sepatutnya, kerajaan bagi bantuan untuk orang macam kita ni." Tambah lagi seorang.

"Nak cari publisiti murahan agaknya, sampai semua orang perempuan tergila-gilakan dia!" Balas temannya yang duduk semeja. Berdesing telinga sang cacat mendengarnya. Idola pujaannya dihina sedemikian rupa. Dia terhenti mengelap meja. Kain lapnya dipegang kemas. Apa dosa abang Mus sampai pemuda-pemuda itu hendak menghinanya? Dia bukan merosakkan negara. Malah, kebanggaan kita semua juga!

Dadanya berombak laksana tsunami Acheh. Taufan amarahnya memuncak, melampiaskan kerut-kerut berselirat di wajahnya. Dia mengetap bibir. Perlahan-lahan dia mendatangi penganggur sepenuh masa itu sebelum kain lapnya dilemparkan tepat mengenai muka salah seorang daripada mereka. Tersentak kesemuanya memandang Yusuf.

"Orang gila! Orang jahat! Perosak bangsa!" Jerit si cacat lalu menampar wajah mereka.

"Usop naik gila! Usop naik gila!" pekik seorang daripada mereka sambil memegang kedua-dua belah tangan Yusuf. Si cacat meronta-ronta minta dilepaskan. Pak Mud berlari mendapatkan Yusuf yang sedang bertelagah dengan pemuda-pemuda menganggur itu. Dia cuba menenangkan Yusuf. Para pelanggan yang lain turut membantu menenangkannya.

"Diaorang jahat, Pak Mud! Diaorang kutuk abang Mus... den marah! Den tak suko! Abang Mus baik! Abang Mus solat di angkasa. Abang Mus puasa. Abang Mus sambut raya di sana. Tapi diaorang tak solat! Tak puasa! Jahat! Suka kacau kakak-kakak kilang!!!" Amarahnya dilontar sehabis mungkin. Pak Mud mengangguk perlahan. Dia menenangkan perasaan Yusuf. Si cacat itu walaupun buta huruf, namun masih punyai hati budi dan perasaan. Malah, pengetahuannya menjangkaui insan biasa.

"Jangan marah orang jahil, nanti kita pun sama jahil, Sop!" Pujuk Pak Mud, sinis.

"Abang Mus bagus kan, Pak Mud?" Soal Yusuf lagi.

"Memanglah, anak Malaysia dan orang Melayu pertama ke bulan! Siapa tak bangga?" Pak Mud membakar semangat Yusuf. Dia menyuruh si cacat itu duduk sejenak di sudut kiri warung. Biar tenang dahulu, baru boleh kembali bekerja. Pemuda-pemuda tadi segera angkat kaki. Mereka malu dengan apa yang berlaku. Keadaan di warung kembali tenang.


Limpahan kasih

Setibanya sore, Yusuf meminta izin untuk pulang sebentar. Seperti biasa, dia akan singgah dahulu ke Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Darul Kifayah tidak jauh dari tempat dia bekerja. Dia menjinjing bersama bekalan makanan untuk diberikan kepada orang-orang tua yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri. Pak Sahar, Haji Syafiq, Wak Azran, Uncle Jun Bin, Mek Aina, Ummi Hawa dan Nyonya Shi Mun sedang beristirahat di bangku batu berdekatan pagar utama tatkala Yusuf melewati pagar besi.

"Angkasawan sudah datang!" Laung Wak Azran. Kesemua mereka memandang ke arah Yusuf. Terhincut-hincut Yusuf mendekati mereka. Diletakkan bekalan makanan ke atas meja batu. Manik-manik peluh dikesat menggunakan tuala kecil. Dia mengibas-ngibas bajunya, kepanasan.

"Banyaknya makanan... syukurlah!" Ucap Pak Sahar.

"Bertuah kita dapat anak macam Usop, ya!" Haji Syafiq melontar pujian.

"Tengoklah anak siapo..." Ujar Mek Aina, pekat dengan loghat Kelantannya.

"Eh, anak sayalah!" Sampuk Uncle Jun Bin. Nyonya Shi Mun mencubit lengannya.

"Hei, dia anak saya juga ma!" Balas Nyonya Shi Mun.

"Waduh, anak wak juga!" Wak Azran turut mengusik. Ummi Hawa menggeleng sambil menjuihkan bibirnya. Wanita tua Terengganu itu menafikan kesemua pengakuan teman senasibnya.

"Kita tanya Usop... semuanya tipu belaka ni!" Cadangnya, berseloroh. Mereka memandang anak cacat itu. Pipi Yusuf berona merah. Dia tersipu-sipu sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bertuahnya dia kerana dapat memiliki kasih sayang daripada insan-insan lebih separuh abad itu. Bertuahnya dia kerana tidak kesunyian sejak kematian ibunya. Bertuahnya dia kerana diberikan dorongan dan semangat oleh mereka hingga membolehkan dia berjaya menyesuaikan diri dengan masyarakat.

"Usop nak jadi anak semua sekali!" Balas Usop. Kesemua mereka tertawa serentak. Mereka membuka bekas berisi makanan, lalu menikmatinya bersama. Ada gulai asam pedas kesukaan Wak Azran dan Pak Sahar, ikan masak singgang kegemaran Mek Aina dan Ummi Hawa dan tauhu sumbat kegilaan Uncle Jun Bin dan Nyonya Shi Mun.

Kemesraan jelas terpancar di sebalik keakraban hubungan mereka. Tanpa segan silu atau malu, mereka menyuap makanan antara satu sama lain. Mereka gembira dengan hidup mereka kini, biarpun hidup dalam buangan dan peninggalan anak-anak dan insan yang mereka kasihi. Bagi mereka, Yusuflah tempat mereka menumpang kasih walau anak itu juga senasib. Yusuf dianggap sebagai anak oleh mereka. Malah, penjaga di situ pun sudah menyukai Yusuf dan tidak menghalang anak cacat itu mendatangi mereka siang atau malam. Aidilfitri yang lalu juga turut dirai bersama dengan si cacat itu. Alangkah!

"Malam ni, Abang Mus nak balik ke bumi!" Yusuf membuka bicara tatkala hidangan selesai dijamah. Mereka mengangguk perlahan, sedia maklum dengan berita itu. Bersungguh benar dia menyatakan perkara itu.

"Kita tengok sama-sama, ya!" Pinta Yusuf. Mereka semua mengangguk sambil tersenyum. Kekaguman mereka terhadap wawasan anak cacat itu sememangnya timbul sedari awal lagi. Melihat kesungguhan dia membawa poster dan akhbar untuk mendengar perkhabaran tentang Dr Sheikh Muszaphar dan mendengar celotehnya mengenai angkasawan idolanya membuatkan mereka tidak membantah atau menyanggah, bila si cacat menyatakan dirinya juga ingin ke bulan. Malah, mereka menyokong sepenuhnya. Bukan menjadi persoalan sama ada cita-citanya tercapai atau tidak, namun kesungguhannya itu yang harus dijana dengan baik. Anak cacat itu tidak mengenal erti putus asa!


Debar menanti

"Dah nak mula!" Pekik Yusuf sambil memandang kaca televisyen. Pak Sahar awal-awal lagi sudah turun, diikuti Wak Azran yang terkedek-kedek di belakangnya. Dia membebel dari tadi kerana kopiah Jawanya hilang entah ke mana. Haji Syafiq muncul dari dapur dewan makan sambil menatang sepinggan roti. Di belakangnya, menapak Mek Aina dan Ummi Hawa membawa minuman. Mereka masih gagah membuat kerja dapur biarpun usia semakin senja. Kelihatan Uncle Jun Bin dan Nyonya Shi Mun muncul dari pintu utama. Mereka semua melabuhkan punggung di atas sofa, sedang mata terpaku melihat kaca televisyen. Debarannya kian terasa....

Alangkah gembiranya Yusuf bila berita melaporkan kapal angkasa Soyuz yang membawa Sheikh Muszaphar selamat mendarat di bumi walaupun tersasar beberapa ratus kilometer dari kawasan jangkaan dia mendarat iaitu di Arklyk. Melompat kegirangan Yusuf sambil menyanyi riang tatkala melihat wajah Sheikh Muszaphar. Malaysia Boleh! Dia melaungkannya beberapa kali. Kesemua mereka tersenyum dengan telatah Yusuf.

Dalam hati tua mereka, tersisip rasa bangga dengan angkasawan pertama negara itu kerana berjaya merealisasikan hasrat negara. Hadiah ulang tahun ke-50 merdeka, bisik Pak Sahar kepada teman-temannya. Linangan air mata membasahi pipi berkedut mereka. Bertuah rasanya menjadi warga Malaysia. Terima kasih Sheikh Muszaphar! Malaysia Boleh! Malaysia memang boleh!


Biodata

TONGKAT Jibril, nama pena bagi Muhammad Alyas Abdul Jalil yang dilahirkan pada 27 Februari 1989. Beliau terbabit dalam genre cerpen dan novel. Novel pertamanya, Nobat Kasih diterbitkan oleh Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006. Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, ini kini menuntut dalam Jurusan Sains Hayat di Kolej Matrikulasi Melaka.

MUHAMMAD ALYAS ABDUL JALIL D/A ARIFFIN BIN SARIPP,
NO. 36, KAMPUNG DURIAN TAWAR,
28200 MENGKARAK,
PAHANG D.M.

Cerpen: Seutas Tasbih Sebuah Janji



Oleh Peter Augustine Goh

AIR mata Pak Long sudah terkumpul dan tergantung di dagu. Perlahan-lahan ia memberat lalu menitis setitik demi setitik ke atas sejadah. Ada setitik dua mengena tasbih di tangan kanannya. Tangan yang sudah nampak berkedut sedikit, tetapi menegang urat-urat hijau.

Aku memejamkan mataku seketika, cuba menghalau semacam keterharuan dan kesedihan. Jelas, aku tidak berjaya menghapuskan perasaan yang amat mengusik hati. Usikan itu bagaikan mendorong mataku (yang melihat Pak Long berwirid di satu sudut ruang tamu) supaya turut menitiskan air jernih seperti Pak Long.

Ketika berjalan menuju ke bilikku dengan bibir terketap, aku dapat merasakan jolokan hatiku tadi benar-benar terlaksana. Setelah menghempaskan tubuhku ke atas tilam katil dan menyembamkan mukaku di bantal, beberapa titik air jernih sudah tertitis ke bantal itu, membentuk satu bulatan besar, seolah-olah membentuk huruf 'O', kebetulan huruf pertama bagi nama Pak Long - Omar. Bahuku terenjut-enjut. Sebak dadaku bukan main. Kupejamkan mataku rapat-rapat.



Dalam pejam mataku, aku dapat melihat kisah-kisah silam berputar semula seperti tayangan filem. Sungguh jelas. Mula-mula aku dapat melihat Pak Long seperti biasa menegurku dengan penuh sinis, panjang lebar pula seperti orang berkhutbah:

"Ini bukan cerita Hindustan, di mana kau boleh atasi masalah dengan menyanyi rayu atau beritahu masalah dengan hanya menyanyi tanpa berbuat apa-apa. Kaufikir cukup ke dengan air mata sebagai ubat untuk perasaan yang pilu? Ini hidup nyata, Tini. Kau mesti lakukan sesuatu dengan bijak dan realistik. Caranya tiada lain daripada belajar dan berusaha bersungguh-sungguh, kalau hendak lulus peperiksaan penggal akhir."

Berdesing telingaku pada ketika itu. Ketika aku dalam Menengah Lima dahulu. Pak Long tidak akan tahu kalau ibuku tidak memandai-mandai mengadu kepadanya. Benciku kepada Pak Long usah dikira lagi.

Habis adegan itu, adegan lain menyusul di benakku. Kali ini disebabkan kenakalanku. Ibu amat marah dan kecewa. Marah kerana lidahku telah menderhaka kepada diriku sendiri. Kecewa, kerana aku tidak menunjukkan diriku sebagai wanita yang harus bersifat baik dan dihormati. Aku melihat Pak Long berkhutbah panjang lagi, tidak berhenti-henti macam kereta api ekspres dan dalam satu nafas. Kesian aku tengokkan.

Dia menukas: "Dalam hidup jangan suka berbohong. Jangan suka menipu. Berbohong dan menipu tak menguntungkan. Ini tandanya hati orang itu busuk dan jahat. Dan tidak Islamik. Juga membuat hati seseorang itu tak senang dan tenang. Tak kurang resah. Kalau hendak berhati tenteram kenalah bersikap jujur. Jujur kepada orang lain dan jujur kepada diri sendiri."

Aku membuka mataku. Berbinar-binar seketika. Apabila sudah menjadi sebati dengan keadaan dalam bilik yang diterangi lampu 40 watt, aku memusingkan badanku menghadap siling. Hidungku terasa berair juga. Aku mengesat-ngesat dengan belakang jari telunjuk. Dadaku terus sebak.

Pak Long, teguran Pak Long pada masa itu begitu pedas dan keras. Juga tajam. Dalam diam, Pak Long lebih menunjukkannya kepadaku. Pada tahap ini, aku merasakan apa yang Pak Long katakan itu sedikit pun tidak salah. Memang orang atau lebih tepat aku yang tidak jujur. Sentiasa hidup dalam ketakutan dan keresahan. Takut kerana rahsia buruk dan busuk diketahui orang. Resah kerana orang lain, lebih tepat si Jamil tidak mempercayaiku lagi. Perempuan apakah aku ini? Pada Hassan aku kata 'cinta'. Pada Jamil pula aku kata 'sayang'. Dan akhirnya tembelangku pecah. Jamil yang amat menyayangiku terluka hatinya. Tergores, disiat-siat pedih dengan belati paling tajam. Maafkan aku, Jamil. Aku telah melaknati kasihmu. Maafkan aku juga Hassan.

Astaghfirullah Al –Adzim.

Kini mataku terus memandang siling. Kali ini dalam mata terbuka, adegan lain ligat berputar di ruang mata. Aku dapat melihat Pak Long tidak habis-habis marah dan seperti berkhutbah lagi apabila dia mendapat tahu sikap ibu yang menjengkelkan hatinya. Tetapi puncanya tetap aku juga.

"Bedah, aku sangkakan kau telah berjaya membawa Tini balik ke pangkal jalan. Mengenal Allah setelah dia bertaubat dahulu," tekan Pak Long.

"Memang dia telah bertaubat," tingkah ibu bersungguh-sungguh.

Pak Long menggigit-gigit bibir. Kuat-kuat. Dia memandang ibu seperti hendak makan ibu layaknya. Matanya benar-benar mencerlang garang. Merah seperti biji saga. Dahsyat.

Aku tahu Pak Long bukan saja marah. Dia sebenarnya berasa pilu berbaur kesal. Pilu kerana ibu katanya hanya pandai menyediakan wang yang mencukupi untuk aku melanjutkan pelajaran ke universiti. Pandai menyediakan selimut dan bantal serta pakaian tebal untuk aku tidur nanti di bilik sewa berhawa dingin di Kuala Lumpur. Kesal kerana ibu katanya lagi, sudah lupa satu perkara yang tidak boleh diambil ringan. Ibu hanya bijak mengambil berat akan kebajikanku termasuk perbelanjaan yang mencukupi serba-serbi itu. Kesian ibu dimarahi Pak Long. Ibu diam dan tidak berani menentang mata abangnya. Sejak arwah ayah berpulang ke Rahmatullah beberapa tahun lalu itu, dialah yang banyak menolong kami. Pada tahap ini aku berasa lebih kesian kepada Pak Long. Tidak dapat dinafikan kerana daripada mata yang mencerlang garang, dia seperti kanak-kanak yang tiba-tiba kaya dengan air mata.

Oh, Pak Long!

Kemudiannya aku tertanya-tanya apakah yang Pak Long kesalkan? Mengapakah ibu dimarah-marah hebat? Aku tidak kecewa kerana dari mulut Pak Long sendiri, dia menyahut pertanyaanku yang satu-satu itu.

"Manalah Pak Long tak kesal, Tini," suara Pak Long bergetar panjang. Aku memandang tepat ke muka Pak Long yang air matanya sudah meleleh membasahi pipinya yang cengkung.

Aku ingin benar bertanya apa yang begitu dikesalkan sampai ibu kecut apabila dimarahinya. Tetapi sebelum aku sempat berbual demikian, Pak Long yang berusia 60 tahun, lapan tahun lebih muda daripada ibu itu berkata, "Mak kau sudah lupa. Lupa menyediakan sejadah, buku Yasin dan telekung. Apa gunanya bertaubat kalau itu tidak dibekalkan untuk kau, Tini?"

Tersentak aku dibuatnya. Kecur air liurku. Terasa pahit apabila aku cuba hendak menelannya. Manalah tidak pahit kerana kata-kata Pak Long dalam dua ayat itu memang benar belaka. Aku mengutuk diriku sendiri kerana tidak terfikirkan perkara itu. Tidak terfikirkan begitu daifnya aku dan ibuku sendiri. Apakah dalam mengejarkan ilmu dunia, aku menjadi lalai?

Kesian ibu.

Lebih kesian kini Pak Long yang penyayang itu. Aku tahu kini perasaan Pak Long yang sebenarnya. Betapa remuk hatinya apabila kematian isteri dan anak perempuannya, Azizah. Kalau sepupuku tidak terkorban dalam nahas jalan raya bersama ibunya dulu, tentu dia sebaya denganku. Mungkin inilah agaknya Pak Long begitu mengambil berat terhadapku, seolah-olah aku adalah Azizah yang amat disayanginya. Seolah-olah akulah pengganti Azizah. Seolah-olah akulah penawar rindunya pada arwah Azizah. Seolah-olah aku adalah anaknya sendiri.

Pak Long!

Bercakap tentang kesian, aku kini dibawa ke satu masa silam juga yang membuat kesianku kepadanya bercambah. Bercambah kerana Pak Long tidak habis-habis menegurku. Mulutnya seperti murai dicabut ekor, tetapi hatinya pada ketika itu tulus. Susah hendak mendapatkan orang yang baik seperti Pak Long.

Aku masih ingat betapa Pak Long terbakar hatinya. Terbakar memikirkan satu lagi halku. Aku tahu kini kalau sikapku yang ahmak ketika itu tidak dibetulkan, aku tentu tidak akan selamat dunia akhirat. Aku akan terus khayal dengan hal-hal keduniaan.

"Apa yang kaufikirkan tu, Tini?"

Aku tidak segera menjawab.

"Eh, budak ni. Mengapa Tini?"

"Saya risau dan malulah Pak Long."

"Risau? Malu?"

"Manalah tak risau dan malu Pak Long. Saya sudah gemuk," sahutku sambil melihat diriku di cermin almari. Jelas terlantun wajahku yang berkulit cerah, berambut panjang, beralis tipis hitam pekat, berbaju agak besar dan berseluar panjang yang tidak pula menampakkan luruh punggung yang kental. Dan yang menjadi isu tubuhku yang sudah bertambah berat.

Pak Long tersentak. Sampai kelu lidahnya. Agak lama baru dia menekan keras-keras, "Oh, risau dan malu. Orang-orang zaman sekarang termasuk kau sungguh menjengkelkan. Risau dan malu kerana gemuk konon. Tapi tak pula risau dan malu bila tak sembahyang. Kau nak jadi ahli neraka?"

Kini giliran aku pula tersentak. Lupa sekejap pada rasa malu dan risau kerana sudah gemuk. Terasa teguran Pak Long amat pedas. Amat tajam. Amat pedih.

Dalam keadaan tersepit seperti itu, aku menjadi manusia yang tidak berani membantah. Kata-kata Pak Long yang pedas, tajam dan pedih telah terkumpul menjadi satu.

Aku memang masih ingat lagi dengan jelas semua itu dan yang paling jelas ialah sesuatu yang paling tidak didugakan menimpa diri Pak Long sendiri.

Ibu bagaikan tidak percaya. Mungkin tersalah orang, tekannya.

Bagaimana mungkin Pak Long yang kaya dengan tegurannya padaku suatu masa dulu boleh tersasar begitu rupa? Aku hanya menenangkan hatiku dengan mendesis: "Pak Long juga manusia biasa. Lemah dan serba kekurangan juga. Sekali manusia tersalah langkah, parah. Pada tahap ini tidak dapat disangkalkan telingkah iman dan kufur selalu terjadi setiap detik dan hari. Sekalipun dia kuat sembahyang. Bukankah iblis dan syaitan memang menunggu peluang ke atas mereka yang lalai. Tetapi bagaimana Pak Long boleh lalai?

"Betul mak. Pak Long telah cedera parah. Kepalanya dipukul dan kakinya patah sebelah kanan. Banyak kehilangan darah, tapi Tuhan masih sayangkan dia," terangku kepada ibu apabila mendapat berita daripada kenalannya di Batam.

Ibu hanya kaya air mata. Tersedu-sedu menahan sebak dan kesal berbaur marah?

Aku ingin mengatakan perbuatan Pak Long amat memalukan, mengecewakan dan mengesalkan. Malu kerana bukankah Pak Long sembahyang tak tinggal. Puasa setia dikerjakan. Zakat fitrah tak pernah lupa. Sedekah tak usah dikira lagi. Kecewa kerana seorang lelaki Muslim seperti Pak Long tergamak menderhaka kepada Tuhan. Kesal kerana seorang yang dihormati seperti Pak Long boleh mudah terpengaruh dengan ajakan kenalan yang jahat dan kerana seorang perempuan muda lagi jelita di Batam itu, dia habis. Imannya tergugah. Punah! Juga aku ingin menambah lagi kerana setitik madu Pak Long menjadi pelupa dan hanyut. Masya-Allah. Tetapi aku padamkan saja keinginan itu.

Tidak mahu hati ibu bertambah luka dan duka. Cukuplah. Hatinya benar-benar terguris. Tersiat maha pedih. Sekalipun Pak Long tersasar, dia tetap abang ibuku. Cubit paha kanan, paha kiri pun sakit juga.

Tetapi apabila difikirkan masak-masak, aku menjadi tidak peduli. Kalau kepada ibu tak akan kukatakan dengan lebih lanjut, kepada Pak Long aku masih mahu menegurnya. Kalau Pak Long hendak mengecapku kurang ajar, biarkan. Kalau Pak Long hendak menuduh aku semata-mata membalas dendam ke atasnya, biarkan. Dan jika dia hendak memarahi aku kerana tidak menghormatinya lagi kerana setitik madu itu, aku lebih tidak peduli. Juga biarkan. Ya, aku tidak peduli langsung kalau Pak Long atau ibuku sendiri akan membidas aku sebagai ada jebat yang derhaka dalam jiwaku. Ataupun di dalam hatiku pula ada api yang membara. Yang penting, Pak Long mesti diingatkan. Mesti!

Dan aku pun menunggu masa yang sesuai. Menunggu sehingga Pak Long dipindahkan dari hospital di Batam ke Hospital Besar di tanah air. Pak Long tidak perlu bercerita apa-apa yang terjadi di Batam. Semua orang sudah tahu. Seorang lelaki 60 tahun telah dirompak dan dipukul hingga cedera parah selepas menjunjung piala kasih sayang dengan perempuan muda yang lebih kurang seusia dengan anak saudaranya - 25 tahun. Berdesing telinga apabila ada orang sengaja mempersendakannya dengan penuh sinis: "Orang tua tu 'bum boat'. Mana dia ada tenaga hendak lawan 'speed boat'? Nasib baik dia kena rompak, kalau kojol terus atas katil, macam mana? Kena pelukan perempuan muda, habis! Sejadah tercampak entah ke mana? Kiblat pula entah ke mana arahnya? Cakap saja bijak, tetapi satu habuk pun tak boleh pakai."

Dalam kekesalan dan kekecewaan bebaur marah, terasa kesian pula apabila aku melihat kepala Pak Long yang berbalut. Mukanya lebam-lebam dek ditumbuk. Bibirnya luka-luka ditangani perompak. Dan dengar kata perompak itu kekasih perempuan yang telah mengoyak-ngoyak iman Pak Long. Kaki kanan Pak Long tak terangkat kerana dipukul dengan sebatang kayu. Ada air jernih bergenang di mataku.

Agak lama Pak Long di hospital. Apabila sudah agak sembuh, muka dan bibir Pak Long kembali asal. Cuma kaki kanannya tempang apabila berjalan.

Pada suatu pagi di rumahku (Pak Long sudah tinggal bersama kami selepas kejadian itu), aku meluahkan keinginanku yang sudah lama terpendam. Dan tidak lupa aku tambah dengan panjang lebar yang berbunyi begini: "Ingat, Pak Long akan janji Tuhan. Pak Long juga kata, kematian adalah janji Tuhan yang paling akrab dan tidak tergelincir walau sesaat pun. Dia tidak akan mungkir. Jangan tunggu sampai disembahyangkan sebelum sempat bertaubat dan bersembahyang dalam erti kata yang sebenarnya. Biarlah kita mati dalam iman."

Aku menantikan Pak Long yang bersejemput janggut di dagu itu bersuara. Suara yang akan mengecapku kurang ajar. Tuduh aku pendendam. Bidas aku apa saja. Ya Allah mulutnya yang macam mesingan dulu bagaikan kehabisan peluru. Tiada lagi api. Pak Long hanya tunduk sambil mengetap-ngetap bibir. Badannya kulihat menggeletar. Di atas sofa ruang tamu aku terus menyerang, "Pak Long bernasib baik. Wang yang dirompak boleh dicari. Iman yang menipis boleh ditebalkan dengan kembali kepada perintah Allah dengan lebih setia. Tapi nyawa Pak Long tak boleh dicari ganti bila dicabut malam itu."

Pak Long yang kurus tinggi, bermisai nipis dan berambut kerinting agak menipis dan sudah banyak putih daripada hitamnya itu kian tunduk. Ketapannya kian kuat. Aku terus menambah, "Pak Long, saya sayangkan Pak Long. Manusia manalah yang tak buat silap. Dulu Pak Long pernah menghadiahkan saya seutas tasbih dan mahu saya berjanji supaya teguh dengan taubat saya. Saya patuh. Kini saya hadiahkan seutas tasbih juga. Ini bukan untuk balas membalas. Tidak sesekali. Saya rasa tak salah bagi orang lebih muda seperti saya mengingatkan kepada orang yang lebih tua seperti Pak Long supaya berjanji juga agar tidak kesasar lagi. Ya, berjanjilah untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah. Kerana janji Ilahi tak pernah mungkir. Orang yang beriman akan diberi ganjaran yang setimpal. Pak Long masih ingat, 'kan?" Ya Allah bergetarnya suaraku. Mataku terasa berpasir.

Ibu ada pada pagi itu. Dia tidak menegah aku. Dia tahu aku bukannya sengaja hendak mengasari Pak Long. Dia tahu aku sayangkan Pak Long. Dan Pak Long sendiri pun tahu aku amat menyayanginya. Kalau sekalipun dia bukan Pak Longku, aku akan tetap menasihatinya kerana sebagai sesama Muslim bukankah itu satu sikap yang digalakkan agama?

Aku bangun berdiri lalu keluar dari bilik untuk ke dapur, hendak membuatkan teh susu panas kesukaan Pak Long. Untuk membasahi tekaknya setelah berwirid panjang nanti. Angin 9.00 malam menyerbu masuk melalui jendela yang terbuka, melenggang lenggokan langsir hijau daun. Ibu di biliknya. Berehat setelah bersolat Isyak bersamaku tadi dan makan ubat. Ibu sering sakit-sakit sejak peristiwa melibatkan Pak Long yang memalukan di Batam dahulu. Peribahasa lama itu ternyata benar dan sahih ke atas dirinya. Apabila ada orang mengejek Pak Long, dia merasa tempias sinisnya. Apabila ada orang mempersendakan Pak Long, dia merasa percikan ejekan pahit itu. Rumah tiga bilikku di tingkat sepuluh sunyi. Tetapi aku lihat mulut Pak Long tidak pula sepi daripada terus berwirid panjang. Sepanjang rantaian biji tasbih yang kuhadiahkan kepadanya. Hadiah berulit janji yang tidak diingkarinya sejak peristiwa yang menggugat keluarga kecilku. Sebuah janji bukan untuk diriku atau dirinya sendiri, tetapi lebih kepada janjinya kepada Tuhan yang benar-benar pula tidak mungkir janji-Nya.

Biodata Penulis

PETER Augustine Goh adalah nama pena bagi Iskandar Goh Mey Teck. Dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia selain Singapura. Terbabit dalam genre cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama TV dan radio serta kritikan sastera. Memenangi sejumlah anugerah sastera termasuk Hadiah Pena Mas (Kategori Cerpen) 1995, 1999 manakala puisi (2003). Novel terbarunya, Warna Sebuah Penghijrahan, menemui khalayak pada 2005 dan antologi cerpennya, Hati Yang Terusik, (2006). Warna Sebuah Penghijrahan turut disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura (Bahagian Melayu) 2006. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura.

Cetak artikel

Cerpen: Revolusi cinta, Xuanwa

Oleh Nimoiz TY


S-A-T-U

DAUN kasuarina tampak berbalam-balam dibalikkan sapaan angin Xuanwa. Angin yang bersatu di halaman keikhlasan mengirimkan salam pada batu-batu tegel, menyapa mihrab Masjid Niujie malah membisikkan rindu lalu bersimpuh di Selat Pohai. Pun, angin nan perkasa mustahil dapat mentafsir selat rindu, sementelah untuk menebak kedalaman sagara cinta.

Kalaupun jasad terlontar dalam Selat Pohai, sudah pasti aura cinta tulus akan meresapkan keasinan yang ada pada molekul-molekul air. Malah pekikan ombak riuh yang mencorakkan Teluk Angsana betah akan mengomel begini; Hadirlah, ini revolusi cinta, dunia yang bakal diwangikan dengan perfum bunga-bunga, dunia yang akan diwarnakan dengan tujuh juzuk bianglala kata-kata.



Segala-galanya ada di daerah ini. Bait kalimat tidak akan tertegun. Akan disampaikan terus tanpa terhukum atau terpiat dengan cemeti iri. Roh pun seakan-akan terjerkah, lalu menggigil diam. Layangkan kartu cinta, layangkan.

Cinta adalah keriangan! Oh, alangkah!

D-U-A

Suhu di daerah Xuanwa menjadi sejuk amat. Kesejukan yang sukar dikisit menjentik-jentik roma di lengan. Dia hanya menyongket lirikan ke anjung wajah si gadis yang berseri-seri teduh. Terpana dia sekejap menatap gebu pipi si gadis pemilik nama yang sinonim dengan puteri China suatu masa dahulu, Puteri Hang Li Po. Elok namanya, seelok budi dan pesona afalnya. Jerawat batu sebiji semacam segan untuk beradu lelah di pipinya. Raut wajahnya bujur telur sebiji. Hidungnya sederhana mancung mengukuhkan lagi kasut cermin mata yang menapak di situ. Padat!

Dia memulakan bicara.

Cinta bukan mainan, Li Po. Angin menerpa ke ruang tengah. Berhimpun dalam kolong diam. Bersatu dalam segan.

Walaupun latar sosiobudaya kita berbeza, kita tetap juga manusia, Li Po. Kita tetap kita, tanpa terikat dengan lain-lain citra. Tanpa cinta, kita bukan kita.

Li Po masih berdiam. Langsung tidak betah melontarkan secangkir idealisme. Masih buntu. Entah mengapa, gadis yang sememangnya lincah dalam menyusun kalimat cinta ini tiba-tiba jadi manusia bisu. Bisu untuk berkata-kata. Barangkali, kerancuan yang berpusing di daerah neuron fikirnya sukar untuk menghambat diam.

Angin sesekali berdesing. Matanya melukiskan titik pada kubah Masjid Dongsi Beijing, masjid yang berdiri megah sejak zaman Dinasti Song, seputar era pentadbiran Zhi Dao lewat tahun 996. Kukuh sekali. Kombinasi seni bina pengaruh Arab dan istana China jelas terserlah. Tegap meniti sirah ketamadunan.

Li Po, rasakan kenyamanan ini. Sebenarnya, angin ini adalah angin kecewa yang pasti meranapkan institusi cinta yang bakal kita bangunkan bersama kalau kita musnahkan sebuah ketulusan.

Li Po,

Fir,

Li Po,

Senyap! Masing-masing masih berpandangan.

T-I-G-A

Revolusi I: Sebuah pleminari fantasi – Cinta ada di mana-mana. Ketika malam siang sirna, bintang cerlang pemangkin revolusinya. Diam tersapa kirani indah, itulah cinta. Prahara yang merusuh, revolusi cinta. Ombak yang memukul, revolusi cinta. Malah semua yang maya bukan khayali, tapi revolusi. Malam jadi mati. Siang jadi mati. Cinta akan tetap menunjuk diri. Mustahil bersembunyi. Hitam putih yin dan yang, ikatan yang bersatu. (Konsepsi: Cinta adalah ikatan).

Cinta perlu kebebasan Fir.

Jadi?

Perlu ada segunung kepercayaan yang akan mengikat sebuah ketulusan bersama. Lihat Fir, bintang yang berkerdip satu itu sebenarnya masih dipagari lain-lain bintang. Ia tidak keseorangan. Kita yang tidak nampak Fir. Sedangkan itu bukanlah khayali.

Jadi, kaumeragui cintaku? Meragui ketulusan nubariku?

Kadang-kadang kita perlu ada ragu Fir. Bukankah ragu itu tanda kita ambil berat?

Kata-katanya tersekat. Fikirannya tersasar. Jiwanya menggeletar. Nyalinya semakin pahit. Meresap melalui pembuluh darah. Bersembunyi di sebalik kulit. Hampa. Dia kembali berkata-kata. Rona semangat tersaut.

Kita bukanlah Shakespeare, Li Po. Terlalu mengagungkan cinta. Soalnya, di mana keagungan cinta? Apa pula cinta agung? Li Po!

Angin menggeletar. Diam beraja di kepala. Bisu bersultan di bibir delima. Sesekali mereka bersaksi amarah. Ada denyut cemburu.

Angin sekali lagi merusuh. Menampar mihrab masjid Niujie. Daerah Xuanwa jadi bening.

Revolusi II : Gerakan Pembaharuan Ching 1901-1911. Kronologinya begini; pada dekad pertama abad ke-20, Kerajaan Ching telah melancarkan sebuah gerakan pembaharuan dalam meningkat dan memodenkan semenanjung China. Januari 1901 pada tarikh keramat 29, Maharani Dowager telah mengumumkan dasar menggunakan ciri-ciri baik barat dalam mengatasi kelemahan wilayah China. Marsum memorial telah dihantar ke Istana Ching. Sejarah terlukis. Julai 1901, tiga pucuk surat peringatan telah dikemukakan oleh Jeneral Liu Kun- I (Kiangsi-Anhwei-Kiangsu) dan Chong Chih-tung (Hunan-Hupei). Keputusan sebuah kesungguhan, hampir kesemua usul dipersetujui. (Konsepsi : Cinta kepada negara).

E-M-P-A-T

Runcing tangan jari manis Li Po ditatapnya. Angin menyisir ceria, mengucup wajah putih Li Po. Li Po pula masih mencuka. Dia tahu amat, marah Li Po hanya seketika. Prahara marahnya hanya sebentar. Ceria akan kembali pada wajahnya. Malah dia yakin amat, ceria angin yang bersatu dengan ceria wajah Li Po akan menyemarakkan lagi sebuah kuntum senyuman. Bersipongang membaca ketawa. Keyakinan terbancuh sekitar serebrumnya yang mustahil gadis itu akan mencempelongkan dirinya ke laut duka buat selama-lamanya. Itu dia yakin amat.

Aku takut Fir. Li Po memulakan kata. Bening tidak lagi beraja.

Takut? Apa yang kaunak takutkan? Ada geletek gelak pada wajah Firhan. Jelas terbaca oleh Li Po yang bersungguh-sungguh.

Fir, aku tak mahu kerana cinta kita, ada wilayah yang akan menjujuh dengan darah. Aku tak mahu Fir, Wilayah Xuanwa ini bermandi darah. Aku tidak mahu berlakunya perulangan Gerakan Boxer. Yang telah membunuh murba asing dan China Kristian di Manchuria, malah di Shansi juga. Bukan setakat itu Fir, habis gereja dan landasan kereta api musnah. Aku tak mahu Fir, tak mahu!

Hah... hah... hah.... Lucu. Ketawa tersimbah keluar. Dia sekali lagi digeletek nakal.

Kaukejam Fir!

Li Po,

Fir!

Matahari pijar mencuri mengucup keharuman yang ada pada wajah Li Po. Keharuman kasturi dari Wilayah Tient Sin. Awan putih kapas berarak ceria.

L-I-M-A

Ini bukanlah kesementaraan yang ghairah menelangkup saji kasih sayang. Bukan juga keterhadang ruang maksyuk yang bakal menjarakkan riak mawaddah. Hakikatnya, tiada siapa yang berhak menghukum bila mana hadirnya bianglala cinta. Juzuk cinta ada warna-warni indah.

Berjanji padaku Fir. Berjanji yang kau tidak akan mensia-siakan hidupku. Fir, mengikat cinta bersamamu seolah-olah aku telah meninggalkan Wilayah Xuanwa, wilayah kelahiranku,

Jangan cakap begitu Li Po,

Berjanjilah juga yang kau tidak akan mengecewakan harapan keluargaku,

Li Po! Suasana jadi hiba. Air mata Li Po tumpah tanpa tertahan.

Revolusi III : Revolusi China 1911 – Impak revolusi ini, Dinasti Manchu yang menerajui China sejak 1644 telah berjaya digulingkan. Wujud kepercayaan pada awal abad ke-20 bahawa Dinasti Manchu telah hilang mandat dari syurga untuk terus memerintah China. Sun Yat Sen, pemimpin Gerakan Revolusioner yang berjaya menggulingkan Kerajaan Manchu pula telah dilantik sebagai Presiden sementara Republik China pada 29 Disember 1911 di Nanking. Sun Yat Sen dianggap sebagai bapa revolusi China. (Konsepsi : Cintakan negara, cintakan bangsa).

E-N-A-M

Mata Firhan bersimpul dalam mata Li Po. Mata Li Po bersila dalam mata Firhan. Masing-masing berpandangan. Li Po yang kemalu-maluan melarikan mata ke genting lentik Masjid Niujie. Sekali lagi mereka disuntik bisu. Bulan redup sudah lama menjamah lantai Xuanwa. Mereka hanya mengemam resah, tapi gagal untuk menelannya. Nyata ia terlalu pahit untuk melepasi kerongkong.

Li Po, ada duka di wajahmu,

Kadangkala duka itu perlu,

Untuk apa?

Kalau kedukaan itu kau anggap kesakitan, maka duka jugalah ubatnya. Kedukaan itu bukanlah tribulasi besar sebuah cinta,

Kau memang bijak berfalsafah Li Po,

Kau yang sememangnya nakal Fir! Angin menjamah.

Lihat bintang itu Li Po. Cemerlang sungguh,

Bintang cemerlang, bintang hatiku,

Kaulah bintangku. Bintang tersengih. Kegembiraan terpancar.

T-U-J-U-H

Li Po, ada getar di wajahmu,

Inilah getaran cintaku padamu,

Revolusi IV: Hubungan China Barat 1860-1875. Pada tahun 1860-1875, kuasa-kuasa dari Barat telah bekerjasama untuk mengekalkan kedaulatan Wilayah China. Dalam tempoh ini, Barat bersetuju untuk hanya memelihara hak-hak yang telah diperoleh melalui perjanjian-perjanjian dengan China. 1861, menteri-menteri kuasa Barat seperti Anson Burlingame, Jeneral l. De balluseck dan M. Berthemy telah menetap dan menjalankan urusan diplomatik di Peking. Kerjasama terjalin. (Konsepsi: Cinta perlukan ikatan).

Li po, aku akan menetap di sini,

Hanya kerana cinta kita?

Ya Li Po, kaulah bungaku. Inilah revolusi cintaku padamu. Tapi Li Po, kita mesti sesekali pulang ke tanah kelahiranku,

Tidak semua bunga wangi Fir, ada yang beracun,

Tapi kau tetap bungaku. Aku sanggup mati di tangan cintamu,

Kau memang gila Fir!

L-A-P-A-N

Li po, aku ingin melamarmu,

Kau memang gila Fir, gila sungguh-sungguh,

Cintaku yang gila,

Kau memang degil Fir,

Cintaku yang degil,

Kaumemang nakal Fir,

Cintaku yang nakal,

Revolusi V: Sebuah revolusi cinta – Cinta tidak perlukan revolusi. Revolusi yang perlukan cinta. Semuanya akan menjadi cinta. Bintang jadi cinta. Bulan jadi cinta. Siang jadi cinta. Malam jadi cinta. Tiada revolusi dalam cinta. Yang perlu hanyalah kejujuran dan keikhlasan. Hasilannya, lahirlah cinta tulus. Segagah ikatan Adam dan Hawa. Seteguh titipan Uda dan Dara. Secekal Romeo dan Juliet. Cinta yang sebenar-benar cinta. Cinta pada agama, cinta pada bangsa, cinta pada negara, malah cinta sesama manusia. (Konsepsi: Cinta pada segala-galanya).

Fir!

Li Po!

Fir!

Li Po! Gadis itu menangis.

Biodata

NIMOIZ TY adalah nama pena bagi Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub yang berasal dari Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan. Beliau terbabit dalam genre puisi, cerpen, esei dan novel bersama. Buku mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2004 yang berada di pasaran ialah Kumpulan Puisi Jalan Baru (2006) dan Menjadi Penulis Jutawan (True Wealth Sdn Bhd). Buku bersama lain ialah Salju Jabal Musa, Hostel: Debaran Kedua, Apas, Sajen, Mangkuk Tempurung Nenek dan Bayi Kota Berahi. Kini mengajar di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Mukah, Sarawak. Beliau juga adalah pengendali Esastera Bimbingan ( www.esastera.com/bimbingan).

Cerpen: Mencari Tuhan di celahan Cambrian



Oleh Rebecca Ilham


"KAU sepatutnya jadi biologis, bukannya geologis."

Vladimir mengejek, namun Maizurah tidak terpancing. Sebaliknya dia sekadar menjuring senyum tipis sebelum ralit menekuni helaian buku.

Slate Café bening. Percikan lampu kuning, malap tetapi tajam, menyakitkan anak mata. Vladimir mendengus. Maizurah bersungguh-sungguh menghubungi beberapa hari lalu, meminta pinjam naskhah The Origin of Species dan nota-nota lama tentang Teori Evolusi Charles Darwin.



"Yang ringkas-ringkas sahaja ya, Vladi? Otak aku terlalu teknikal untuk lekas menghadam yang dalam-dalam." Titip Maizurah lagi.

Vladimir akur. Seluruh pagi dihabiskan dengan memunggah kotak berisi buku-buku lama di loteng. Meski digetik curiga, dia tidak sanggup menghampakan. Demi Maizurah, bukan setakat merenang lautan api, dia juga rela mati.

Argh, siapa sangka, si geologis muda yang mengintimi batu, sedimen dan strata, tiba-tiba obses dengan organisme?

"Bukan hanya organisme, tetapi hidupan secara keseluruhan. Kalau mahu spesifik, erm, manusia." Maizurah membetulkan. Garis-garis halus di dahi Vladimir semakin jelas dan rapat. Maizurah menyambut The Origin of Species dan fail tebal berisi nota-nota dari kelas Biologinya pada tahun pertama program pra-perubatan dengan girang.

"Kau jumpa fosil yang membenarkan unjuran Darwinian?" Retina Vladimir membulat. Biru lembut di tinta hijau zamrud. Maizurah menyahut dengan tawa yang lunak. Sepasang lesung pipit melekuk. Vladimir terpesona.

"Kau percaya, kita ini anak cucu beruk?"

Giliran Maizurah pula menduga. Vladimir mengangguk laju. Telunjuk menuding The Origin of Species.

"Teori Darwinian diterangkan secara rinci dan disokong pula Teori Natural Selection yang disyorkan George Mendel. Kedua-duanya tak bersalahan dengan logik akal. Melainkan muncul pendapat lain, lengkap dengan bukti dan menawarkan jawapan, aku akan terus percaya."

"Pendapat lain." Maizurah mengulang, tersenyum lebih manis. Sukma lelaki Vladimir terbakar. “Kitab suciku, al-Quran, sudah 1200 tahun memberitakan. Manusia itu keturunan Adam."

Vladimir membuang muka. Gelas tinggi di pinggir meja bulat dicapai. Jus kranberi disedut; khusyuk dan tergesa.

"Iyalah, aku minta maaf. Sudah-sudahlah merajuk, komunis." Maizurah ketawa berpingkal-pingkal. Vladimir tidak menyahut. Gelaran komunis tak pernah-pernah memengkalkan, cuma hari ini dia sensitif tidak menentu. Maizurah dikerling dengan ekor mata. Gadis itu sudah tenggelam dengan Charles Darwin. Sebelah tangan menjinjit telinga cangkir porselin. Asap tipis daripada permukaan kopi pekat mengapung. Aroma hazelnut mencucuk-cucuk nostril Vladimir. Argh, cemburukah?

"Engkau pula, percaya, manusia semena-mena wujud di dunia, diturunkan dari syurga?” Vladimir mendehem. Maizurah menggumam, kurang senang pembacaan diganggu. Cangkir porselin dan piring berlaga.

"Bagi seorang saintis, itu kedengarannya terlalu far-fetched. Seakan magis."

"Kerja Tuhan sememangnya magis, Vladi. Asalkan Tuhan menginginkan, sebarang kejadian boleh terbentuk, tercipta. Ini difirmankan melalui ayat 82 dalam Surah Yasin; Sesungguhnya perintah-Nya apabila dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: 'Jadilah!' maka terjadilah ia."

Vladimir mengherotkan bibir. Maizurah mengalah. Mengatup The Origin of Species lalu menatap wajah Vladimir tanpa kelip. Lelaki ateis dari Chernobyl, Russia yang nakal digelarnya komunis - mengapalah terlalu keras hatimu?

"Jika kitab sucimu yang kauyakini kata-kata Tuhan itu menjawab segala persoalan, kenapa kau ghairah ingin mengakrabi Teori Darwin? Tak takut terpesong, terpercaya, sekali gus menderhakai Tuhan?"

Maizurah membalas dengan senyum. Vladimir mengecam aura rahsia yang dalam. Ada-ada saja perempuan Melayu ini!

"Apa kata kauterangkan pada aku tentang Teori Evolusi? Untuk pemahaman bersama, tentunya. Aku akan lebih arif, sementara kau, mungkin boleh segarkan kembali ingatan?" Pinta Maizurah lembut.

Vladimir menarik nafas. Bukankah untuk Maizurah dia tegar mati?

"Teori Evolusi pertama kali dibentangkan oleh Charles Darwin dan temannya Alfred Russell Wallace pada tahun 1859, sebagai hasil kajian mendalam rentetan pengembaraan mereka ke Kepulauan Galapagos beberapa tahun sebelumnya. Kebanyakan orang menyangka evolusi bermaksud proses mutasi yang dialami oleh hidupan sehingga mencetuskan kewujudan spesies-spesies baru. Namun Darwin, Wallace dan para biologis kemudiannya mendefinisikan evolusi sebagai perubahan frekuensi alel dalam populasi satu-satu generasi."

"Alel?" Maizurah mengecilkan mata. "Apa tu?"

"Alel adalah dua atau lebih bentuk daripada sejenis gen yang dijumpai di tempat yang sama pada satu-satu kromosom.”

Maizurah mengangguk faham. "Tadi kausebutkan juga tentang Mendel, tentang Teori Natural Selection. Bagaimana pula ia berkait dengan Teori Evolusi?"

"Terdapat empat komponen dalam Teori Natural Selection, iaitu pembiakan tanpa kawalan, sumber yang terhad, variasi dan pewarisan. Pembiakan tanpa kawalan dan sumber yang terhad menjurus kepada situasi yang sama, iaitu persaingan untuk memastikan kemandirian sesuatu spesies. Dengan ini, hanya spesies yang kuat dan gagah sahaja akan meneruskan keturunannya. Spesies yang kuat dan gagah ini telah mengubah sifat-sifat tertentu yang ada padanya untuk survival. Perubahan ini dikatakan variasi. Ia boleh jadi intraspesies atau juga interspesies, di mana sifat-sifat baik daripada spesies yang lain dicuplik dan dicantum dengan sifat-sifat baik sedia ada. Spesies yang baru ini akan membiak dan sifat-sifat yang sudah diubah itu akan diwariskan kepada keturunan seterusnya. Pewarisan ini dinamakan phylogeny. Phylogeny akan berulang-ulang dalam suatu proses yang dipanggil ontogeny. Inilah evolusi namanya."

"Aku tak ada masalah untuk menerima Teori Natural Selection bagi menerangkan tentang hidupan daripada kumpulan yang sama. Contohnya tumbuhan. Kenapa pohon setawar berdaun lebar, misalnya. Jikalau mahukan bukti visual, argh, aku hanyalah seorang saintis sepertimu, Vladi, terdidik oleh metodologi yang sistematis, perubahan ini terakam dalam pelbagai bentuk seperti fosil, trace dan trail, burrows, juga turbidites. Kesemuanya terpahat kemas antara setiap celahan laminasi dan formasi batu-batuan. Tapi untuk menghubungkan beruk sebagai nenek moyang manusia, argh, kedengarannya far-fetched pada pengertianku.” Maizurah bersuara ragu.

Vladimir pula tersenyum. Kerutan keliru Maizurah begitu cantik pada derianya.

"Itu mudah. Untuk membantu menerangkan kejadian evolusi, Teori Natural Selection telah dikaji semula. Hasilnya, lahirlah tiga hipotesis. Pertama, hanyutan genetik atau genetic drift. Hanyutan genetik menyatakan bahawa meskipun tanpa faktor keliling, frekuensi alel akan digugah komposisi asalnya, selaras dengan peredaran masa. Perubahan ini dirujuk sebagai hanyutan, drift dan kesan drastik dapat diperhati dalam populasi yang saiz relatifnya lebih kecil. Hipotesis kedua pula keseimbangan bertanda, atau punctuated equilibrium. Menurut hipotesis ini, evolusi paling berkesan apa kala suatu-suatu populasi itu diasingkan daripada kumpulan utama. Pemisahan itu mampu mempercepatkan perkembangan sifat-sifat baru pada hidupan yang langsung berbeza daripada sifat-sifat asalnya. Aspek perubahan mencangkupi kedua-dua sifat fizikal dan sikap. Hipotesis kedua ini pada pendapat aku hanyalah spin-off daripada hanyutan genetik. Hipotesis yang paling aku gemar tentulah yang ketiga - revolusi genetik.”

"Perubahan frekuensi alel dalam sekelip mata sekali gus mewujudkan spesies baru? Manusia daripada beruk?" Maizurah menjungkit kening. Tawa galak terlepas dari kerongkong. “Sekelip mata, tiba-tiba, semena-mena, bukan itu membawa maksud yang serupa? Tadi kaubantah kata-kataku. Kau kata magislah, apa-apalah…."

Vladimir menggeleng-geleng. "Hei, ada bezanya! Kaumengatakan manusia muncul tanpa asal, tanpa usul. Manakala aku memperjelaskan bagaimana tidak mustahil manusia itu daripada binatang primat. Kalau kaumahu, aku boleh bentangkan bukti-bukti kontemporari yang menyokong Teori Evolusi - "

"Cukup, cukup, Vladi!” Maizurah tuntas memintas. "Evolusi, seperti katamu baru sebentar, hanyalah teori yang asalnya daripada hipotesis. Hipotesis sekadar ramalan-ramalan awal. Dan bukti, argh, engkau mahu terus-terusan menggeletek hatiku dengan argumen artificial selection, non-optimal design dan geographical distribution?”

"Ada lagi! Penemuan fosil dan anatomi perbandingan. Engkau sebagai geologis, tentu tidak mampu menolak bukti visual sebegitu!" Vladimir enggan kalah.

Maizurah mengesipkan mata. “Bagaimana jika aku katakan penemuan-penemuan itu telah disalah tafsir oleh para saintis sejak sekian lama?"

Sepasang alis lebat dan perang mencantum. "Maksudmu?"

"Kaubiasa dengan istilah masa geologi?" Vladimir menggeleng sekali. Maizurah menghirup udara, duduk lebih tegak. Vladimir memasang perhatian penuh.

"Geologi adalah bidang kajian yang melibatkan subjek berusia berjuta-juta, malah berbilion-bilion tahun. Untuk mengatasi kekeliruan jurang masa, istilah masa geologi telah diperkenalkan. Tempoh masa dibahagikan kepada beberapa bahagian, bermula dengan eon, diikuti dengan era, period dan epoch. Sehingga hayat bumi atau setepatnya sehingga kajian oleh para saintis setakat ini, hanya dua eon dikenal pasti, iaitu Pra-Cambrian dan Cambrian. Eon Pra-Cambrian wujud selama lebih empat bilion tahun, ia terbahagi kepada beberapa period yang tidak relevan dengan perbincangan kita. Kemudian, kira-kira lima ratus juta tahun lalu, eon Cambrian pula dikesan. Batuan yang terbentuk semasa eon-eon ini dikenali sebagai batu pra-Cambrian dan batu Cambrian."

Maizurah terhenti. Tekak haus kerana bersyarah panjang. Vladimir mengangkat tangan, menggamit pramusaji. Cangkir porselin dipenuhkan. Dia menanti butir bicara Maizurah seterusnya.

"Tahukah engkau kriteria utama yang mencipta pemisahan antara dua eon ini?" Maizurah menyisip cangkir ke piring. Dia mengelap hujung bibir dengan napkin putih. Vladimir tergamam. Fokus pada jari-jemari Maizurah yang halus runcing terpancung.

Maizurah menjeling. “Hidupan. Analisis terhadap batu Pra-Cambrian tidak menunjukkan kehadiran sebarang fosil, sementara batu Cambrian pula sarat dengan unsur-unsur biologi."

"Tiba-tiba, semena-mena?" Vladimir terbuntang. Dadanya bergegar. Maizurah mengangguk tegas. “Tentu ada penerangan saintifik. Tentu sudah ada organisme mikro dan makro semasa eon Pra-Cambrian."

Maizurah membalas dengan gelengan. Cangkir porselin diangkat lagi, dihirup. Vladimir tergugah metah. Bukan oleh mulut comel yang terbuka membenarkan aliran kopi atau rengkung kecil yang bergerak-gerak tatkala cecair yang sama menuruni esophagus. Bukan!

"Tak ada langsung?" Dia memberanikan diri. Maizurah mencantumkan jari ibu dan telunjuk. Bentuk O besar terbentuk. Vladimir tersandar.

"Something out of nothing? Seakan big bang dalam astronomi?" Tanyanya lagi.

"Ya. Pemisahan itu juga dikenali sebagai letupan Cambrian, Cambrian explosion."

Khali. Vladimir masih cuba memaham ketika Maizurah perlahan mengujar. "Menakjubkan, bukan? Argh, Vladi, siapa saja mampu mencipta sesuatu daripada tiada apa-apa? Sesudah diciptakan bumi, tumbuhan dan hidupan, apa sangatlah penciptaan manusia pada kudrat Tuhan? Tak perlu beruk atau apa tu kata kau, binatang primat. Sebaliknya hanya berbekalkan gumpalan tanah yang dibentuk para malaikat, Tuhan meniupkan roh dan nyawa."

"Tapi, tapi, apa kaitannya dengan Teori Evolusi dengan batu?" Vladimir tergagap. Bebola mata Maizurah bersinar-sinar. Vladimir terpukul, terpukau serentak.

"Masih pada peringkat hipotesis, sebenarnya. Sebab itu aku belum berani mengemukakan kepada penyelia program sarjana, tak mahu jadi Darwin, Wallace dan Mendel; terburu-buru mencanang ramalan awal yang belum tentu benar. Namun dengan kaedah yang betul, aku yakin ia tidak mustahil dibuktikan."

"Apa?" Vladimir mengusul tidak sabar. Maizurah tergelak kecil, lucu dengan telatah rakan yang keanak-anakan.

"Aku bercita-cita untuk menyahbukti Teori Evolusi dan membuktikan kejadian manusia yang tiba-tiba, semena-mena tidak bersalahan dengan segala rakaman biofacies pada batu-batuan Cambrian. Malahan, ia adalah bukti paling jelas tentang kewujudan dan kehebatan suatu kuasa tertinggi yang berkeupayaan menciptakan. Something out of nothing, Vladi. Argh, bukankah terdapat desas-desus bahawa Albert Einstein menghentikan kajiannya tentang asal-usul dunia kerana khuatir akan bertemu kewujudan Tuhan?"

Vladimir diam. Kepala pusing, pening. Jantungnya melaju saban kali Maizurah menyebut-nyebut tentang Tuhan. Tiba-tiba. Semena-mena. Sekujur tubuh sejuk.

Vladimir mengurut-ngurut dahi. Gelas tinggi dijeling. Jus kranberi sudah lama kering. Vladimir mengangkat tangan, mahu memesan lagi, namun Maizurah sudah usai dengan kopi dan cangkir porselinnya. Dia bangun.

"Kau nak ikut?" Maizurah mempelawa. Beg sandang siaga tersangkut di bahu. Sementara The Origin of Species dan fail besar dikelek kemas. Vladimir mendongak. Melongo bodoh. "Ke mana?"

"Kita cari Tuhan, di celah-celah batu Cambrian!"

Rujukan:

1. Nichols, Gary, 1999. Sedimentary and Stratigraphy. Oxford: Blackwell Science Ltd.

2. Shorey, Christian, 2005. Earth System Science, Class Note: Evolutionary Theory. Colorado: Colorado School of Mines.

Biodata penulis:

REBECCA Ilham nama pena bagi Hazwani Rameli. Terbabit dalam genre cerpen, puisi dan esei, beliau muncul pemenang kedua Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2000. Karya Hazwani mendapat tempat dalam majalah dan akhbar arus perdana. Pelajar Fakulti Kejuruteraan Petroleum, Colorado School of Mines, Amerika Syarikat, ini adalah Setiausaha Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan moderator GKLN Cawangan Amerika Syarikat.

Cerpen: 10 puteri tak dilindungi bulan



Oleh Fatimah Busu


10 Puteri Tak Dilindungi Bulan

Bertemasya di Pantai Sri Pengkalan
Satu kena rogol beramai-ramai
Tinggal lagi Sembilan.

"Apa pasal kamu semua tinggalkan dia seorang diri ? Tidak ajak dia balik dengan kamu semua ?"



"Kami tidak larat hendak tunggu dia lagi, makcik. Dia asyik duduk bercakap-cakap, gelak-ketawa dengan orang-orang lelaki ... tiga empat orang …"

"Dia yang suruh kami jalan dulu, makcik. Dia kata akan ikut kami kemudian. Kami ingat dia ikut di belakang kami."

"Kamu semua memang tidak boleh harap! Bila mahu pergi pandai pula ajak pergi beramai-ramai. Bila balik, tinggalkan anak aku seorang diri."

"Sudahlah mamanya. Jangan marahkan anak orang. Kita yang benarkan dia ikut pergi. Kalau kita tidak benarkan lainlah cerita."

"Sekarang sudah jadi macam ni, nanti siapa yang pelahap mahu kahwin dengan dia ? Jantan mana yang pelahap buat bini ?"

"Cepatlah. Kita kena buat report polis segera. Kita kena bawa dia ke hospital … Heh, kamu kenalkah budak-budak jantan yang buat kamu itu ?"

"Kenal … abah …"

"Berapa orang ?"

"Empat …"

"Kamu tahu nama-nama dia ? Tempat tinggal dia ?"

"Seorang saja … yang lain tidak tahu."

"Sudahlah abahnya! Mari cepat buat report ! "

"Huuuuu … dahsyat betul makcik tu. Anak dia yang gatal, miang macam ulat bulu bila tengok jantan, kita pula yang disalahkan! "

"Makcik tu tak nampakkah pakaian anak dia tu … sudahlah pakai skirt pendek nampak seluar dalam, pakai pula baju pendek dedah perut, tayang belakang. Bukan ada lengan baju, pakai tali sangkut di leher saja macam baju dalam!"

"Baju kita ini pun nampak pusat juga!"

"Sekurang-kurangnya kita pakai seluar jean. Pakai tudung. Nampak pusat pun tak berapa sangat."

9 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta seks - video lucah di apartmen
Satu sempat dicekup pencegah maksiat
Tinggal lagi lapan.

"Hah! Padan muka si Saman tu … megah sangat anak perempuan dapat bekerja di kota! Jaja serata kampung anak jadi pegawai!"

"Pegawai kilang video lucah! Elok-elok duduk tolong ibu bapa buka kedai, mahu pergi cari kerja di kota. Konon mahu makan gaji."

"Aku hairan macam mana budak-budak tu boleh jadi tak waras macam tu …. Tidak ada rasa malu aibkah buat kerja begitu! Ramai-ramai pulak tu, bukan seorang-seorang."

"Nak malu, nak aib ni, kalau ada ilmu agama. Kalau tidak ada ilmu agama, nak rasa malu nak rasa aib apa! Setakat Melayu setakat Islam saja tak jadi apa! Setan-Iblis jadi raja!!!"

"Agaknya emak bapak dia orang tu tidak peduli hukum agama.…"

"Janganlah salahkan emak bapak saja. Mereka kena cari belanja nak tanggung keluarga. Masakan ada masa hendak awasi anak-anak dua puluh empat jam ! Anak-anak yang sudah besar panjang, sepatutnya tahulah bawa diri. Ini tidak. Setiap hari duduk keliling dengan video lucah di mana-mana. Tv pun dua kali lima juga. Dua puluh empat jam duduk tayang benda-benda yang merasuk fikiran orang muda. Lepas itu duduk buat konsert pula sana-sini setiap masa. Mana ibu bapak terdaya hendak kawal semuanya!"

8 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Pergi ke konsert Jom Heboh
Satu hilang ikut jantan
Tinggal lagi tujuh.

"Macam mana ayahnya! Sudah lima hari dia tak balik-balik … saya runsing sangat!"

"Hendak buat macam mana lagi. Kita dah buat report polis. Sudah masuk surat khabar. Dah tanya serata keluarga, serata daerah. Dah tanya kawan-kawan dia. Nak buat macam mana lagi ! Nak pergi redah di mana lagi !"

"Esok saya nak pergi jumpa bomoh … tentu bomoh tahu. …"

"Jangan! Jangan buat kerja karut, tu. Silap haribulan, syirik …."

"Habis ?"

"Kikta tunggu, kita tengok saja. Nanti kalau dia sedar langit itu tinggi, dia balik juga ke rumah."

7 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi GRO di Kelab Nilam
Satu dibawa pulang oleh pelanggan dan dibunuh
Tinggal lagi enam.

"Ya Tuhan ! Kenapalah mereka buat begini dengan anak aku! Dia seorang anak yang baik. Kuat kerja. Tiap bulan kirim duit ke rumah …bantu ibu bapa. Bantu adik-beradik sekolah! Sekarang siapa lagi yang akan bantu kami!"

"Dunia sekarang memang kejam, puan … anak yang begitu baik pun boleh dikerjakan sampai begitu. Berapa sebulan dia kirim duit kepada puan?"

"Selalunya lima ratus sebulan. Kalau dekat raya, dia kirim sampai seribu. Katanya untuk beli kain baju raya adik-adik …."

"Dia kerja apa di KL, tu?"

"Katanya pegawai eksekutif syarikat .…"

"Syarikat apa, puan?"

"Kalau tak silap syarikat import eksport … katanya pangsapuri tempat dia tinggal tu bosnya yang bayar … bosnya baik … selalu bagi bonus dua tiga bulan sekali."

"Oh?"

6 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta arak dan karaoke di kota
Satu terus jadi pelacur
Tinggal lagi lima.

"Hei anak bertuah! Kautengok jam berapa sekarang baru pulang, hah?"

"Baru jam 3.00 pagi lebih sikit. Apa pasal ayah bising-bising tengah malam buta begini?"

"Kaucakap ! Kau buat apa di luar sana tu, hah?"

"Duduk-duduk sembang dengan kawan-kawan di rumah Anis. Tengok video … tak bolehkah? Masakan kena duduk terkelepuk di rumah dua puluh empat jam?"

"Sudahlah ayahnya. Budak tu baru balik. Penat. Biarkanlah dia berehat dulu. Esok bincanglah!"

"Awak pun satu. Suka sangat masuk sebelah anak. Entah dibuat apa-apa di luar tu. Nanti awak jangan pula hendak teriak-tangis! Awak tengok cara dia berpakaian, tu. Hari-hari tukar. Semua jenis yang mahal-mahal! Di mana dia kerobek duit membelinya? Awak tidak sedarkah? Itu, kereta yang dia bawa balik itu, kereta siapa?"

"Dia tu bekerja, bukan?"

"Kerja jadi pembantu kedai, masakan gajinya tiga empat ribu sebulan?"

5 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Satu disuruh seludup dadah dan ditangkap
Tinggal lagi empat.

"Yang Berhormat ! Tolonglah anak saya ! Dia tidak bersalah. Yang Berhormat tentu ada konteks dengan Pesuruhjaya Tinggi Jamaica! Tolonglah hubungi dia bagi pihak kami. Kami tidak tahu hendak buat apa lagi untuk membebaskan anak kami."

"Saya bukan tidak mahu tolong. Perkara ini bukan perkara kecil ! Lagipun dia ditahan di Jamaica... ada bukti kukuh dadah itu ada dalam beg pakaian dia."

"Saya sudah kata dia tidak bersalah. Dia kena nyanya teman lelaki dia. Kalau boleh bawa kes itu ke negara ini, bagaimana? Tidak bolehkah?"

"Saya minta maaflah. Saya sudah kata hal ini bukan dalam bidang kuasa saya. Kita nantilah tengok dulu."

4 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bercinta dengan Mat Hitam Uganda
Satu sudah murtad hendak kahwin
Tinggal lagi tiga.

"Kau ajak aku teman kau ke Jabatan Pendaftaran ini kenapa, Masni?"

"Aku nak tukar nama dalam mykad. Lepas tu minta kebenaran buang perkataan Islam sama!"

"Kenapa ? Eh! Kau pakai rantai salib, Masni? Itukan lambang agama Kristian ?"

"Memang aku sudah masuk Kristian! Dia yang bagi rantai ini. Nama aku sekarang, Madeline."

"Haaaaaaaa ??? Ya, Allah ! Masni!!!"

Ya, lah. Aku hendak kahwin dengan dia. Dia tidak mahu masuk Islam. Jadi aku kenalah masuk agama dia, Kristian. Aku mahu buktikan kepada dia yang aku betul-betul cintakan dia. Sanggup seberangi lautan api! Sanggup minum racun tikus. Sanggup makan daging babi!"

"Astaghfirullah, Masni! Bagaimana dengan emak, ayah kau? Mereka tahukah?"

"Kalau mereka tahu pun bukan boleh buat apa-apa. Aku sudah lebih dua puluh dua tahun! Aku bukan jadi tanggungan mereka lagi!"

"Kau sudah habis fikirkah? Nanti teruklah emak ayah kau. Mana mereka hendak letak muka bila orang tahu anak mereka sudah murtad?"

"Aku cuma tukar agama saja. Aku bukan tukar ibu bapa! Mereka masih emak ayah aku. Lainlah kalau mereka tidak mahu aku jadi anak mereka lagi."

"Kalau mereka tidak mahu mengaku kau anak mereka bagaimana?"

"Tidak jadi apa-apa. Aku sudah ada dia. Orang yang paling aku cinta di dunia ini. Hendak buat apa lagi dengan orang lain!"

"Eh ! Eh ! Masni!!! Kau mahu belok ke mana, ni?"

"Aku terlajak. Simpang ke Jabatan Pendaftaran dah terlepas di belakang, tu.…"

Krrrrrrrreeeeeeeeooooookkkk!!! Bummmm!!!

"Woooiii ada kereta eksiden! Mari pergi tolong!"

"Wooohhh! Teruknya lori tu bagi! Sampai melayang pintu drebar!"

"Aku tengok kereta tu buat pusingan U, lori itu rempuh ! Tak sempat brake!"

"Ah, ada yang parah nampaknya … satu lagi nampak okey .…"

"Keluar dek ! Keluar dari kereta, boleh?"

"Bawa kawan saya keluar, dulu … saya okey. Saya boleh keluar sendiri."

"Mari kita angkat dia ramai-ramai … jaga kaki dia terkepit. Ah, dah patah. Pegang kepala. Oh, dahinya pecah. Hati-hati ! Ah, letak atas rumput di sini.…"

"Aaaarrrrgggg … aaarrrrgggg ….."

"Masni … Mas … Mas… mengucap … mengucap Mas .…"

"Aaarrrggg … aaarrrggg …."

"Mengucap Mas …ikut saya, mengucap ... Laaa ilaaa haillallah … Laaaa ilaaa haillallah .…"

"Laaaa … ilaaaa .…"

"Kata, Laaa ilaaa haillallah …Mas ! Kata, Laaa ila haillallah .…"

"Laaa … ilaaa …."

"Massss … sebut Laaa ilaaa haillallah, Massss ! Masss… sebut Laaa ilaaa haillallah.…"

"Dia sudah tidak ada lagi dek …"

"Masss …sebut Laaa ilaaa haillallah …Masss …sebut …"

"Dia dah tak ada, dek… dah tak ada lagi !"

"Ah, Mas … Mas … mengapa tidak sebut sampai habis, Masssss … Laaa ilaaa,

tidak ada Tuhan, Massss ! Tidak ada Tuhan … !"

"Sudah, dek ! Ada surat khabar dalam kereta, nak tutup dia ?"

"... Dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." (Pimpinan al-Rahman, al-Baqarah ayat 217, hal.67)

"Menurut hukum faqeh, orang lelaki yang murtad boleh dihukum bunuh dan orang perempuan pula boleh dipenjarakan …" (Kamus Pengetahuan Islam, Haji Dasuki Ahmad, K/Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah, 1976, hal.238)

3 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Terjebak dengan kumpulan bohsia
Satu ditangkap bunuh bayinya
Tinggal lagi dua.

"Itulah perempuan yang buang bayi dia dekat tong sampah hari itu. Padan muka sudah kena tangkap."

"Buat kerja pandai. Hendak bertanggungjawab tak pandai. Kalau bagi pada orang lain apa salahnya. Ini dibungkus dalam beg plastik sampah, buang dekat tong sampah …."

"Dia ingat dia bijak ! CCTV dekat tong sampah itu lagi bijak rakam gambar muka dia."

"Eloklah kalau Majlis Perbandaran boleh pasang CCTV pada semua tempat buang sampah. Nanti senang hendak tangkap orang yang buang bayi."

2 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi Minah Rempit bersama Mat Kutu
Satu mati eksiden ketika lumba haram
Tinggal lagi satu.

"Aku hairan sungguh. Macam tidak ada kerja lain dalam dunia ini hendak dibuatnya selain daripada berlumba haram macam ni. Betina pulak tu ! "

"Nak hairan apa, sudah jadi tren orang sekarang. Jadi Mat Rempit, jadi Minah Rempit ini glamor, tau tak?"

"Menyusahkan kerja kita saja. Nak tangkap bukan main susah lagi. Bila kena tangkap, senang-senang dibebaskan. Padan bila sudah ditangkap kenakan hukuman yang berat, jel sampai sepuluh tahun baru dia tahu! Setakat tahan lesen saja, jadi apa!"

"Buat semak dalam jel saja. Aku kata hantar ke pulau. Suruh duduk di situ sampai ke tua. Jangan benarkan balik ke kampung halaman lagi. Hidup pun bukan boleh beri manfaat apa-apa. Buat malu muka saja. Kata Melayu tapi ikut cara hidup orang Amerika. Kata Islam, tapi tak tahu dosa pahala!"

1 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Sangat-sangat susah hati
Termenung-menung seorang diri
Bagai ayam mabuk tahi
Rasa hidup sunyi sepi
Berkurung dalam bilik setiap hari
Ibu bapa tak ambil peduli sibuk ke sana sini
Lalu terjun dari pangsapuri
Langsung diapun mati

"Janganlah kamu membunuh diri kamu /membunuh sesama orang Islam. Sesungguhnya Allah menyayangi kamu. Dan barangsiapa yang berbuat demikian secara menentang dan menganianyai diri, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka, dan hal yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Pimpinan al-Rahman, an-Nisa, ayat 29-30, hal.155)

Puteri Lindungan Bulan, sebuah cerita lisan Kedah Tua tentang seorang puteri keramat yang jadi rebutan Kerajaan Acheh. Dikatakan pusaranya sentiasa terlindung oleh cahaya bulan.

BIODATA: Dr Fatimah Busu

PENGARANG veteran wanita ini mewarnai dunia sastera tanah air sejak 41 tahun lalu dan pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM). Antara karyanya, Koleksi Cerpen Al-Isra (10 cerpen) membawa persoalan falsafah, politik, agama, unsur mitos dan lagenda dalam sastera Melayu tradisional dengan tanggapan baru. Kumpulan Cerpen Lambaian Tanah Hijau memuatkan 15 cerpen dengan tema kritik sosial dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Belanda, Tamil, Perancis, Mandarin, Jerman dan Vietnam. Kumpulan Puisi Apa Ada Di Sana (2003), Antologi

Cerpen Keajaiban Alam (2004) manakala novelnya, Ombak Bukan Biru (1977), Kepulangan (1980), Salam Maria (2004), The Missing Piece - Bahagian I (2005) dan The Missing Piece - Bahagian II (2006) turut mendapat perhatian pengkaji.