Saturday, November 3, 2007

Warna

OLEH FAIZATI MOHD ALI

i

SAYA melihat cermin dengan rasa kurang percaya berbaur ria. Memang benar, hari ini, saya telah berubah warna!

ii

Masuk hari ini, genaplah dua belas purnama waktu pertapaan saya langsaikan. Peritnya bukan sedikit, sukarnya melalui tempoh itu bukan main-main. Bayangkan, sendirian tanpa teman melainkan unggas-unggas rimba dan penghuni hutan di puncak Gunung Warna, siang dan malam selama dua belas purnama, calang-calang orang tidak akan mampu melakukannya. Bukan mudah. Malahan teramat payah.

Tetapi saya akur. Semuanya sanggup saya tempuhi kerana saya cukup mengerti, tidak ada yang percuma di dunia ini. Segalanya ada harga yang perlu dibayar, lebih-lebih lagi impian dan mimpi, selalu punya harga yang cukup tinggi. Saya ternyata telah membayar dengan usaha yang bukan sedikit untuk memiliki impian dan mimpi yang satu ini.

Dua belas purnama berlelah meladeni sengsara dan akhirnya kini saya telah bertukar warna.

iii

Kalaulah saat ini saudara mula tertanya-tanya dan sebelum pula saudara semua membuat spekulasi sendiri, biarlah saya ceritakan. Saya dilahirkan di pinggir sebuah desa yang terletak di negeri Berseri, sebuah negeri yang aman harmoni. Kalau saudara tidak pernah mendengar nama negeri tercinta saya ini, tidak mengapa. Cukuplah kalau saudara tahu bahawa di negeri saya ini, bagi seorang wanita seperti saya, paras rupa dan warna kulitlah yang menjadi ukuran utama. Kecantikan menjadi penentu kebahagiaan dan penghormatan. Di sini, semua wanita mendambakan bukan sahaja kulit yang halus dan mulus malahan yang lebih penting dan utama, warna serta tona kulit itu sendiri. Kulit yang putih menjadi idaman dan angan setiap wanita, lebih putih bererti lebih jelita.

Ambil peduli

Pada permulaannya saya memang tidak mengerti dan tidak pernah ambil peduli. Putih atau hitam cuma sekadar warna pada saya. Warna yang tidak membawa apa-apa makna. Saya tidak pun berasa berbeza atau kekurangan apa-apa. Malahan ketika masih anak-anak saya menerima diri saya seadanya.

Namun menjejak usia remaja dan semakin pula meningkat dewasa, saya mula berasa serba tidak kena. Mata yang memandang saya rasakan seperti diam-diam berbicara menghina. Seolah-olah mencerca. Saya dipandang remeh, dipandang sebelah mata kerana warna yang saya miliki ini. Lupakan tentang mereka yang mencebik di luar, malahan di kalangan keluarga saya sendiri pun ada yang diam-diam mencaci. Ada yang melempar pandangan benci, ada juga yang memandang dengan mata simpati dan saya sendiri tidak pasti yang mana lebih menyakitkan. Yang saya tahu, saya tertekan dan menderita. Saya menjadi begitu terluka kerana warna itulah.

“Punggung belanga aku pun lebih cerah sedikit dari kulitmu,” kata Bonda Sarifah, ibu saudara saya suatu hari, nadanya bergurau namun hati saya seolah ditusuk sembilu tajam yang pedihnya tidak mudah padam.

“Betul kata Bonda Sarifah itu. Tak pernah aku lihat kulit sehitam kamu! Hitam macam gelap malam!” Adik perempuan saya ikut tertawa sinis. Ria mempersendakan warna kulit saya.

“Entahlah Sarifah. Tidak tahulah apa nasib anak aku yang satu ini. Entah siapalah yang hendak dengan kulit hitam macam ini....” ibu mencelah. Nadanya sarat rasa kesal. Dan saya berasa amat terluka. Kerana kata-kata itu lahir dari mulut ibu, saya jadi lebih terluka. Sedalam-dalamnya.

Saya sebenarnya selalu merenung diri sendiri di wajah cermin. Yang saya lihat adalah sepasang mata bundar, alis yang lentik. Hidung mancung terletak. Kulit saya halus dan mulus bagai telur dikupas. Rambut saya ikal mayang mengurai ke pinggang. Segala-galanya kelihatan sempurna. Cuma warna kulit saya , di situlah silapnya.

Saya hitam. Terlalu hitam.

Dan kerana semua orang di sekeliling saya berbeza warna, saya seolah-olah menjadi manusia yang kurang sempurna di mata mereka.

“Engkau ini bukanlah hodoh, tapi kulitmu itu. Hitam benar. Dalam Negeri Berseri ini, agaknya engkaulah yang paling hitam. Kalaulah kulit engkau ini putih sedikit, tentulah ramai yang akan tergila-gilakan engkau,” kata Bonda Sarifah pada suatu masa yang lain.

“Betul kata Bonda Sarifah itu. Tengok si Fahirah sepupu kamu itu cepat saja dipinang orang tidak lain kerana kulitnya yang putih melepak itulah.” Ibu pula menambah.

“Kenapalah kulit kamu ini hitam sampai begini...” Bonda Sarifah seperti kesal sungguh-sunguh. Saya tahu kata-katanya itu menyulam makna bahawa warna kulit saya ini adalah satu petaka.

Begitulah. Kata mereka saya tidak sempurna kerana warna kulit saya ini. Pada setiap kesempatan mereka mengulang-ulang kata-kata yang sama sehingga akhirnya saya jadi percaya. Benar-benar percaya.

Malang

Alangkah malangnya saya. Saya insan tidak sempurna. Saya benci warna kulit saya. Saya ingin berubah warna.

Saya menangis berhari-hari sehingga air mata saya kering. Saya mandi berkali-kali setiap hari dengan harapan warna kulit saya akan luntur gelapnya dan berganti cerah. Saya tidak keluar rumah berbulan-bulan kerana bimbang terik matahari akan tambah memijarkan kulit saya ini. Berbulan-bulan lamanya saya jadi tidak keruan. Diburu resah yang meski sehabis daya cuba saya sisihkan, terus-terusan enggan pergi. Saya benci melihat diri di cermin. Saya benci diri sendiri.

Saya tidak mahu lagi hidup dengan warna sebegini.

iv

Sehinggalah suatu hari saya mendengar kisah itu. Sama ada sekadar dongengan atau benar-benar realiti, saya sendiri kurang pasti. Namun kisah itu ternyata menghulur harapan dan hati saya berbunga mendengarkannya.

“Namanya Gunung Warna. Kata orang, kalau kita mendaki hingga ke puncak gunung itu dan betapa sendirian di sana sehingga dua belas purnama, kulit kita nanti akan berubah warna menjadi putih seputih-putihnya. Kata orang lagi, kulit itu nantinya akan kekal begitu selama-lamanya, malahan tiada ilmu atau sebarang ubat di dalam dunia mahupun simbahan cahaya matahari walau seterik mana dapat menjejaskan warna kulit yang putih melepak itu.” Bonda Sarifah ghairah bercerita kepada ibu suatu hari tentang berita yang heboh diperkata orang. Saya mencuri dengar dari sebalik daun pintu bilik. Hati saya tiba-tiba berdebar. Mungkinkah ini ubatnya derita yang saya tanggung sekian lama?

“Tapi bukan mudah. Memang bukan mudah....” Nada suara Bonda Sarifah berat, seperti mengandungi kekesalan yang sarat.

“Perjalanan ke puncuk gunung itu penuh cabaran dan dugaan. Ramai yang telah cuba mendaki akhirnya tak kembali. Hutan tebal, haiwan yang ganas, binatang buas, serangga berbisa, makhluk-makhluk halus yang semuanya hanya menanti kedatangan mangsa.

“Kalau pun berjaya tiba ke puncaknya, untuk melalui dua belas purnama sendirian di puncak gunung itu bagaimana? Kerana itulah agaknya ramai yang takut mencuba dan yang aku tahu, sehingga kini belum ada yang berjaya.” Nada kesal Bonda Sarifah bertambah-tambah.

Saya diam mendengar. Hati saya melonjak-lonjak. Saat itu juga saya telah muktamad membuat keputusan.

Biar apa pun, bagaimanapun, kalaulah ini caranya saya boleh mencapai impian, saya sanggup. Biarpun yang menanti seribu bahaya, meskipun segala kata Bonda Sarifah itu belum pasti kebenarannya, saya sanggup mencuba. Saya sudah lama menderita, kepayahan tidak akan membunuh saya. Kalau- pun percubaan saya itu nantinya akan mengundang sengsara, saya tidak takut malah saya sudah sedia menerima. Bukankah setiap bahagia itu harus bermula dengan sengsara? Saya nekad mahu mencuba.

Maka pada suatu ketika yang saya kira sesuai, tatkala bulan terang melimpahkan cahayanya menyuluh jalan, saya diam-diam memulakan pendakian ke Gunung Warna. Bekalan saya sederhana, sekadar yang perlu. Saya turut membawa bersama sekeping cermin kecil dan di hati azam saya semat kemas, hanya apabila genap dua belas purnama saya akan melihat cermin itu. Hanya selepas dua belas purnama dan tidak pada mana-mana ketika sebelumnya.

Oh, bagaimana sukarnya perjalanan itu, segala mara bahaya yang terpaksa saya tempuhi atau bagaimana saya dapat bertahan di puncak gunung selama dua belas purnama sendirian tanpa pertolongan atau teman bukanlah persoalannya dan tidak perlu saya ceritakan. Cukuplah hanya saya yang tahu perih dan pedihnya. Seperti yang saya nyatakan di awal tadi, semuanya tidak mudah, malahan teramat payah.

Tidak cukup dengan segala terjahan cabaran, penantian yang panjang di puncak Gunung Warna juga suatu seksa yang tidak terungkapkan. Saya menanti, mengira hari dari purnama ke purnama, waktu terlalu seakan terlalu perlahan lagaknya. Rindu saya sarat pada ibu, pada keluarga namun keinginan saya terlalu besar untuk saya menyerah kepada rindu. Saat itu jugalah saya sedar dan mengerti, keinginan sememangnya sesuatu yang berbahaya dan berkuasa, kerana keinginan yang luar biasa membuatkan manusia sanggup melakukan apa sahaja.

Itulah juga yang berlaku ke atas saya. Keinginan luar biasa untuk berubah warna menjadikan saya punya tenaga yang luar biasa juga untuk menghadapi hari-hari getir dan terus menanti dan menanti purnama ke dua belas menjelmakan diri.

Dan penantian itu akhirnya bernoktah dengan cerita gembira.

Saya kini telah berubah warna!

iv

Tidak seperti pendakian, perjalanan pulang menuruni lurah-lurah Gunung Warna untuk kembali ke desa terasa begitu mudah. Barangkali kerana yang setiap ketika bermain di benak saya sepanjang perjalanan itu hanyalah gambaran dan bayangan indah.

Tatkala tiba di kaki Gunung Warna, hari sudah menjengah malam dan kegelapan mula menyerkup alam. Saya berasa hati saya dipalu debar, benar-benar teruja. Rasa tidak sabar, gembira, bangga dan seribu satu rasa berpadu di dalam dada.

Sudah dua belas purnama, kini mereka bakal menerima saya yang berbeza. Hidup saya selepas ini akan bahagia, itu saya pasti. Dengan warna yang berbeza, saya bakal menempuhi saat-saat gembira yang saya idamkan sekian lama. Semua orang akan menyanjung saya. Semua orang akan memuja saya. Semua orang akan mengagumi saya. Dan lebih penting, semua orang akan menerima dan menyayangi saya.

Rindu

Mengenangkan itu, langkah saya atur semakin laju sehingga akhirnya rumah kecil saya menyapa pandangan mata. Saya memanggil-manggil nama ibu dengan getar kurang sabar. Sebaik daun pintu terkuak dan wajah ibu menjengah, segala rindu saya pecah.

Ibu merenung saya tidak percaya.

Saya merenung ibu dengan pandangan yang sama.

Apakah saya bermimpi, atau mata sayakah yang berdusta?

Benarkah itu ibu? Sangsi dengan pandangan sendiri, anak mata saya rakus menjelajahi wajah yang masih beriak tidak percaya di hadapan saya. Mata itu, hidung itu, bibir itu, tahi lalat di pipi kiri, semuanya masih serupa. Cuma satu yang berbeza.

Kulit ibu yang sebelum ini putih kuning kini berubah warna. Hitam. Terlalu hitam. Saya tambah tergegau melihat wajah adik perempuan dan Bonda Sarifah yang tiba-tiba menjenguk di muka pintu, juga serupa. Kesemua mereka hitam. Terlalu hitam. Dada saya tiba-tiba sesak.

“Ibu, sudah dua belas purnama saya betapa di puncak Gunung Warna. Benar kata Bonda Sarifah, selepas dua belas purnama saya kini berubah warna dan warna ini akan kekal begini selamanya, tiada ilmu atau sebarang ubat di dalam dunia mahupun simbahan cahaya matahari walau seterik mana yang dapat menjejaskan warna kulit saya.

“Saya kini rupawan dan jelita. Semua orang akan memandang dan menerima saya dengan kekaguman, seperti yang selalu kita mimpikan. Ibu akan berbangga dengan saya, pemuda-pemuda akan mencintai saya dan saya akan bahagia. Lihatlah ibu kulit saya ini mulus dan putih, seputih-putihnya. Tapi apa yang telah terjadi kepada ibu? Kepada adik, kepada Bonda?”

Ibu terduduk mendengar kata-kata saya. Dengan juraian air mata yang bertali-tali seperti enggan berhenti, ibu memandang wajah saya.

“Oh, anakku banyak yang telah berlaku sepanjang dua belas purnama pemergianmu. Tahukah kau kini semuanya telah berubah, kerana kini semua orang di negeri kita ini menganggap hitam itu warna idaman dan putih itu bukanlah lagi warna pilihan.

“Lebih hitam, lebih menawan. Kau lihat saja, ibu, adik, Bonda Sarifah malahan semua wanita di negeri ini berebut-rebut menggunakan sejenis ubat ciptaan baru yang kini meledak di pasaran untuk menghitamkan kulit kami ini.

“Semuanya kami lakukan kerana mahu kelihatan cantik, kerana kini semakin hitam warna bererti semakin jelitalah paras rupa. Oh anakku, kalaulah kau masih hitam seperti dahulu, sudah tentulah kini kau akan diangkat menjadi ratu!”

No comments: