Sunday, February 17, 2008

Cerpen: Belasungkawa di Helensvale



Oleh Ina Marjana Ulfah



GELABAH. Tangan Iftikhar berpeluh. Daerah minda dan hati Iftikhar dicengkam besi debaran dan dicucuk jejari rusuh resah. Akalnya diselubungi kisi-kisi kecamuk ricu yang berkarat. Langkahnya warawiri walaupun sudah berada di tepi pintu. Tugas yang diberikan gagal ditunaikan. Gagal! Gagal! Iftikhar mencari yakin dirinya yang bersembunyi di sebalik tubuh tegap seorang lelaki sebelum masuk ke bilik berpintu kayu. Bilik yang terletak di sebuah rumah banglo menghadap ke sungai di Latrobe Avenue. Kilau jernih air sungai itu tidak dapat membasuh keladak kegelisahan di hati Iftikhar.

Iftikhar ingin meminjam bara semangat pemimpin pujaannya, Benazir yang masih mempertahankan tanah air, walaupun dihina di mata antarabangsa. Benazir pernah mengatakan dia dikecam kerana mencuci ‘kain kotor’ di khalayak ramai. Benazir menjawab sepatutnya ‘kain kotor’ itu yang dirisaukan pihak regim dan bukan cara dia mencuci di khalayak ramai yang diambil kisah.

Iftikhar semakin rapat ke dinding pintu. Kedengaran suara Terry. Bilik itu sendat dengan derai tawa Terry. Gelak Terry mengepung setiap ruang dan sudut. Meja kayu maple yang tersegam agam memenuhi ruang tengah dinding merah saga itu seakan turut meraikan kegembiraan Terry. Di tepinya ada set sofa jingga bata yang setia menadah tubuh perkasa Andrew dan dua orang lagi.



Terry ketawa lagi. Mata hijau muda beralis lebat kelihatan mengecil. Bahu Andrew ditepuk-tepuk. Andrew tersenyum puas dan mengusap kumisnya perlahan-lahan. Terry mengulang-ngulang perkataan ‘kejayaan besar’ dalam bahasa Inggeris loghat Australia. Senyum Andrew semakin lebar dan turut berkongsi gelakak bersama Terry sambil mempelawa semua minum.

Deringan telefon bimbit Terry mematikan tawa mereka. Air muka Terry berubah. Selang beberapa minit kemudian Iftikhar menyusun langkah masuk dengan penuh hati-hati.

“Awak gagal Iftikhar! Gagal! Gagal! Faham!.” Iftikhar sangat tahu akan kekecewaan ini. Tiada ungkapan kata yang mampu diucapkan sebagai sebab untuk mempertahankan kekusutan ini.

“Macam mana gadis-gadis itu boleh ditahan? Bagaimana awak bungkuskan ‘permata’ kita itu? Ini sudah kali kedua Iftee. Di China pun begitu. Di Argentina perkara yang sama.” Iftikhar semakin tunduk. Iftikhar terpaksa mengakui kelemahan akal lelakinya yang dicabar Terry di hadapan Andrew dan dua orang pembantu Terry.

“Tolong jawab sama ada aku telah membuat pilihan yang salah dengan mengambil seorang dari negara yang pernah ada Perdana Menteri wanita. Kata awak suka kepada Benazir. Suka semangat juang dia. Akan tetapi apabila buat kerja, tidak boleh diharap langsung. Harapkan semangat sahaja. Kalian berdua serupa.” Sergahan demi sergahan dihempas ke wajah Iftikhar. Terry seakan sengaja mencari kekurangan dirinya. Terry juga seakan sengaja memercikkan rasa kurang senang dengan bekas Perdana Menteri Pakistan itu.

Dalam resah gelisah, Iftikhar tidak peduli. Iftikhar tetap bangga memuja pemimpin kesayangannya itu. Benazir pernah mengatakan bahawa permusuhan yang sebenarnya bukanlah antara Islam dan Barat tetapi adalah diri kita yang kurang pengetahuan dan saling membenci. Juga bukan di kalangan golongan etnik minoriti, tetapi mereka yang kelaparan dan saling tidak bekerjasama.

“Lihat Andy, dia penuh teliti. Dia telah membawa untung besar kepada organisasi.” Andrew semakin bangga dikalungkan bunga-bunga pujian itu.

Iftikhar memerhatikan Andrew yang kembang kempis hidungnya dipuji. Iftikhar tidak pasti bagaimana dia boleh gagal. Sebelum ini urusan-urusan yang dirancang berjalan mengikut jadual. Di Bangkok tiada masalah. Di Jakarta juga tiada sebarang kesulitan. Iftkhar tahu dia perlu bijak mengatur langkah, kalau tidak mahu gadis-gadis itu mengundang bencana. Iftikhar sememangnya mahu semua percaturannya disempurnakan dengan lancar untuk mendapat habuan lumayan daripada Terry. Iftikhar tidak ragu darah campuran Iran dan Pakistan yang mengalir dalam batang nadinya tidak lansgung mengecewakan. Butir bicara lembut manis dari bibirnya yang kemerah-kemerahan itu lazimnya disambut penuh kemesraan hangat dari hampir setiap perawan yang singgah di wilayah sukma Iftikhar.

“Maklumat Iftee sedang disiasat polis Malaysia. Nasib baik negara lain tidak terima keterangan laporan forensik siber pesanan ringkas dan panggilan telefon antara Iftee dan gadis kurang cerdik itu.” Wajah Terry dipasak kulipis keberangan.

Terry memang cepat baran. Iftikhar masih ingat malam itu di Surfers Paradise. Satu-satunya bandar yang hidup di waktu malam di Gold Coast. Di saat kesunyian membungkus setiap lorong dan jalan, Orchid Avenue tetap ramah dan mesra menyambut jiwa-jiwa yang dahagakan keseronokan. Deretan kedai cenderamata juga turut melambai rona-rona asing yang menjengah di pantai emas itu. Di hujung jalan, kelihatan tapak pancutan yang bersegi-segi coraknya dan air terpancut apabila ada tumit menginjak-injak. Beberapa orang kanak-kanak akan sentiasa mengerumuni tapak itu dan ketawa keriangan memijak-mijaknya sambil memerhati tulisan Muzium Ripley’s Believe It or Not di atas sebuah replika tempayan kayu yang menadah air daripada sebatang kepala paip besar. Bandar Surfers Paradise menjanjikan segala keasyikan untuk setiap jiwa yang bertandang.

Di situlah dinding kelab Players menyaksikan Terry menumbuk seorang pelanggan gara-gara berebut si gadis berbaju merah. Dalam kelam sinaran lampu pentas bulat tempat gadis manis menayang susuk tubuh, Iftikhar pantas menarik tangan pelanggan itu sebelum menimbulkan kekecohan. Tubuh sasa Iftikhar menarik perhatian Terry. Iftikhar menjadi pengawal peribadi yang setia. Akhirnya, Iftikhar mendapat kepercayaan untuk melaksanakan penghantaran. Tambahan pula Iftikhar amat sesuai untuk bekerja di negara seperti Malaysia.

“Sakit hati aku dengan perlakuan awak, Iftee. Lagi sakit hati melihat awak memilih gadis-gadis kurang cerdik. Andy, sebagai peguam tolong jelaskan kurang bijaksananya mereka yang ditugaskan Iftee seperti yang ditahan di Argentina itu.” Andrew bertambah gah diminta memberi pendapat di dalam bidang kepakarannya. Tidak sia-sia dia mengambil jurusan undang-undang hingga ke peringkat sarjana.

Andrew bangun memberi tunduk hormat kepada Terry dan semua. Jemari Andrew segera memperkemaskan blazer biru tua. Andrew berdehem. Andrew menjelaskan gadis kurang cerdik itu telah mengaku bersalah sewaktu dibaca pertuduhan. Mengikut kelaziman amalan perundangan di kebanyakan negara, sekiranya pengakuan bersalah diterima, tertuduh tidak mendapat hak untuk dibicarakan. Apabila rayuan dibuat, hanya maklumat berdasarkan perbicaraan sahaja yang diterima. Sebarang fakta baru sewaktu rayuan terutama daripada pengakuan bersalah ditukar kepada pengakuan dianiaya amatlah tipis sekali peluang kejayaannya. Dengan itu, laporan forensik siber yang baru diserahkan selepas pengakuan bersalah, tidak diterima semasa rayuan kerana laporan itu tiada semasa keputusan yang pertama dibuat. Walau bagaimanapun, di Argentina, laporan itu tidak diterima sebab tidak mencukupi dan diragui kesahihannya.

“Andy, cuba terangkan bagaimana seseorang boleh didapati bersalah kerana membawa dadah supaya Iftee secara tidak langsung dapat memberi maklumat yang betul kepada gadis-gadis itu nanti.” Terry mengangkat keningnya sambil memandang Iftikhar. Iftikhar membalas pandangan itu dengan perasaan yang berbaur. Perkataan ‘nanti’ itu memberi percikan harapan kepada Iftikhar bahawa Terry masih mempercayainya. Terry masih mahu dia mengendalikan urusan perniagaan. Terry pasti setuju untuk dia berurusan dengan wajah-wajah genit itu.

Iftikhar sangat suka apabila diminta bertugas di Malaysia. Gadis-gadis Melayu itu mudah terpesona dengan janji-janji yang dipupuk bibir manisnya. Iftikhar sememangnya menunjukkan kesungguhan yang jujur dan pandai mengambil hati perawan-perawan tersebut. Mereka memuji-muji Iftikhar dan membandingkan sikapnya yang ringan tulang berbanding dengan kebanyakkan pemuda Malaysia yang dikenali mereka. Iftkhar menyimpan harap agar dapat bertemu dengan Jasmin, gadis yang baru dikenali dua bulan yang lalu di Malaysia.

Jasmin. Ya, Jasmin. Dia ada kelainan. Puas diumpan barulah mengena. Banyak wang sudah dibelanja. Banyak masa diperuntukkannya. Tidak seperti Sheila. Ramah. Gaya ranggi Sheila sering mengundang renungan para jejaka. Senang sekali Iftkhar berkepit ke sana ke mari sambil melihat ekoran mata yang cemburu kepadanya. Sheila bercita-cita tinggi. Apabila tawaran untuk mencari duit saku lebih untuk membiayai pengajiannya disuakan, dengan pantas Sheila menerima. Dua tugasan Sheila berjaya. Sheila naik seronok mendapat upah lumayan. Cuma nasib tidak menyebelahi Sheila pada misinya ke Argentina.

Sebelum Sheila ialah Aliya Muna. Aliya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, tetapi ilmu bantu hidupnya sedikit. Naif. Mudah untuk mengendalikan Aliya. Tidak seperti Sheila yang penuh soal-jawab. Gaji lumayan yang dijanjikan di China memancing kesanggupannya ke sana. Aliya mahu duit lebih membantu keluarga di kampung. Namun, percubaan pertama Aliya membawa padah. Sememangnya ada titis simpati yang mengalir di daerah sukma Iftikhar. Iftikhar tahu dia memusnahkan impian dan harapan mereka. Namun desakan hidupnya sendiri, tidak memungkinkan Iftikhar memikirkan itu semua.

Andrew berdehem. Pintalan lamunan Iftikhar terputus. Andrew menerangkan menurut kebanyakan undang-undang, mesti wujud dua unsur utama iaitu pemilikan dan pengetahuan untuk membuktikan bahawa tertuduh bersalah. Kalau di Australia, peruntukannya ialah mengikut seksyen 9 Akta Jenayah (Pengedaran Dadah Narkotik dan Bahan Kandungan Phychotropic) 1990.

Tambah Andrew lagi, kes Sheila di Argentina yang telah memberitahu mahkamah bahawa dia teraniaya dan si Iftkhar yang sebenarnya merancang segalanya ialah untuk membuktikan bahawa Sheila tiada pengetahuan. Cuma perkara yang boleh dipertikaikan ialah kalau Sheila tiada pengetahuan, mengapa pula dia mengaku bersalah pada awal pertuduhan dibacakan.

Iftikhar mengangguk walau dalam debaran dan semakin faham tugas yang perlu dilaksanakan nanti. Iftikhar menyusun strategi agar dia boleh menyelitkan peringatan Andrew kepada gadis-gadis manis itu kelak. Iftikhar semakin bersemangat walau di hujung wilayah batinnya ada tanah resah yang terbenam. Sebagaimana semangatnya Benazir dalam semua ucapan-ucapannya ke seluruh dunia terutama di Barat. Wajah Benazir menyalakan semula api jiwanya. Iftikhar akan bangkit dengan berhati-hati, itu janji. Begitu juga Benazir bangkit menjunjung manifestasi hingga ke Rawalpindi.

“Apa yang ingin kita lakukan terhadap Iftee, kawan-kawan?” Terry tidak dapat menerima kegagalan Iftkhar begitu sahaja tanpa sebarang hukuman.

“Andy, saya serahkan tugas ini kepada awak.”

Andrew bangun menghampiri Iftikhar. Iftikhar tidak pasti apa yang ingin dilakukan Andrew. Semangat Benazir dipegangnya kejap. Semangat untuk mendampingi Jasmin yang ayu dan lincah itu diikat kemas di dalam lipatan minda dan hatinya. Iftikhar sanggup menerima apa sahaja tindakan yang mungkin diambil Andrew ke atas dirinya.

“Iftee, ini adalah amaran keras. Kalau awak tidak berhati-hati, awak boleh ditangkap sewaktu berurusan dengan mereka di Malaysia.” Andrew memancing ketakutan Iftikhar. Iftikhar semakin pasrah. Kalau diminta Terry untuk mendengar ceramah dadah Andrew selama berhari-hari pun Iftikhar sanggup dengan syarat dia boleh ‘bertugas’ semula di Malaysia.

“Pastikan semua bekalan dalam keadaan selamat. Contohnya, di Malaysia, seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 mengatakan bahawa barang siapa yang menyimpan atau berada di dalam pemilikannya, penjagaannya atau pengawasannya, kurang daripada 5gm candu mentah atau daun koka atau pokok popi atau biji ganja dari pokok popi, boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dihukum penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.” Iftikhar mengangguk-angguk.

“Dan hukuman paling berat ialah mati mandatori sekiranya memiliki jumlah yang dinyatakan atau lebih daripada 15 gm morfin atau 1000gm candu masak atau mentah, atau 40gm kokain, atau 200gm ganja, atau 2000gm daun koka atau 50gm Amphetamine Type Stimulants, contohnya syabu.” Iftikhar memberikan sepenuh perhatian dengan semangat dan harapan yang tinggi untuk melaksanakan tugas yang akan diberikan Terry nanti.

“Dengar itu Iftee. Aku tidak mahu kesalahan yang sama berulang lagi di Malaysia. Ingat Iftee!.” Terry dengan tegas memegang rakus bahagian hadapan baju Iftikhar. Iftikhar dengan penuh yakin dan bersemangat memberi janji padu untuk berhati-hati. Ada percikan gembira berbunga di dalam mata hati Iftikhar. Besar harapan Iftikhar supaya Terry mengarahkannya kembali ke Malaysia. Bayangan Jasmin hadir. Bayangan Benazir muncul. Bayangan itu silih berganti termasuk wajah-wajah Sheila dan Aliya yang masih berada di dalam tahanan.

Tiba-tiba satu bunyi yang halus tajam kedengaran. Pandangan Ikftikhar menjadi kabur. Ledakan kesakitan menguasai kepalanya. Iftikhar rebah. Darah merah mengalir di dahi kirinya. Persekitaran Iftikhar kelam. Jauh di satu sudut, dia dapat melihat ada bayang putih seorang wanita. Cahaya semangat mereka bertemu. Rawalpindi menadah kesayuan di pagar Liagat Bagh. Helensvale melagukan irama belasungkawa di Latrobe Avenue.

BIODATA: Ina Marjana Ulfah

INA Marjana Ulfah, nama pena bagi Mazlina Mohamad Mangsor @ Mansoor. Puisi pertamanya disiarkan dalam Berita Minggu pada 1992 manakala cerpennya, Lapan Belas, mendapat tempat dalam akhbar yang sama pada 1994. Karyanya kemudian mendapat tempat dalam Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Majalah Perempuan, Pelita Bahasa dan Wanita. Beliau pernah memenangi hadiah ketiga Sayembara Menulis Puisi 1994 anjuran KEMUDI dan hadiah sagu hati Sayembara Menulis Puisi Perpaduan 1995 (Melaka) anjuran Jabatan Perpaduan Negara. Kini berkhidmat sebagai Pensyarah Jabatan Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

No comments: