Sunday, February 17, 2008

Cerpen: Lintah

SESUDAH pencen, aku menyewa sebuah ruang pejabat yang kecil di Kota Damansara. Walaupun di rumah sederhanaku, yang terletak kira-kira satu kilometer dari pejabat itu, ada ruang untuk dijadikan SOHO, tetapi aku lebih selesa bekerja di pejabat. Kalau ada SOHO di rumah, aku tidak bergerak banyak. Lepas sarapan masuk SOHO.

Jemu di SOHO, menonton tv. Jemu menonton TV, tidur.

Pejabat ini aku sewa daripada anak lelaki teman persekolahanku di Sekolah Alam Shah dulu. Dia membelinya secara strata, tingkat tiga ini saja, yang diserahkan kepada anaknya. Tingkat ini pun kami kongsi bertiga, setiap satu dengan urusan masing-masing. Pejabatku berdinding separuh, tidak sampai ke siling, supaya aku dicabar untuk selalu celik;



kerana akan berasa malu kalau dilihat sedang tidur oleh penyewa-penyewa yang lain.

Di sudut pejabat kuletak sebuah radio model lama, untuk mendengar berita, pembentangan belanjawan di Parlimen, atau memutar kaset lagu-lagu lama tahun 1950-an.

Suatu hari, telefon biru berlambang TM berdering di hujung mejaku.

“Encik ini seorang penulis ‘kan?” Suara seorang lelaki di hujung talian.

“Begitulah,” aku menjawab. “Saya juga editor. Apa hal?” Ketika itu aku sedang sibuk menyunting manuskrip novel Othman Haji Zainuddin, berjudul ‘Kapal’.

“Saya ada cerita. Encik ‘nak dengar?”

“Syarikat kecil saya ni tidak ambil projek mendengar cerita,” aku menjawab dengan suara rendah. “Saya hanya mengambil

projek kecil dari Dewan Bahasa, atau syarikat-syarikat kenalan saya.”

“Tapi encik seorang pengurus di situ ‘kan?” Nadanya mula kelakar.

“Ya,” tiba-tiba aku teringat jenaka Usman Awang dulu. “Pengurus besar perniagaan kecil.”

“Macam ni encik. Saya ada cerita bagus,” kata lelaki itu bersungguh-sungguh.

“Nanti encik dengar. Kalau encik kata bagus, saya nak minta kawan saya taipkan, kemudian hantar ke surat khabar atau majalah. Mudah-mudahan terbit.”

“Kenapa minta kawan taipkan?” Aku menyoal. “Taiplah perlahan-lahan, apabila dah siap kirimkan kepada editor sastera surat khabar atau majalah.”

“Saya hanya boleh menaip braille, encik,” jawabnya. “Mana ada editor yang boleh baca cetakan braille?”

Tiga hari kemudian sebuah bungkusan Pos Ekspress tiba di pejabatku dari sebuah daerah di Kedah.

Ada sekeping kaset di dalam bungkusan itu. Aku memasangnya pada pemain kaset.

Aku ingin memulakan cerita ini dengan suatu amaran. Jika sikap perkauman Anda tebal, berhentilah di sini. Begitu juga jika Anda selalu bersikap menyalahkan kerajaan, tamatkanlah di sini. Ini sebuah cerita untuk pendengar yang bersikap terbuka, yang kritis, yang mahu belajar daripada beberapa peristiwa.

Mahu belajar bagaimana daripada celik menjadi buta seperti aku. Atau sebaliknya daripada buta menjadi celik. Kerana di dunia ini ada manusia yang menerima nasib seperti itu. Tetapi kebanyakan manusia, seperti Si Putih sahabatku, tidak buta sepanjang hidupnya.

Kami dibesarkan di sebuah daerah pedalaman di negeri Kedah. Negeri jelapang padi. Sama-sama bersekolah Melayu, sebab ayahnya yang berkedai runcit di pinggir simpang empat kampung kami, tidak mampu menghantar Si Putih ke Sekolah Jenis Kebangsaan (China) di Alor Setar.

Lepas sekolah, kami sama-sama pergi menggagau ikan. Atau memburu puyuh lepas padi dituai. Atau dia panjat pokok jambu air, hinggut dahannya sampai buah-buah jambu merah muda itu luruh ke tanah. Kalau turun ke bendang siap bawa tembakau, nak tanggalkan lintah yang mengapuk di betis.

Itu zaman kanak-kanak kami yang riang. Sebelum aku diserang demam panas pada bulan Mei 1969. Pada masa itu umurku baru lapan tahun.

Berminggu-minggu aku demam.

“Mak, kenapa malam panjang sangat?” Aku bertanya emak yang caranya mengacau lauk dalam periuk aku tahu benar.

“Ya Allah,” aku dengar suara emak cemas. Tangannya memelukku.

Kemudian aku terdengar hinggutan tubuhnya. Dia menangis.

Kedai ayah Si Putih di pinggir simpang empat kampung kami itu pun, kata ayah beberapa minggu kemudian, suram dan sepi.

Ketika itu aku sudah belajar menghafal gerak langkah turun naik tangga.

Pergi ke kolam. Pergi ke jamban. Pergi ke dapur. Bagaimana menentukan arah kiblat. Kemudian aku mula berjalan di lorong depan rumah. Semuanya aku lakukan sendiri, berhati-hati. Belajar hidup berdikari dalam kebutaan.

“Mari temankan akucari lintah,” aku terdengar suara Si Putih, sewaktu aku menapak atas lorong depan rumah.

Suaranya tidak seceria selalu, sebelum aku buta dulu.

“Orang bawa tembakau atau api rokok nak buang lintah dari badan,” aku bersuara. “Hang nak buat apa dengan lintah?”

Dia tidak menjawab pertanyaanku.

“Mana nak cari lintah paya, atau lintah perca?” Aku dengar suaranya. “Lintah padi banyaklah, dok hisap darah kerbau.”

“Mari kita ke paya, arah ke kaki bukit sana,” aku memberi cadangan. “Mungkin lintah-lintah yang hang cari itu ada.”

Dia memegang tanganku. Mengajak aku berjalan arah ke paya di kaki bukit.

Kami memanggilnya Si Putih, kerana kulitnya putih, sampai hampir melupakan nama Cinanya. Semua budak kampung dan hampir semua orang tua, ada gelaran nama masing-masing. Ada Mat Penyapu. Ada Mail Cering. Ada Usop Tonggek. Ada Melan Janggus.

“Bapa tak dapat jaga kedai tu lagi,” kata Si Putih. “Badannya lemah. Salah-salah boleh kena angin ahmar. Kata bomoh Tok Senik Peramu, carikan lintah.

Nanti lintah hisap darah kotornya.”

Mungkin petua Tok Senik Peramu itu betul. Kata Si Putih, lima ekor lintah melekat pada tengkuk bapanya. Lima ekor lagi di dada kiri bapanya. Tiga ekor di lengan kanan bapanya. Tiga ekor di lengan kiri bapanya. Tok Senik Peramu biarkan lintah-lintah itu boroi, sampai jatuh sendiri. Itu dilakukan Tok Senik Peramu selang sehari dan Tok Senik Peramu beri bapanya minum air yang diramu dan dimasak daripada beberapa jenis tumbuhan. Sebulan kemudian bapa Si Putih mulai sihat.

Kedai runcit di pinggir simpang empat kampung kami, khabarnya ceria semula.

Tetapi beberapa bulan kemudian aku dan Si Putih membawa diri masing-masing.

Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, aku dihantar ke sekolah untuk orang buta di Brickfileds, Kuala Lumpur. Si Putih dibawa pak ciknya ke Ipoh, untuk disekolahkan di sebuah sekolah Cina di sana.

Sejak itu semacam putuslah hubungan kami. Aku tidak mahu menyusahkan bapanya untuk mengirimkan alamat Si Putih kepadaku. Kalaupun aku dapat alamatnya, akan menyusahkan guru aku pula menulis suratku kepada Si Putih di Ipoh. Kalau aku dapat jawapan daripadanya, menyusahkan guruku lagi untuk membacakannya kepadaku.

Hendak kukirim surat cetakan braille, dia tidak boleh membaca braille.

Aku membuka sebuah bengkel anyaman di pedalaman Kedah ini. Untuk beberapa orang buta di daerah ini.

Jabatan Kraftangan membeli sebahagian besar anyaman kami, sementara selebihnya dijual secara runcit. Di kiri kanan bengkel kami sediakan dua bilik urut berasingan, untuk pelanggan lelaki dan perempuan.

Kesibukan di bengkel itu hampir-hampir melupakan aku kepada Si Putih.

Sehinggalah tiba-tiba, tiga minggu lalu dia menghubungi telefon mobileku.

“Hang hidup lagi?” Katanya keloloh.

“Aku dapat nombor hang ni daripada Melan Janggus. Waktu makan tengah hari di Restoran Tupai-tupai dekat Dewan Bahasa sana, terjumpa dia, katanya lepas hantar Piah ke UPM ke apa. Marilah ke opis aku di Kinrara ni.”

Lepas itu dia janji beri alamat pejabatnya melalui pesanan voice mail.

Ke Kinrara bukan macam hendak ke Jerlun. Bukan macam hendak ke Teloi Tua. Bukan macam hendak ke Pendang.

Jauh itu. Tetapi kerana sudah lama tidak berjumpa, aku gagah-gagah ke Kinrara.

Lepas itu boleh ke Brickfields, jenguk beberapa orang kawan lama yang masih di sana, jadi tenaga pengajar.

Seorang stafnya wanita Cina memimpin aku naik tangga pejabatnya di tingkat satu. Aku terasa kedinginan udara dalam pejabatnya. Aku terdengar sejumlah stafnya sibuk bekerja, bercakap-cakap dalam bahasa Mandarin.

Dia menyambut aku di biliknya.

Daripada lantunan suara kami, aku dapat menduga bilik itu besar. Dan barangkali cantik. Dia menyalami aku, walaupun pada mulanya aku menduga dia akan memelukku. Seseorang menghidangi kami teh cina yang panas. Kami berbual-bual, membawa masa lampau kami ke Kinrara. Atau mencari secara pantas, jejak-jejak kami yang hilang antara usia lapan sembilan tahun hingga saat menghirup teh cina yang hangat ini di Kinrara.

“Maju perniagaan hang, Putih?”

Aku bertanya, kerana aku tidak dapat melihat sejak bulan Mei 1969. Rupa-rupanya itulah soalan yang mengundang jawapan keras. Jawapan yang mengubah persepsiku terhadap teman zaman kecilku dulu.

“Maju pun untuk apa?” Katanya. “Cuba hang jawab, di Malaysia ni bangsa apa yang paling ramai berniaga?”

Aku belum sempat menjawab, apabila dia bersuara. “Hang tak payah jawab pun semua orang tau. Orang Cinalah. Kerajaan dok kutip cukai. Cukai tu untuk siapa?”

“Hang tak usah jawab,” sambungnya lagi. “Cukai tu untuk bayar gaji kaki tangan kerajaan, dekat satu juta kot, sebahagian besarnya orang Melayu.

Hang tahu tak, khabarnya kerajaan sekarang kurang duit. Aku tak kata kerajaan tak ada duit. Kerajaan kurang duit. Baru-baru ini kerajaan dok penaik gaji kaki tangan awam. Nak korek duit mana? Duit peniaga-peniaga Cinalah....

“Dah lah lagu tu, nak dapat projek kerajaan susah macam nak mampus....”

Ketika itu aku terdengar pintu biliknya diketuk dari luar. Dia belum sempat memberi jawapan apabila staf wanita bersuara agak cemas dalam Mandarin kepadanya.

“Hang duduk sini sat,” katanya.

“Perhabis teh tu. Ada lintah datang.

Aku kena layan lintah tu.”

“Lintah apa?” Tiba-tiba aku menyoal tanpa berfikir. “Lintah padi? Lintah paya? Lintah perca?”

“Lintah biru,” jawabnya sambil keluar.

Hampir setengah jam aku menunggu dalam bilik dinginnya. Kalau lama lagi boleh jadi beku mati terpacak. Aku berkira-kira hendak balik. Hendak ke Brickfields dulu. Masa itulah aku dengar dia masuk semula.

“Depa nak tengok fail cukai pendapatan syarikat aku sejak lima tahun sudah,” katanya mengeluh. “Tiap-tiap tahun dah bayar cukai. Nak korek lagi yang lama-lama, kalau ada yang boleh dicukai lagi, nak bagi kerajaan, nak bagi kepada orang Melayu.”

“Hang kata depa tu lintah?” Aku bersuara.

Agak terkejut sendiri sebab suara aku tinggi sedikit. “Hang tahu tak, kat bengkel aku di ceruk sana pun depa hantar borang cukai pendapatan. Semua negara ada peraturan tentang cukai pendapatan, baik individu atau syarikat.”

Aku memang tidak beri dia ruang untuk membalas pantas.

“Hang tunggu dulu,” aku meneruskan.

“Syarikat hang dicukai sebab buat untung. Kalau tak buat untuk, pokai semacam, kerajaan tak cukai. Cuba hang fikir, di bumi mana hang berniaga?

Barang-barang syarikat hang tu orang Cina sajakah yang beli? Orang Melayu tak beli? Orang India tak beli? Orang Iban tak beli? Orang Kadazan tak beli?

Nak siapkan rumah hang, kereta hang, air api telefon yang masuk rumah hang, jalan ke rumah hang, hang ingat tak ada peluh bangsa-bangsa lainkah?”

“Biar aku habis cakap dulu,” aku menyambung pantas. “Ingat masa kita kecil-kecil dulu, kutip lintah dekat paya di kaki bukit tu. Lintah pun perlu hidup. Kita dok kutip, bagi hisap darah kotor bapa hang. Siapa yang cadang?

Pak Senik Peramu, Melayu tua kerekot di baruh tu. Kedai bapa hang di tepi simpang empat kampung dulu, hang ingat boleh hidupkah kalau tak ada Melayu di situ? Kedai tu malap waktu bapa hang sakit, boleh dapat angin ahmar orang tua tu, tapi Melayu tua kerekot dari baruh itulah mengubat dia, bagi dia minum air herba.”

Aku diam seketika, menunggu jawapannya.

Tetapi tiada. Aku tahu dia masih duduk di hadapanku.

“Putih,” aku bersuara, kali ini suaraku perlahan. “Kalau hang ada masa, mari balik kampung sekejap. Kita turun paya gagau ikan. Dengan tongkat ini aku halau puyuh, hang perhambat sampai dapat. Hang panjat pokok jambu rumahPiah, hinggut dahannya, aku tunggu di bawah. Aku masih tahu mana jambu yang kelat, mana jambu yang manis macam Piah.”

Kaset itu terus berputar, tetapi tanpa suaranya lagi.

Aku berasa dahaga. Di bawah pejabatku ada sebuah kafe yang baru dibuka. Namanya The Nutmeg. Kafe berhawa dingin itu milik sepasang uami isteri Cina berumur enam puluhan, tetapi mereka jarang-jarang berada di situ. Kafe itu dikendalikan oleh empat orang Melayu dan seorang India dari kejiranan Seksyen Lima Kota Damansara ini juga.

Di sanalah aku menyelinap masuk, mengunyah dua keping roti bakar, menghirup secangkir teh dari Cameron Highlands yang telah kubancuh dengan campuran lactose dan aspartame.

Cerpen: Ryan dan RM200,000



Oleh Hafizah Iszahanid

SEWAKTU Ryan melangkah masuk ke kamar bercat serba putih itu, jururawat bernama Dolly sudah menunggunya. Dari mata Dolly yang mengecil, Ryan tahu Dolly tersenyum. Ryan hanya sempat menarik nafas beberapa saat sebelum Dolly bertanya, "Boleh kita mula sekarang doc?"

Ryan mengangguk. Ah, apa lagi yang mahu ditunggu kalau semuanya sudah sedia. Di katil, Penyanyi Popular sudah sedia. Wajahnya berseri-seri. Penyanyi Popular seakan tidak sabar merasai pengalaman ini.

Ryan terasa cukup bertuah. Jika apa yang dilakukannya ini berjaya, dia akan menjadi masyhur. Bukan saja di Malaysia, tapi Asia tentunya. Memang, apa yang dilakukannya ini bertentangan dengan tatasusila agama dan budaya timur, tapi pada Ryan sampai bila tradisi penuh sopan dan santun warga Asia perlu dipertahankan, kalau semuanya hanya membuatkan warga Asia dan orang Malaysia mundur dan terkebelakang?



Ryan senyum lagi waktu menatap wajah Penyanyi Popular yang tersenyum cukup lebar. Tentu saja selepas ini Penyanyi Popular akan membayar lagi RM100,000 kepadanya, habuan menutup rahsia besar.

Mata bundar Penyanyi Popular berkelip-kelip dan bersinar seolah-olah tidak sabar menantikan pengalaman ini. Pengalaman dimasukkan sperma ke serviknya!

Dua bulan lepas, selepas Ryan bersetuju melakukan teknik persenyawaan benih luar rahim (IVF), Penyanyi Popular sudah tidak sabar-sabar hendak melahirkan anak.

Ryan tidak faham mengapa Penyanyi Popular sangat teruja melakukan IVF. Bukankah dia sebenarnya belum halal untuk mendapatkan anak? Apatah lagi usianya juga masih muda, baru 24 tahun.

Tapi ya, hujah Penyanyi Popular berbulan-bulan lalu seakan bergema di telinga Ryan, hujah yang memang menggelikan hatinya. Tapi tidak mengapalah Penyanyi Popular sanggup membayar RM200,000 bagi mendapatkan perkhidmatannya.

"Doktor cakap berapa puluh ribu doktor mahu? Saya boleh beri. Saya mahu doktor tolong saya," kata-kata Penyanyi Popular hampir 10 bulan lalu bergema dalam benaknya.

"Err... bukan tak boleh tolong... tapi... saya takut nanti ditangkap. Dipenjarakan pula,” Ryan menduga.

“Alah doktor ni… macam tak tahu pulak, di Malaysia ini tiada peruntukan undang-undang yang menghalang perkhidmatan penerimaan atau pendermaan sperma. Tak akan kena tangkaplah.”

Wah, hebat jugak Penyanyi Popular ini. Ryan fikirkan Penyanyi Popular pemegang SPM ini hanya tahu seputar dunianya saja!

Ryan teringat tiba-tiba kepada Sang Kekasih. Ryan kenal Sang Kekasih kerana lelaki itu mencetuskan kontroversi model Melayu pertama sanggup hanya berseluar dalam untuk menghiasi laman iklan di majalah dan billboard. Malah khabarnya Sang Kekasih juga berkeadaan demikian ketika menjadi cover majalah lelaki di New York. Sang Kekasih adalah lelaki yang sanggup mendermakan sperma kepada Penyanyi Popular.

“Awak ingat hari tu saya ada bagi tahu, tidak semestinya cubaan pertama akan terus berjaya?,” Ryan mengingatkan. Penyanyi Popular mengangguk. Dari tadi sebenarnya Penyanyi Popular ini sudah mengangguk-angguk, tanda sudah bersedia untuk prosedur pindahan sperma. Dolly juga sudah mengangkat ibu jarinya lebih daripada sekali, tanda dia juga sudah bersedia.

Prosedur memasukkan embrio sebenarnya hanya memakan masa yang singkat saja. Malah Penyanyi Popular tidak perlu dibius pun. Cukup hanya berehat selepas prosedur. Tapi walaupun sekejap, Ryan cukup teliti, jika berlaku kesilapan, reputasinya sebagai pakar perunding perbidanan dan kesuburan tentu terjejas.

“Doktor, janganlah lengah-lengah lagi,”

Ryan tersenyum. Kata-kata itu sama nada dan kesungguhannya sewaktu pertama kali Penyanyi Popular bertemu dengannya sekitar 10 bulan lalu.



II

"Majlis Fatwa Kebangsaan haramkan pendermaan dan penerimaan sperma untuk pasangan yang tiada ikatan perkahwinan, jadi macam mana saya hendak tunaikan kehendak awak?,”

"Diorang haramkan, memanglah. Tapi alah, buat apa nak beritahu mereka, kita diam-diam sajalah,"

"Tapi kenapa awak tak nak kahwin saja dengan Sang Kekasih?,”

"Eh, saya bukan hendak kahwin, saya hendak anak,"

"Kenapa hendak anak, tapi tidak mahu berkahwin? Awak dan Sang Kekasih seakan ingin meruntuhkan institusi perkahwinan,"

"Alah doktor ini macam ustaz pulak. Tak tahu ke, sekarang ini trend artis ambil anak angkat dan susukan mereka. Saya hendak ikut trend itulah. Tapi saya tidak mahu anak angkat, saya hendak anak sendiri. Dan saya hendak anak itu daripada baka Sang Kekasih, tapi saya tidak mahu kahwin dengan dia. Dan dia setuju untuk derma sperma. tak susahkan nak faham?,"

Ryan mengucap panjang. Dunia sekarang memang sudah sangat berada di hujung usia.

"Kalau kahwin saja dengan dia tak boleh ke,"

“Eh doktor ini, saya tidak cintakan dia. Bagaimana hendak kahwin, kalau tak cintakan orang itu? Kolot betullah doktor ni,”

“Kalau tak nak kahwin, kenapa tak cuba saja untuk hamil cara normal... alah... yang itu...,”

“Hissh doktor ni! Menggalakkan orang berzina pulak! Saya ni walaupun taklah berpendidikan agama sangat, tapi tahu hukum zina tu,”

Ryan terkulat-kulat menahan malu.

"Habis tu bagaimana awak nak menyorokkan kandungan sembilan bulan nanti, kalau awak tak kahwin dan kalau wartawan bertanya? Paparazi tentu kejar awak,”

Penyanyi popular ketawa besar.

“Di Malaysia mana ada paparazi. Alah, kalau mereka tahu perkara sebenar pun mereka tidak akan tulis, sekadar usik sikit-sikit dalam kolum ajelah. Itu pun tak sebut nama, emmhh... Antara wartawan hiburan dan penyanyi hubungan kami sangat rapatlah, dah macam adik beradik. Takan adik-beradik nak mengenakan adik-beradik?,”

“Habis tu, selama sembilan bulan perut memboyot, tak kan mereka tak bertanya?,”

“Alah doktor ini. Setakat empat bulan perut tak boyot lagi masih boleh ambil tawaran menyanyi. Lepas tu, bila dah nampak perut, pergilah jauh-jauh. Habis pantang nanti, aktiflah balik. Buatlah sidang akhbar cakap saya ambil anak angkat. Bukan susah sangat,”.

'Orang percaya ke?,”

'Alah percaya.... Saya tahulah dunia saya,'

'Tapi kalau boleh kahwin dapat secara sah kan bagus. Kenapa nak main derma-derma sperma pulak?,”

"Doktor, berapa kali saya nak cakap, saya tak cintakan dia, saya tak nak kahwin dengan dia. Saya memang tak minat nak kahwin dan terikat dengan seorang lelaki, tapi dalam masa yang sama saya tidak mahu ketinggalan dalam trend ambil anak angkat ini. Jalan mudah, derma spermalah. Hospital Ini kan ada bank sperma dan saya boleh memilih sperma mengikut cita rasa saya berpandukan latar belakang penderma sperma yang direkodkan pihak Hospital Ini.

“Tapi uniknya dalam kes ini, saya tak nak sperma kat bank Hospital Ini doktor, saya nak sperma Sang Kekasih," "Emmm.... tapi awak tahu kan prosedur pendermaan sperma ini 'open secret' di Malaysia? Tidak halal dan tidak haram? Saya bimbang jika buat, kalau orang tahu ia akan jadi isu besar. Entah-entah kementerian tarik balik lesen Hospital Ini. Bukan setakat Hospital Ini, mana-mana hospital yang ada prosedur pendermaan sperma semua dah tak boleh nanti. Eiii... saya tak berani,"

"Doktor ini sungguhlah penakut. Siapa nak tahu? Saya dan doktor sahaja. Saya ulang, saya dan doktor sahaja. Alah, cakap sajalah berapa puluh atau ratus ribu doktor. Doktor sajalah pakar di Malaysia ini yang boleh buat benda ini. Jadi saya rayu doktor. Saya akan bayar lebih lagi untuk tutup mulut doktor selepas prosedur ini berjaya,"

Ryan bermain-main dengan pen di jarinya. Betul, kalau tiada siapa yang akan tahu melainkan dia, Penyanyi Popular, Sang Kekasih dan mungkin nanti jururawatnya ,si Dolly. Emmm... Ryan tersengih.

"Tapi itu nanti bukan anak angkat,”

"Ya, anak kandung tapi siapa yang tahu? Saya dan doktor saja. Doktor, sekarang ini penyanyi ramai tahu? Saya kena kekal popular. Saya tidak mahu ketinggalan dalam trend ini... cakaplah berapa doktor mahu?,”

"Bukan soal duit ….”

“Habis tu, soal tak beretika? Alah tu doktor buat pada berpuluh-puluh orang bukan Islam boleh, kenapa dengan saya tak boleh?,”

“Sebab awak Islam,”

“Doktor pun Islam, tapi doktor boleh pula buat pada orang bukan Islam?,”



III

“Doktor, kita mula sekarang?,”

Ryan mengangguk. Pada waktu itu dia terasa ada peluh mula merenik di dahinya. Dia masih teringat-ingat kisah awal pertemuannya dengan Penyanyi Popular entah mengapa.

Beberapa bulan lalu, sebaik saja persetujuan dicapai dan wang pendahuluan RM100,000 bertukar tangan, Ryan membekalkan Penyanyi Popular dengan ubat hormon bagi menstimulasi ovari dan mengumpulkan telur. Tapi hanya di situlah kerja Ryan, selebihnya tentu saja disambung oleh Si Embriologis.

Sebelum Si Embriologis menyediakan telur dan sperma penderma dan disenyawakan, ada Si Embriologis itu bertanya latar belakang Penyanyi Popular sekali lalu. Tapi Ryan menjawab ala kadar, alah pesakit biasa bukan siapa-siapa dan buat IVF bukan suntikan sperma Intracytoplasmic (ICSI) sebab lelaki ini subur. Tapi rasanya bukan Si Embriologis tidak tahu fakta dengan melihat kualiti sperma.

Tapi Ryan tahu, Si Embriologis itu hendak juga mengorek rahsia sejak kekerapan kakitangan Hospital Ini terserempak dengan Penyanyi Popular di tangga belakang menuju ke tempat letak kereta peribadi.

Sepatutnya, embrio sudah boleh dimasukkan ke dalam servik Penyanyi Popular minggu lalu, tapi Si Embriologis mengejutkannya pada satu pagi. Satu pagi yang menyaksikan Si Embriologis termengah-mengah menerpa ke pintu bilik Ryan.

Katanya telur yang disenyawakan tidak ada ‘pronucleus”. Ryan terus terbangun dari kerusi. Dia hanya membayangkan satu perkara, cek pendahuluan bernilai RM100,000 ditarik balik.

“Bagaimana boleh tidak ada?,”

Si Embriologis sekadar mengangkat bahu.

Ryan resah. Sepatutnya keresahan itu milik Si Embriologis kerana dia yang bertanggungjawab mensenyawakan telur dan sperma. Sebaliknya Ryan pula yang berpeluh-peluh.

“Buat sekali lagi,”

Si Embriologis cepat mengangguk dan keluar. Ryan mengikut hingga ke makmal. Di makmal itu, Si Embriologis menunjukkan persenyawaan yang gagal.

Ryan memegang kepala. Sepatutnya, telur yang disenyawakan perlu menunjukkan dua pronucleus iaitu nukleus sperma atau sel telur ketika proses fertilization, selepas sperma masuk ke ovum, tetapi sebelum bersatu. Sepatutnya, sperma dan sel telur adalah haploid maksudnya membawa jumlah kromosom tertentu. Sepatutnya, apabila pronucleus sperma bersatu dengan pronucleus telur, kromosom kedua-duanya bersatu dan menjadi satu nucleus diploid yang menghasilkan embrio dan adanya dua pronuclei adalah tanda awal kejayaan proses persenyawaan .

Kalau tiada pronucleus, itu tanda awal kegagalan dan tanda awal dia perlu memulangkan cek RM100,000.

Waktu Penyanyi Popular menelefon dan bertanya bila prosedur pemindahan embrio boleh dibuat, Ryan tergagap-gagap menjawab, nanti dalam proses, lambat sikit. Ryan berbohong, proses pensenyawaan lambat, sebulan. Padahal proses itu hanya beberapa hari saja tempohnya, alah... bukan Penyanyi Popular tahu pun!

Dan anehnya, dua kali dicuba, dua kali gagal. Hanya cubaan ketiga, barulah berjaya. Embrio terbentuk dan Si Embriologis hanya menelefon dan berkata “dah dapat, tengoklah siapa yang buat,”

Dan dua hari selepas itu, Ryan menelefon Penyanyi Popular, prosedur pemindahan boleh dibuat.

Dan hari ini, di bilik ini Ryan akan memindahkan dua embrio menggunakan kateter kecil ke servik Penyanyi Popular. Harap-harap hanya satu embrio yang menjadi. Janganlah sampai beranak kembar, doa Ryan dalam hati. Kalau hamil menggunakan teknik IVF dan hamil kembar, itu bermakna prosedur IVF itu gagal. Rosaklah reputasi Ryan.

“Lambat lagi ke doktor,”

Ryan tersenyum lagi. Penyanyi Popular sudah sedia, Dolly sudah sedia, Ryan juga sudah sedia. Ryan memang kerap melakukan prosedur ini kepada pasangan atau orang bukan Islam. Penyanyi Popular ini adalah pesakit Islamnya yang pertama.

Ryan membayangkan, dia akan membentangkan hasil kejayaan menghamilkan Penyanyi Popular di Kongres Pakar Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan di Pusan, Korea, awal tahun depan.

Biar seluruh Asia bergema, biar seluruh Malaysia juga menyala. Ini kejayaan dunia perubatan, jadi ketepikan sentimen agama dan bangsa. Ryan tersenyum lagi, kalaupun Malaysia tidak mengiktiraf kejayaannya, Asia akan mengiktirafnya. Warga Asia perlu dikejutkan, orang Islam juga perlu dikejutkan. Sebenarnya, bukanlah dia hendak memalukan Penyanyi Popular. Dia tidak akan mendedahkan mengenai Penyanyi Popular pun. Dia hanya akan membentangkan kisah kejayaannya saja dengan gambar Penyanyi Popular yang dihitamkan mukanya. Ryan hanya ingin memberitahu kepada orang Islam, sebenarnya ada penyelesaian untuk mereka yang tidak mahu kahwin, tetapi mahu anak.

Ryan terfikir, kalaupun dia tidak dapat memperoleh ‘datukship’ di Malaysia, mungkin dia boleh mendapat pengiktirafan Kerajaan Perancis atau Britain? Bukankah mereka menghalalkan lesbian dan gay? Jadi apalah sangat kalau sekadar hamil tanpa suami? Jadi, soal diterima, ditolak di Malaysia, tidak menjadi isu kepadanya.

“Sedia ya?,” kateter kaca kecil akan dimasukkan ke servik. Ryan menarik nafas. Tapi sebaik saja dia cuba menghela nafas, dadanya terasa ketat. Dia menarik kembali kateter yang sudah dekat dengan servik.

Dadanya terasa sangat ketat, dia seakan tidak boleh bernafas. Tangannya tiba-tiba menggeletar, kateter yang dipegangnya terhempas ke lantai.

“Doktor?,”

“Doktor????,”



IV

Ryan sudah tidak dapat menjawab satu pun soalan yang diajukan wartawan mengenai cubaan Penyanyi Popular mendapatkan anak menerusi pendermaan sperma di Hospital Ini.

Sejak semalam, berpuluh-puluh wartawan datang ke Hospital Ini. Malah ada yang berkhemah di luar lobi Hospital Ini. Panggilan telefon jangan dikira, sudah beribu-ribu hingga Hospital Ini menjadi riuh-rendah dengan deringan telefon.

Sehingga pagi tadi, sudah tiga pesakit lemah jantung meninggal dunia di Hospital Ini, gara-gara terkejutnya bunyi deringan telefon. Malah, bayi-bayi yang baru lahir bersahut-sahutan tangisnya seiring dengan bunyi deringan telefon yang tidak sesaat pun berhenti.

Semuanya gara-gara Ryan yang tiba-tiba kejang dan lumpuh, lalu rebah ketika prosedur pemindahan embrio. Ryan sudah kaku dan tidak boleh bercakap. Dia juga terlantar di katil unit kawalan rapi dan bergantung pada alat bantuan pernafasan.

Gara-gara prosedur IVF menerusi pendermaan sperma juga, Kementerian Kesihatan sudah menarik balik lesen Hospital Ini untuk beroperasi.

Dolly, si jururawat lesap entah ke mana. Manakala Penyanyi Popular sudah mula membuat urusan saman menyaman. Saman pertama tentunya untuk Hospital Ini kerana kegagalan prosedur pemindahan embrio. Saman kedua untuk akhbar-akhbar dan wartawan hiburan di Malaysia yang kononnya ‘sudah menjadi adik-beradiknya’ kerana menyiarkan kisah Penyanyi Popular yang cuba hamil tanpa suami.

Ryan terfikir, bolehkah RM200,000 membeli keupayaannya untuk bernafas? Bolehkah RM200,00 membeli maruahnya yang terjual? Dadanya menjadi sebak dan semakin sesak.

Biodata

HAFIZAH Iszahanid adalah peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 1994. Beliau pernah dua kali memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) pada zaman remajanya dan pernah menghasilkan empat antologi cerpen bersama peserta MPR selain novel popularnya, Noktah Di Hujung Rindu, menemui pembaca pada 2005. Aktif dalam penulisan cerpen sejak kebelakangan ini dan sedang mengusahakan manuskrip novel kedua.

Cerpen: Mihrab



Oleh Amiza Khusyri Yusof


IQAMAH dialunkan melalui pembesar suara. Saya lekas mengatur langkah menuju ke masjid. Apabila tiba, saya lihat jemaah sudah penuh dua saf. Saya berdiri di saf ketiga. Di kiri dan kanan sudah ada dua tiga orang lagi yang baru sampai dan sama-sama membentuk saf.

Saya rapat-rapatkan tumit dan bahu, betulkan saf sungguh-sungguh. Meyakini bahawa saf bukan pada lurusnya sahaja, tapi juga pada rapat dan akrabnya tubuh. Apa yang mengecewakan saya, jemaah masjid walau di mana-mana tidak suka merapatkan tubuh dan bahu bila berdiri dalam saf. Maka saf pun jadi bengkang-bengkok macam ular kena palu dan pada hari ini, seperti hari-hari sebelumnya, saya masih kecewa. Apabila saya rapatkan tubuh kepada makmum di sebelah kanan, dia menjauh sedikit dan jangan diharap pada makmum di sebelah kiri yang memang tidak mahu akrab sejak tadi. Saya kira, jika jemaah saf pertama dan kedua membetulkan saf sungguh-sungguh, merapatkan bahu dan tubuh, sudah tentu tidak akan wujud saf yang ketiga ini. Aduhai!

Saya ingin mengangkat takbir, tetapi terhenti apabila tersentak dengan makmum di sebelah kanan yang angkat takbir berulang-ulang dan tersekat-sekat pula.



"Allahhhh... Allahhhhhuuu... Akbar!!"

Sekali lagi.

"Allahhhh... Allahhhhhuuu... Akbar!"

Masih tak menjadi.

"Allahhhh... Allahhhhhuuu... Akbar!"

Saya jadi hangat. Lekas saya sabarkan hati kerana solat baru sahaja bermula. Namun, Allah mahu menguji sungguh-sungguh kesabaran saya apabila solat telah bermula dan dia membaca al-Fatihah dengan suara yang kuat. Malah siap berlagu pula dengan kepala tergeleng-geleng. Yang paling menjuakkan tidak puas hati, dia masih begitu, mengulang-ulang ayat beberapa kali. Saya seperti ingin berkata kepadanya waktu itu juga – was-was itu datangnya daripada syaitan!

Semasa solat saya cuba hadirkan hati buat menggapai khusyuk. Tetapi acap kali konsentrasi saya terganggu oleh makmum di sebelah kanan.

Seusai memberi salam dan berzikir, saya bingkas dan menunaikan solat sunat selepas maghrib disusuli solat sunat hajat. Apabila selesai, saya bingkas dan ingin mencapai mashaf, tetapi benak pantas teringatkan pesanan Imam al-Ghazali tentang salah satu daripada hak solat berjemaah. Pesanan itu beragaman dan mengapung di benak.

Saya membatalkan hasrat mengambil mashaf. Lantas tercari-cari makmum di sebelah kanan saya tadi.

Dia kelihatan sedang duduk bersila di saf yang ketiga, menghadap mihrab. Saya menghampiri dan duduk di sebelahnya. Saya lihat wajahnya dari sisi, maka tahulah saya yang umurnya sudah renta. Saya rasa tak sedap hati. Bagaimana saya ingin menunaikan tanggungjawab dan hak ini?

Saya tahu, saya perlu menunaikan hak untuk menegur dan memperingatkan jika melihat orang lain yang kurang betul atau melakukan kesalahan dalam solatnya. Berilah pengajaran dan pengetahuan. Imam al-Ghazali seperti berbisik rapat di telinga saya.

Aduh, apakah tindakan saya ingin menegur sekarang ini, dalam waktu ini juga, adalah tindakan yang wajar? Apatah pula saya baru berpindah dua hari di kawasan ini dan mahu pula menegur seorang yang sudah agak renta, mungkin juga sudah bermastautin lama di sini. Apakah ini adalah tindakan yang waras? Apakah saya akan dituduh memandai-mandai dan tunjuk lagak?

Pesanan Imam al-Ghazali mengapung lagi. Bergema dalam hati.

Saya membulatkan nekad. Saya perlu mencegah. Saya tidak mahu bersubahat dan sama-sama menanggung dosa.

Orang tua itu kelihatan sedang khusyuk berdoa. Saya menunggu beberapa detik. Setelah melihat dia meraup kedua tangannya ke muka, saya memberi salam dengan nada yang paling lembut.

Dia memandang saya dengan kening berkerut seraya menjawab salam. Saya tersenyum kepadanya seraya bertanya, "Pakcik apa khabar?"

Dia masih kerut kening dengan wajah diserkup pelik. "Alhamdulillah." Suaranya mendatar.

Saya tahu, waktu ini saya perlu berhati-hati mengeluarkan kata-kata. Saya perlu membeli kepercayaannya dahulu. Saya lantas memperkenalkan diri dan latar belakang, kemudian menghulurkan tangan.

Kami berjabat.

Dia saya kenali sebagai pakcik Muhsin. Setelah berbual dengannya beberapa minit, maka betullah telahan saya yang dia sudah lama tinggal di kawasan ini. Malah, rumahnya juga karib dengan masjid. Waktu ini, saya sudah mula merasakan keakraban, justeru saya kira kami sudah bersedia melanjutkan perbualan kepada mauduk utama.

"Apa pendapat pakcik tentang saf jemaah di masjid ini?" Senyuman masih tekal di bibir saya.

"Bagus." Dia mengangguk kepala sedikit.

Saya tersenyum lagi. Kemudian memandang mihrab. Sebetulnya ingin memancing respons.

"Kenapa?" Suaranya kedengaran serak-serak.

"Saya kira kurang baik, pakcik. Walaupun baru dua hari di sini, saya lihat saf di sini masih bengkang-bengkok. Jemaah juga tidak mahu merapatkan bahu bila berdiri bersama." Saya kembali memandangnya dengan senyuman. Saya tahu, senyuman ada kuasa memikat, selain pahala bersedekah.

"Itu tak jadi masalah." Dia bersuara acuh tak acuh. Saya terkedu sedikit. Senyuman saya mati. Di situ, keegoannya sudah mula terserlah.

Saya memujuk hati dan membacakan sebuah hadis riwayat Muslim tentang saf, "Luruskan barisanmu, jangan bengkang-bengkok; kerana barisan yang bengkok nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah belah."

"Saf ni asas solat berjemaah pakcik, kesempurnaan solat berjemaah. Kalau kita sambil lewa, matlamat untuk mengakrabkan silaturrahim sesama Muslim itu tak akan tercapai. Hati kita akan bengkang-bengkok seperti saf itu. Penuh hasad, iri, takbur dan macam-macam lagi." Saya bersuara lembut dan moga-moga akan menusuk ke kalbunya.

"Lagi?" Nada suaranya ditinggikan. Ya, kini saya sudah mula merasakan suatu gejolak.

"Cara solat pakcik. Saya nasihatkan sebelum solat, pakcik bacalah surah an-Nas dan berta'awuzlah, mohon perlindungan daripada syaitan yang direjam. Was-was itu datangnya daripada syaitan dan kejahilan." Saya mengukir senyuman semanis madu.

Orang tua itu tiba-tiba mendengus. "Apa? Aku jahil?" Matanya terbeliak memandang saya.

Saya terkesiap. Sungguh, saya benar-benar tidak menjangka akan menerima reaksi sedemikian. Saya menarik nafas dalam-dalam. Pandangannya tidak saya balas dan kembali terlempar ke arah mihrab. Saya perlu mewujudkan jeda.

"Aku cuba untuk khusyuk." Pakcik Muhsin tiba-tiba berkata perlahan setelah berlalu beberapa detik. Saya gesit memandangnya. Dia pula lekas mengalih pandang ke arah mihrab. Tidak mahu bertentang mata.

Hati saya dijentik kagum. Rasa kasihan juga bercampur baur. Ya, sekarang inilah waktu yang paling sesuai untuk saya menyampaikan dan memberikan pedoman.

"Izinkan saya memberikan formulanya, pakcik." Saya memandang sisi wajahnya. Dia langsung tidak memandang saya. Geleng pun tidak, angguk pun tidak.

"Pakcik perlu hadirkan hati." Saya perasan kening pakcik Muhsin yang berkerut.

"Maksudnya, hati itu mesti dikosongkan daripada segala sesuatu yang tidak ada sangkut paut dengan solat. Yang ada hanya Tuhan yang ingin kita sembah." Dia kelihatan mengangguk sedikit. Riaknya itu sudah cukup sebagai pendorong semangat saya berbicara.

Saya senyum, kemudian membacakan firman Allah dalam surah Taha ayat 14, "…dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku." Kemudian saya iringkan dengan surah al-A'raf ayat 205, "Dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai."

"Kelekaan dan kelalaian itu adalah lawan kepada mengingati. Jika lalai dalam solat, bagaimanakah ingin dikatakan seseorang itu ingat kepada Allah? Solat bukan pada zahir sahaja, tapi juga pada batinnya."

Saya bacakan pula ayat 43 daripada Surah an-Nisa', "…hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan."

"Walaupun ayat ini adalah sebagai dalil melarang orang-orang yang sedang mabuk mendirikan solat sebelum pengharaman arak secara mutlak, tetapi ayat ini juga boleh digunakan sebagai larangan bagi orang-orang yang leka, lalai dan orang-orang yang dihinggapi penyakit was-was."

Masjid itu tiba-tiba berdengung dengan bunyi motosikal. Saya berhenti seketika. Budak-budak rempit ini memang tidak pernah kenal ketololan mereka.

Setelah bunyi itu reda, pakcik Muhsin memandang tunak wajah saya, saya tersenyum sepicing dan kembali menyambung.

"Pakcik lihat sekarang, ramai orang yang mengerjakan solat atau mengaku menunaikan solat, tapi aurat terbuka sana, terbuka sini, senang kata, maksiat atau dosa tetap mereka lakukan. Sedangkan kita maklum, solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. Berdasarkan sebuah hadis riwayat Tabrani, "Barang siapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tidaklah ditambah oleh Allah melainkan jauh, yakni jauh dari kebenaran." Bermakna, kalimah-kalimah dalam solat hanya meniti di bibir sahaja, tidak mengalir ke dalam hati. Atau mereka gagal menghadirkan hati." Saya menerangkan bersungguh-sungguh.

"Orang yang gagal menghadirkan hati ni seperti orang yang mengigau, pakcik." Saya sengaja tidak memandang kepada pakcik Muhsin. Pandangan saya jatuh ke arah mihrab yang terbentang sejadah imam itu, tapi minda dan hati jauh berkelintar.

"Mengigau?" Pakcik Muhsin yang baru saya kenali itu menyoal. Daripada bunyi nadanya saya tahu dia sedang kepelikan.

Pesanan Imam al-Ghazali beragaman dalam benak saya.

"Ya pakcik. Orang yang lalai ini seperti orang yang mengigau dalam tidur. Apakah orang yang berkata-kata dalam tidur dikira sebagai ucapannya sendiri atau igauan semata-mata? Adakah kata-kata 'pakcik sudah pergi ke London' semasa dalam tidur, orang akan percaya dan terima?" Pada perkataan London itu saya menyebutnya menggunakan ejaan Melayu seraya terkerisin.

Saya membetulkan sila. Pakcik Muhsin menunggu dengan mata terkejip-kejip.

"Jadi, solat kita semasa lalai, segala ayat-ayat dalam solat kita lafazkan sedangkan hati kita alpa, tidak jaga dan tidak hadirkan hati, adalah seperti orang yang mengigau, tidak tahu apa yang diucapkan, tidak sedar dan apakah solat kita akan diterima Tuhan?" Saya kembali memandangnya.

Namun, saya sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pakcik Muhsin bangun tiba-tiba dan memandang saya sepicing sebelum berlalu ke arah mihrab. Ada tiga orang jemaah di saf yang pertama menghadap mihrab, yang saya rasakan orang-orang kuat masjid. Hati saya diterpa bermacam rasa. Walang, bimbang dan gentar bercampur baur. Saya menghela nafas dan lekas beristighfar. Meyakinkan hati, bahawa kemenangan itu adalah untuk orang-orang yang benar.

Saya teringat firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 165, "Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik."

Hati saya hanya mampu mendoakan agar pakcik Muhsin tidak termasuk di kalangan golongan yang disebut Allah dalam ayat ini. Golongan yang tidak menghiraukan, tidak mempedulikan apabila datang peringatan kepada mereka.

Saya melihat jam, waktu masih awal. Masih ada masa lebih kurang tiga puluh minit sebelum masuk fardu Isyak. Saya lekas bingkas dan mengambil mashaf, kemudian beriktikaf semula di tempat yang sama.

Namun, belum pun sempat saya membuka mashaf, ada orang memegang tangan saya. Saya terkedu apabila melihat pakcik Muhsin berada di sisi saya dan meminta saya bangun.

"Bangunlah. Pakcik sudah cadangkan pada imam dan jawatankuasa untuk membenarkan anak memberikan tazkirah. Mereka setuju." Saya bingkas dan menurutinya dalam pinga.

"Adalah tidak adil jika anak menyampaikan ilmu untuk pakcik seorang saja. Apa yang ingin anak sampaikan penting dan perlu juga disampaikan kepada jemaah." Dia mengukir senyum. Senyuman yang julung-julung kalinya tentu!

Serentak itu saya terdengar suara imam meminta semua jemaah menumpukan perhatian di hadapan. Saya terkesima. Subhanallah! Hati saya diterpa kagum tak henti-henti. Zikir dalam hati bertemali.

Saya melangkah dan duduk di mihrab. Sebelum memulakan kuliah, saya memandang pakcik Muhsin yang duduk karib di sebelah kanan, kemudian ke arah jemaah di sekitar masjid.

Jiwa saya ketika itu beragaman dengan diksi - ayuh, kita hadirkan hati!

Rujukan:

1) Ihya' Ulumuddin, Imam al-Ghazali.
2) Sahih Muslim, Imam Muslim.

Biodata

AMIZA Khusyri Yusof yang dilahirkan di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan pada 30 Ogos 1981, mula bergiat secara serius dalam penulisan kreatif sekitar 2003. Karyanya mendapat tempat dalam majalah dan akhbar arus perdana. Novelet graduan Universiti al-Azhar, Mesir, Sejernih Salsabila diterbitkan pada Julai 2003 dan antologi cerpennya, Salju Jabal Musa bersama Ghafirah Idris, Nimoiz TY, Ida Munira Abu Bakar dan Fahd Razy dilancarkan di Kelantan Darul Naim, pada 10 Jun 2005 dengan kerjasama DBP dan e-Sastera Enterprise. Memenangi hadiah ketiga Sayembara Penulisan Kreatif anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan [PEN] 2003 melalui cerpen Perpatih Bertatih dan dimuatkan dalam Antologi Cerpen dan Puisi PEN - Gema Serunai Hati 8. Juga pernah memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan [ASNS] 2005 (Kategori Karya Eceran) melalui cerpen Salju Jabal Musa. Kini mengajar sebagai guru dan pensyarah sepenuh masa di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Gemencheh. Weblog peribadinya boleh dicapai di

Cerpen: Kambing Oh! Oh Kambing



Oleh A Ghani Abdullah


OMBAK melabuh tenang ke gigi pantai. Pantai sudah tidak seperti dulu. Sekali menghempas ombak, jauh rasa terjangkau ke tanah daratan. Di tepi tebing pantai ada sekumpulan kambing sedang meragut rumput. Lorinya di situ.

Zakaria berehat di situ. Selepas menghantar selori kotak kosong untuk kegunaan kilang. Kilang perlukan kotak untuk mengisikan barang-barang keluarannya.

Di tepi pantai itu sering menjadi tempat berhenti dan rehatnya. Tempat menenangkan fikiran. Dia tidak rumit-rumit sangat hendak fikir tentang membayar ansuran bulanan dan membetulkan kerosakan lori.



Kambing di tepi pantai itu sering mendekatinya. Dia tidak menghiraukannya. Itu kambing orang. Tuan punya kambing itu di hujung tanjung pantai itu. Itu yang diberitahu oleh orang-orang di situ. Kambing hitam bertanda putih duit sebesar syiling lima puluh sen di telinga kanan sering meminta makanan kepada Zakaria.

Tentang lori yang dipandunya itu memang kepunyaannya. Upek kelindannya. Upek itu isterinya.

Isteri tersayangannya. Upek hitam manis kulitnya macam kulit Zakaria juga. Badan Upek lebih berisi. Upek baca berehat dalam lori.

Zakaria dan isteri mencari rezeki untuk anak-anak maju dalam pelajaran. Niatnya semoga anaknya belajar hingga mempunyai ijazah dan menjadi pakar bidang seperti dalam bidang ekonomi, doktor, jurutera, arkitek atau angkasa. Ibu bapa cari duit. Kerja keras untuk masa depan anak-anak.

Zakaria kurus sedikit daripada Upek. Dulu Zakaria suka hisap rokok. Kini dia tidak suka menghisap rokok lagi. Teguran anak perempuannya menyebabkan dia berhenti menghisap rokok.

“Nanti duit ayah habis kerana hisap rokok. Penyakit senang bersarang dalam perut. Nanti ketika sujud di tikar sembahyang surau akan meninggalkan kesan bau rokok di tempat sujud. Orang lain akan pening kepala!” Kata anak perempuan yang masih di bangku sekolah rendah.

Zakaria menghirup udara laut petang itu. Kini ada deburan ombak kecil. Deburan hanya tiba di batu piramid yang condong seperti tujahan lembing ke tanah. Kalau ada deburan ombak kuat kerana ada tiupan angin kencang, maka deburan ombak akan melepasi batu piramid.

Batu piramid itu atau dikatakan bongkah batu atau seperti bongkah batu Piramid di Mesir. Bongkah itu menjadi penggalang pertama ombak tiba ke tebing pantai. Selepas melepasi bongkah batu pertama, ombak terpaksa berdepan dengan bongkah batu tembok yang menahan tanah tebing dari runtuh.

Kambing hitam bertanda putih duit sebesar syiling di telinga kanan datang mendekati Zakaria. Zakaria menghulurkan kuih karipap yang ada di tangannya. Kambing makan kuih karipap itu. Kambing membebek seperti mengucapkan terima kasih. Kambing berlalu.

Sambil merenung sekumpulan kambing di tembok batu pantai, Zakaria teringatkan dirinya ketika berada di surau. Dia suka membancuh teh dan kopi untuk jemaah surau.

Apatah lagi jika dalam bulan puasa. Bukan itu sahaja, malah menghidangkannya. Bujang, Jamal dan kadang-kadang Herman turut sama menghidang makanan. Bilal Husni suka sikap baik dan mulia Zakaria itu.

Mejar Husin dan Jamal kadang-kadang datang menolongnya. Kini, Cikgu Syaari sering ikut kumpulan Tabliq. Jika Imam Dolah Bank tak datang, Cikgu Syaari atau Cikgu Aziz bekas Nazir Masjid akan jadi imam surau. Kalau tidak Razali Yusuf , Setiausaha Surau kena jadi imam.

Zakaria berdiri di tepi pantai. Seekor kambing datang lagi kepadanya seperti meminta kuih karipap. Zakaria seperti bercakap dengan kambing, “Karipap sudah habis! Pergilah makan rumput!”

Jauh ke tengah laut, nelayan dan perahu dilihat sebesar ibu jari. Mereka sedang menarik pukat gayanya.

Pasir-pasir tepi pantai tidak pernah lemas. Pasir tetap muncul walaupun selepas bah besar atau taufan melanda. Sedangkan kapal ada yang tenggelam. Ada perahu nelayan yang hilang. Pasir tidak pernah hilang.

Bagi Zakaria, pasir seperti diri pemancing. Pemancing tidak pernah luput di muka bumi selagi ada pantai, ada ikan ,ada daratan. Pasir selagi ada air, angin dan matahari.

Pemancing ramai yang datang dengan motosikal. Mereka menghalau kambing mendekati tempat mereka memancing. Mengganggu!

Orang-orang tua memang suka memancing. Apatah lagi pada waktu bekerja. Mereka orang-orang pencen. Jika hari minggu atau hari cuti, orang-orang pejabat berderet datang memancing.

Zakaria seperti Wahid atau Husin Lori, siang malam berusaha untuk menambah pendapatan. Cari duit. Semua kena kira. Masalah lori bermacam-macam.

Ada syarikat menyewa lorinya bagi mengangkut barang-barang kilang setiap hari kerja. Waktu lapang atau malam, kadang-kadang angkut dan pasang khemah orang kenduri kahwin. Mejar Husin (pesara) dan rakan-rakan akan menolongnya. Untung akan diserahkan kepada Encik Razali untuk kegunaan kebajikan surau. Kira tabung surau.

Kambing hitam bertanda putih sebesar duit syiling lima puluh sen datang lagi apabila nampak Zakaria mengunyah kacang. Zakaria menghulurkan kacang. Kambing pun makan kacang.

“Kuih kodok pun dimakannya.” Kata seorang pemancing yang berdiri dekat dengan Zakaria. Macam manusia kambing ini.

Zakaria teringat, anak perempuannya suka mengusik kambing. Jika balik kampung anaknya akan ke reban kambing. Anaknya memberi kambing makan daun nangka. Dia akan ikut kambing mengembek-ngembek.

Sinar matahari petang mula menyuluh diri pemancing. Pemancing berlindung atau berteduh di bawah pokok. Mereka duduk di tebing bongkah batu tembok. Mereka merenung ke arah mata pancing yang diayun ke tengah laut. Kambing datang lagi. Mereka menghalaunya.

Pak Tua kaki pancing, pakai baju berlengan panjang, seluar panjang. Bawa umpan dan batang kail siap dengan tali, batu ladung dan mata kail. Pak Tua melemparkan tali pancing ke arah gelombang laut dan menunggu. Ketika seekor kambing mengembek-ngembek. Kaki pancing halau kambing lagi. Kambing menggeledah bekalan makanan pemancing.

Ada pemancing yang berseluar pendek dan baju lengan pendek. Dia menari-narik pancing, umpan sudah dimakan ikan. Tetapi ikannya tidak melekat. Angin kencang seketika. Ombak menghempas kuat sedikit. Bau asam tanah paya dan asin laut berdekatan menusuk ke lubang hidung ketika ada angin bertiup.

Pak Tow bertopi hijau, seluar panjang, baju lengan panjang dengan teliti membubuh umpan di mata kail. Ada beg hitam yang terkepit di tali pinggang. Dia melepar jauh mata pancing ke tengah ombak.

Awal pagi sebelum itu, Zakaria bertemu Muhammad Fauzi dan Pak Abu di gerai kopi tepi pantai. Muhammad Fauzi belanja makan roti canai dan teh. Itu kenalannya.

Muhammad Fauzi masuk kerja jam lapan pagi di TNB. Pak Abu kerja kampung. Dia punya ladang getah. Sebahagian hasil getahnya disimpan dalam Tabung Haji. Mana tahu, ada rezeki naik haji.

“Air pasang petang rupanya!” Bisik Zakaria.

Ombak tiba ke bongkah batu tembok tebing pantai. Air laut memercik tinggi dan melepasi bongkah batu.

Di sini tentu penuh kenangan. Zakaria tersenyum memandang Pak Tow yang menaikkan seekor ikan sebesar tapak tangan.

Di pantai kiri ini ada timbunan pasir yang menaburkan ratusan tapak kaki manusia. Ada ribuan tapak kaki kambing juga. Ramai orang menginap di chalet . Mereka bermain dan bermandi-manda pantai itu.

Pengunjung pantai, jika pada malam hari, mereka membuat unggun api sambil bercerita sambil makan-makan. Terhibur. Apatah lagi ada deruan angin malam yang mesra dan mengasyikkan.

Zakaria sudah cukup berehat di tepi pantai petang itu. Dia memandu lorinya. Upek tertidur. Fikirnya mahu pulang ke rumah sahaja. Tidak jauh dari chalet tepi pantai, Zakaria terdengar bunyi detakan ayam dan kemudian berkokot-kokot bunyinya.

Biji buah ketapang banyak di tebing batu di hadapan jalan pantai. Pokok ru dan ketapang sebaris di tepi pantai. Semut-semut hitam memanjat seluar pengunjung. Kambing tidak pedulikan semut itu.

Pondok-pondok dan meja atau bangku batu tersedia di tepi pantai. Gerai-gerai makan pun ada. Tidak jauh ada Balai Polis kampung. Ada kedai di persimpangan jalan masuk pantai. Sepanjang tiga ke lima kilometer itu mudah ditemui chalet atau rumah inap atau pondok inap untuk pengunjung pantai.

Zakaria sudah sampai rumah. Upek terkejut kerana ada bunyi kambing dalam lori. Zakaria terkejut ada kambing dalam lorinya. Kambing siapa? Siapa pula menaikkan kambing ke dalam lorinya? Zakaria resah.

Zakaria baru cam. Kambing hitam itu ada tompok putih sebesar duit syiling lima puluh sen di telinganya. Ini sah kambing kepunyaan tuan atau penjual kambing di hujung pantai tanjung. Rumah tauke kambing. Kambing yang diberi makan kuih karipapnya petang itu.

Ini mesti dipulangkan. Lima puluh kilometer jauhnya. Hak orang. Haram menjual atau memakan dagingnya. Kira daging curi. Binatang curi. Berdosa. “Aku tak mahu subahat. Aku mesti pulangkan kepada tuannya.”

Zakaria menghidup enjin lori, tetapi enjin lori tidak hidup. Zakaria keriau. Dia hendak memanggil isteri dan anak-anaknya untuk menolong menunda lori, tetapi niatnya dibatalkan. Dia kasihan kepada isterinya yang baru pulang. Isterinya sedang hendak menyediakan makanan.

Zakaria telefon Daud Bengkel Kereta kawan Mat Misai dan Cikgu Anuar jirannya. Daud datang dengan motosikal . Daud mendapati bateri lori sudah kong. Kena beli bateri baru! Mahu tidak mahu Zakaria terpaksa membeli bateri baru.

“Daud, engkau ambil bateri di bengkel engkau dulu. Esok aku bayar.”

“Tak jadi masalah.” Kata Daud sebab Zakaria memang pelanggannya.

Lori Zakaria meluncur ke rumah tuan punya kambing hitam putih sebesar syiling lima puluh sen di telinga. Dia terdesak juga, dia perlu buat tuntutan hantar kambing pergi balik dengan tuan punya kambing.

Pada mulanya Zakaria tidak mahu menuntut apa-apa. Tetapi memandang kambing itu bukan dalam ladang ternakan atau dalam kandangan, maka tuannya mesti diberi ingat bahawa ternakan mesti dijaga supaya tidak merayau-rayau ke sana ke mari mengganggu atau merosakkan tanaman orang. Apa tidaknya, habis pucuk anak pokok patah dan mati. Anak pokok yang baru ditanam bagi kempen menanam untuk menghijaukan bumi dan mengurangkan kepanasan bumi.

Setibanya di rumah tuan punya kambing hitam bertanda putih sebesar syiling lima puluh sen di telinga , Zakaria menyerahkan kambing. Tuan punya mengaku bahawa kambing itu kepunyaanya selepas Zakaria menceritakan hal kambing itu hingga berada dalam lorinya.

Zakaria pun menuntut duit perjalanan dan sewa lorinya sebanyak tiga puluh ringgit sahaja. Tuan punya kambing terkejut dan tiba-tiba marah.

“Engkau hendak mengugut aku ya.”

“Tidak, saya bertujuan baik.”

“Tidak. Ini bukan tujuan kamu memulangkan aku. Aku boleh tuduh engkau mencuri kambing aku.” Kata tuan punya kambing dengan marah-marah.

Zakaria tergamam dengan kata-kata itu. Tujuan baik. Kini sudah menjadi masalah pula. Apa harus dia buat sekarang?

Tuan punya ini mesti disedarkan akan kesilapannya. Dia sudah bersikap bongkak dan biadap kepada tetamu yang datang dengan baik.

“Aku mesti tuntut sewa lori pergi balik sebanyak tiga puluh ringgit. Kambing tidak berjaga. Tidak dalam kawasan ternakan sebenarnya. Biar tuannya tahu betapa bahaya jika kambing dibiarkan tanpa dijaga. Macam kerbau lembu juga. Jika dibiarkan, habis tanaman orang. Macam mana kalau kambing dikebas orang terus!” Congak Zakaria dalam hati.

Kambing hitam bertanda putih sebesar syiling lima puluh sen di telinga membebek-bebek. Bek! Bek! Tahu akan nasibnya. Kambing itu sedang menegur sikap tuannya, barangkali!

“Pandai engkau, sudah curi kambing aku dan kemudian pura-pura pulangkan, ya! Sudah aku tak mahu bayar satu sen pun. Pergi dari sini sebelum aku buat aduan ke Balai Polis!” Herdik tuan punya kambing dengan kasar sekali.

Ketika itu ada seorang pembeli kambing sedang mengira wang lebihan yang dikembalikan oleh tuan punya kambing. Tiba-tiba pembeli yang tidak dikenali itu menghulurkan wang sebanyak tiga puluh ringgit kepada Zakaria.

Kata pembeli itu dengan senyuman, “ Anggaplah saya tuan punya kambing dan ambil wang tiga puluh ringgit bagi membayar sewa lori kamu yang membawa pulang kambing itu. Ikhlas!”

Zakaria seperti tidak mahu membuat kecoh lalu menerima wang itu. Walaupun ada rasa hendak menolaknya. Lagi pun Zakaria bimbang tuan punya kambing akan menuduhnya sebagai pencuri kambing pula.

Pembeli kambing itu mendapati motosikalnya tidak boleh dihidupkan enjin. Zakaria menumpangkan pembeli dan motosikal itu ke lorinya untuk di hantar ke kedai motosikal berdekatan.

“Tuan membeli kambing berapa ekor dan mana kambingnya?” tanya Zakaria kepada pembeli kambing ketika berada dalam lori. Lori Zakaria menuju ke pekan kecil.

“Dua ekor. Penjual kambing itu akan menghantarnya ke rumah saya esok selepas seorang bekas imam masjid tolong menyembelihnya. “ Jelas pembeli kambing yang baik hati kepada Zakaria itu.

Pembeli kambing turun di pekan dan menurunkan motosikalnya dari atas lori Zakaria.

Sebelum bergerak, Zakaria menjengok mukanya dan melambai kepada pembeli kambing dan bertanya, “ Terima kasih kerana memberi saya duit tiga puluh ringgit itu tadi?”

“Oh tak mengapa. Lagi pun duit itu merupakan duit yang terlebih dipulangkan oleh tuan punya kambing kepada saya. Saya tidak rugi apa-apa.” Pembeli itu berkata macam sebuah lagu. Zakaria tersenyum dan melambai. Zakaria angguk-angguk.

Tiba-tiba hampir sampai ke rumah. Zakaria mengingatkan semula kata-kata pembeli kambing itu. Zakaria lemas. Nyawanya rasanya hendak tercabut. Dia sudah dipermainkan oleh pembeli kambing.

“Jadi duit itu duit tidak halal juga. Duit haram. Haram aku menerimanya. Apa mesti aku buat?” Zakaria gelisah.

Malam itu Zakaria tidak tentu arah. Fikirannya berkecamuk. Dia tidak boleh tidur lena. Dia ingatkan semula kata pembeli kambing itu, “Oh tak mengapa. Lagi pun duit itu merupakan duit yang terlebih dipulangkan oleh tuan punya kambing kepada saya. Saya tidak rugi apa-apa.”

Zakaria memberitahu isterinya Upek. Upek sungguh kasihan mengenangkan nasib suaminya.

Zakaria pun memutuskan bahawa esok, pagi-pagi dia akan memulangkan duit tiga puluh ringgit itu kepada tuan punya kambing iaitu penjual kambing di hujung tanjung pantai yang sering menjadi tempat rehatnya itu. Insya-Allah!

Biodata

A GHANI Abdullah, anak kelahiran Kampung Ramuan Cina Kecil, Melaka ini adalah mantan Pegawai Perancang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Setiausaha Barisan Bertindak Bosnia (BBB), Penyelaras Kelab Sastera DBP, Pengarah/ Pengurus Pentas/ Pelakon Drama Pentas, Penyelaras Pertandingan Drama Sekolah Menengah Malaysia, Fasilitator PPSB/PLKN Selangor, Penilai Manuskrip Sastera, Hakim/ Penilaian Hasil karya Kreatif, Penulis novel, cerpen, drama, puisi dan esei. Ahli Majlis Bersama Jabatan Badan Berkanun Malaysia, Lawatan sambil belajar ke Morocco, Sepanyol, Turki, Jordan, Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Palestin dan Mesir. Antara novel beliau ialah Camar Putih Di Awan Biru (DBP) dan Permaisuri (CESB). Novel yang akan terbit Apabila Hidup Menjadi Lembah Kesusahan (PKS). Kini penulis bebas dan perunding kreatif

Cerpen: Dues Ex-Machina



Oleh Wan Zahari Wan Ali

KOLONG langit tiba-tiba pecah. Warna-warna pelangi kian pudar dan rata berdebu. Angkasa raya menjadi panas dan menebarkan asap merah. Aspal bumi kian kelabu melewati akar pohon melilit di celah-celah kegelisahan warga maya. Dia menjadi kalut dengan situasi petaka tujuh petala langit membelit tujuh petala bumi. Resah menggeliat di mana-mana. Kemarau kering dan hujan basah silih bertukar ganti. Milik siapa? Dia merenung di kejauhan dengan minda semakin sempit!

Unggas malam tak lagi galak bercicip merdu. Serama jantan jarang berkokok di dini pagi yang basah. Lembu dan kerbau melenguh perlahan mencari arah. Pohon-pohon hijau tak lagi terhinggut oleh angin kencang dari kutub yang jauh. Pagi menyapa bersama mentari tanpa embun yang menitis. Rumput-rumput menjadi layu dengan keisingan yang seakan-akan sakit dan lelah. Dia merenung di kejauhan dengan minda yang terluka!


i. Pagi: Di tangga gubuk buruk



Mak, beras telah hangus terbakar!

- Mana apinya?

Gandum tak lagi dijual.

- Berapakah harga yang perlu dibayar?

Petrol telah lama tak naik harga.

- Iraq terus terbakar. Bush ketawa bodoh dalam derita.

Mak, gula dah habis!

- 2008 gaji ayah menjadi semakin kecil.

Hospital sekarang kekurangan pesakit.

- Ibu semakin goyah, darah tinggi kian melambung.

Kemarau berdesing atas tanah atas rumah.

- Hujan timur laut menyongsang turun.

Mak, adik menangis! Pampersnya basah.

- Susu dah habis!



Ayam terlepas tangan bau tahi! Reban buruk tak lagi runtuh-runtuh. Aromanya menerawang memanjat banjaran gunung agung. Sakitnya hidung mendesak dan loyanya tekak. Sawah padi semakin kering dan pakum. Bendangnya diliputi lalang tinggi sejunjung kepala. Parit dan tali air menjadi gelanggang tempat sang kodok dan sang cewek berjogging petang. Airnya di mana? Airnya entah ke mana? Hujan tetap mencurah dengan lebat ke dalam kantung para kontraktor. Jengkaut mengaum memecah kesunyian dini malam yang sepi dan syahdu. Dia merenung di kejauhan dengan wajah yang terkulai!

ii. Tengah hari: Di sebuah masjid yang sepi

Masjid Kampung Mulia itu telah lama sunyi bagaikan dibaham garuda. Setiap kali solat berjemaah hanya pak imam dan pak bilal yang tercokol dan kariah paling setia. Mereka merayap ke dalam diri dengan tunduk dan pasrah kepada Yang Maha Agung di hadapan mimbar. Suara azan terlaung sesayu tangisan anak-anak gurun yang kehausan merangkak ke cuping telinga. Kekalutan dan kekerdilan insan menjadikan mereka terlalu sibuk untuk mengimarahkan rumah Allah. Allah tahu! Allah Maha Tahu!!! Mereka tidak rela melepaskan peluang menikmati kelazatan dunia fana. Hidup perlu diteruskan. Harga barang-barang yang melambung tinggi, setinggi cita-cita untuk menjadi jutawan segera. Mereka merungut: Swiss cash belum kojol!

Skim cepat kaya dan saham itu ini via internet kian liar dan mengganas. Ada yang bertopengkan dengan cara menjual produk berkualiti. Di sebalik taktik licik syarikat, ada yang termakan pujuk hasut. Mereka ingin segera menjadi kaya tanpa berusaha daripada keringat yang menitik kencang. Jalan pintas mereka adalah serkap dan jerat perjudian. Semacam Pak Kaduk dan Mat Jenin yang akhirnya confuse dan merintih di pinggir kalbu. Mereka kaya angan-angan, tetapi miskin cara bekerja ala Jepun moden. Warga kita warga subsidi yang terdohok muncung. Manja dan letih. Dia merenung di kejauhan dengan wajah yang kusam!

Mak, cantik gelang magnet edymium !!!

- Cerita silamkah?

Wowduit, perigiduit, isave2u, mobilewallet2u, tinta2u, MPSBholding, minvestment, hits4pay sangat kencang bisnes saat ini.

- Ustaz kata haram itu neraka.

Foreign Exchange (Forex) dan Multi Level Marketing (MLM) pun sehebat Bursa Malaysia. Kelas forex yang scam pun bercendawan tumbuh.

- Adat berkasih biar bermanja.

BPR tangkap, siasat dan dakwa si ikan jerung.

- Masih selera nasi lemak berlauk bilis.

Kontrak jutaan ringgit kepada kroni dialibabakan.

- Kantung mesti penuh untuk menjana ekonomi negara.

Adik lapar!

- Beras terbakar!

Angin pantai berkalang deru, debur ombak semakin kencang. Pulau-pulau di kejauhan melambai perlahan. Laut bukan biru. Pasir pantai dah lama terhakis menyusup dasar. Siput dan ketam berlari mengejar petaka di pinggir lubang. Nelayan pantai berdayung tidak, memancing kenangan bersama kolek buruk . Camar melayah rendah dengan cicipan bunyi unggas di waktu senja. Dia merenung di kejauhan dengan wajah yang bertindan!

Malam masih muda:

Asap kilang bergumpal bersama angin malam. Dinginnya menusuk sum-sum tulang kerdil. Pohon-pohon bergoyang. Sesekali terdengar cicipan unggas dan cengkerik memecah kesepian pekat malam. Rengekan tangis bayi dan anak kecil menjadikan malam kian malam dan sinar cahaya bulan merembas di kaca jendela terbuka dalam sepi. Cantik dan indah bak lukisan minyak yang terpamer di galeri perdana. Dia masih mencari ilham untuk menjadi kaya dan sihat.

Bunyi kuang dan dengkuran anak-anak adalah muzik asli yang termahal. Radio Hotfm terus memutarkan lagu-lagu nostalgik dan kenangan terindah di musim remaja. Wajah kumal kanak-kanak bermain wau bulan di pinggir sawah menerawang di ufuk mata. Merekalah anak-anak warisan bangsa tonggak negara leluhur. Negara merdeka dengan warga prihatin di bumi bertuah. Bumi makmur yang kaya raya milik cucu-cicit Datuk Laksamana Hang Tuah. Kitalah sang pahlawan dalam genta bangsa merafak sembah daulat seri paduka. Dia merenung di kejauhan dengan wajah seorang patriot!

iii. Larut malam: Di sebuah banglo mewah

Papa, mama mahu hidup 1000 tahun lagi !!!

- Kita akan melakar peta mimpi yang pudar.

Mencipta satu tamadun bangsa dan sebuah empayar agung famili kita.

- Langit tetap terbuka meskipun kelopak mata tertutup rapat.

Bangsa kita telah lama merdeka.

- Korup tak pernah mati kerana nafas kita tidak siuman.

Kita ada KLCC, kita ada angkasawan pertama ke ISS.

- Harga minyak akan naik lagi.

Mana anak-anak kita?

- Mimpi telah terbakar dan apinya bersarang di hati.

Mana perjanjian cinta kita?

- Good night and sweet dream.

Warga malam menarik selimut dan mencari sebutir mentari hidup. Wajah-wajah siang tadi memutar kembali dalam ingatan kalut isomnia. Kegelisahan rutin dan kepayahan menu hidup merentap urat nadi yang tegang dan kental. Daging dan tulang temulang kian reput dimamah usia. Egoisme terlonggok di dada dan kerakusan memaki hamun sesama makhluk terlukis di bibir mulut.

Dia merenung bulan yang pecah. Tompokan awan adalah darah yang mengalir di celah-celah kehidupan yang longlai. Keserbaan yang menindih tuntutan nafsu menjadikan dia terlalu asing di syurgaloka. Miang yang menggigit ulu hati menjadi barah kemewahan yang tidak bernoktah dan tiada penghujungnya. Runtunan angkuh gelodak jiwa menanduk-nanduk nadi kehidupannya yang kian berakhir. Manusia tak akan puas dengan permintaan hati yang iri dan hasad. Mereka ingin merangkul piala kesombongan dan menjadi juara kejumudan diri. Para syaitan menari-nari dan berjoget riang di celah malam. Malam semakin malam!

Pagi yang cerah bersama sinar mentari di ufuk timur menjadikan kota batin ceria segala. Azan Subuh pagi itu menghamparkan sebuah kematian yang tertunda. Solat dan doa mengiringi resipi kehidupan yang telah lama terkorban. Hari baru menghamparkan menu taubat dalam keinsafan yang total. Allah Maha Kaya dengan segala kekurangan yang dimiliki makhluk kerdil-Nya.

Mentari tersenyum. Seindah pagi, wajahnya memancarkan satu kemanisan hipokrit seorang manusia Melayu yang terluka. Wajahnya tercalar bak sebuah sekeping lukisan carik yang telah dilelong dengan bayaran harga paling murah. Hatinya yang berkecai terangkum kental dalam sebuah mangkuk kristal putih.

Dia tahu dia telah terhumban jauh ke gaung kesesatan bersama kerabat yang lemah dan sombong.

Avant-garde:

Bunga-bunga cinta dan kenangan bergumpal bersama melodi keinsafan. Aku dan isteri tersenyum menyambut kehadiran pagi yang ceria. Anak-anak kecil masih mengulit mimpi panjang dalam pasrah yang tak pernah pudar.

Mana anak kita, Elihanis?

- Mama tidak lagi bermimpi.

Papa ni, Mama malu kepada anak-anak.

- Fikiran kita masih setahun jagung.

Mama sudah tua, papa.

- Dunia lebih tua. Milik Rabbi selamanya.

Kita pelakonnya.

- Award yang kita julang milik siapa?

Cerita hidup belum berakhir.

- Rukun terakhir akan bergema di Tanah Haram: Labbaikallah hummalabbaik.

Dia menjadi kaya dalam kemiskinan yang abadi. Dues ex-machina menyusup lembut ke wajah ayu isteriku. Syukur ya Rabbi!

BIODATA

WAN ZAHARI Wan Ali yang dilahirkan di Kg Balik Bukit, Jerteh, Terengganu, terbabit dalam penulisan genre sajak,

pantun, cerpen, drama radio, esei dan kritikan sastera. Karyanya mendapat tempat dalam media massa arus perdana negara ini dan karyanya beberapa kali memenangi beberapa hadiah sayembara sastera peringkat kebangsaan. Lulusan Sarjana Bahasa Moden ini kini mengajar di SMK Tengku Mahmud 2, Besut, Terengganu.

Cerpen: 'Ops Badut!'


(1)

ADA sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang mengusutkan minda. Daripada apa yang dibaca dalam laporan sulit di depannya, memang membangkitkan kemarahan.

"Apa ke bangang O.J. si badut Kurdis ini? Macam mana dia boleh meluluskan kontrak kepada sub-kontraktor yang tidak berguna? Ini bukan kedua kali, sudah tiga kali kena tipu harga, masih mahu berurusan lagi?"



Bengang dan membingungkan Osman Kurus atau lebih dikenali sebagai O.K . Anak Bugis yang jarang naik darah, lebih suka menggunakan saluran diplomasi. Tetapi sebagai penyelia kontrak di syarikat pembinaan PEED, memang O.K. cukup berpegang pada etika. Cukup mengambil berat akhlak sebagai Muslim walau di mana berada dan apa jawatan yang disandang.

Selama menjadi staf, O.K. cukup amanah dengan tugas dan tanggungjawab. Apalagi syarikat tersebut adalah kepunyaan bumiputera di bawah naungan seorang ahli politik Melayu yang pertama beroperasi di Dubai. Lebih daripada itu, O.K. takut kepada Tuhan daripada segala-gala yang lain.

Lantas O.K membawa misi yang sama dengan tema visi syarikat, "Langkah Glokal Mengangkasakan Jati Diri Bangsa" ke Dubai. Kerana itu dia sentiasa curiga dengan pengurus besar PEED di Dubai, Omar Jalil atau O.J. yang berbangsa Kurdis dari Iraq, tetapi berpasport Kanada. Dalam diam memantau aktiviti yang banyak meragukan.

Bagi O.K., kejayaan PEED bertapak di Dubai walau persaingan dalam sektor pembinaan di Dubai memang cukup hebat. Dengan pertumbuhan dalam pembangunan hartanah mencapai nilai trilion USD, pelbagai syarikat pembinaan dari pelbagai negara bertarung dengan syarikat tempatan Dubai.

Tetapi kek ekonomi yang besar memberikan peluang untuk semua mencari bisnes, secara halal atau haram bukan persoalan. Setidak-tidaknya buat PEED yang dalam setahun sahaja berjaya mendapat tiga projek bernilai dua bilion.

Selain masalah mendapatkan fasiliti perbankan, masalah yang lebih memberi tekanan ialah untuk mendapatkan bekalan tenaga buruh yang berpatutan nilai, bukan sahaja dari segi upah, tetapi pengalaman. Tenaga buruh dari benua Asia Selatan memang sudah menjadi enjin pembangunan Dubai, tiada pilihan lain.

Sebaik melihat kelibat O.J. yang sentiasa masuk lewat ke pejabat, O.K . terus bersemuka.

"Bos, tiada subkontraktor untuk membekalkan buruh lain ke yang boleh kita pertimbangkan?"

O.J. melihat wajah O.K. dengan sedikit mencemik.

"Kita tidak mempunyai masa. Pembekal lain menaikkan harga tanpa fasiliti kredit, bayar dahulu baru bekalkan. Projek perlu dijalankan dengan segera dan Kuala Lumpur masih belum berjaya mendapat fasiliti bank, buat sahaja seperti yang telah diluluskan!"

Belum sempat O.K. mahu terus bersuara, O.J. terus mengangkat tangan supaya tidak berhujah dan berkata tegas. "Tiada masa untuk perbincangan lanjut dengan hujah yang sama! Jalankan sahaja tugas seperti yang diarahkan! Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya!"

Pada masa itu juga dua orang pengurus lain yang sama berbangsa Kurdis masuk ke pejabat O.J. Seakan memberi gambaran tentang siapa yang lebih berkuasa di PEED. Kedua-dua mereka memandang tajam ke arah O.K. yang berdiri dengan wajah tidak puas hati. Mahu sahaja O.K. membuka silat dan menghunus keris dalam suhu emosi yang sudah mendidih.

Tetapi rasionalnya, O.K. tahu yang dia tiada banyak pilihan. Kedua-dua pengurus itu bukan sahaja kroni besar O.J, malah orang nombor dua dan tiga dalam PEED Dubai. Sama mendakwa mereka pernah menjadi pengawal republikan Iraq di bawah Saddam Husin.

Memang O.K. cukup geram dengan kesemua mereka. Terutama pengurus kontrak yang menjadi ketua divisyen kontrak, Mehdi yang bukan sahaja tidak tahu banyak perkara berkaitan komersil, tetapi berlagak sombong. Bahasa Inggeris lintang pukang pun boleh dilantik menjadi pengurus kontrak yang kesemua kontrak rasmi dalam bahasa Inggeris.

Sementara seorang lagi, pengurus kanan projek Serbaz, begitu keras dengan staf Melayu yang kebanyakannya jauh lebih senior dan berpengalaman. Sama sahaja bahasa Inggeris dengan Mehdi, tetapi dilantik menjadi bos kepada pengurus projek lain yang sudah berbelas tahun bekerja dengan PEED. Tidak pasti ijazah yang dimilikinya, tetapi membaca lukisan kejuruteraan pun tidak tahu, apalagi berkaitan teknikal.



(2)

"Kita mesti lakukan sesuatu terhadap tiga badut Kurdis yang nampaknya mahu menghancurkan PEED!"

O.K memulakan sembang di kedai mamak Deira. Lima orang staf senior yang dihantar PEED dari Kuala Lumpur untuk membantu projek di Dubai mengangguk. Memang tujuan mereka yang kesemua tidak membawa keluarga demi berkorban untuk PEED, bersantai pada malam Jumaat itu pun untuk mencari langkah strategik. Isu yang sudah sampai ke tahap mencabar kesabaran serta profesionalisme.

"Tetapi masalah lebih besar, O.J. sudah ilmukan Datuk! Kau tahulah, Datuk percaya 100% pada O.J. Lebih percaya pada bangsa sendiri, sampai O.J. ambil kawan-kawan Kurdis dia yang bodoh itu pun diterima. Letak jadi bos pulak itu, sebab utama mereka boleh berbahasa Arab dan konon ada pengalaman di Timur Tengah. Padahal, pengalaman mereka di Iraq sahaja!" Dahlan, pengurus kewangan bercakap kuat dalam bahasa Melayu. Dia pasti pengunjung lain tidak faham apa yang mereka bincangkan.

"Datuk itu mungkin terpesona dengan Salahudin Ayubi, hero berbangsa Kurdis yang membebaskan Palestin. Apa ke bangang, dia ingat O.J. yang setiap malam mabuk dan tidak bersolat itu sama taraf dengan Salahudin! Tetapi depan Datuk, si O.J. cepat-cepat jadi imam, siap dengan baca doa panjang-panjang semasa pembukaan pejabat cawangan Dubai dulu! Baca doa dalam bahasa Arab, manalah Datuk faham apa maksudnya, mungkin dia berdoa supaya kita semua mati cepat!" Sambung Rauf, pengurus projek penuh perasaan.

"Aku sudah beritahu COO tentang aktiviti O.J. terutama bila banyak sub-kontrak diberi pada rakan-rakan Kurdis yang lain, tetapi dia cakap Datuk tidak mahu langsung terima apa yang kita laporkan, malah Datuk kata O.J. lebih tahu daripada kita semua dan kalau kita tidak suka, boleh berhenti sahaja dan cari kerja lain." O.K. menambah dengan geram.

"Bagi Datuk, si O.J. yang membawa kontrak itu semua, padahal memang kebetulan ramai syarikat pembangunan hartanah mencari kontraktor dari Malaysia. Kalau aku jadi pengurus besar pun boleh dapat semua kontrak itu, tidak payah pandai berbahasa Arab pun, semua kontrak rasmi dalam bahasa Inggeris!" Teoh, pengurus operasi sama mencelah sambil menghembus rokok.

"Apa strategi kita selanjutnya? Aku rasa si O.J. ini memang cukup licik dengan strategi yang tersusun, sebab dulu memang dia pernah kerja dengan perisikan Saddam. Sebab itu diambil Mehdi jadi pengurus kontrak dan Serbaz jadi pengurus kanan projek. Dua lubang besar buat duit. Kau tahu berapa kita bayar untuk seorang buruh binaan? Aku rasa duit masuk dalam akaun bank pesisir pantai dia boleh sampai sejuta untuk dua projek pertama, itu untuk komisen buruh binaan sahaja, belum lagi kalau masuk komisen beli barang-barang pembinaan! Tentu badut dua ekor lagi sama merompak wang sebuah syarikat Bumiputera yang baru boleh bernafas di Dubai." Rauf terus menyambung.

"Aku terkilan, sebab PEED ini syarikat Bumiputera. Sudahlah gaji ketiga-tiga badut ini jauh lebih tinggi daripada kita semua yang sudah bertahun kerja di PEED, malah ketiga badut ini macam tuan punya, ikut suka hati mereka dalam memberi kontrak. Buat tender untuk tutup mata audit, lepas itu bagi pada syarikat yang tidak masuk tender pun. Harga pun lebih. Lepas itu kau tahu syarikat kawan-kawan O.J. itu pula yang bagi sub-kontrak pada syarikat yang masuk tender dulu...!" Teoh terus sahaja memberi maklumat yang semua sudah tahu sebenarnya. Tidak perlu OSA.

"Habis, kita nak buat apa sekarang? Datuk sudah kena ilmu saka Salahudin Ayubi oleh O.J. COO yang tahu apa terjadi pun, macam tidak boleh buat apa. Sekadar tukang bawa beg Datuk sahaja!" Johari yang diam sekian lama sama menambah kehangatan sembang.

"Apa macam kita hantar santau pada tiga badut ini?"

Usul daripada Johari itu membuatkan kesemua terdiam.



(3)

Sebaik Datuk muncul di ruang legar lapangan terbang Dubai, O.J., Mehdi dan Serbaz terus meluru. O.J. memeluk rapat seperti budaya Arab, mencium pipi. Terlebih pula mengikut adat Melayu, mencium tangan bos berulang kali. Diikuti Mehdi dan Serbaz.

"Mana yang lain?" Tanya Datuk yang nampak berbangga, tetapi keliru hanya tiga orang sahaja menyambutnya. Berlagak seakan-akan seorang wakil rakyat yang mahu kedatangan disambut oleh semua orang kampung. Kalau ada kompang dan bunga manggar lagi baik.

Memang dia mempunyai angan-angan untuk bertanding dalam pilihan raya nanti dan menjadi menteri pusat. Sebab itu dia mahu PEED berjaya mendapat banyak kontrak, walau belum tentu menguntungkan di Dubai sebagai batu loncatan. Untuk menonjolkan diri dengan biodata kejayaan di luar negara. Ahli politik yang juga ahli korporat bertaraf antarabangsa.

"Mereka semua bekerja hari ini Datuk. Krismas tidak cuti di sini!" Jawab O.J. sambil mengangkat beg dan menyerahkan kepada Mehdi dan Serbaz.

Datuk mengangguk di celah-celah manusia yang sesak. Berjalan ke arah tempat letak kereta, tentunya Jaguar dan pemandu telah menanti.

Dalam suasana yang sibuk itu tiba-tiba muncul dua orang lelaki berjubah tempatan. Memberhentikan Datuk yang terpinga-pinga. Juga O.J., Mehdi dan Serbaz seakan-akan pengawal peribadi segera cuba melindungi Datuk.

"Assalammualaikum!'

O.J. segera menghulur tangan dan berbahasa Arab. "Siapa kamu?"

Salah seorang berjubah putih itu bercakap dalam bahasa Inggeris. Sambil menunjukkan sekeping kad.

"Maaf, kami Polis daripada cawangan perisikan khas di sini!"

Terkejut Datuk yang tiba-tiba berpeluh. Seakan-akan ada kilat yang memancarkan kilauan tentang namanya terkeluar daripada senarai calon pilihan raya. Membuatkan jantungnya berdenyut kencang dan menjadikan pandangan seakan-akan kelabu. Dia cuba mengucap untuk mententeramkan perasaan, tetapi yang terkeluar ialah takbir raya.

Seorang yang berjubah terus berkata, "Kesemua kamu sila ke pejabat kami...!"



(4)

Cuti awal Muharam di Dubai tahun ini memang tidak boleh dilupakan.

"Ketiga-tiga mereka sudah lesap sebaik Polis kawan aku itu berhenti depan balai polis dalam lapangan terbang! Berlari keluar, tahan teksi dan malamnya terus keluar ikut Oman... baru kena gertak sikit dengan polis, belum kena soal siasat atau kena ISA!"

O.K. menghirup teh tarik berbuih yang memang dibuat khas. Mamak dari Kerala itu sudah tahu membuat teh tarik berbuih kegemaran ramai warga Malaysia yang menjadi pelanggan tetap restorannya. Kebetulan lokasi Restoran Deira itu terletak depan tapak pembinaan yang menjadi projek utama PEED.

Malah mamak itu juga sudah boleh bercakap Melayu pasar. Sesuatu yang boleh menambahkan kelarisan kedainya.

"Betul ke ketiga-tiga badut itu ada kaitan dengan PKK?"

Tanya Teoh yang masih belum faham dengan apa yang telah terjadi di lapangan terbang Krismas lalu. Dia baru balik bercuti. Yang dia tahu mereka ada merancang untuk menghantar santau.

Teoh juga hanya tahu mengenai PKK daripada laporan serangan tentera Turki ke kawasan utara Iraq, iaitu Gunung Qandil yang dikatakan tempat persembunyian PKK, Parti Pekerja Kurdis yang dianggap teroris oleh Turki dan Amerika.

"Bukankah PKK itu sebenarnya seperti PLO yang mahu membebaskan dan memerdekakan bumi Kurdistan? Jutaan bangsa Kurdis menjadi warga negara-negara yang menekan mereka selain menjadi diaspora seperti tiga badut tersebut. Apakah ini langkah yang betul? Apakah kita membuat strategi yang baik, bukankah ini penganiayaan membuat dakwaan yang palsu?"

O.K. hanya ketawa mendengar Teoh yang tiba-tiba prihatin terhadap nasib yang menimpa bangsa Kurdis. Seakan-akan sama isu besar pembebasan Kurdistan dengan insiden yang menyebabkan O.J., Mehdi dan Serbaz terus lesap melarikan diri. Melupakan apa yang mereka lakukan terhadap warga dan syarikat Malaysia yang tidak kena mengena dengan nasib malang menimpa bangsa Kurdis berpuluh-puluh tahun itu.

Bagi O.K., walau apa pun perjuangan suci bangsa Kurdis, O.J sebagai individu adalah penjenayah kolar putih sama ada dulu, kini dan selamanya. O.J. telah menyalahgunakan jawatannya di PEED untuk menambah kekayaan melalui cara haram. Tidak kira Kurdis, Melayu, Cina, India, orang putih, hatta Arab yang bertaraf ulama pun, kalau melakukan penyelewengan mesti ditentang habis-habisan.

"Kami tidak tahu secara terperinci dengan kegiatan luar mereka. Yang pasti, mereka sudah melarikan diri dari UAE bukan kerana kaitan dengan membantu dana PKK. Mereka tidak peduli pun dengan perjuangan Kurdis untuk sebuah wilayah autonomi. Yang mereka takut ialah penyelewengan di PEED akan terbongkar, takut masuk penjara dan hilang semua kemewahan yang telah mereka kumpul melalui PEED. Nampaknya strategi kita mengena, Datuk juga telah mula percaya apa yang kita laporkan setelah kawan aku si Polis itu bagi tahu!"

Teoh tidak berpuas hati, mungkin kerana dia sebagai pengurus operasi PEED tidak diberitahu dan tidak langsung terlibat dalam operasi 'Ops Badut' tersebut. Seakan-akan ada konspirasi mahu sama menjatuhkan dia yang tidak termasuk golongan hero kerana berjaya menumpaskan tiga orang penjenayah kolar putih yang boleh menjahanamkan PEED.

O.K. memahami apa yang berada di fikiran Teoh. Lantas segera berkata perlahan, Teoh mendengar sambil melihat jauh ke arah tapak pembinaan yang lengang pada hari cuti awam.

"Beginilah, kesimpulannya, yang penting PEED akan lebih baik tanpa tiga badut berbangsa Kurdis. Walau tidak pasti yang tidak akan muncul badut di kalangan kita menggantikan badut-badut Kurdis tersebut. Sebaiknya, kita doakan semoga O.J. dan Mehdi serta Serbaz akan insaf, bertaubat dan benar-benar muncul sebagai tiga lagi Salahudin Ayubi abad ini nun di Gunung Qandil!"

Biodata

FUDZAIL adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi

Cerpen: Hujan itu merah, Ben



(Alfatihah untuk Allahyarham Benazir Bhutto dan Allahyarham Dr. Norrihah Takuan)


KECUALI casuarina, sehingga ditimbuni salji pada perdu dan setiap helaian rerambut daun, pokok itu masih tegar menempuh keadaan, walhal pokok lain sudah lama gondol dan gigil dirempuh musim dingin menggila. Ia seperti Ben, manusia berlian yang tidak kenal erti ketakutan. Punya semangat: kejap, keras dan kental, fikir Zal.

“Ben mahu pulang. Ben mesti pulang. Demokrasi mesti ditegakkan. Itu tanggungjawab Ben. Itu janji Ben kepada bangsa yang memerlukan kepimpinan yang adil.” Bertubi-tubi suara Ben memahat ikrar.

Dari celah pagar pokok toyad berdaun kecil selebar jari telunjuk setinggi kepalanya berdiri, Doktor Zaleha memerhati ke rumah jiran sebelah. Pada waktu begini Ben sering membaca di meja taman. Selama 13 tahun tinggal di kawasan elit di timur laut kota London, jirannya orang putih belaka. Melihat Ben, Zal seakan-akan berada di Kuala Lumpur dengan rakyat berbilang kaum.



“Hai Zal,” tiba-tiba suatu suara menyergah. Zal terkejut. Wanita tinggi lampai itu melihatnya dari atas cermin mata yang diturunkan ke tengah hidung. Sepemeluk buku setebal empat lima inci, memenuhi kedua-dua tangannya yang gebu berkulit halus putih kemerahan.

“Saya akan pulang minggu depan,” wanita itu meletakkan buku-bukunya di atas meja dalam taman rumahnya. Itu kali terakhir Zal bertemu dan berbicara dengan wanita yang berjaya menakluki hati manusia sejagat dengan karisma, kecerdikan, ketokohan, pengaruh dan kehebatannya.

“Kau betul-betul mahu pulang, Ben?” Berkerut dahi Zal membayangkan sesuatu yang tidak enak.

“Ya. Kenapa? Zal tentu fikir saya tidak perlu pulang.” Dia membetulkan kemasan tocang yang menjulur selari dengan alur tulang belakangnya.

“Ben di sini sudah cukup selamat. Suami, anak-anak, kemewahan ...” tiba-tiba Zal tidak dapat meneruskan pujukan. Ada sesuatu yang menghalangnya daripada menyenaraikan hal remeh-temeh itu. Sebagai profesional dan punya pendidikan tertinggi; suami, anak-anak dan kemewahan tidak diletakkan di tempat pertama dalam tajuk perbualan, sebaliknya politik dunia menjadi mainan kata-kata.

“Anak, isteri dan harta benda ialah perhiasan dunia semata-mata. Semua itu akan tinggal apabila seorang lelaki pergi. Sekarang saya ingin tambah: suami, anak-anak dan kemewahan ialah zuriat dan harta yang bakal diwarisi dan mewarisi apabila saya pergi. Semuanya akan jadi jambatan kesinambungan perjuangan saya.”

Ben teringat kata-kata seorang wartawan jika dia pulang apakah hidupnya akan berakhir dengan tragedi seperti drama Greek? “Tidak semua drama Greek berakhir dengan tragedi,” dia segera memintas.

Zal terkedu. Benar kata Benazir, fikirnya. Namun dia masih mahu memujuk. Dia akan menyesal jika tidak berusaha menahan kepulangan Ben.

“Kau begitu yakin, Ben? Ayah, adik-adik dan ramai pemimpin lagi diragut tragedi,” Zal yang mengajak Ben menikmati minum petang di pekarangan rumahnya pada musim bunga bulan Mei lalu, masih mencuba. Namun Ben berkeras mahu pulang ke negaranya selepas puluhan tahun dalam buangan. Visanya: Saya diberi keampunan oleh pemerintah. Peluang jarang datang dua kali.

“Kau tentu rindukan keluarga, sepupu, saudara-mara, rakan sekolah, perayaan dan budaya hidup yang meriah. Tetapi apabila ada hal yang lebih memungkinkan berlaku, baik kau lupakan saja semua itu untuk sementara. Sementara menunggu yang cantik dan damai menguasai kehidupan di sana. Jangan memilih kehidupan yang berbahaya Ben. Hidup dan berjuang untuk....” Zal tidak mampu membayangkan sesuatu yang tidak enak dalam benaknya. Jauh di sudut hatinya, dia rasa bertanggungjawab menasihati Ben. Tanggungjawab sesama insan. Ben dianugerahi Allah segala keistimewaan. Zal tidak mahu segala yang baik itu berkubur bersama mayat demokrasi yang mahu Ben hidupkan.

Ben menyimpul tocangnya menjadi sanggul tertonggok manis di tengkuk. Dia menggapai tas tangan berwarna perak keemasan di kerusi bersebelahan, lalu mengeluarkan pena dan kertas. Penanya menari-nari di atas kertas yang mengepak rancak diusik pawana musim bunga. Saya tidak memilih kehidupan begini, tetapi kehidupan yang memilih saya untuk jadi begini. Pergolakan di negara saya cerminan hidup saya. Negara saya bukan negara biasa dan kehidupan saya bukan kehidupan biasa. Dia menghulurkan kertas itu ke tangan Zal. Zal membelek bait-bait kata dalam bahasa Inggeris itu. Tulisannya tegak, namun cantik dan kemas.

“Tiada siapa dapat menghalang saya daripada pulang.” Tangannya menatang sepiring Double ka Meetha. “Saya buat sendiri,” Ben meletakkan pinggan sederhana besar itu di sebelah piring berisi karipap daging yang masih suam. Double ka Meetha popular di Hyderabad. Dibuat daripada roti yang dipotong kecil, digoreng dengan minyak sapi, direndam dalam susu mendidih campur gula. Boleh dimakan dengan kacang badam atau chova. Ben mencapai sekeping karipap yang disajikan Zal, lalu mengunyah.

“Zal, demokrasi sudah mati di tanah air saya. Itulah yang ingin sangat saya hidupkan.” Tekaknya bergerak menelan karipap yang sudah dikunyah.

“Demokrasi pada pandangan saya sealiran Islam. Kematian demokrasi turut mengkucar-kacirkan ajaran agama. Ramai pemimpin menggunakan kuasa dan agama untuk kepentingan diri. Selain tidak diberi pendidikan secara menyeluruh, wanita tidak dilayan secara Islam. Budaya dijadikan topeng menghalalkan yang haram.” Ben menanggalkan cermin matanya lalu menekap dahi dan pipi serta bibir dengan kertas tisu.

“Berat sekali tuduhanmu. Tidak tertanggung telinga mendengar dan tidak terangkat pundak menanggung.” Zal tunduk. Jemarinya menguis-nguis saki baki meetha di dalam piringnya.

“Semua itu fakta, bukan tuduhan. Dalam Islam yang membunuh dihukum qisas. Tapi di negara saya yang dituduh rasuah (ayah contohnya) dihukum gantung sampai mati.” Sampai di situ, suara Ben yang tadi jelas dan nyaring, kini berbaur sebak dan serak. Zal turut merasakan kesedihan itu. Dia mengangkat tangan, lalu merangkul bahu Ben.

“Ben akan kembali menuntut bela kematiannya. Saya mengerti. Pulanglah Ben.”

“Saya akan pulang dan membalas dendam. Balas dendam terbaik ialah dengan menegakkan demokrasi yang sudah tumbang.” Ben menancap jauh ke dalam anak mata Zal. “Zal masih ingat bagaimana kita bersama-sama menelefon serta menulis surat kepada Pertubuhan Hak Asasi Manusia di Amerika. Saya malu Zal, sebagai penganut Islam di negara Islam kedua terbesar di dunia, saya melutut kepada barat meminta bantuan melepaskan Mai Akhtar daripada laknat budaya yang sama sekali bercanggah dengan fitrah Allah dan hukum Islam.” Waktu itu urat-urat halus berwarna merah mulai menjalar pada putih mata Ben.

Zal mengangkat kepala. Dia melepaskan pelukan lalu memandang Ben yang semakin agresif. “Ya, saya ingat. Itu antara peristiwa yang tidak mungkin dilupakan dalam hidup ini. Kita berjaya membela maruah Mai Akhtar yang sudah musnah itu daripada penganiayaan atas nama budaya.” Terbayang di mata Zal gambar dan berita Mai Akhtar dirogol bergilir-gilir oleh ketua masyarakat, imam serta penduduk di sebuah perkampungan di negara nuklear Ben, atas kesalahan adik lelaki Mai mencintai gadis daripada puak lain. Dia sedih. “Islam apakah yang dianuti ketua masyarakat tempat tinggal Mai?” tiba-tiba pertanyaan yang tidak dirancang itu keluar dari celah bibir Zal.

“Budaya mengatasi agama. Sedang agama yang dinafikan budaya ialah agama Islam. Pemerintah hanya memandang perlakuan hakim dan badan perundangan di negara saya yang tidak mengamalkan proses demokrasi. Betapa sakitnya hati kita apabila ketua masyarakat dan ahli agama di tempat terpencil itu dilepaskan mahkamah setelah didapati mengadakan perogolan bergilir-gilir terhadap Mai.” Ben mengembalikan ingatan Zal semakin kuat dan dekat dengan peristiwa sedih, keji dan jelik itu.

“Anehnya pemimpin tertinggi negara hanya diam. Tidak campur tangan dan tidak melakukan sesuatu bagi menyelamatkan maruah Mai serta tidak menegakkan hukum Islam setelah hukum syarak seolah-olah tidak wujud di kalangan orang-orang yang mengaku Islam. Sehingga Pertubuhan Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Amerika mendesak agar pesalah rogol dihukum (atas desakan kita, Zal), barulah pemimpin masyarakat dan ketua agama terlibat diadili semula.”

Peristiwa hitam dalam kenangan itu cukup hebat menghiris perasaan. Zal bangun dari kerusi yang sudah terasa panas. Air matanya menitis. Dia ingin menghilangkan sebak yang berombak dalam dada dengan memerhati rangkaian kuntum-kuntum mawar yang berayun keras disentuh pawana musim bunga yang tiba-tiba bertiup kuat.

Setelah menelan rakus air mata yang jatuh ke tenggorok, Zal berpaling memandang Ben. “Pulanglah Ben. Pulanglah. Negaramu memang memerlukan kau. Cuma satu permintaan saya.”

“Jaga diri baik-baik? Sudah tentu Zal. Tentu. Zal usah bimbang Pemerintah sudah berjanji akan memberi perlindungan.” Ben mengesat air mata Zal yang bersisa di pipi dengan jari manisnya. “Kaudoakan saya agar selamat. Agar perjuangan dan cita-cita tercapai. Agar pohon demokrasi dapat ditegakkan dan hidup rendang menaungi rakyat tidak berdosa. Agar hukum Islam dapat dijalankan mengikut landasannya. Agar hukum Islam dilaksana bagi melindungi kaum wanita.” Angin musim bunga masih bertiup kencang sehingga mengulang-alingkan deretan kelopak bunga dan daun-daun lavendar serta tulip di atas batas panjang di sebelah pagar; turut mengusai anak-anak rambut Ben yang hitam lebat itu keluar daripada sisiran rapinya. Ben membiarkan saja anak-anak rambut bermain di dahinya yang luas.

Zal kembali duduk. Kali ini bertentangan dengan Ben. “Satu saja permintaan dan harapan saya. Saya akan mengambil cuti panjang. Jika perlu meletak jawatan pun, tidak mengapa. Saya mahu ikut Ben pulang.”

“Oho, ho ho...” Ben ketawa. Gemanya nyaring memeranjatkan dua ekor murai yang sedang mematuk serangga di celah lebat bunga ceri berwarna merah jambu. “Tidak mungkin sampai begitu sekali. Zal terlalu asing untuk seluruh penyokong serta rakyat di negara saya.”

“Saya bukan mahu berkempen atau jadi ahli politik. Cuma mahu sentiasa bersama-sama Ben. Kalau apa-apa terjadi, saya boleh menghulurkan kepakaran.”

Ben terkejut. Di bawah sedar matanya mengerdip beberapa kali. “Tidaklah sampai begitu sekali. Zal tentu setuju jika ditakdirkan saya mati di tangan musuh, kematian itu dengan izin-Nya juga.” Ben mengetuk-ngetukkan hujung jejari tangan kanan ke atas meja. Ben melihat setitis genang jernih gugur ke pipi Zal.

“Tentu ada sebab kenapa Zal bersungguh-sungguh mahu bersama saya.” Dia mengusap belakang Zal, sedang matanya memandang kejauhan pada deretan bunga-bunga lavender ungu dan tulip berwarna jingga di sudut halaman.

Perlahan Zal mendongak. “Sejak kebelakangan ini saya sering bermimpi Ben ditimpa hujan.”

“Bagus sekali mimpi Zal. Bukankah hujan itu rahmat?”

“Tapi hujan itu warnanya merah, Ben.” Sampai di situ suara Zal tersekat. Dia menekup muka dengan kedua-dua tapak tangan. Sedu-sedannya menyelinap juga di celah jari-jemari yang dikatup rapat.

“Mimpi mainan tidur Zal. Saya juga selalu bermimpi terbang di ruang angkasa seperti burung, sedang realitinya kita tidak mungkin jadi burung yang terbang bebas kerana kita tidak punya sayap.”

“Hujan itu merah, Ben. Hujan itu membuat tudungmu yang putih bersih bertukar merah. Merah juga mengubah warna tanah tempatmu berdiri.” Suara Zal gementar dalam sendu. Ben yang tenang tetap tenang mendengar mimpi Zal. Dia tahu setiap yang bernyawa pasti akan mati. Dia juga begitu. Cuma bila dan di mana serta bagaimana cara kematian berlaku, semuanya ketentuan Khalik.

Ben membuka tas tangannya yang berwarna perak keemasan. Sehelai selendang putih bertekstur halus dan lembut seperti sutera ditarik keluar. Ben mengangkat dan meregang perlahan selendang itu dengan kedua-dua tangan lalu meletakkan di atas kepala Zal. Kedua-dua hujung selendang dililitkan ke leher.

“Andai kata aku tidak pulang lagi ke sini, selendang ini sebagai pengganti. Simpanlah sebagai suatu kenangan antara kita. Pastinya kenangan terindah. Ingat, kita pernah berjuang bersama demi maruah wanita dan agama.” Ben membongkok, lalu memeluk dan mencium Zal bertubi-tubi.

Pagi itu Zal berdiri di tingkap. Di luar cermin yang memisahkan dia dengan alam yang dingin dikuasai salji, dia terpandang pohon-pohon casuarina tegak gagah menentang serangan ganas cuaca hujung bulan Disember. Di tangan kanan memegang kertas putih bertulis cantik, kemas dan tegak. Di tangan kiri, selendang putih pemberian Ben dalam genggaman. Seperti pohon casuarina yang gagah menempuh cabaran alam itu, Zal tahu begitulah kuatnya semangat pejuang demokrasi menegakkan pohon keadilan. Dia tahu semangat Benazir akan terus hidup pada diri semua penegak demokrasi dan kebenaran.

Catatan: Chova = Susu Krim

Biodata

ZAHARAH Nawawi yang lebih dikenali sebagai wartawan bergiat dalam penulisan sejak 1950-an dan dalam genre kreatif beliau menghasilkan novel, cerpen, puisi di samping esei. Beliau adalah pengasas Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) yang bermatlamat memberi bimbingan kepada penulis muda dan menerima Anugerah Sea White pada 1996.