Saturday, November 3, 2007

Warna

OLEH FAIZATI MOHD ALI

i

SAYA melihat cermin dengan rasa kurang percaya berbaur ria. Memang benar, hari ini, saya telah berubah warna!

ii

Masuk hari ini, genaplah dua belas purnama waktu pertapaan saya langsaikan. Peritnya bukan sedikit, sukarnya melalui tempoh itu bukan main-main. Bayangkan, sendirian tanpa teman melainkan unggas-unggas rimba dan penghuni hutan di puncak Gunung Warna, siang dan malam selama dua belas purnama, calang-calang orang tidak akan mampu melakukannya. Bukan mudah. Malahan teramat payah.

Tetapi saya akur. Semuanya sanggup saya tempuhi kerana saya cukup mengerti, tidak ada yang percuma di dunia ini. Segalanya ada harga yang perlu dibayar, lebih-lebih lagi impian dan mimpi, selalu punya harga yang cukup tinggi. Saya ternyata telah membayar dengan usaha yang bukan sedikit untuk memiliki impian dan mimpi yang satu ini.

Dua belas purnama berlelah meladeni sengsara dan akhirnya kini saya telah bertukar warna.

iii

Kalaulah saat ini saudara mula tertanya-tanya dan sebelum pula saudara semua membuat spekulasi sendiri, biarlah saya ceritakan. Saya dilahirkan di pinggir sebuah desa yang terletak di negeri Berseri, sebuah negeri yang aman harmoni. Kalau saudara tidak pernah mendengar nama negeri tercinta saya ini, tidak mengapa. Cukuplah kalau saudara tahu bahawa di negeri saya ini, bagi seorang wanita seperti saya, paras rupa dan warna kulitlah yang menjadi ukuran utama. Kecantikan menjadi penentu kebahagiaan dan penghormatan. Di sini, semua wanita mendambakan bukan sahaja kulit yang halus dan mulus malahan yang lebih penting dan utama, warna serta tona kulit itu sendiri. Kulit yang putih menjadi idaman dan angan setiap wanita, lebih putih bererti lebih jelita.

Ambil peduli

Pada permulaannya saya memang tidak mengerti dan tidak pernah ambil peduli. Putih atau hitam cuma sekadar warna pada saya. Warna yang tidak membawa apa-apa makna. Saya tidak pun berasa berbeza atau kekurangan apa-apa. Malahan ketika masih anak-anak saya menerima diri saya seadanya.

Namun menjejak usia remaja dan semakin pula meningkat dewasa, saya mula berasa serba tidak kena. Mata yang memandang saya rasakan seperti diam-diam berbicara menghina. Seolah-olah mencerca. Saya dipandang remeh, dipandang sebelah mata kerana warna yang saya miliki ini. Lupakan tentang mereka yang mencebik di luar, malahan di kalangan keluarga saya sendiri pun ada yang diam-diam mencaci. Ada yang melempar pandangan benci, ada juga yang memandang dengan mata simpati dan saya sendiri tidak pasti yang mana lebih menyakitkan. Yang saya tahu, saya tertekan dan menderita. Saya menjadi begitu terluka kerana warna itulah.

“Punggung belanga aku pun lebih cerah sedikit dari kulitmu,” kata Bonda Sarifah, ibu saudara saya suatu hari, nadanya bergurau namun hati saya seolah ditusuk sembilu tajam yang pedihnya tidak mudah padam.

“Betul kata Bonda Sarifah itu. Tak pernah aku lihat kulit sehitam kamu! Hitam macam gelap malam!” Adik perempuan saya ikut tertawa sinis. Ria mempersendakan warna kulit saya.

“Entahlah Sarifah. Tidak tahulah apa nasib anak aku yang satu ini. Entah siapalah yang hendak dengan kulit hitam macam ini....” ibu mencelah. Nadanya sarat rasa kesal. Dan saya berasa amat terluka. Kerana kata-kata itu lahir dari mulut ibu, saya jadi lebih terluka. Sedalam-dalamnya.

Saya sebenarnya selalu merenung diri sendiri di wajah cermin. Yang saya lihat adalah sepasang mata bundar, alis yang lentik. Hidung mancung terletak. Kulit saya halus dan mulus bagai telur dikupas. Rambut saya ikal mayang mengurai ke pinggang. Segala-galanya kelihatan sempurna. Cuma warna kulit saya , di situlah silapnya.

Saya hitam. Terlalu hitam.

Dan kerana semua orang di sekeliling saya berbeza warna, saya seolah-olah menjadi manusia yang kurang sempurna di mata mereka.

“Engkau ini bukanlah hodoh, tapi kulitmu itu. Hitam benar. Dalam Negeri Berseri ini, agaknya engkaulah yang paling hitam. Kalaulah kulit engkau ini putih sedikit, tentulah ramai yang akan tergila-gilakan engkau,” kata Bonda Sarifah pada suatu masa yang lain.

“Betul kata Bonda Sarifah itu. Tengok si Fahirah sepupu kamu itu cepat saja dipinang orang tidak lain kerana kulitnya yang putih melepak itulah.” Ibu pula menambah.

“Kenapalah kulit kamu ini hitam sampai begini...” Bonda Sarifah seperti kesal sungguh-sunguh. Saya tahu kata-katanya itu menyulam makna bahawa warna kulit saya ini adalah satu petaka.

Begitulah. Kata mereka saya tidak sempurna kerana warna kulit saya ini. Pada setiap kesempatan mereka mengulang-ulang kata-kata yang sama sehingga akhirnya saya jadi percaya. Benar-benar percaya.

Malang

Alangkah malangnya saya. Saya insan tidak sempurna. Saya benci warna kulit saya. Saya ingin berubah warna.

Saya menangis berhari-hari sehingga air mata saya kering. Saya mandi berkali-kali setiap hari dengan harapan warna kulit saya akan luntur gelapnya dan berganti cerah. Saya tidak keluar rumah berbulan-bulan kerana bimbang terik matahari akan tambah memijarkan kulit saya ini. Berbulan-bulan lamanya saya jadi tidak keruan. Diburu resah yang meski sehabis daya cuba saya sisihkan, terus-terusan enggan pergi. Saya benci melihat diri di cermin. Saya benci diri sendiri.

Saya tidak mahu lagi hidup dengan warna sebegini.

iv

Sehinggalah suatu hari saya mendengar kisah itu. Sama ada sekadar dongengan atau benar-benar realiti, saya sendiri kurang pasti. Namun kisah itu ternyata menghulur harapan dan hati saya berbunga mendengarkannya.

“Namanya Gunung Warna. Kata orang, kalau kita mendaki hingga ke puncak gunung itu dan betapa sendirian di sana sehingga dua belas purnama, kulit kita nanti akan berubah warna menjadi putih seputih-putihnya. Kata orang lagi, kulit itu nantinya akan kekal begitu selama-lamanya, malahan tiada ilmu atau sebarang ubat di dalam dunia mahupun simbahan cahaya matahari walau seterik mana dapat menjejaskan warna kulit yang putih melepak itu.” Bonda Sarifah ghairah bercerita kepada ibu suatu hari tentang berita yang heboh diperkata orang. Saya mencuri dengar dari sebalik daun pintu bilik. Hati saya tiba-tiba berdebar. Mungkinkah ini ubatnya derita yang saya tanggung sekian lama?

“Tapi bukan mudah. Memang bukan mudah....” Nada suara Bonda Sarifah berat, seperti mengandungi kekesalan yang sarat.

“Perjalanan ke puncuk gunung itu penuh cabaran dan dugaan. Ramai yang telah cuba mendaki akhirnya tak kembali. Hutan tebal, haiwan yang ganas, binatang buas, serangga berbisa, makhluk-makhluk halus yang semuanya hanya menanti kedatangan mangsa.

“Kalau pun berjaya tiba ke puncaknya, untuk melalui dua belas purnama sendirian di puncak gunung itu bagaimana? Kerana itulah agaknya ramai yang takut mencuba dan yang aku tahu, sehingga kini belum ada yang berjaya.” Nada kesal Bonda Sarifah bertambah-tambah.

Saya diam mendengar. Hati saya melonjak-lonjak. Saat itu juga saya telah muktamad membuat keputusan.

Biar apa pun, bagaimanapun, kalaulah ini caranya saya boleh mencapai impian, saya sanggup. Biarpun yang menanti seribu bahaya, meskipun segala kata Bonda Sarifah itu belum pasti kebenarannya, saya sanggup mencuba. Saya sudah lama menderita, kepayahan tidak akan membunuh saya. Kalau- pun percubaan saya itu nantinya akan mengundang sengsara, saya tidak takut malah saya sudah sedia menerima. Bukankah setiap bahagia itu harus bermula dengan sengsara? Saya nekad mahu mencuba.

Maka pada suatu ketika yang saya kira sesuai, tatkala bulan terang melimpahkan cahayanya menyuluh jalan, saya diam-diam memulakan pendakian ke Gunung Warna. Bekalan saya sederhana, sekadar yang perlu. Saya turut membawa bersama sekeping cermin kecil dan di hati azam saya semat kemas, hanya apabila genap dua belas purnama saya akan melihat cermin itu. Hanya selepas dua belas purnama dan tidak pada mana-mana ketika sebelumnya.

Oh, bagaimana sukarnya perjalanan itu, segala mara bahaya yang terpaksa saya tempuhi atau bagaimana saya dapat bertahan di puncak gunung selama dua belas purnama sendirian tanpa pertolongan atau teman bukanlah persoalannya dan tidak perlu saya ceritakan. Cukuplah hanya saya yang tahu perih dan pedihnya. Seperti yang saya nyatakan di awal tadi, semuanya tidak mudah, malahan teramat payah.

Tidak cukup dengan segala terjahan cabaran, penantian yang panjang di puncak Gunung Warna juga suatu seksa yang tidak terungkapkan. Saya menanti, mengira hari dari purnama ke purnama, waktu terlalu seakan terlalu perlahan lagaknya. Rindu saya sarat pada ibu, pada keluarga namun keinginan saya terlalu besar untuk saya menyerah kepada rindu. Saat itu jugalah saya sedar dan mengerti, keinginan sememangnya sesuatu yang berbahaya dan berkuasa, kerana keinginan yang luar biasa membuatkan manusia sanggup melakukan apa sahaja.

Itulah juga yang berlaku ke atas saya. Keinginan luar biasa untuk berubah warna menjadikan saya punya tenaga yang luar biasa juga untuk menghadapi hari-hari getir dan terus menanti dan menanti purnama ke dua belas menjelmakan diri.

Dan penantian itu akhirnya bernoktah dengan cerita gembira.

Saya kini telah berubah warna!

iv

Tidak seperti pendakian, perjalanan pulang menuruni lurah-lurah Gunung Warna untuk kembali ke desa terasa begitu mudah. Barangkali kerana yang setiap ketika bermain di benak saya sepanjang perjalanan itu hanyalah gambaran dan bayangan indah.

Tatkala tiba di kaki Gunung Warna, hari sudah menjengah malam dan kegelapan mula menyerkup alam. Saya berasa hati saya dipalu debar, benar-benar teruja. Rasa tidak sabar, gembira, bangga dan seribu satu rasa berpadu di dalam dada.

Sudah dua belas purnama, kini mereka bakal menerima saya yang berbeza. Hidup saya selepas ini akan bahagia, itu saya pasti. Dengan warna yang berbeza, saya bakal menempuhi saat-saat gembira yang saya idamkan sekian lama. Semua orang akan menyanjung saya. Semua orang akan memuja saya. Semua orang akan mengagumi saya. Dan lebih penting, semua orang akan menerima dan menyayangi saya.

Rindu

Mengenangkan itu, langkah saya atur semakin laju sehingga akhirnya rumah kecil saya menyapa pandangan mata. Saya memanggil-manggil nama ibu dengan getar kurang sabar. Sebaik daun pintu terkuak dan wajah ibu menjengah, segala rindu saya pecah.

Ibu merenung saya tidak percaya.

Saya merenung ibu dengan pandangan yang sama.

Apakah saya bermimpi, atau mata sayakah yang berdusta?

Benarkah itu ibu? Sangsi dengan pandangan sendiri, anak mata saya rakus menjelajahi wajah yang masih beriak tidak percaya di hadapan saya. Mata itu, hidung itu, bibir itu, tahi lalat di pipi kiri, semuanya masih serupa. Cuma satu yang berbeza.

Kulit ibu yang sebelum ini putih kuning kini berubah warna. Hitam. Terlalu hitam. Saya tambah tergegau melihat wajah adik perempuan dan Bonda Sarifah yang tiba-tiba menjenguk di muka pintu, juga serupa. Kesemua mereka hitam. Terlalu hitam. Dada saya tiba-tiba sesak.

“Ibu, sudah dua belas purnama saya betapa di puncak Gunung Warna. Benar kata Bonda Sarifah, selepas dua belas purnama saya kini berubah warna dan warna ini akan kekal begini selamanya, tiada ilmu atau sebarang ubat di dalam dunia mahupun simbahan cahaya matahari walau seterik mana yang dapat menjejaskan warna kulit saya.

“Saya kini rupawan dan jelita. Semua orang akan memandang dan menerima saya dengan kekaguman, seperti yang selalu kita mimpikan. Ibu akan berbangga dengan saya, pemuda-pemuda akan mencintai saya dan saya akan bahagia. Lihatlah ibu kulit saya ini mulus dan putih, seputih-putihnya. Tapi apa yang telah terjadi kepada ibu? Kepada adik, kepada Bonda?”

Ibu terduduk mendengar kata-kata saya. Dengan juraian air mata yang bertali-tali seperti enggan berhenti, ibu memandang wajah saya.

“Oh, anakku banyak yang telah berlaku sepanjang dua belas purnama pemergianmu. Tahukah kau kini semuanya telah berubah, kerana kini semua orang di negeri kita ini menganggap hitam itu warna idaman dan putih itu bukanlah lagi warna pilihan.

“Lebih hitam, lebih menawan. Kau lihat saja, ibu, adik, Bonda Sarifah malahan semua wanita di negeri ini berebut-rebut menggunakan sejenis ubat ciptaan baru yang kini meledak di pasaran untuk menghitamkan kulit kami ini.

“Semuanya kami lakukan kerana mahu kelihatan cantik, kerana kini semakin hitam warna bererti semakin jelitalah paras rupa. Oh anakku, kalaulah kau masih hitam seperti dahulu, sudah tentulah kini kau akan diangkat menjadi ratu!”

Abang Mus...!

DIA tekun mengelap meja yang basah. Wajahnya riang bersahaja, tiada menzahirkan sebarang keletihan waima sudah hampir seharian dia bekerja di situ. Mata bundarnya cekap mencari kotoran sisa makanan untuk dibersihkan. Usai mengelap meja, dia berganjak ke meja yang lain. Ditariknya besen besar berisi pinggan mangkuk kotor bersama.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya...

Suaranya sesekali kedengaran bergema di warung makan itu. Biarpun tidak semerdu mana, namun cukup sekadar dapat memuaskan hatinya. Dia tidak menghiraukan pelanggan yang sedang menikmati hidangan. Mereka juga sama. Sudah biasa dengan keadaan itu. Normal bagi seorang kurang upaya sepertinya terhibur dengan caranya yang tersendiri. Malah, jika suaranya tidak kedengaran, akan ada insan yang meminta.



Sebaik melihat iklan angkasawan negara di kaca televisyen, hatinya bernyanyi riang. Dia akan terhenti sejenak, melihat iklan dengan penuh bersemangat biarpun sudah puluhan kali ditayangkan. Senyuman jelas terukir di bibirnya.

"Den nak jadi macam abang Mus. Den nak poie ko bulan macam abang Mus! Mawi tak poie bulan. Datuk Siti pun samo..." Ucapnya bila orang bertanya. Cita-citanya melangit tinggi. Dia berazam untuk menjadi angkasawan juga suatu hari nanti. Dia kurang upaya dari segi minda dan pergerakan, namun dia tidak kisah. Kecacatan bukan penghalang kejayaan seseorang, tapi anugerah daripada Tuhan; itu pesanan arwah ibu yang dipegangnya sampai mati!

Dari awal lagi dia mengikuti perkembangan angkasawan negara tersohor itu. Malah, dia sanggup merayu kepada majikannya Pak Mud untuk pulang awal semata-mata mahu melihat pelancaran kapal Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan negara ke ISS di kaca televisyen. Di rumahnya penuh dengan poster dan maklumat mengenai angkasawan negara. Dikumpulnya dari majalah dan akhbar. Dialah orang pertama yang membeli akhbar Berita Harian di kedai Subramalai setiap pagi. Kemudian, dibawanya ke warung. Dia tidak pandai membaca. Namun sebelum memulakan kerja, dia meminta Pak Mud membacakan berita tentang angkasawan negara idolanya. Kalau tidak pun, dia akan ke rumah kebajikan orang tua, meminta 'ayah-ayah dan ibu-ibunya' membacakan berita. Tapi, akhbarnya haruslah dalam tulisan Jawi atau bahasa Cina. Senyuman pasti meleret di wajahnya bila mendengar perihal angkasawan negara. Melangit sekali sanjungannya!

"Kalau tak kerana dia dapat ke bulan, takkan ada orang yang nak kenal dia tau!" Entah bagaimana, telinga si kurang upaya menangkap suatu perbualan 'hangat'. Ada suara yang cuba menjatuhkan imej angkasawan negara yang baru berlepas ke bulan. Ya, angkasawan yang menjadi kebanggaan seluruh pelusuk tanah air. Dr Sheikh Muszaphar atau mesra dengan panggilan abang Mus oleh gadis-gadis kilang yang selalu berkunjung ke warung. Lebih hebat daripada Mawi, Datuk Siti Nurhaliza atau artis kegemaran masa kini yang lain.

"Membazir sahaja pergi ke sana... bukannya dapat apa pun!" Sampuk yang seorang lagi.

"Sepatutnya, kerajaan bagi bantuan untuk orang macam kita ni." Tambah lagi seorang.

"Nak cari publisiti murahan agaknya, sampai semua orang perempuan tergila-gilakan dia!" Balas temannya yang duduk semeja. Berdesing telinga sang cacat mendengarnya. Idola pujaannya dihina sedemikian rupa. Dia terhenti mengelap meja. Kain lapnya dipegang kemas. Apa dosa abang Mus sampai pemuda-pemuda itu hendak menghinanya? Dia bukan merosakkan negara. Malah, kebanggaan kita semua juga!

Dadanya berombak laksana tsunami Acheh. Taufan amarahnya memuncak, melampiaskan kerut-kerut berselirat di wajahnya. Dia mengetap bibir. Perlahan-lahan dia mendatangi penganggur sepenuh masa itu sebelum kain lapnya dilemparkan tepat mengenai muka salah seorang daripada mereka. Tersentak kesemuanya memandang Yusuf.

"Orang gila! Orang jahat! Perosak bangsa!" Jerit si cacat lalu menampar wajah mereka.

"Usop naik gila! Usop naik gila!" pekik seorang daripada mereka sambil memegang kedua-dua belah tangan Yusuf. Si cacat meronta-ronta minta dilepaskan. Pak Mud berlari mendapatkan Yusuf yang sedang bertelagah dengan pemuda-pemuda menganggur itu. Dia cuba menenangkan Yusuf. Para pelanggan yang lain turut membantu menenangkannya.

"Diaorang jahat, Pak Mud! Diaorang kutuk abang Mus... den marah! Den tak suko! Abang Mus baik! Abang Mus solat di angkasa. Abang Mus puasa. Abang Mus sambut raya di sana. Tapi diaorang tak solat! Tak puasa! Jahat! Suka kacau kakak-kakak kilang!!!" Amarahnya dilontar sehabis mungkin. Pak Mud mengangguk perlahan. Dia menenangkan perasaan Yusuf. Si cacat itu walaupun buta huruf, namun masih punyai hati budi dan perasaan. Malah, pengetahuannya menjangkaui insan biasa.

"Jangan marah orang jahil, nanti kita pun sama jahil, Sop!" Pujuk Pak Mud, sinis.

"Abang Mus bagus kan, Pak Mud?” Soal Yusuf lagi.

"Memanglah, anak Malaysia dan orang Melayu pertama ke bulan! Siapa tak bangga?” Pak Mud membakar semangat Yusuf. Dia menyuruh si cacat itu duduk sejenak di sudut kiri warung. Biar tenang dahulu, baru boleh kembali bekerja. Pemuda-pemuda tadi segera angkat kaki. Mereka malu dengan apa yang berlaku. Keadaan di warung kembali tenang.


Limpahan kasih

Setibanya sore, Yusuf meminta izin untuk pulang sebentar. Seperti biasa, dia akan singgah dahulu ke Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Darul Kifayah tidak jauh dari tempat dia bekerja. Dia menjinjing bersama bekalan makanan untuk diberikan kepada orang-orang tua yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri. Pak Sahar, Haji Syafiq, Wak Azran, Uncle Jun Bin, Mek Aina, Ummi Hawa dan Nyonya Shi Mun sedang beristirahat di bangku batu berdekatan pagar utama tatkala Yusuf melewati pagar besi.

"Angkasawan sudah datang!" Laung Wak Azran. Kesemua mereka memandang ke arah Yusuf. Terhincut-hincut Yusuf mendekati mereka. Diletakkan bekalan makanan ke atas meja batu. Manik-manik peluh dikesat menggunakan tuala kecil. Dia mengibas-ngibas bajunya, kepanasan.

"Banyaknya makanan... syukurlah!" Ucap Pak Sahar.

"Bertuah kita dapat anak macam Usop, ya!" Haji Syafiq melontar pujian.

"Tengoklah anak siapo..." Ujar Mek Aina, pekat dengan loghat Kelantannya.

"Eh, anak sayalah!" Sampuk Uncle Jun Bin. Nyonya Shi Mun mencubit lengannya.

"Hei, dia anak saya juga ma!" Balas Nyonya Shi Mun.

"Waduh, anak wak juga!" Wak Azran turut mengusik. Ummi Hawa menggeleng sambil menjuihkan bibirnya. Wanita tua Terengganu itu menafikan kesemua pengakuan teman senasibnya.

"Kita tanya Usop... semuanya tipu belaka ni!" Cadangnya, berseloroh. Mereka memandang anak cacat itu. Pipi Yusuf berona merah. Dia tersipu-sipu sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bertuahnya dia kerana dapat memiliki kasih sayang daripada insan-insan lebih separuh abad itu. Bertuahnya dia kerana tidak kesunyian sejak kematian ibunya. Bertuahnya dia kerana diberikan dorongan dan semangat oleh mereka hingga membolehkan dia berjaya menyesuaikan diri dengan masyarakat.

"Usop nak jadi anak semua sekali!" Balas Usop. Kesemua mereka tertawa serentak. Mereka membuka bekas berisi makanan, lalu menikmatinya bersama. Ada gulai asam pedas kesukaan Wak Azran dan Pak Sahar, ikan masak singgang kegemaran Mek Aina dan Ummi Hawa dan tauhu sumbat kegilaan Uncle Jun Bin dan Nyonya Shi Mun.

Kemesraan jelas terpancar di sebalik keakraban hubungan mereka. Tanpa segan silu atau malu, mereka menyuap makanan antara satu sama lain. Mereka gembira dengan hidup mereka kini, biarpun hidup dalam buangan dan peninggalan anak-anak dan insan yang mereka kasihi. Bagi mereka, Yusuflah tempat mereka menumpang kasih walau anak itu juga senasib. Yusuf dianggap sebagai anak oleh mereka. Malah, penjaga di situ pun sudah menyukai Yusuf dan tidak menghalang anak cacat itu mendatangi mereka siang atau malam. Aidilfitri yang lalu juga turut dirai bersama dengan si cacat itu. Alangkah!

"Malam ni, Abang Mus nak balik ke bumi!" Yusuf membuka bicara tatkala hidangan selesai dijamah. Mereka mengangguk perlahan, sedia maklum dengan berita itu. Bersungguh benar dia menyatakan perkara itu.

"Kita tengok sama-sama, ya!" Pinta Yusuf. Mereka semua mengangguk sambil tersenyum. Kekaguman mereka terhadap wawasan anak cacat itu sememangnya timbul sedari awal lagi. Melihat kesungguhan dia membawa poster dan akhbar untuk mendengar perkhabaran tentang Dr Sheikh Muszaphar dan mendengar celotehnya mengenai angkasawan idolanya membuatkan mereka tidak membantah atau menyanggah, bila si cacat menyatakan dirinya juga ingin ke bulan. Malah, mereka menyokong sepenuhnya. Bukan menjadi persoalan sama ada cita-citanya tercapai atau tidak, namun kesungguhannya itu yang harus dijana dengan baik. Anak cacat itu tidak mengenal erti putus asa!


Debar menanti

"Dah nak mula!" Pekik Yusuf sambil memandang kaca televisyen. Pak Sahar awal-awal lagi sudah turun, diikuti Wak Azran yang terkedek-kedek di belakangnya. Dia membebel dari tadi kerana kopiah Jawanya hilang entah ke mana. Haji Syafiq muncul dari dapur dewan makan sambil menatang sepinggan roti. Di belakangnya, menapak Mek Aina dan Ummi Hawa membawa minuman. Mereka masih gagah membuat kerja dapur biarpun usia semakin senja. Kelihatan Uncle Jun Bin dan Nyonya Shi Mun muncul dari pintu utama. Mereka semua melabuhkan punggung di atas sofa, sedang mata terpaku melihat kaca televisyen. Debarannya kian terasa....

Alangkah gembiranya Yusuf bila berita melaporkan kapal angkasa Soyuz yang membawa Sheikh Muszaphar selamat mendarat di bumi walaupun tersasar beberapa ratus kilometer dari kawasan jangkaan dia mendarat iaitu di Arklyk. Melompat kegirangan Yusuf sambil menyanyi riang tatkala melihat wajah Sheikh Muszaphar. Malaysia Boleh! Dia melaungkannya beberapa kali. Kesemua mereka tersenyum dengan telatah Yusuf.

Dalam hati tua mereka, tersisip rasa bangga dengan angkasawan pertama negara itu kerana berjaya merealisasikan hasrat negara. Hadiah ulang tahun ke-50 merdeka, bisik Pak Sahar kepada teman-temannya. Linangan air mata membasahi pipi berkedut mereka. Bertuah rasanya menjadi warga Malaysia. Terima kasih Sheikh Muszaphar! Malaysia Boleh! Malaysia memang boleh!

Sunday, October 28, 2007

Hati Seorang Abah

SATU

DIA pernah marahkan abah. Kalau bukan kerana abah, pasti dia tidak akan tercampak di situ. Bergelumang dengan debu pepasir, terkejar ke sana ke mari hingga lelah mengurus diri. Memang abah punca keberadaan dia di situ. Keputusan abah ibarat batu besar menghempap diri. Dia diserang amarah tidak terluah apabila abah menyuarakan keputusan.

“Adik harus patuh kata abah. Kalau kata abah adik sanggah, abah terpaksa jadikan ia satu perintah.”



Mengapa abah begitu berkeras? Sedang pintanya tidaklah seruwet mana untuk ditunaikan. Dia hanya mahu menyusul jejak abang-abang dan kakak-kakaknya memilih haluan hidup atas tangan sendiri. Itu sahaja, takkan itu pun abah tidak mengizinkannya. Bukan tiada yang sudi membela dirinya, tetapi sikap abah yang membatu diri, memekak telinga dan menuli gegendang menghalang ibu dan adik-beradik mempertahankan pilihannya.

“Manusia dikurniakan dua telinga dan satu lidah supaya dia mendengar dua kali dan berbicara satu kali.” Dia mencenung wajah tenang abah, cuba memahami maksud kata-kata abah.

DUA

“Luqman, kamu harus cepat. Kita tidak akan dapat mengikuti kelas jika tidak segera.” Lambat baru dia menoleh Elyath yang memeluk erat bahunya. Gontai menghayun langkah, keluh terpacul daripada bibir. Mengingat dia dihalau pensyarah kelmarin, akibat terlewat tiba di dewan kuliah hatinya bertambah sakit pada abah. Dia belum mampu menyesuaikan diri di bumi itu biarpun sudah hampir sebulan dia menyandang gelar siswa Al-Azhar cawangan Kaherah.

Dia sudah letai berurusan dengan masyarakat tempatan di situ apalagi segala urusan pengajian harus diberesi sendiri. Minggu sudah dia berurusan di Madinatil Bu’uth untuk urusan menyambung visa pelajar. Seawal jam enam setengah dia menapak ke perhentian bas. Sudahlah keletaian menunggu bas yang tidak mempunyai waktu perjalanan tetap, perut bas pula sendat melebihi tin sardin hingga dia terpaksa berhimpit rapat dengan penumpang lain yang punya perangai entah apa-apa – terjerit-jerit apabila berkomunikasi antara satu sama lain. Bas juga tidak berhawa dingin, ditambah jalan raya yang senantiasa sesak, hingar-bingar dengan bunyi hon – masing-masing keras kepala mahu tiba dahulu tanpa mahu patuhi peraturan lalu lintas. Selamat tiba ke destinasi telefon bimbitnya pula kecopetan.

Hampir setiap hari dia menghubungi ibu mengadu kesulitan yang dihadapi, tidak putus juga dia memohon bantuan ibu agar memujuk abah membatalkan keputusannya. Namun setiap kali itulah abah menitip pesan, “Adakalanya kita perlu menangis agar kita tahu bahawa hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan ada kalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menilai mahalnya setitis air mata. Kalau adik tidak rasai kesulitan hari ini, adik tidak akan rasai kemanisan kemudian hari.”

Ah! Abah hanya tahu berfalsafah, bukannya mahu memahami masalah. Semenjak itu dia tidak lagi mahu berbicara dengan abah apabila menghubungi keluarga. Terasa marahnya pada abah kian membara.

TIGA

Ramadan yang bertandang menyingkap hikmah keputusan abah. Dia mula sedar bahawa abah tidak pernah silap dalam menentukan masa hadapannya. Orang tua biasanya menilai sesuatu berdasarkan mata dan imannya, sedang orang muda hanya menilai melalui matanya sahaja. Bukankah orang tua sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka?

Ternyata Ramadan di situ lebih meriah daripada Aidilfitri di bumi Malaysia. Dari celah fanus yang bergantungan pada setiap penjuru rumah dan bangunan-bangunan bagai terasa cahaya pembentukan syakhsiah yang mulia. Meski pernah diajar abah suatu ketika dahulu, dia kini kembali melazimi amalan menjaga solat lima waktu berjamaah, bertadarus al-Quran, berzikir – memperbanyak selawat ke atas Nabi saw, solat tarawih, berqiamullai dan muhasabah diri. Saat itu, jiwanya hidup atas kebesaran Tuhan yang selama ini dibutakan.

Pada kemerduan alunan mashaf yang dibacakan dalam sembahyang membuatkan jiwa rohaninya betul-betul mempunyai keterikatan pada Allah swt. Marahnya pada abah lebur dalam satu juz alunan Al-Baqharah. Meski kaki terasa penat, nafas terasa lelah berhimpitan, dia tegak berdiri, sedikit pun tidak berganjak meninggalkan saf. Dia jadi cermat memandu emosi agar tidak keluar dari saf akal yang dibumbu nafsu.

Pada maidah ar-rahman yang dijamah, dia temui keteguhan ukhwah, sifat meringankan beban yang susah dalam huluran sedekah.

Betapa besar limpahan nikmat dan kasih sayang Tuhan yang terkandung dalam hidup yang diberkati. Dan dia cukup tahu, ia tidak datang begitu sahaja. Perlu ada usaha dan kesungguhan mendapatkannya. Melalui hari-hari Ramadan, berembesan manik jernih dia mensyukuri hidup di lantai Kaherah.

Benar abah tidak salah, dia yang silap memahami. Pada debu pepasir yang menjerba dia menilai ketulusan keputusan abah, menyalin ketabahan tentera Islam yang menjulang panji kemenangan dalam peperangan Badar 17 Ramadan 2 Hijrah. Jumlah seteru yang jauh lebih besar bukan bermakna mereka akan tewas, sedang senjata manusia beriman adalah doa pengharapan kepada Tuhan Yang Esa. Begitu dia mencantum persamaan; kerumitan yang wujud bukan penyebab dia berputus asa. Dia mahu lahir sebagai pejuang di bumi kelahiran Musa as.

EMPAT

Dia tercegat di kaunter bagasi. Menanti ketibaan barang-barang yang di kargo sebelum berlepas kelmarin sambil rongga trakea menyedut dalam-dalam oksigen tenang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Aromanya yang jauh berbeza dengan geger kota Kaherah mengundang ketenteraman jiwa.

Kedengaran pengumuman ketibaan bagasi. Kelibat barang-barang yang berpusing memakai tanda CAI – KUL jelas di hadapan. Kira-kira 15 minit dia akan menaiki train ke balai ketibaan cukup untuk dia melangsai zikir dan doa penghujung Syaaban melangkaui angka puluhan. Sesekali korneanya menangkap isi kandungan telegram abah di tangan.

Tiba di balai ketibaan, abah sudah menanti.

“Assalamualaikum, bakal pejuang.” Abah menghulur tangan. Dia menyambut kejap membawa ke hidung. Tubuh abah dirangkul erat bersulam rasa terima kasih yang sarat.

“Bagaimana sekarang?”

“Alhamdulillah, semakin baik. Berkat kedatangan Ramadan terdahulu adik sudah boleh menyesuaikan diri. Banyak perkara yang dipelajari. Kesulitan mengajar manusia bahawa lorong seorang pejuang jalannya berliku.” Abah tersenyum. Rangkulan terlerai, rindu berpapasan pergi.

“Baguslah. Abah dengar, durian yang ditanam masak elok di padang sahara. Bau yang enak belum tentu menjamin isi dalamnya. Manalah tahu enak hanya pada baunya, tapi isinya lompang. Bagi memastikan, abah mahu belah dan rasai manis ranumnya.” Dia mencenung abah dengan cepu kepala masih terisi tanda tanya.

Kepulangan dia ke tanah air setelah hampir tiga tahun bermukim di bumi Musa atas permintaan abah. Apabila ditanya, jawapan abah tetap macam dahulu sarat dengan falsafah yang memerlukan kepada tafsiran kata-kata lain. Berpaling pada ibu, ibu segera menyatakan yang abah mahu rasai pengalaman Ramadan bersamanya.

LIMA

Petang menjelang Ramadan di kampung, abah membawa dia menjenguk madrasah. Memperkenalkan pada Imam tua di kampung. Abah bersungguh-sungguh membantu jamaah madrasah bergotong-royong membersih madrasah yang sederhana besar kawasannya.

“Sudah lama madrasah ini sunyi Haji, elok juga kalau kedatangan Ramadan kali ini diserahkan pada orang muda. Saya pun sudah terlalu tua, kalau mengajar orang-orang kampong sudah jemu. Untung ada orang muda. Orang muda ni lain Haji, kudrat kuat, akal pun cerdas. Tambahan pula mengaji di Negara Arab, banyak yang tersimpan dalam kepalanya tu.” Senyum abah melebar mendengar kata-kata Imam Sidek, sedang dia berkordial di tangkai hati masih cuba memahami falsafah abah kelmarin.

Ramadan musim itu dia diawasi abah. Waima tidak semeriah di Kaherah, Ramadan tetap indah bersama abah. Rutinnya banyak dihabiskan di madrasah. Sebelah pagi sesudah subuh, memberi kuliah. Menjelang tengah hari, dia disuruh abah membetulkan bacaan al-Quran penduduk kampung. Manakala apabila sore menjelang, dia akan mengepalai majlis tadarus al-Quran. Kala malam menjelma dia mengimami sembahyang Tarawih dalam qiraat Hafs satu juz satu malam. Usai tarawih abah merencana kelas agama untuk dia kendalikan bagi santapan penduduk.

Masanya banyak dihabiskan bersama abah. Jika dia mengendali kelas, abah akan duduk di belakang jemaah. Terkadang, iris dan korneanya menangkap senyum di bibir abah dari kejauhan.

ENAM

“Kenapa tidak kejut abah tadi?” Abah baru selesai berwuduk menyua pertanyaan kepadanya sebelum tertib mengangkat takbiratul ihram.

“Adik ingat abah tidak mahu qiamullai,” dia menjawab tenang keharuan dengan kesungguhan abah mahu merebut malam Lailatul Qadar di akhir sepuluh Ramadan.

“Adik lupa, Nabi bersabda: Siapapun mengintainya, maka hendaklah dia mengintai pada malam ke dua puluh tujuh.”

Dia mengangguk memahami maksud abah. Meniti malam-malam terakhir Ramadan adalah kesempatan emas bagi umat Muhammad saw untuk meraih keutamaan ibadah yang sangat istimewa dengan modal ketekunan maksimum. Dan keutamaan yang istimewa itu dilipat gandakan pahala ibadah seribu bulan.

Dia menyeka kolam mata dengan kura tangan apabila mendengar patah-patah bicara abah menitip doa dan munajat yang diiringi empangan jernih yang pecah. Terasa dekatnya abah dengan Allah SWT sebagaimana dia mencari diri di permulaan Ramadan di bumi Kaherah. Cukup besar harapan dia agar doa dan munajat abah dimakbulkan dengan keberkatan sepertiga malam di hujung Ramadan yang berlimpahan rahmat.

“Ramadan hanya tinggal sehari. Esok atau lusa kita akan beraya. Entah bertemu lagi dengan Ramadan atau tidak di tahun akan datang. Sayang, biarpun ramai yang mengetahui kehebatan bulan ini tetapi kesempatan Ramadan hanya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Tujuh hari kita berpuasa sudah banyak kempen menyambut hari raya.” Kata abah kedengaran di telinganya apabila lembar mashaf ditutup. Cerlang matanya dihalakan pada abah mohon pengertian.

“Keingkaran manusia terhadap agama hari ini adalah akibat daripada keterasingan agama dalam kehidupan alamiah, sehingga manusia tidak merasakan erti agama kecuali dalam sembahyang Jumaat, ketika azan dikumandangkan dan ketika Ramadan.”

“Maafkan abah kerana pernah memaksa adik akur pada kehendak abah.”

TUJUH

“Adik, waktu berbuka hampir tiba.” Lembut suara ibu singgah di corong telinganya. Dia mengangkat wajah lalu sinar matanya mengambus dua musim Ramadan yang berlalu bersama abah dan pengalaman di lantai Kaherah.

Dia duduk membetulkan posisi tafakur memperkemas layar ingatan pada seraut wajah yang telah pergi. Moga dua musim Ramadan yang berlalu tidak sekadar mentradisikan agama. Mengakui kata-kata abah, agama bukan falsafah. Tetapi dengan merenungi falsafah akan bertambahlah iman dan agama seseorang.

Dia menghantar gugusan doa dan jambangan al-Fatihah untuk abah pada malam terakhir Ramadan. Syawal kali ini terasa pilu tanpa kehadiran abah.

Glosari:

Fanus: lampu yang dinyalakan oleh masyarakat Mesir di rumah-rumah atau bangunan bagi meraikan kedatangan Ramadan.

Maidah ar-rahman: juadah berbuka puasa yang disediakan oleh golongan tertentu di Mesir bagi menjamu tetamu terutamanya orang asing.

BIODATA

SAMMAITUHA NAJWA, nama pena bagi Siti Khadijah Abd Ghaffar yang dilahirkan di Negeri Sembilan dan kini menuntut

di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Menulis dalam genre puisi dan cerpen. Karyanya pernah mendapat tempat dalam Berita Minggu, majalah Tunas Cipta, Nur dan Dara.com, serta radio IKIM.fm. Beberapa karya beliau turut dimuatkan dalam Antologi Cinta Dan Rona Kinanah, Komik Lagenda, Gema Negeri, Suara Kampus, Warta dan Suara Hewi serta Pertubuhan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Beliau adalah peserta Bengkel Penulisan Musim Panas Karyawan Muda Luar Negara 2007 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sunday, October 7, 2007

Paha Mak Datin

SAHUR

Mungkin malam Jumaat itu lailatulqadar kecil, antara malam sepuluh terakhir Ramadan. Abdul tiba-tiba tersedar dari bunyi dengkurannya sendiri, melihat jam. Masih sempat bersahur, belum subuh lagi. Abdul tidak pernah bangun bersahur Ramadan kali ini, sejak isterinya balik Malaysia untuk bersalin anak kedua dalam bulan Syaaban. Jadi orang bujang, memang malas nak bangun dan masak.

Tetapi entah mengapa dia terasa lapar awal pagi Jumaat itu. Lantas basuh muka, hanya memakai kain pelikat, walau jarang berbuat demikian dalam apartmentnya. Lebih senang berseluar dalam sahaja, terasa bebas sebebasnya. Keluar dari bilik tidur dan menuju ke dapur. Melihat lampu ruang tamu apartmennya masih terpasang. Terdengar juga suara dari peti TV.

Tak semena-mena Abdul terpandang seseorang sedang lena di atas sofa panjang. Baru Abdul teringat yang dia ada tetamu dari Malaysia, sepasang ahli perniagaan Bumiputera yang dikatakan cukup berjaya dalam industri produk herba dan kosmetik tradisional. Jenama Noni Ranggi. Mereka baru tiba petang semalamnya. Datin Nona dan suaminya, Haji

Rosyam.

Pagi Jumaat itu, dalam mengantuk dan lapar, selain berpuasa zahir dan batin, sepasang mata bundar Abdul tidak dapat mengelak daripada menoleh.

Dan lama terpaku melihat ke arah mak datin yang sudah berusia enam puluhan itu. Awet muda seperti iklan produk kosmetiknya. Terbaring dan terselak baju kebayanya. Terselak peha yang memutih.

Joging

Sebaik Abdul masuk ke apartmen, Jibeng sudah ada dan menonton TV, program muzik Itali, iaitu GayTV. Antara 500 rangkaian TV percma dari satelit Hotbird dan Nilesat. Jibeng adalah staf Noni Ranggi yang dihantar ke UAE untuk mengembangkan bisnes ke Timur Tengah.

"Baru balik dari Subuh kat masjid ke? Lamanya?" Tanya Jibeng sebaik memeluk Abdul, sebagai tanda kemesraan dan persaudaraan.. Memang Jibeng sebegitu sejak duduk di UAE, meniru budaya Arab. Cuma tidak bergesel hidung.

Abdul yang masih agak mengantuk, menjawab, "Lepas masjid terus pergi joging...!"

Tidak pasti kenapa dia menjawab sebegitu. Bulan ramadan pun mahu berbohong sunat.

Abdul sudah bertahun tidak berjoging. Perutnya sudah jalan ke depan. Sebenarnya dia tertidur di masjid setelah terasa amat berat untuk balik ke apartmen. Itulah juga kali pertama di bersolat Subuh di masjid berdekatan rumahnya, sejak pindah ke kawasan Karama tiga tahun lalu.

Jibeng ketawa, percaya itu jenaka Abdul.

"Joging bulan puasa ini?"

Abdul juga ketawa untuk mengelak pertanyaan lanjut, tetapi hidungnya terbau sesuatu. Bau masakan mee segera. Muncul Datin Nona dan Haji Rosyam dari dapur. Kelihatan terkejut. Abdul terkasima. Datin masih berkebaya, sementara Haji Rosyam agak releks dalam seluar bermuda. Memang Haji Rosyam, suami ketiga Datin jauh lebih muda, belum

pun lima puluh tahun.

Suasana sepi seketika. Sebelum masing-masing tersenyum dalam seribu pertanyaan merangsang peraliran darah dalam otak Abdul yang semakin kebingungan. Fikirannya menjadi lebih tidak tenteram dengan lirik senyuman Datin dalam berkebaya begitu. Diikuti kumat-kamit daripada mulut Datin yang kabur dari pandangan Abdul.

Mencelah Jibeng yang kelihatan serba-salah, "Kau tahu Abdul, semalam aku Tarawih dan qiyamulail kat Masjid Bukhatir Sharjah, memang meriah. Melimpah masjid sampai ke jalan-jalan. Macam kat Masjidil Haram dan memang sedap bacaan Imam Bukhatir... boleh menitiskan airmata!"

Tetapi Abdul sekadar mengangguk lesu. "Maaf, saya nak tidur, mengantuk sungguh ni!"

Iftar

Loceng pintu berbunyi. Abdul membuka. Haji Rosyam dan seorang lelaki yang terpinga-pinga.

“Ini Larry, rakan bisnes saya.!" Haji Rosyam memperkenalkan lelaki tersebut.

Datang Jibeng dari dapur. Memeluk Larry sambil berkata tersipu-sipu, "Tengah masak dengan Datin!"

Tanpa berkata apa-apa, Abdul terus sahaja ke bilik tidurnya.

Larry tersenyum, memandang keliling apartmen. Masih terpinga-pinga. Melihat Haji Rosyam yang segera menonton TV, Larry yang baru mendarat dari Kuala Lumpur menyandar keletihan. Larry dalam sedar tidak sedarnya, teringat Haji Rosyam ada beritahu yang buka puasa atau iftar hari itu akan diadakan di apartmen sewaannya di Dubai.

Sebelum mengetuk pintu apartmen, Larry terlihat Haji Rosyam ada berkumat-kamit. 'Baca doa', kata Haji Rosyam, "Untuk halau hantu...!"

Larry, peranakan Portugis Melaka yang sudah agak sebati dengan budaya Melayu dan agama Islam sekadar mengangguk. Walau hatinya berdetik, setahunya sejak kecil lagi, dalam bulan Ramadan semua syaitan dan iblis diikat. Mana ada hantu berkeliaran. Mungkinkah hantu di tanah Arab mendapat pengecualian. Memang dia tahu, seperti mana yang diberitahu kawan-kawan Melayu yang ada hantu seperti toyol berasal dari tanah Arab.

"Berapa sewa apartmen ni tuan haji?" Larry cuba menghidupkan suasana. Dia teringat Haji Rosyam berkata dalam perjalanan tadi yang banglo bestari barunya yang akan dibina di Country Heights, sekurang-kurangnya berharga RM10 juta.

Haji Rosyam tidak menjawab, tiba-tiba berkumat-kamit. Sedetik itu, Larry juga tiba-tiba jadi malas untuk berfikir lanjut. Fikirannya kembali kosong. Semakin letih dan lapar. Bau masakan dari dapur juga menambah godaan. Larry turut berpuasa hari itu seperti biasa sejak bertahun lalu.

Mesyuarat

"Memang bagus mesyuarat hari ini!"

Abdul mendengar Datin bercerita sambil memandu Toyota Pradonya di jalan raya kawasan Deira yang semakin kesesakan waktu warga Dubai pulang daripada kerja. Mengejar waktu iftar. Waktu ini juga statistik kemalangan jalanraya paling tinggi sepanjang tahun. Pemandu pelbagai bangsa yang kelaparan mungkin hilang kewarasan dan berlumbaan ke

tanah perkuburan. Seakan satu fenomena, ramai orang mahu syahid di jalan raya dalam bulan Ramadan.

"Sempat Datin baca sajak sebelum mesyuarat....!" Mencelah Jibeng yang jadi co-pilot.

"Orang Arab, suka sajak-sajak ini, jadi saya secara spontan buat sajak. Terpaku Arab-Arab itu, apalagi bila beritahu saya pun ada darah Arab!" Bangga Datin Nona bercerita sambil membetulkan selendang dan baju kebaya batiknya. Memang nama penuh Datin Nona ialah Sharifah Nona Al Hapraqi yang didakwa, salasilah keturunannya berasal dari

Hadramaut.

"Banyak soalan-soalan bagus daripada mereka, insya-Allah, projek rekaan dalaman istana terapung ini akan jadi milik kita!" Haji Rosyam menokok dengan yakin. Dia mendapat tahu tentang projek ikonik Dubai itu daripada Jibeng, yang mendapat tahu daripada Abdul, yang bekerja sebagai jurutera awam di syarikat pemaju projek terbabit.

Abdul berusaha mendapatkan maklumat daripada mereka yang berkaitan dengan projek di kalangan kawan-kawan sekerjanya. Kebetulan dia rapat dengan Jibeng yang selalu ditemuinya berjumaat di Masjid Qasba, satu-satunya masjid berkutbah dalam bahasa Inggeris. Mereka mahu membuka bisnes sendiri di Dubai yang sedang pesat membangun dan

mengambil banyak peluang bisnes. Mereka mengintip-ngintip apa saja peluang untuk jadi jutawan.

Lantas Jibeng segera memberitahu bosnya, Haji Rosyam yang kemudian mempengaruhi Larry supaya datang ke Dubai. Walau syarikat Noni Ranggi tidak terlibat langsung dalam rekaan dalaman.

Sementara Larry Cuma diam sambil meninjau Dubai, walau dia sebenarnya yang menjadi teraju utama presentasi. Pertama kali dia berdepan dengan orang Arab dalam satu perbincangan teknikal dan bisnes. Sebenarnya tanpa persiapan yang rapi kerana dia kurang tahu mengenai urusan bisnes di Dubai. Malah pertama kali juga ke sebuah negara Arab. Ekspektasinya berbeza dan penuh teka-teki.

Cuma bersetuju setelah dipujuk Datin Nona dan Haji Rosyam, yang berjanji akan melunaskan semua hutang lapuk projek sekiranya dia mahu menjadi rakan bisnes.

"Saya kenal semua bos besar kat syarikat itu, kenal ramai syeikh, kita boleh dapat sub-kontrak projek mega ini!" Teringat kata-kata Datin Nona beberapa hari lalu iftar bersama di kelab golf Kelana Jaya.

Larry kenal kedua-dua usahawan Bumiputera ini sejak mendapat projek untuk rekaan dalaman ibu pejabat Noni Ranggi yang eksklusif di Bangsar. Projek berharga lima juta itu masih belum dibayar sesen pun, walau sudah lima tahun siap. Setiap kali dituntut, setiap kali itu juga janji baru dibuat. Peliknya, Larry tidak pula mengambil tindakan mahkamah.

Dengan keadaan bisnes yang sedikit kurang menentu akhir-akhir ini, Larry berhajat juga mencari peluang baru. Cuma agak berat untuk mengikut pelanggan yang masih berhutang. Hutang lapuk pulak.

Tetapi, sebaik Larry terasa sentakan daripada kumat-kumat mulut Datin Nona menyentap hatinya, Larry terus bersetuju apabila Haji Rosyam berkata, "Semua perbelanjaan kami, tiket kapal terbang, duit belanja, duit membeli-belah, makan minum, kamu tanggung...!"

70%-30%

Diskusi mereka mengenai bisnes dan pembahagian keuntungan sekiranya mendapat projek agak panjang. Mulut Datin Nona sentiasa berkumat-kamit seakan berzikir tak henti-henti, Haji Rosyam saja yang bercakap. Berlagak seperti seorang ahli politik yang berkecimpung dalam bisnes.

Ada pertengkaran sengit. Haji Rosyam berkeras mahu pembahagian 70% untuk dia dan Datin Nona, manakala untuk Larry hanya 30%, walau semua kos perbelanjaan mesti 100% daripada Larry. Projek itu mungkin bernilai RM100 juta.

Entah mengapa pada malam 27 Ramadan itu, Larry seakan-akan tersedar daripada khayalan yang panjang, mungkin suasana Ramadan yang penuh kerohanian di daerah metropolitan tanah Hijjaz memberi pengalaman baru kepadanya. Sewaktu dari Malaysia lagi, dia seakan berada dalam dunia lain. Dia tidak banyak bicara selain mengikut sahaja arahan Datin Nona dan Haji Rosyam. Macam orang bodoh.

Awal lagi, kedua-dua pasangan itu keberatan untuk membenarkan, tetapi Larry berkeras juga mahu tinggal dua tiga hari lagi. Lagipun Larry mahu bercuti sekejap sambil melihat aktiviti pembinaan pesat Dubai yang cukup hebat.

Akhirnya Datin Nona dan Haji Rosyam terbang balik ke Kuala Lumpur seperti yang dijadualkan. Jibeng sama mengikut bos kerana Aidilfitri juga menjelang tiba.

Sebelum terbang, Larry sempat menerima SMS daripada Haji Rosyam, 'Boleh bagi lagi RM500, nak beli-belah untuk anak-anak!"

Tetapi entah kenapa Larry tidak berasa mahu mematuhi arahan seperti sebelum ini. Terlerai bayangan rasa takut. Bertukar menjadi tidak peduli. Tidak juga menjawab panggilan dan SMS. Tidur selenanya sampai tengahari di hotel.

Sebaik bangun, melihat iklan hartanah di TV, Larry terus saja teringat kepada Abdul.

Dia mencari-cari nombor telefon tetapi tiada dalam rekod telefon genggamnya. Larry dan Abdul tidak berinteraksi dan berkomunikasi secara langsung, semuanya melalui Datin Nona, Haji Rosyam dan Jibeng.

Suratannya, terjumpa dengan Abdul di Plaza Komputer berdekatan hotel tiga bintangnya. Hotel yang memang popular di kalangan pelancong kerana kalau di luar bulan Ramadan, dipenuhi kupu-kupu malam dari pelbagai negara. Pelancong yang melencong.

Di Plaza Komputer yang mungkin sepopular Low Yat kalau di Kuala Lumpur itu, Larry sekadar mahu melihat-lihat produk terbaru, manakala Abdul mencari alat projektor TV.

Mereka bertembung di eskalator.

"Kau Abdul bukan? Pemandu dan penjaga apartmen Noni Ranggi?"

Abdul menoleh. Kehairanan melihat satu wajah yang seakan-akan pernah ditemuinya atau dikenalinya. Tetapi tidak pasti siapa dan bila. Mungkin dalam siri mimpi basahnya dalam bulan Ramadan kali ini.

Malam Raya

Iftar anjuran persatuan siber ekspatriat Malaysia di UAE yang dibuat di Taman Mushrif itu memang meriah buat Abdul. Walau pertama kali bersendirian tanpa keluarga, dan merindui amat sangat isteri dan anak-anak, Abdul terhibur dengan ramai kawan-kawan senasib yang berhari-raya di perantauan sekian kali.

Sebaik pengumuman raya, bertambah meriah dengan hilai ketawa bersama lagu-lagu raya klasik. Berselang-seli takbir raya ala-Melayu. Membawa ingatan jauh ke kampung halaman. Keluhan dendang perantau. Apalagi setelah melalui peristiwa sepuluh hari terakhir Ramadan.

Di antara ramai yang berkumpul, Abdul dan sekumpulan ekspatriat membujang tanpa keluarga, mengelilingi Larry. Mereka penuh konsentrasi mendengar Edisi Siasat versi Dubai.

"Setelah membuat sedikit penyiasatan melalui Internet dan maklumat seorang kawan di Bukit Aman, terbongkar yang Haji Rosyam itu dulu toy boy Datin Nona. Mereka hanya kahwin lepas kena tangkap basah. Syarikat Noni Ranggi yang bertukar kepada pemasaran multi-level mereka juga sedang dalam proses kemuflisan. Termasuk tidak bayar caruman

KWSP bertahun-tahun, gaji selalu lambat bayar. Produk kosmetik mereka selama ini rupanya tepung, tanah liat, daun-daun, ranting dan telur sahaja... memang usahawan hebat Bumiputera glokal yang berjaya MENIPU secara MEGA!"

Mendengar cerita Larry, Abdul bertambah sedih menyambut raya. Itupun masih belum memberitahu isterinya lagi, kalau isterinya di Kuala Terengganu dapat tahu, tentu Abdul boleh saja jadi nasib Tiga Abdul. Tidur dalam kandang kuda.

“Tetapi yang paling-paling memeranjatkan...!" Larry terhenti seketika, menarik nafas. Menimbulkan unsur suspen. "Ialah si Jibeng yang mengaku seorang duda, tetapi nampak kalau ada kesempatan nak meraba-raba Abdul, terutama masa Abdul memandu, rupa-rupanya seperti yang diberitahu oleh rakan-rakan Arabnya di sini, jangan terperanjat, seorang

gay!"

Serentak hilai ketawa daripada yang mendengar. Ramai yang kenal Jibeng, memang cukup berbudi bahasa dan lemah lembut. Kaki masjid lagi. Abdul kelihatan kemerahan menahan malu.

Sambung Larry, "Jibeng pernah mahu mencium bibir seorang rakan Arabnya....!"

Ketawa semakin kuat. Memang melucukan untuk mereka yang kenal kelembutan si Jibeng.

Cuma Abdul yang terdiam. Masih belum dapat mempercayai apa yang didengar.

"Jadi selama ini kau memang tak sedar langsung apa yang berlaku seminggu ini?" Larry bertanya lagi. Larry sama terpaksa menyambut raya di Dubai kerana tarikh raya di Dubai sehari lebih awal daripada jangkaan. Raya mengejut kerana anak bulan tiba-tiba kelihatan di luar jangkaan ahli falak.

Sambil jari-jarinya menulis SMS balasan kepada isteri, Abdul bercakap dengan suara perlahan, dalam takut-takut, seakan-akan isterinya sama di situ mendengar. Lebih daripada itu, seakan-akan masih saja dalam bayangan pukau seorang mak datin enam puluhan yang masih awet muda, seksi dan sensasi.

"Yang aku ingat dari hari pertama mereka di Dubai, sampai malam raya ini, hanya paha mak datin!"