Sunday, February 17, 2008

Cerpen: 'Ops Badut!'


(1)

ADA sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang mengusutkan minda. Daripada apa yang dibaca dalam laporan sulit di depannya, memang membangkitkan kemarahan.

"Apa ke bangang O.J. si badut Kurdis ini? Macam mana dia boleh meluluskan kontrak kepada sub-kontraktor yang tidak berguna? Ini bukan kedua kali, sudah tiga kali kena tipu harga, masih mahu berurusan lagi?"



Bengang dan membingungkan Osman Kurus atau lebih dikenali sebagai O.K . Anak Bugis yang jarang naik darah, lebih suka menggunakan saluran diplomasi. Tetapi sebagai penyelia kontrak di syarikat pembinaan PEED, memang O.K. cukup berpegang pada etika. Cukup mengambil berat akhlak sebagai Muslim walau di mana berada dan apa jawatan yang disandang.

Selama menjadi staf, O.K. cukup amanah dengan tugas dan tanggungjawab. Apalagi syarikat tersebut adalah kepunyaan bumiputera di bawah naungan seorang ahli politik Melayu yang pertama beroperasi di Dubai. Lebih daripada itu, O.K. takut kepada Tuhan daripada segala-gala yang lain.

Lantas O.K membawa misi yang sama dengan tema visi syarikat, "Langkah Glokal Mengangkasakan Jati Diri Bangsa" ke Dubai. Kerana itu dia sentiasa curiga dengan pengurus besar PEED di Dubai, Omar Jalil atau O.J. yang berbangsa Kurdis dari Iraq, tetapi berpasport Kanada. Dalam diam memantau aktiviti yang banyak meragukan.

Bagi O.K., kejayaan PEED bertapak di Dubai walau persaingan dalam sektor pembinaan di Dubai memang cukup hebat. Dengan pertumbuhan dalam pembangunan hartanah mencapai nilai trilion USD, pelbagai syarikat pembinaan dari pelbagai negara bertarung dengan syarikat tempatan Dubai.

Tetapi kek ekonomi yang besar memberikan peluang untuk semua mencari bisnes, secara halal atau haram bukan persoalan. Setidak-tidaknya buat PEED yang dalam setahun sahaja berjaya mendapat tiga projek bernilai dua bilion.

Selain masalah mendapatkan fasiliti perbankan, masalah yang lebih memberi tekanan ialah untuk mendapatkan bekalan tenaga buruh yang berpatutan nilai, bukan sahaja dari segi upah, tetapi pengalaman. Tenaga buruh dari benua Asia Selatan memang sudah menjadi enjin pembangunan Dubai, tiada pilihan lain.

Sebaik melihat kelibat O.J. yang sentiasa masuk lewat ke pejabat, O.K . terus bersemuka.

"Bos, tiada subkontraktor untuk membekalkan buruh lain ke yang boleh kita pertimbangkan?"

O.J. melihat wajah O.K. dengan sedikit mencemik.

"Kita tidak mempunyai masa. Pembekal lain menaikkan harga tanpa fasiliti kredit, bayar dahulu baru bekalkan. Projek perlu dijalankan dengan segera dan Kuala Lumpur masih belum berjaya mendapat fasiliti bank, buat sahaja seperti yang telah diluluskan!"

Belum sempat O.K. mahu terus bersuara, O.J. terus mengangkat tangan supaya tidak berhujah dan berkata tegas. "Tiada masa untuk perbincangan lanjut dengan hujah yang sama! Jalankan sahaja tugas seperti yang diarahkan! Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya!"

Pada masa itu juga dua orang pengurus lain yang sama berbangsa Kurdis masuk ke pejabat O.J. Seakan memberi gambaran tentang siapa yang lebih berkuasa di PEED. Kedua-dua mereka memandang tajam ke arah O.K. yang berdiri dengan wajah tidak puas hati. Mahu sahaja O.K. membuka silat dan menghunus keris dalam suhu emosi yang sudah mendidih.

Tetapi rasionalnya, O.K. tahu yang dia tiada banyak pilihan. Kedua-dua pengurus itu bukan sahaja kroni besar O.J, malah orang nombor dua dan tiga dalam PEED Dubai. Sama mendakwa mereka pernah menjadi pengawal republikan Iraq di bawah Saddam Husin.

Memang O.K. cukup geram dengan kesemua mereka. Terutama pengurus kontrak yang menjadi ketua divisyen kontrak, Mehdi yang bukan sahaja tidak tahu banyak perkara berkaitan komersil, tetapi berlagak sombong. Bahasa Inggeris lintang pukang pun boleh dilantik menjadi pengurus kontrak yang kesemua kontrak rasmi dalam bahasa Inggeris.

Sementara seorang lagi, pengurus kanan projek Serbaz, begitu keras dengan staf Melayu yang kebanyakannya jauh lebih senior dan berpengalaman. Sama sahaja bahasa Inggeris dengan Mehdi, tetapi dilantik menjadi bos kepada pengurus projek lain yang sudah berbelas tahun bekerja dengan PEED. Tidak pasti ijazah yang dimilikinya, tetapi membaca lukisan kejuruteraan pun tidak tahu, apalagi berkaitan teknikal.



(2)

"Kita mesti lakukan sesuatu terhadap tiga badut Kurdis yang nampaknya mahu menghancurkan PEED!"

O.K memulakan sembang di kedai mamak Deira. Lima orang staf senior yang dihantar PEED dari Kuala Lumpur untuk membantu projek di Dubai mengangguk. Memang tujuan mereka yang kesemua tidak membawa keluarga demi berkorban untuk PEED, bersantai pada malam Jumaat itu pun untuk mencari langkah strategik. Isu yang sudah sampai ke tahap mencabar kesabaran serta profesionalisme.

"Tetapi masalah lebih besar, O.J. sudah ilmukan Datuk! Kau tahulah, Datuk percaya 100% pada O.J. Lebih percaya pada bangsa sendiri, sampai O.J. ambil kawan-kawan Kurdis dia yang bodoh itu pun diterima. Letak jadi bos pulak itu, sebab utama mereka boleh berbahasa Arab dan konon ada pengalaman di Timur Tengah. Padahal, pengalaman mereka di Iraq sahaja!" Dahlan, pengurus kewangan bercakap kuat dalam bahasa Melayu. Dia pasti pengunjung lain tidak faham apa yang mereka bincangkan.

"Datuk itu mungkin terpesona dengan Salahudin Ayubi, hero berbangsa Kurdis yang membebaskan Palestin. Apa ke bangang, dia ingat O.J. yang setiap malam mabuk dan tidak bersolat itu sama taraf dengan Salahudin! Tetapi depan Datuk, si O.J. cepat-cepat jadi imam, siap dengan baca doa panjang-panjang semasa pembukaan pejabat cawangan Dubai dulu! Baca doa dalam bahasa Arab, manalah Datuk faham apa maksudnya, mungkin dia berdoa supaya kita semua mati cepat!" Sambung Rauf, pengurus projek penuh perasaan.

"Aku sudah beritahu COO tentang aktiviti O.J. terutama bila banyak sub-kontrak diberi pada rakan-rakan Kurdis yang lain, tetapi dia cakap Datuk tidak mahu langsung terima apa yang kita laporkan, malah Datuk kata O.J. lebih tahu daripada kita semua dan kalau kita tidak suka, boleh berhenti sahaja dan cari kerja lain." O.K. menambah dengan geram.

"Bagi Datuk, si O.J. yang membawa kontrak itu semua, padahal memang kebetulan ramai syarikat pembangunan hartanah mencari kontraktor dari Malaysia. Kalau aku jadi pengurus besar pun boleh dapat semua kontrak itu, tidak payah pandai berbahasa Arab pun, semua kontrak rasmi dalam bahasa Inggeris!" Teoh, pengurus operasi sama mencelah sambil menghembus rokok.

"Apa strategi kita selanjutnya? Aku rasa si O.J. ini memang cukup licik dengan strategi yang tersusun, sebab dulu memang dia pernah kerja dengan perisikan Saddam. Sebab itu diambil Mehdi jadi pengurus kontrak dan Serbaz jadi pengurus kanan projek. Dua lubang besar buat duit. Kau tahu berapa kita bayar untuk seorang buruh binaan? Aku rasa duit masuk dalam akaun bank pesisir pantai dia boleh sampai sejuta untuk dua projek pertama, itu untuk komisen buruh binaan sahaja, belum lagi kalau masuk komisen beli barang-barang pembinaan! Tentu badut dua ekor lagi sama merompak wang sebuah syarikat Bumiputera yang baru boleh bernafas di Dubai." Rauf terus menyambung.

"Aku terkilan, sebab PEED ini syarikat Bumiputera. Sudahlah gaji ketiga-tiga badut ini jauh lebih tinggi daripada kita semua yang sudah bertahun kerja di PEED, malah ketiga badut ini macam tuan punya, ikut suka hati mereka dalam memberi kontrak. Buat tender untuk tutup mata audit, lepas itu bagi pada syarikat yang tidak masuk tender pun. Harga pun lebih. Lepas itu kau tahu syarikat kawan-kawan O.J. itu pula yang bagi sub-kontrak pada syarikat yang masuk tender dulu...!" Teoh terus sahaja memberi maklumat yang semua sudah tahu sebenarnya. Tidak perlu OSA.

"Habis, kita nak buat apa sekarang? Datuk sudah kena ilmu saka Salahudin Ayubi oleh O.J. COO yang tahu apa terjadi pun, macam tidak boleh buat apa. Sekadar tukang bawa beg Datuk sahaja!" Johari yang diam sekian lama sama menambah kehangatan sembang.

"Apa macam kita hantar santau pada tiga badut ini?"

Usul daripada Johari itu membuatkan kesemua terdiam.



(3)

Sebaik Datuk muncul di ruang legar lapangan terbang Dubai, O.J., Mehdi dan Serbaz terus meluru. O.J. memeluk rapat seperti budaya Arab, mencium pipi. Terlebih pula mengikut adat Melayu, mencium tangan bos berulang kali. Diikuti Mehdi dan Serbaz.

"Mana yang lain?" Tanya Datuk yang nampak berbangga, tetapi keliru hanya tiga orang sahaja menyambutnya. Berlagak seakan-akan seorang wakil rakyat yang mahu kedatangan disambut oleh semua orang kampung. Kalau ada kompang dan bunga manggar lagi baik.

Memang dia mempunyai angan-angan untuk bertanding dalam pilihan raya nanti dan menjadi menteri pusat. Sebab itu dia mahu PEED berjaya mendapat banyak kontrak, walau belum tentu menguntungkan di Dubai sebagai batu loncatan. Untuk menonjolkan diri dengan biodata kejayaan di luar negara. Ahli politik yang juga ahli korporat bertaraf antarabangsa.

"Mereka semua bekerja hari ini Datuk. Krismas tidak cuti di sini!" Jawab O.J. sambil mengangkat beg dan menyerahkan kepada Mehdi dan Serbaz.

Datuk mengangguk di celah-celah manusia yang sesak. Berjalan ke arah tempat letak kereta, tentunya Jaguar dan pemandu telah menanti.

Dalam suasana yang sibuk itu tiba-tiba muncul dua orang lelaki berjubah tempatan. Memberhentikan Datuk yang terpinga-pinga. Juga O.J., Mehdi dan Serbaz seakan-akan pengawal peribadi segera cuba melindungi Datuk.

"Assalammualaikum!'

O.J. segera menghulur tangan dan berbahasa Arab. "Siapa kamu?"

Salah seorang berjubah putih itu bercakap dalam bahasa Inggeris. Sambil menunjukkan sekeping kad.

"Maaf, kami Polis daripada cawangan perisikan khas di sini!"

Terkejut Datuk yang tiba-tiba berpeluh. Seakan-akan ada kilat yang memancarkan kilauan tentang namanya terkeluar daripada senarai calon pilihan raya. Membuatkan jantungnya berdenyut kencang dan menjadikan pandangan seakan-akan kelabu. Dia cuba mengucap untuk mententeramkan perasaan, tetapi yang terkeluar ialah takbir raya.

Seorang yang berjubah terus berkata, "Kesemua kamu sila ke pejabat kami...!"



(4)

Cuti awal Muharam di Dubai tahun ini memang tidak boleh dilupakan.

"Ketiga-tiga mereka sudah lesap sebaik Polis kawan aku itu berhenti depan balai polis dalam lapangan terbang! Berlari keluar, tahan teksi dan malamnya terus keluar ikut Oman... baru kena gertak sikit dengan polis, belum kena soal siasat atau kena ISA!"

O.K. menghirup teh tarik berbuih yang memang dibuat khas. Mamak dari Kerala itu sudah tahu membuat teh tarik berbuih kegemaran ramai warga Malaysia yang menjadi pelanggan tetap restorannya. Kebetulan lokasi Restoran Deira itu terletak depan tapak pembinaan yang menjadi projek utama PEED.

Malah mamak itu juga sudah boleh bercakap Melayu pasar. Sesuatu yang boleh menambahkan kelarisan kedainya.

"Betul ke ketiga-tiga badut itu ada kaitan dengan PKK?"

Tanya Teoh yang masih belum faham dengan apa yang telah terjadi di lapangan terbang Krismas lalu. Dia baru balik bercuti. Yang dia tahu mereka ada merancang untuk menghantar santau.

Teoh juga hanya tahu mengenai PKK daripada laporan serangan tentera Turki ke kawasan utara Iraq, iaitu Gunung Qandil yang dikatakan tempat persembunyian PKK, Parti Pekerja Kurdis yang dianggap teroris oleh Turki dan Amerika.

"Bukankah PKK itu sebenarnya seperti PLO yang mahu membebaskan dan memerdekakan bumi Kurdistan? Jutaan bangsa Kurdis menjadi warga negara-negara yang menekan mereka selain menjadi diaspora seperti tiga badut tersebut. Apakah ini langkah yang betul? Apakah kita membuat strategi yang baik, bukankah ini penganiayaan membuat dakwaan yang palsu?"

O.K. hanya ketawa mendengar Teoh yang tiba-tiba prihatin terhadap nasib yang menimpa bangsa Kurdis. Seakan-akan sama isu besar pembebasan Kurdistan dengan insiden yang menyebabkan O.J., Mehdi dan Serbaz terus lesap melarikan diri. Melupakan apa yang mereka lakukan terhadap warga dan syarikat Malaysia yang tidak kena mengena dengan nasib malang menimpa bangsa Kurdis berpuluh-puluh tahun itu.

Bagi O.K., walau apa pun perjuangan suci bangsa Kurdis, O.J sebagai individu adalah penjenayah kolar putih sama ada dulu, kini dan selamanya. O.J. telah menyalahgunakan jawatannya di PEED untuk menambah kekayaan melalui cara haram. Tidak kira Kurdis, Melayu, Cina, India, orang putih, hatta Arab yang bertaraf ulama pun, kalau melakukan penyelewengan mesti ditentang habis-habisan.

"Kami tidak tahu secara terperinci dengan kegiatan luar mereka. Yang pasti, mereka sudah melarikan diri dari UAE bukan kerana kaitan dengan membantu dana PKK. Mereka tidak peduli pun dengan perjuangan Kurdis untuk sebuah wilayah autonomi. Yang mereka takut ialah penyelewengan di PEED akan terbongkar, takut masuk penjara dan hilang semua kemewahan yang telah mereka kumpul melalui PEED. Nampaknya strategi kita mengena, Datuk juga telah mula percaya apa yang kita laporkan setelah kawan aku si Polis itu bagi tahu!"

Teoh tidak berpuas hati, mungkin kerana dia sebagai pengurus operasi PEED tidak diberitahu dan tidak langsung terlibat dalam operasi 'Ops Badut' tersebut. Seakan-akan ada konspirasi mahu sama menjatuhkan dia yang tidak termasuk golongan hero kerana berjaya menumpaskan tiga orang penjenayah kolar putih yang boleh menjahanamkan PEED.

O.K. memahami apa yang berada di fikiran Teoh. Lantas segera berkata perlahan, Teoh mendengar sambil melihat jauh ke arah tapak pembinaan yang lengang pada hari cuti awam.

"Beginilah, kesimpulannya, yang penting PEED akan lebih baik tanpa tiga badut berbangsa Kurdis. Walau tidak pasti yang tidak akan muncul badut di kalangan kita menggantikan badut-badut Kurdis tersebut. Sebaiknya, kita doakan semoga O.J. dan Mehdi serta Serbaz akan insaf, bertaubat dan benar-benar muncul sebagai tiga lagi Salahudin Ayubi abad ini nun di Gunung Qandil!"

Biodata

FUDZAIL adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi

No comments: