Sunday, February 17, 2008

Cerpen: Hujan itu merah, Ben



(Alfatihah untuk Allahyarham Benazir Bhutto dan Allahyarham Dr. Norrihah Takuan)


KECUALI casuarina, sehingga ditimbuni salji pada perdu dan setiap helaian rerambut daun, pokok itu masih tegar menempuh keadaan, walhal pokok lain sudah lama gondol dan gigil dirempuh musim dingin menggila. Ia seperti Ben, manusia berlian yang tidak kenal erti ketakutan. Punya semangat: kejap, keras dan kental, fikir Zal.

“Ben mahu pulang. Ben mesti pulang. Demokrasi mesti ditegakkan. Itu tanggungjawab Ben. Itu janji Ben kepada bangsa yang memerlukan kepimpinan yang adil.” Bertubi-tubi suara Ben memahat ikrar.

Dari celah pagar pokok toyad berdaun kecil selebar jari telunjuk setinggi kepalanya berdiri, Doktor Zaleha memerhati ke rumah jiran sebelah. Pada waktu begini Ben sering membaca di meja taman. Selama 13 tahun tinggal di kawasan elit di timur laut kota London, jirannya orang putih belaka. Melihat Ben, Zal seakan-akan berada di Kuala Lumpur dengan rakyat berbilang kaum.



“Hai Zal,” tiba-tiba suatu suara menyergah. Zal terkejut. Wanita tinggi lampai itu melihatnya dari atas cermin mata yang diturunkan ke tengah hidung. Sepemeluk buku setebal empat lima inci, memenuhi kedua-dua tangannya yang gebu berkulit halus putih kemerahan.

“Saya akan pulang minggu depan,” wanita itu meletakkan buku-bukunya di atas meja dalam taman rumahnya. Itu kali terakhir Zal bertemu dan berbicara dengan wanita yang berjaya menakluki hati manusia sejagat dengan karisma, kecerdikan, ketokohan, pengaruh dan kehebatannya.

“Kau betul-betul mahu pulang, Ben?” Berkerut dahi Zal membayangkan sesuatu yang tidak enak.

“Ya. Kenapa? Zal tentu fikir saya tidak perlu pulang.” Dia membetulkan kemasan tocang yang menjulur selari dengan alur tulang belakangnya.

“Ben di sini sudah cukup selamat. Suami, anak-anak, kemewahan ...” tiba-tiba Zal tidak dapat meneruskan pujukan. Ada sesuatu yang menghalangnya daripada menyenaraikan hal remeh-temeh itu. Sebagai profesional dan punya pendidikan tertinggi; suami, anak-anak dan kemewahan tidak diletakkan di tempat pertama dalam tajuk perbualan, sebaliknya politik dunia menjadi mainan kata-kata.

“Anak, isteri dan harta benda ialah perhiasan dunia semata-mata. Semua itu akan tinggal apabila seorang lelaki pergi. Sekarang saya ingin tambah: suami, anak-anak dan kemewahan ialah zuriat dan harta yang bakal diwarisi dan mewarisi apabila saya pergi. Semuanya akan jadi jambatan kesinambungan perjuangan saya.”

Ben teringat kata-kata seorang wartawan jika dia pulang apakah hidupnya akan berakhir dengan tragedi seperti drama Greek? “Tidak semua drama Greek berakhir dengan tragedi,” dia segera memintas.

Zal terkedu. Benar kata Benazir, fikirnya. Namun dia masih mahu memujuk. Dia akan menyesal jika tidak berusaha menahan kepulangan Ben.

“Kau begitu yakin, Ben? Ayah, adik-adik dan ramai pemimpin lagi diragut tragedi,” Zal yang mengajak Ben menikmati minum petang di pekarangan rumahnya pada musim bunga bulan Mei lalu, masih mencuba. Namun Ben berkeras mahu pulang ke negaranya selepas puluhan tahun dalam buangan. Visanya: Saya diberi keampunan oleh pemerintah. Peluang jarang datang dua kali.

“Kau tentu rindukan keluarga, sepupu, saudara-mara, rakan sekolah, perayaan dan budaya hidup yang meriah. Tetapi apabila ada hal yang lebih memungkinkan berlaku, baik kau lupakan saja semua itu untuk sementara. Sementara menunggu yang cantik dan damai menguasai kehidupan di sana. Jangan memilih kehidupan yang berbahaya Ben. Hidup dan berjuang untuk....” Zal tidak mampu membayangkan sesuatu yang tidak enak dalam benaknya. Jauh di sudut hatinya, dia rasa bertanggungjawab menasihati Ben. Tanggungjawab sesama insan. Ben dianugerahi Allah segala keistimewaan. Zal tidak mahu segala yang baik itu berkubur bersama mayat demokrasi yang mahu Ben hidupkan.

Ben menyimpul tocangnya menjadi sanggul tertonggok manis di tengkuk. Dia menggapai tas tangan berwarna perak keemasan di kerusi bersebelahan, lalu mengeluarkan pena dan kertas. Penanya menari-nari di atas kertas yang mengepak rancak diusik pawana musim bunga. Saya tidak memilih kehidupan begini, tetapi kehidupan yang memilih saya untuk jadi begini. Pergolakan di negara saya cerminan hidup saya. Negara saya bukan negara biasa dan kehidupan saya bukan kehidupan biasa. Dia menghulurkan kertas itu ke tangan Zal. Zal membelek bait-bait kata dalam bahasa Inggeris itu. Tulisannya tegak, namun cantik dan kemas.

“Tiada siapa dapat menghalang saya daripada pulang.” Tangannya menatang sepiring Double ka Meetha. “Saya buat sendiri,” Ben meletakkan pinggan sederhana besar itu di sebelah piring berisi karipap daging yang masih suam. Double ka Meetha popular di Hyderabad. Dibuat daripada roti yang dipotong kecil, digoreng dengan minyak sapi, direndam dalam susu mendidih campur gula. Boleh dimakan dengan kacang badam atau chova. Ben mencapai sekeping karipap yang disajikan Zal, lalu mengunyah.

“Zal, demokrasi sudah mati di tanah air saya. Itulah yang ingin sangat saya hidupkan.” Tekaknya bergerak menelan karipap yang sudah dikunyah.

“Demokrasi pada pandangan saya sealiran Islam. Kematian demokrasi turut mengkucar-kacirkan ajaran agama. Ramai pemimpin menggunakan kuasa dan agama untuk kepentingan diri. Selain tidak diberi pendidikan secara menyeluruh, wanita tidak dilayan secara Islam. Budaya dijadikan topeng menghalalkan yang haram.” Ben menanggalkan cermin matanya lalu menekap dahi dan pipi serta bibir dengan kertas tisu.

“Berat sekali tuduhanmu. Tidak tertanggung telinga mendengar dan tidak terangkat pundak menanggung.” Zal tunduk. Jemarinya menguis-nguis saki baki meetha di dalam piringnya.

“Semua itu fakta, bukan tuduhan. Dalam Islam yang membunuh dihukum qisas. Tapi di negara saya yang dituduh rasuah (ayah contohnya) dihukum gantung sampai mati.” Sampai di situ, suara Ben yang tadi jelas dan nyaring, kini berbaur sebak dan serak. Zal turut merasakan kesedihan itu. Dia mengangkat tangan, lalu merangkul bahu Ben.

“Ben akan kembali menuntut bela kematiannya. Saya mengerti. Pulanglah Ben.”

“Saya akan pulang dan membalas dendam. Balas dendam terbaik ialah dengan menegakkan demokrasi yang sudah tumbang.” Ben menancap jauh ke dalam anak mata Zal. “Zal masih ingat bagaimana kita bersama-sama menelefon serta menulis surat kepada Pertubuhan Hak Asasi Manusia di Amerika. Saya malu Zal, sebagai penganut Islam di negara Islam kedua terbesar di dunia, saya melutut kepada barat meminta bantuan melepaskan Mai Akhtar daripada laknat budaya yang sama sekali bercanggah dengan fitrah Allah dan hukum Islam.” Waktu itu urat-urat halus berwarna merah mulai menjalar pada putih mata Ben.

Zal mengangkat kepala. Dia melepaskan pelukan lalu memandang Ben yang semakin agresif. “Ya, saya ingat. Itu antara peristiwa yang tidak mungkin dilupakan dalam hidup ini. Kita berjaya membela maruah Mai Akhtar yang sudah musnah itu daripada penganiayaan atas nama budaya.” Terbayang di mata Zal gambar dan berita Mai Akhtar dirogol bergilir-gilir oleh ketua masyarakat, imam serta penduduk di sebuah perkampungan di negara nuklear Ben, atas kesalahan adik lelaki Mai mencintai gadis daripada puak lain. Dia sedih. “Islam apakah yang dianuti ketua masyarakat tempat tinggal Mai?” tiba-tiba pertanyaan yang tidak dirancang itu keluar dari celah bibir Zal.

“Budaya mengatasi agama. Sedang agama yang dinafikan budaya ialah agama Islam. Pemerintah hanya memandang perlakuan hakim dan badan perundangan di negara saya yang tidak mengamalkan proses demokrasi. Betapa sakitnya hati kita apabila ketua masyarakat dan ahli agama di tempat terpencil itu dilepaskan mahkamah setelah didapati mengadakan perogolan bergilir-gilir terhadap Mai.” Ben mengembalikan ingatan Zal semakin kuat dan dekat dengan peristiwa sedih, keji dan jelik itu.

“Anehnya pemimpin tertinggi negara hanya diam. Tidak campur tangan dan tidak melakukan sesuatu bagi menyelamatkan maruah Mai serta tidak menegakkan hukum Islam setelah hukum syarak seolah-olah tidak wujud di kalangan orang-orang yang mengaku Islam. Sehingga Pertubuhan Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Amerika mendesak agar pesalah rogol dihukum (atas desakan kita, Zal), barulah pemimpin masyarakat dan ketua agama terlibat diadili semula.”

Peristiwa hitam dalam kenangan itu cukup hebat menghiris perasaan. Zal bangun dari kerusi yang sudah terasa panas. Air matanya menitis. Dia ingin menghilangkan sebak yang berombak dalam dada dengan memerhati rangkaian kuntum-kuntum mawar yang berayun keras disentuh pawana musim bunga yang tiba-tiba bertiup kuat.

Setelah menelan rakus air mata yang jatuh ke tenggorok, Zal berpaling memandang Ben. “Pulanglah Ben. Pulanglah. Negaramu memang memerlukan kau. Cuma satu permintaan saya.”

“Jaga diri baik-baik? Sudah tentu Zal. Tentu. Zal usah bimbang Pemerintah sudah berjanji akan memberi perlindungan.” Ben mengesat air mata Zal yang bersisa di pipi dengan jari manisnya. “Kaudoakan saya agar selamat. Agar perjuangan dan cita-cita tercapai. Agar pohon demokrasi dapat ditegakkan dan hidup rendang menaungi rakyat tidak berdosa. Agar hukum Islam dapat dijalankan mengikut landasannya. Agar hukum Islam dilaksana bagi melindungi kaum wanita.” Angin musim bunga masih bertiup kencang sehingga mengulang-alingkan deretan kelopak bunga dan daun-daun lavendar serta tulip di atas batas panjang di sebelah pagar; turut mengusai anak-anak rambut Ben yang hitam lebat itu keluar daripada sisiran rapinya. Ben membiarkan saja anak-anak rambut bermain di dahinya yang luas.

Zal kembali duduk. Kali ini bertentangan dengan Ben. “Satu saja permintaan dan harapan saya. Saya akan mengambil cuti panjang. Jika perlu meletak jawatan pun, tidak mengapa. Saya mahu ikut Ben pulang.”

“Oho, ho ho...” Ben ketawa. Gemanya nyaring memeranjatkan dua ekor murai yang sedang mematuk serangga di celah lebat bunga ceri berwarna merah jambu. “Tidak mungkin sampai begitu sekali. Zal terlalu asing untuk seluruh penyokong serta rakyat di negara saya.”

“Saya bukan mahu berkempen atau jadi ahli politik. Cuma mahu sentiasa bersama-sama Ben. Kalau apa-apa terjadi, saya boleh menghulurkan kepakaran.”

Ben terkejut. Di bawah sedar matanya mengerdip beberapa kali. “Tidaklah sampai begitu sekali. Zal tentu setuju jika ditakdirkan saya mati di tangan musuh, kematian itu dengan izin-Nya juga.” Ben mengetuk-ngetukkan hujung jejari tangan kanan ke atas meja. Ben melihat setitis genang jernih gugur ke pipi Zal.

“Tentu ada sebab kenapa Zal bersungguh-sungguh mahu bersama saya.” Dia mengusap belakang Zal, sedang matanya memandang kejauhan pada deretan bunga-bunga lavender ungu dan tulip berwarna jingga di sudut halaman.

Perlahan Zal mendongak. “Sejak kebelakangan ini saya sering bermimpi Ben ditimpa hujan.”

“Bagus sekali mimpi Zal. Bukankah hujan itu rahmat?”

“Tapi hujan itu warnanya merah, Ben.” Sampai di situ suara Zal tersekat. Dia menekup muka dengan kedua-dua tapak tangan. Sedu-sedannya menyelinap juga di celah jari-jemari yang dikatup rapat.

“Mimpi mainan tidur Zal. Saya juga selalu bermimpi terbang di ruang angkasa seperti burung, sedang realitinya kita tidak mungkin jadi burung yang terbang bebas kerana kita tidak punya sayap.”

“Hujan itu merah, Ben. Hujan itu membuat tudungmu yang putih bersih bertukar merah. Merah juga mengubah warna tanah tempatmu berdiri.” Suara Zal gementar dalam sendu. Ben yang tenang tetap tenang mendengar mimpi Zal. Dia tahu setiap yang bernyawa pasti akan mati. Dia juga begitu. Cuma bila dan di mana serta bagaimana cara kematian berlaku, semuanya ketentuan Khalik.

Ben membuka tas tangannya yang berwarna perak keemasan. Sehelai selendang putih bertekstur halus dan lembut seperti sutera ditarik keluar. Ben mengangkat dan meregang perlahan selendang itu dengan kedua-dua tangan lalu meletakkan di atas kepala Zal. Kedua-dua hujung selendang dililitkan ke leher.

“Andai kata aku tidak pulang lagi ke sini, selendang ini sebagai pengganti. Simpanlah sebagai suatu kenangan antara kita. Pastinya kenangan terindah. Ingat, kita pernah berjuang bersama demi maruah wanita dan agama.” Ben membongkok, lalu memeluk dan mencium Zal bertubi-tubi.

Pagi itu Zal berdiri di tingkap. Di luar cermin yang memisahkan dia dengan alam yang dingin dikuasai salji, dia terpandang pohon-pohon casuarina tegak gagah menentang serangan ganas cuaca hujung bulan Disember. Di tangan kanan memegang kertas putih bertulis cantik, kemas dan tegak. Di tangan kiri, selendang putih pemberian Ben dalam genggaman. Seperti pohon casuarina yang gagah menempuh cabaran alam itu, Zal tahu begitulah kuatnya semangat pejuang demokrasi menegakkan pohon keadilan. Dia tahu semangat Benazir akan terus hidup pada diri semua penegak demokrasi dan kebenaran.

Catatan: Chova = Susu Krim

Biodata

ZAHARAH Nawawi yang lebih dikenali sebagai wartawan bergiat dalam penulisan sejak 1950-an dan dalam genre kreatif beliau menghasilkan novel, cerpen, puisi di samping esei. Beliau adalah pengasas Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) yang bermatlamat memberi bimbingan kepada penulis muda dan menerima Anugerah Sea White pada 1996.

No comments: