Sunday, February 17, 2008

Cerpen: 'Ops Badut!'


(1)

ADA sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang mengusutkan minda. Daripada apa yang dibaca dalam laporan sulit di depannya, memang membangkitkan kemarahan.

"Apa ke bangang O.J. si badut Kurdis ini? Macam mana dia boleh meluluskan kontrak kepada sub-kontraktor yang tidak berguna? Ini bukan kedua kali, sudah tiga kali kena tipu harga, masih mahu berurusan lagi?"



Bengang dan membingungkan Osman Kurus atau lebih dikenali sebagai O.K . Anak Bugis yang jarang naik darah, lebih suka menggunakan saluran diplomasi. Tetapi sebagai penyelia kontrak di syarikat pembinaan PEED, memang O.K. cukup berpegang pada etika. Cukup mengambil berat akhlak sebagai Muslim walau di mana berada dan apa jawatan yang disandang.

Selama menjadi staf, O.K. cukup amanah dengan tugas dan tanggungjawab. Apalagi syarikat tersebut adalah kepunyaan bumiputera di bawah naungan seorang ahli politik Melayu yang pertama beroperasi di Dubai. Lebih daripada itu, O.K. takut kepada Tuhan daripada segala-gala yang lain.

Lantas O.K membawa misi yang sama dengan tema visi syarikat, "Langkah Glokal Mengangkasakan Jati Diri Bangsa" ke Dubai. Kerana itu dia sentiasa curiga dengan pengurus besar PEED di Dubai, Omar Jalil atau O.J. yang berbangsa Kurdis dari Iraq, tetapi berpasport Kanada. Dalam diam memantau aktiviti yang banyak meragukan.

Bagi O.K., kejayaan PEED bertapak di Dubai walau persaingan dalam sektor pembinaan di Dubai memang cukup hebat. Dengan pertumbuhan dalam pembangunan hartanah mencapai nilai trilion USD, pelbagai syarikat pembinaan dari pelbagai negara bertarung dengan syarikat tempatan Dubai.

Tetapi kek ekonomi yang besar memberikan peluang untuk semua mencari bisnes, secara halal atau haram bukan persoalan. Setidak-tidaknya buat PEED yang dalam setahun sahaja berjaya mendapat tiga projek bernilai dua bilion.

Selain masalah mendapatkan fasiliti perbankan, masalah yang lebih memberi tekanan ialah untuk mendapatkan bekalan tenaga buruh yang berpatutan nilai, bukan sahaja dari segi upah, tetapi pengalaman. Tenaga buruh dari benua Asia Selatan memang sudah menjadi enjin pembangunan Dubai, tiada pilihan lain.

Sebaik melihat kelibat O.J. yang sentiasa masuk lewat ke pejabat, O.K . terus bersemuka.

"Bos, tiada subkontraktor untuk membekalkan buruh lain ke yang boleh kita pertimbangkan?"

O.J. melihat wajah O.K. dengan sedikit mencemik.

"Kita tidak mempunyai masa. Pembekal lain menaikkan harga tanpa fasiliti kredit, bayar dahulu baru bekalkan. Projek perlu dijalankan dengan segera dan Kuala Lumpur masih belum berjaya mendapat fasiliti bank, buat sahaja seperti yang telah diluluskan!"

Belum sempat O.K. mahu terus bersuara, O.J. terus mengangkat tangan supaya tidak berhujah dan berkata tegas. "Tiada masa untuk perbincangan lanjut dengan hujah yang sama! Jalankan sahaja tugas seperti yang diarahkan! Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya!"

Pada masa itu juga dua orang pengurus lain yang sama berbangsa Kurdis masuk ke pejabat O.J. Seakan memberi gambaran tentang siapa yang lebih berkuasa di PEED. Kedua-dua mereka memandang tajam ke arah O.K. yang berdiri dengan wajah tidak puas hati. Mahu sahaja O.K. membuka silat dan menghunus keris dalam suhu emosi yang sudah mendidih.

Tetapi rasionalnya, O.K. tahu yang dia tiada banyak pilihan. Kedua-dua pengurus itu bukan sahaja kroni besar O.J, malah orang nombor dua dan tiga dalam PEED Dubai. Sama mendakwa mereka pernah menjadi pengawal republikan Iraq di bawah Saddam Husin.

Memang O.K. cukup geram dengan kesemua mereka. Terutama pengurus kontrak yang menjadi ketua divisyen kontrak, Mehdi yang bukan sahaja tidak tahu banyak perkara berkaitan komersil, tetapi berlagak sombong. Bahasa Inggeris lintang pukang pun boleh dilantik menjadi pengurus kontrak yang kesemua kontrak rasmi dalam bahasa Inggeris.

Sementara seorang lagi, pengurus kanan projek Serbaz, begitu keras dengan staf Melayu yang kebanyakannya jauh lebih senior dan berpengalaman. Sama sahaja bahasa Inggeris dengan Mehdi, tetapi dilantik menjadi bos kepada pengurus projek lain yang sudah berbelas tahun bekerja dengan PEED. Tidak pasti ijazah yang dimilikinya, tetapi membaca lukisan kejuruteraan pun tidak tahu, apalagi berkaitan teknikal.



(2)

"Kita mesti lakukan sesuatu terhadap tiga badut Kurdis yang nampaknya mahu menghancurkan PEED!"

O.K memulakan sembang di kedai mamak Deira. Lima orang staf senior yang dihantar PEED dari Kuala Lumpur untuk membantu projek di Dubai mengangguk. Memang tujuan mereka yang kesemua tidak membawa keluarga demi berkorban untuk PEED, bersantai pada malam Jumaat itu pun untuk mencari langkah strategik. Isu yang sudah sampai ke tahap mencabar kesabaran serta profesionalisme.

"Tetapi masalah lebih besar, O.J. sudah ilmukan Datuk! Kau tahulah, Datuk percaya 100% pada O.J. Lebih percaya pada bangsa sendiri, sampai O.J. ambil kawan-kawan Kurdis dia yang bodoh itu pun diterima. Letak jadi bos pulak itu, sebab utama mereka boleh berbahasa Arab dan konon ada pengalaman di Timur Tengah. Padahal, pengalaman mereka di Iraq sahaja!" Dahlan, pengurus kewangan bercakap kuat dalam bahasa Melayu. Dia pasti pengunjung lain tidak faham apa yang mereka bincangkan.

"Datuk itu mungkin terpesona dengan Salahudin Ayubi, hero berbangsa Kurdis yang membebaskan Palestin. Apa ke bangang, dia ingat O.J. yang setiap malam mabuk dan tidak bersolat itu sama taraf dengan Salahudin! Tetapi depan Datuk, si O.J. cepat-cepat jadi imam, siap dengan baca doa panjang-panjang semasa pembukaan pejabat cawangan Dubai dulu! Baca doa dalam bahasa Arab, manalah Datuk faham apa maksudnya, mungkin dia berdoa supaya kita semua mati cepat!" Sambung Rauf, pengurus projek penuh perasaan.

"Aku sudah beritahu COO tentang aktiviti O.J. terutama bila banyak sub-kontrak diberi pada rakan-rakan Kurdis yang lain, tetapi dia cakap Datuk tidak mahu langsung terima apa yang kita laporkan, malah Datuk kata O.J. lebih tahu daripada kita semua dan kalau kita tidak suka, boleh berhenti sahaja dan cari kerja lain." O.K. menambah dengan geram.

"Bagi Datuk, si O.J. yang membawa kontrak itu semua, padahal memang kebetulan ramai syarikat pembangunan hartanah mencari kontraktor dari Malaysia. Kalau aku jadi pengurus besar pun boleh dapat semua kontrak itu, tidak payah pandai berbahasa Arab pun, semua kontrak rasmi dalam bahasa Inggeris!" Teoh, pengurus operasi sama mencelah sambil menghembus rokok.

"Apa strategi kita selanjutnya? Aku rasa si O.J. ini memang cukup licik dengan strategi yang tersusun, sebab dulu memang dia pernah kerja dengan perisikan Saddam. Sebab itu diambil Mehdi jadi pengurus kontrak dan Serbaz jadi pengurus kanan projek. Dua lubang besar buat duit. Kau tahu berapa kita bayar untuk seorang buruh binaan? Aku rasa duit masuk dalam akaun bank pesisir pantai dia boleh sampai sejuta untuk dua projek pertama, itu untuk komisen buruh binaan sahaja, belum lagi kalau masuk komisen beli barang-barang pembinaan! Tentu badut dua ekor lagi sama merompak wang sebuah syarikat Bumiputera yang baru boleh bernafas di Dubai." Rauf terus menyambung.

"Aku terkilan, sebab PEED ini syarikat Bumiputera. Sudahlah gaji ketiga-tiga badut ini jauh lebih tinggi daripada kita semua yang sudah bertahun kerja di PEED, malah ketiga badut ini macam tuan punya, ikut suka hati mereka dalam memberi kontrak. Buat tender untuk tutup mata audit, lepas itu bagi pada syarikat yang tidak masuk tender pun. Harga pun lebih. Lepas itu kau tahu syarikat kawan-kawan O.J. itu pula yang bagi sub-kontrak pada syarikat yang masuk tender dulu...!" Teoh terus sahaja memberi maklumat yang semua sudah tahu sebenarnya. Tidak perlu OSA.

"Habis, kita nak buat apa sekarang? Datuk sudah kena ilmu saka Salahudin Ayubi oleh O.J. COO yang tahu apa terjadi pun, macam tidak boleh buat apa. Sekadar tukang bawa beg Datuk sahaja!" Johari yang diam sekian lama sama menambah kehangatan sembang.

"Apa macam kita hantar santau pada tiga badut ini?"

Usul daripada Johari itu membuatkan kesemua terdiam.



(3)

Sebaik Datuk muncul di ruang legar lapangan terbang Dubai, O.J., Mehdi dan Serbaz terus meluru. O.J. memeluk rapat seperti budaya Arab, mencium pipi. Terlebih pula mengikut adat Melayu, mencium tangan bos berulang kali. Diikuti Mehdi dan Serbaz.

"Mana yang lain?" Tanya Datuk yang nampak berbangga, tetapi keliru hanya tiga orang sahaja menyambutnya. Berlagak seakan-akan seorang wakil rakyat yang mahu kedatangan disambut oleh semua orang kampung. Kalau ada kompang dan bunga manggar lagi baik.

Memang dia mempunyai angan-angan untuk bertanding dalam pilihan raya nanti dan menjadi menteri pusat. Sebab itu dia mahu PEED berjaya mendapat banyak kontrak, walau belum tentu menguntungkan di Dubai sebagai batu loncatan. Untuk menonjolkan diri dengan biodata kejayaan di luar negara. Ahli politik yang juga ahli korporat bertaraf antarabangsa.

"Mereka semua bekerja hari ini Datuk. Krismas tidak cuti di sini!" Jawab O.J. sambil mengangkat beg dan menyerahkan kepada Mehdi dan Serbaz.

Datuk mengangguk di celah-celah manusia yang sesak. Berjalan ke arah tempat letak kereta, tentunya Jaguar dan pemandu telah menanti.

Dalam suasana yang sibuk itu tiba-tiba muncul dua orang lelaki berjubah tempatan. Memberhentikan Datuk yang terpinga-pinga. Juga O.J., Mehdi dan Serbaz seakan-akan pengawal peribadi segera cuba melindungi Datuk.

"Assalammualaikum!'

O.J. segera menghulur tangan dan berbahasa Arab. "Siapa kamu?"

Salah seorang berjubah putih itu bercakap dalam bahasa Inggeris. Sambil menunjukkan sekeping kad.

"Maaf, kami Polis daripada cawangan perisikan khas di sini!"

Terkejut Datuk yang tiba-tiba berpeluh. Seakan-akan ada kilat yang memancarkan kilauan tentang namanya terkeluar daripada senarai calon pilihan raya. Membuatkan jantungnya berdenyut kencang dan menjadikan pandangan seakan-akan kelabu. Dia cuba mengucap untuk mententeramkan perasaan, tetapi yang terkeluar ialah takbir raya.

Seorang yang berjubah terus berkata, "Kesemua kamu sila ke pejabat kami...!"



(4)

Cuti awal Muharam di Dubai tahun ini memang tidak boleh dilupakan.

"Ketiga-tiga mereka sudah lesap sebaik Polis kawan aku itu berhenti depan balai polis dalam lapangan terbang! Berlari keluar, tahan teksi dan malamnya terus keluar ikut Oman... baru kena gertak sikit dengan polis, belum kena soal siasat atau kena ISA!"

O.K. menghirup teh tarik berbuih yang memang dibuat khas. Mamak dari Kerala itu sudah tahu membuat teh tarik berbuih kegemaran ramai warga Malaysia yang menjadi pelanggan tetap restorannya. Kebetulan lokasi Restoran Deira itu terletak depan tapak pembinaan yang menjadi projek utama PEED.

Malah mamak itu juga sudah boleh bercakap Melayu pasar. Sesuatu yang boleh menambahkan kelarisan kedainya.

"Betul ke ketiga-tiga badut itu ada kaitan dengan PKK?"

Tanya Teoh yang masih belum faham dengan apa yang telah terjadi di lapangan terbang Krismas lalu. Dia baru balik bercuti. Yang dia tahu mereka ada merancang untuk menghantar santau.

Teoh juga hanya tahu mengenai PKK daripada laporan serangan tentera Turki ke kawasan utara Iraq, iaitu Gunung Qandil yang dikatakan tempat persembunyian PKK, Parti Pekerja Kurdis yang dianggap teroris oleh Turki dan Amerika.

"Bukankah PKK itu sebenarnya seperti PLO yang mahu membebaskan dan memerdekakan bumi Kurdistan? Jutaan bangsa Kurdis menjadi warga negara-negara yang menekan mereka selain menjadi diaspora seperti tiga badut tersebut. Apakah ini langkah yang betul? Apakah kita membuat strategi yang baik, bukankah ini penganiayaan membuat dakwaan yang palsu?"

O.K. hanya ketawa mendengar Teoh yang tiba-tiba prihatin terhadap nasib yang menimpa bangsa Kurdis. Seakan-akan sama isu besar pembebasan Kurdistan dengan insiden yang menyebabkan O.J., Mehdi dan Serbaz terus lesap melarikan diri. Melupakan apa yang mereka lakukan terhadap warga dan syarikat Malaysia yang tidak kena mengena dengan nasib malang menimpa bangsa Kurdis berpuluh-puluh tahun itu.

Bagi O.K., walau apa pun perjuangan suci bangsa Kurdis, O.J sebagai individu adalah penjenayah kolar putih sama ada dulu, kini dan selamanya. O.J. telah menyalahgunakan jawatannya di PEED untuk menambah kekayaan melalui cara haram. Tidak kira Kurdis, Melayu, Cina, India, orang putih, hatta Arab yang bertaraf ulama pun, kalau melakukan penyelewengan mesti ditentang habis-habisan.

"Kami tidak tahu secara terperinci dengan kegiatan luar mereka. Yang pasti, mereka sudah melarikan diri dari UAE bukan kerana kaitan dengan membantu dana PKK. Mereka tidak peduli pun dengan perjuangan Kurdis untuk sebuah wilayah autonomi. Yang mereka takut ialah penyelewengan di PEED akan terbongkar, takut masuk penjara dan hilang semua kemewahan yang telah mereka kumpul melalui PEED. Nampaknya strategi kita mengena, Datuk juga telah mula percaya apa yang kita laporkan setelah kawan aku si Polis itu bagi tahu!"

Teoh tidak berpuas hati, mungkin kerana dia sebagai pengurus operasi PEED tidak diberitahu dan tidak langsung terlibat dalam operasi 'Ops Badut' tersebut. Seakan-akan ada konspirasi mahu sama menjatuhkan dia yang tidak termasuk golongan hero kerana berjaya menumpaskan tiga orang penjenayah kolar putih yang boleh menjahanamkan PEED.

O.K. memahami apa yang berada di fikiran Teoh. Lantas segera berkata perlahan, Teoh mendengar sambil melihat jauh ke arah tapak pembinaan yang lengang pada hari cuti awam.

"Beginilah, kesimpulannya, yang penting PEED akan lebih baik tanpa tiga badut berbangsa Kurdis. Walau tidak pasti yang tidak akan muncul badut di kalangan kita menggantikan badut-badut Kurdis tersebut. Sebaiknya, kita doakan semoga O.J. dan Mehdi serta Serbaz akan insaf, bertaubat dan benar-benar muncul sebagai tiga lagi Salahudin Ayubi abad ini nun di Gunung Qandil!"

Biodata

FUDZAIL adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak 2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terbabit dalam pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain untuk prasarana teknologi maklumat dan telekom. Kini menguruskan projek pembinaan prasarana utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau boleh dihubungi

Cerpen: Hujan itu merah, Ben



(Alfatihah untuk Allahyarham Benazir Bhutto dan Allahyarham Dr. Norrihah Takuan)


KECUALI casuarina, sehingga ditimbuni salji pada perdu dan setiap helaian rerambut daun, pokok itu masih tegar menempuh keadaan, walhal pokok lain sudah lama gondol dan gigil dirempuh musim dingin menggila. Ia seperti Ben, manusia berlian yang tidak kenal erti ketakutan. Punya semangat: kejap, keras dan kental, fikir Zal.

“Ben mahu pulang. Ben mesti pulang. Demokrasi mesti ditegakkan. Itu tanggungjawab Ben. Itu janji Ben kepada bangsa yang memerlukan kepimpinan yang adil.” Bertubi-tubi suara Ben memahat ikrar.

Dari celah pagar pokok toyad berdaun kecil selebar jari telunjuk setinggi kepalanya berdiri, Doktor Zaleha memerhati ke rumah jiran sebelah. Pada waktu begini Ben sering membaca di meja taman. Selama 13 tahun tinggal di kawasan elit di timur laut kota London, jirannya orang putih belaka. Melihat Ben, Zal seakan-akan berada di Kuala Lumpur dengan rakyat berbilang kaum.



“Hai Zal,” tiba-tiba suatu suara menyergah. Zal terkejut. Wanita tinggi lampai itu melihatnya dari atas cermin mata yang diturunkan ke tengah hidung. Sepemeluk buku setebal empat lima inci, memenuhi kedua-dua tangannya yang gebu berkulit halus putih kemerahan.

“Saya akan pulang minggu depan,” wanita itu meletakkan buku-bukunya di atas meja dalam taman rumahnya. Itu kali terakhir Zal bertemu dan berbicara dengan wanita yang berjaya menakluki hati manusia sejagat dengan karisma, kecerdikan, ketokohan, pengaruh dan kehebatannya.

“Kau betul-betul mahu pulang, Ben?” Berkerut dahi Zal membayangkan sesuatu yang tidak enak.

“Ya. Kenapa? Zal tentu fikir saya tidak perlu pulang.” Dia membetulkan kemasan tocang yang menjulur selari dengan alur tulang belakangnya.

“Ben di sini sudah cukup selamat. Suami, anak-anak, kemewahan ...” tiba-tiba Zal tidak dapat meneruskan pujukan. Ada sesuatu yang menghalangnya daripada menyenaraikan hal remeh-temeh itu. Sebagai profesional dan punya pendidikan tertinggi; suami, anak-anak dan kemewahan tidak diletakkan di tempat pertama dalam tajuk perbualan, sebaliknya politik dunia menjadi mainan kata-kata.

“Anak, isteri dan harta benda ialah perhiasan dunia semata-mata. Semua itu akan tinggal apabila seorang lelaki pergi. Sekarang saya ingin tambah: suami, anak-anak dan kemewahan ialah zuriat dan harta yang bakal diwarisi dan mewarisi apabila saya pergi. Semuanya akan jadi jambatan kesinambungan perjuangan saya.”

Ben teringat kata-kata seorang wartawan jika dia pulang apakah hidupnya akan berakhir dengan tragedi seperti drama Greek? “Tidak semua drama Greek berakhir dengan tragedi,” dia segera memintas.

Zal terkedu. Benar kata Benazir, fikirnya. Namun dia masih mahu memujuk. Dia akan menyesal jika tidak berusaha menahan kepulangan Ben.

“Kau begitu yakin, Ben? Ayah, adik-adik dan ramai pemimpin lagi diragut tragedi,” Zal yang mengajak Ben menikmati minum petang di pekarangan rumahnya pada musim bunga bulan Mei lalu, masih mencuba. Namun Ben berkeras mahu pulang ke negaranya selepas puluhan tahun dalam buangan. Visanya: Saya diberi keampunan oleh pemerintah. Peluang jarang datang dua kali.

“Kau tentu rindukan keluarga, sepupu, saudara-mara, rakan sekolah, perayaan dan budaya hidup yang meriah. Tetapi apabila ada hal yang lebih memungkinkan berlaku, baik kau lupakan saja semua itu untuk sementara. Sementara menunggu yang cantik dan damai menguasai kehidupan di sana. Jangan memilih kehidupan yang berbahaya Ben. Hidup dan berjuang untuk....” Zal tidak mampu membayangkan sesuatu yang tidak enak dalam benaknya. Jauh di sudut hatinya, dia rasa bertanggungjawab menasihati Ben. Tanggungjawab sesama insan. Ben dianugerahi Allah segala keistimewaan. Zal tidak mahu segala yang baik itu berkubur bersama mayat demokrasi yang mahu Ben hidupkan.

Ben menyimpul tocangnya menjadi sanggul tertonggok manis di tengkuk. Dia menggapai tas tangan berwarna perak keemasan di kerusi bersebelahan, lalu mengeluarkan pena dan kertas. Penanya menari-nari di atas kertas yang mengepak rancak diusik pawana musim bunga. Saya tidak memilih kehidupan begini, tetapi kehidupan yang memilih saya untuk jadi begini. Pergolakan di negara saya cerminan hidup saya. Negara saya bukan negara biasa dan kehidupan saya bukan kehidupan biasa. Dia menghulurkan kertas itu ke tangan Zal. Zal membelek bait-bait kata dalam bahasa Inggeris itu. Tulisannya tegak, namun cantik dan kemas.

“Tiada siapa dapat menghalang saya daripada pulang.” Tangannya menatang sepiring Double ka Meetha. “Saya buat sendiri,” Ben meletakkan pinggan sederhana besar itu di sebelah piring berisi karipap daging yang masih suam. Double ka Meetha popular di Hyderabad. Dibuat daripada roti yang dipotong kecil, digoreng dengan minyak sapi, direndam dalam susu mendidih campur gula. Boleh dimakan dengan kacang badam atau chova. Ben mencapai sekeping karipap yang disajikan Zal, lalu mengunyah.

“Zal, demokrasi sudah mati di tanah air saya. Itulah yang ingin sangat saya hidupkan.” Tekaknya bergerak menelan karipap yang sudah dikunyah.

“Demokrasi pada pandangan saya sealiran Islam. Kematian demokrasi turut mengkucar-kacirkan ajaran agama. Ramai pemimpin menggunakan kuasa dan agama untuk kepentingan diri. Selain tidak diberi pendidikan secara menyeluruh, wanita tidak dilayan secara Islam. Budaya dijadikan topeng menghalalkan yang haram.” Ben menanggalkan cermin matanya lalu menekap dahi dan pipi serta bibir dengan kertas tisu.

“Berat sekali tuduhanmu. Tidak tertanggung telinga mendengar dan tidak terangkat pundak menanggung.” Zal tunduk. Jemarinya menguis-nguis saki baki meetha di dalam piringnya.

“Semua itu fakta, bukan tuduhan. Dalam Islam yang membunuh dihukum qisas. Tapi di negara saya yang dituduh rasuah (ayah contohnya) dihukum gantung sampai mati.” Sampai di situ, suara Ben yang tadi jelas dan nyaring, kini berbaur sebak dan serak. Zal turut merasakan kesedihan itu. Dia mengangkat tangan, lalu merangkul bahu Ben.

“Ben akan kembali menuntut bela kematiannya. Saya mengerti. Pulanglah Ben.”

“Saya akan pulang dan membalas dendam. Balas dendam terbaik ialah dengan menegakkan demokrasi yang sudah tumbang.” Ben menancap jauh ke dalam anak mata Zal. “Zal masih ingat bagaimana kita bersama-sama menelefon serta menulis surat kepada Pertubuhan Hak Asasi Manusia di Amerika. Saya malu Zal, sebagai penganut Islam di negara Islam kedua terbesar di dunia, saya melutut kepada barat meminta bantuan melepaskan Mai Akhtar daripada laknat budaya yang sama sekali bercanggah dengan fitrah Allah dan hukum Islam.” Waktu itu urat-urat halus berwarna merah mulai menjalar pada putih mata Ben.

Zal mengangkat kepala. Dia melepaskan pelukan lalu memandang Ben yang semakin agresif. “Ya, saya ingat. Itu antara peristiwa yang tidak mungkin dilupakan dalam hidup ini. Kita berjaya membela maruah Mai Akhtar yang sudah musnah itu daripada penganiayaan atas nama budaya.” Terbayang di mata Zal gambar dan berita Mai Akhtar dirogol bergilir-gilir oleh ketua masyarakat, imam serta penduduk di sebuah perkampungan di negara nuklear Ben, atas kesalahan adik lelaki Mai mencintai gadis daripada puak lain. Dia sedih. “Islam apakah yang dianuti ketua masyarakat tempat tinggal Mai?” tiba-tiba pertanyaan yang tidak dirancang itu keluar dari celah bibir Zal.

“Budaya mengatasi agama. Sedang agama yang dinafikan budaya ialah agama Islam. Pemerintah hanya memandang perlakuan hakim dan badan perundangan di negara saya yang tidak mengamalkan proses demokrasi. Betapa sakitnya hati kita apabila ketua masyarakat dan ahli agama di tempat terpencil itu dilepaskan mahkamah setelah didapati mengadakan perogolan bergilir-gilir terhadap Mai.” Ben mengembalikan ingatan Zal semakin kuat dan dekat dengan peristiwa sedih, keji dan jelik itu.

“Anehnya pemimpin tertinggi negara hanya diam. Tidak campur tangan dan tidak melakukan sesuatu bagi menyelamatkan maruah Mai serta tidak menegakkan hukum Islam setelah hukum syarak seolah-olah tidak wujud di kalangan orang-orang yang mengaku Islam. Sehingga Pertubuhan Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Amerika mendesak agar pesalah rogol dihukum (atas desakan kita, Zal), barulah pemimpin masyarakat dan ketua agama terlibat diadili semula.”

Peristiwa hitam dalam kenangan itu cukup hebat menghiris perasaan. Zal bangun dari kerusi yang sudah terasa panas. Air matanya menitis. Dia ingin menghilangkan sebak yang berombak dalam dada dengan memerhati rangkaian kuntum-kuntum mawar yang berayun keras disentuh pawana musim bunga yang tiba-tiba bertiup kuat.

Setelah menelan rakus air mata yang jatuh ke tenggorok, Zal berpaling memandang Ben. “Pulanglah Ben. Pulanglah. Negaramu memang memerlukan kau. Cuma satu permintaan saya.”

“Jaga diri baik-baik? Sudah tentu Zal. Tentu. Zal usah bimbang Pemerintah sudah berjanji akan memberi perlindungan.” Ben mengesat air mata Zal yang bersisa di pipi dengan jari manisnya. “Kaudoakan saya agar selamat. Agar perjuangan dan cita-cita tercapai. Agar pohon demokrasi dapat ditegakkan dan hidup rendang menaungi rakyat tidak berdosa. Agar hukum Islam dapat dijalankan mengikut landasannya. Agar hukum Islam dilaksana bagi melindungi kaum wanita.” Angin musim bunga masih bertiup kencang sehingga mengulang-alingkan deretan kelopak bunga dan daun-daun lavendar serta tulip di atas batas panjang di sebelah pagar; turut mengusai anak-anak rambut Ben yang hitam lebat itu keluar daripada sisiran rapinya. Ben membiarkan saja anak-anak rambut bermain di dahinya yang luas.

Zal kembali duduk. Kali ini bertentangan dengan Ben. “Satu saja permintaan dan harapan saya. Saya akan mengambil cuti panjang. Jika perlu meletak jawatan pun, tidak mengapa. Saya mahu ikut Ben pulang.”

“Oho, ho ho...” Ben ketawa. Gemanya nyaring memeranjatkan dua ekor murai yang sedang mematuk serangga di celah lebat bunga ceri berwarna merah jambu. “Tidak mungkin sampai begitu sekali. Zal terlalu asing untuk seluruh penyokong serta rakyat di negara saya.”

“Saya bukan mahu berkempen atau jadi ahli politik. Cuma mahu sentiasa bersama-sama Ben. Kalau apa-apa terjadi, saya boleh menghulurkan kepakaran.”

Ben terkejut. Di bawah sedar matanya mengerdip beberapa kali. “Tidaklah sampai begitu sekali. Zal tentu setuju jika ditakdirkan saya mati di tangan musuh, kematian itu dengan izin-Nya juga.” Ben mengetuk-ngetukkan hujung jejari tangan kanan ke atas meja. Ben melihat setitis genang jernih gugur ke pipi Zal.

“Tentu ada sebab kenapa Zal bersungguh-sungguh mahu bersama saya.” Dia mengusap belakang Zal, sedang matanya memandang kejauhan pada deretan bunga-bunga lavender ungu dan tulip berwarna jingga di sudut halaman.

Perlahan Zal mendongak. “Sejak kebelakangan ini saya sering bermimpi Ben ditimpa hujan.”

“Bagus sekali mimpi Zal. Bukankah hujan itu rahmat?”

“Tapi hujan itu warnanya merah, Ben.” Sampai di situ suara Zal tersekat. Dia menekup muka dengan kedua-dua tapak tangan. Sedu-sedannya menyelinap juga di celah jari-jemari yang dikatup rapat.

“Mimpi mainan tidur Zal. Saya juga selalu bermimpi terbang di ruang angkasa seperti burung, sedang realitinya kita tidak mungkin jadi burung yang terbang bebas kerana kita tidak punya sayap.”

“Hujan itu merah, Ben. Hujan itu membuat tudungmu yang putih bersih bertukar merah. Merah juga mengubah warna tanah tempatmu berdiri.” Suara Zal gementar dalam sendu. Ben yang tenang tetap tenang mendengar mimpi Zal. Dia tahu setiap yang bernyawa pasti akan mati. Dia juga begitu. Cuma bila dan di mana serta bagaimana cara kematian berlaku, semuanya ketentuan Khalik.

Ben membuka tas tangannya yang berwarna perak keemasan. Sehelai selendang putih bertekstur halus dan lembut seperti sutera ditarik keluar. Ben mengangkat dan meregang perlahan selendang itu dengan kedua-dua tangan lalu meletakkan di atas kepala Zal. Kedua-dua hujung selendang dililitkan ke leher.

“Andai kata aku tidak pulang lagi ke sini, selendang ini sebagai pengganti. Simpanlah sebagai suatu kenangan antara kita. Pastinya kenangan terindah. Ingat, kita pernah berjuang bersama demi maruah wanita dan agama.” Ben membongkok, lalu memeluk dan mencium Zal bertubi-tubi.

Pagi itu Zal berdiri di tingkap. Di luar cermin yang memisahkan dia dengan alam yang dingin dikuasai salji, dia terpandang pohon-pohon casuarina tegak gagah menentang serangan ganas cuaca hujung bulan Disember. Di tangan kanan memegang kertas putih bertulis cantik, kemas dan tegak. Di tangan kiri, selendang putih pemberian Ben dalam genggaman. Seperti pohon casuarina yang gagah menempuh cabaran alam itu, Zal tahu begitulah kuatnya semangat pejuang demokrasi menegakkan pohon keadilan. Dia tahu semangat Benazir akan terus hidup pada diri semua penegak demokrasi dan kebenaran.

Catatan: Chova = Susu Krim

Biodata

ZAHARAH Nawawi yang lebih dikenali sebagai wartawan bergiat dalam penulisan sejak 1950-an dan dalam genre kreatif beliau menghasilkan novel, cerpen, puisi di samping esei. Beliau adalah pengasas Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) yang bermatlamat memberi bimbingan kepada penulis muda dan menerima Anugerah Sea White pada 1996.

Cerpen: Belasungkawa di Helensvale



Oleh Ina Marjana Ulfah



GELABAH. Tangan Iftikhar berpeluh. Daerah minda dan hati Iftikhar dicengkam besi debaran dan dicucuk jejari rusuh resah. Akalnya diselubungi kisi-kisi kecamuk ricu yang berkarat. Langkahnya warawiri walaupun sudah berada di tepi pintu. Tugas yang diberikan gagal ditunaikan. Gagal! Gagal! Iftikhar mencari yakin dirinya yang bersembunyi di sebalik tubuh tegap seorang lelaki sebelum masuk ke bilik berpintu kayu. Bilik yang terletak di sebuah rumah banglo menghadap ke sungai di Latrobe Avenue. Kilau jernih air sungai itu tidak dapat membasuh keladak kegelisahan di hati Iftikhar.

Iftikhar ingin meminjam bara semangat pemimpin pujaannya, Benazir yang masih mempertahankan tanah air, walaupun dihina di mata antarabangsa. Benazir pernah mengatakan dia dikecam kerana mencuci ‘kain kotor’ di khalayak ramai. Benazir menjawab sepatutnya ‘kain kotor’ itu yang dirisaukan pihak regim dan bukan cara dia mencuci di khalayak ramai yang diambil kisah.

Iftikhar semakin rapat ke dinding pintu. Kedengaran suara Terry. Bilik itu sendat dengan derai tawa Terry. Gelak Terry mengepung setiap ruang dan sudut. Meja kayu maple yang tersegam agam memenuhi ruang tengah dinding merah saga itu seakan turut meraikan kegembiraan Terry. Di tepinya ada set sofa jingga bata yang setia menadah tubuh perkasa Andrew dan dua orang lagi.



Terry ketawa lagi. Mata hijau muda beralis lebat kelihatan mengecil. Bahu Andrew ditepuk-tepuk. Andrew tersenyum puas dan mengusap kumisnya perlahan-lahan. Terry mengulang-ngulang perkataan ‘kejayaan besar’ dalam bahasa Inggeris loghat Australia. Senyum Andrew semakin lebar dan turut berkongsi gelakak bersama Terry sambil mempelawa semua minum.

Deringan telefon bimbit Terry mematikan tawa mereka. Air muka Terry berubah. Selang beberapa minit kemudian Iftikhar menyusun langkah masuk dengan penuh hati-hati.

“Awak gagal Iftikhar! Gagal! Gagal! Faham!.” Iftikhar sangat tahu akan kekecewaan ini. Tiada ungkapan kata yang mampu diucapkan sebagai sebab untuk mempertahankan kekusutan ini.

“Macam mana gadis-gadis itu boleh ditahan? Bagaimana awak bungkuskan ‘permata’ kita itu? Ini sudah kali kedua Iftee. Di China pun begitu. Di Argentina perkara yang sama.” Iftikhar semakin tunduk. Iftikhar terpaksa mengakui kelemahan akal lelakinya yang dicabar Terry di hadapan Andrew dan dua orang pembantu Terry.

“Tolong jawab sama ada aku telah membuat pilihan yang salah dengan mengambil seorang dari negara yang pernah ada Perdana Menteri wanita. Kata awak suka kepada Benazir. Suka semangat juang dia. Akan tetapi apabila buat kerja, tidak boleh diharap langsung. Harapkan semangat sahaja. Kalian berdua serupa.” Sergahan demi sergahan dihempas ke wajah Iftikhar. Terry seakan sengaja mencari kekurangan dirinya. Terry juga seakan sengaja memercikkan rasa kurang senang dengan bekas Perdana Menteri Pakistan itu.

Dalam resah gelisah, Iftikhar tidak peduli. Iftikhar tetap bangga memuja pemimpin kesayangannya itu. Benazir pernah mengatakan bahawa permusuhan yang sebenarnya bukanlah antara Islam dan Barat tetapi adalah diri kita yang kurang pengetahuan dan saling membenci. Juga bukan di kalangan golongan etnik minoriti, tetapi mereka yang kelaparan dan saling tidak bekerjasama.

“Lihat Andy, dia penuh teliti. Dia telah membawa untung besar kepada organisasi.” Andrew semakin bangga dikalungkan bunga-bunga pujian itu.

Iftikhar memerhatikan Andrew yang kembang kempis hidungnya dipuji. Iftikhar tidak pasti bagaimana dia boleh gagal. Sebelum ini urusan-urusan yang dirancang berjalan mengikut jadual. Di Bangkok tiada masalah. Di Jakarta juga tiada sebarang kesulitan. Iftkhar tahu dia perlu bijak mengatur langkah, kalau tidak mahu gadis-gadis itu mengundang bencana. Iftikhar sememangnya mahu semua percaturannya disempurnakan dengan lancar untuk mendapat habuan lumayan daripada Terry. Iftikhar tidak ragu darah campuran Iran dan Pakistan yang mengalir dalam batang nadinya tidak lansgung mengecewakan. Butir bicara lembut manis dari bibirnya yang kemerah-kemerahan itu lazimnya disambut penuh kemesraan hangat dari hampir setiap perawan yang singgah di wilayah sukma Iftikhar.

“Maklumat Iftee sedang disiasat polis Malaysia. Nasib baik negara lain tidak terima keterangan laporan forensik siber pesanan ringkas dan panggilan telefon antara Iftee dan gadis kurang cerdik itu.” Wajah Terry dipasak kulipis keberangan.

Terry memang cepat baran. Iftikhar masih ingat malam itu di Surfers Paradise. Satu-satunya bandar yang hidup di waktu malam di Gold Coast. Di saat kesunyian membungkus setiap lorong dan jalan, Orchid Avenue tetap ramah dan mesra menyambut jiwa-jiwa yang dahagakan keseronokan. Deretan kedai cenderamata juga turut melambai rona-rona asing yang menjengah di pantai emas itu. Di hujung jalan, kelihatan tapak pancutan yang bersegi-segi coraknya dan air terpancut apabila ada tumit menginjak-injak. Beberapa orang kanak-kanak akan sentiasa mengerumuni tapak itu dan ketawa keriangan memijak-mijaknya sambil memerhati tulisan Muzium Ripley’s Believe It or Not di atas sebuah replika tempayan kayu yang menadah air daripada sebatang kepala paip besar. Bandar Surfers Paradise menjanjikan segala keasyikan untuk setiap jiwa yang bertandang.

Di situlah dinding kelab Players menyaksikan Terry menumbuk seorang pelanggan gara-gara berebut si gadis berbaju merah. Dalam kelam sinaran lampu pentas bulat tempat gadis manis menayang susuk tubuh, Iftikhar pantas menarik tangan pelanggan itu sebelum menimbulkan kekecohan. Tubuh sasa Iftikhar menarik perhatian Terry. Iftikhar menjadi pengawal peribadi yang setia. Akhirnya, Iftikhar mendapat kepercayaan untuk melaksanakan penghantaran. Tambahan pula Iftikhar amat sesuai untuk bekerja di negara seperti Malaysia.

“Sakit hati aku dengan perlakuan awak, Iftee. Lagi sakit hati melihat awak memilih gadis-gadis kurang cerdik. Andy, sebagai peguam tolong jelaskan kurang bijaksananya mereka yang ditugaskan Iftee seperti yang ditahan di Argentina itu.” Andrew bertambah gah diminta memberi pendapat di dalam bidang kepakarannya. Tidak sia-sia dia mengambil jurusan undang-undang hingga ke peringkat sarjana.

Andrew bangun memberi tunduk hormat kepada Terry dan semua. Jemari Andrew segera memperkemaskan blazer biru tua. Andrew berdehem. Andrew menjelaskan gadis kurang cerdik itu telah mengaku bersalah sewaktu dibaca pertuduhan. Mengikut kelaziman amalan perundangan di kebanyakan negara, sekiranya pengakuan bersalah diterima, tertuduh tidak mendapat hak untuk dibicarakan. Apabila rayuan dibuat, hanya maklumat berdasarkan perbicaraan sahaja yang diterima. Sebarang fakta baru sewaktu rayuan terutama daripada pengakuan bersalah ditukar kepada pengakuan dianiaya amatlah tipis sekali peluang kejayaannya. Dengan itu, laporan forensik siber yang baru diserahkan selepas pengakuan bersalah, tidak diterima semasa rayuan kerana laporan itu tiada semasa keputusan yang pertama dibuat. Walau bagaimanapun, di Argentina, laporan itu tidak diterima sebab tidak mencukupi dan diragui kesahihannya.

“Andy, cuba terangkan bagaimana seseorang boleh didapati bersalah kerana membawa dadah supaya Iftee secara tidak langsung dapat memberi maklumat yang betul kepada gadis-gadis itu nanti.” Terry mengangkat keningnya sambil memandang Iftikhar. Iftikhar membalas pandangan itu dengan perasaan yang berbaur. Perkataan ‘nanti’ itu memberi percikan harapan kepada Iftikhar bahawa Terry masih mempercayainya. Terry masih mahu dia mengendalikan urusan perniagaan. Terry pasti setuju untuk dia berurusan dengan wajah-wajah genit itu.

Iftikhar sangat suka apabila diminta bertugas di Malaysia. Gadis-gadis Melayu itu mudah terpesona dengan janji-janji yang dipupuk bibir manisnya. Iftikhar sememangnya menunjukkan kesungguhan yang jujur dan pandai mengambil hati perawan-perawan tersebut. Mereka memuji-muji Iftikhar dan membandingkan sikapnya yang ringan tulang berbanding dengan kebanyakkan pemuda Malaysia yang dikenali mereka. Iftkhar menyimpan harap agar dapat bertemu dengan Jasmin, gadis yang baru dikenali dua bulan yang lalu di Malaysia.

Jasmin. Ya, Jasmin. Dia ada kelainan. Puas diumpan barulah mengena. Banyak wang sudah dibelanja. Banyak masa diperuntukkannya. Tidak seperti Sheila. Ramah. Gaya ranggi Sheila sering mengundang renungan para jejaka. Senang sekali Iftkhar berkepit ke sana ke mari sambil melihat ekoran mata yang cemburu kepadanya. Sheila bercita-cita tinggi. Apabila tawaran untuk mencari duit saku lebih untuk membiayai pengajiannya disuakan, dengan pantas Sheila menerima. Dua tugasan Sheila berjaya. Sheila naik seronok mendapat upah lumayan. Cuma nasib tidak menyebelahi Sheila pada misinya ke Argentina.

Sebelum Sheila ialah Aliya Muna. Aliya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, tetapi ilmu bantu hidupnya sedikit. Naif. Mudah untuk mengendalikan Aliya. Tidak seperti Sheila yang penuh soal-jawab. Gaji lumayan yang dijanjikan di China memancing kesanggupannya ke sana. Aliya mahu duit lebih membantu keluarga di kampung. Namun, percubaan pertama Aliya membawa padah. Sememangnya ada titis simpati yang mengalir di daerah sukma Iftikhar. Iftikhar tahu dia memusnahkan impian dan harapan mereka. Namun desakan hidupnya sendiri, tidak memungkinkan Iftikhar memikirkan itu semua.

Andrew berdehem. Pintalan lamunan Iftikhar terputus. Andrew menerangkan menurut kebanyakan undang-undang, mesti wujud dua unsur utama iaitu pemilikan dan pengetahuan untuk membuktikan bahawa tertuduh bersalah. Kalau di Australia, peruntukannya ialah mengikut seksyen 9 Akta Jenayah (Pengedaran Dadah Narkotik dan Bahan Kandungan Phychotropic) 1990.

Tambah Andrew lagi, kes Sheila di Argentina yang telah memberitahu mahkamah bahawa dia teraniaya dan si Iftkhar yang sebenarnya merancang segalanya ialah untuk membuktikan bahawa Sheila tiada pengetahuan. Cuma perkara yang boleh dipertikaikan ialah kalau Sheila tiada pengetahuan, mengapa pula dia mengaku bersalah pada awal pertuduhan dibacakan.

Iftikhar mengangguk walau dalam debaran dan semakin faham tugas yang perlu dilaksanakan nanti. Iftikhar menyusun strategi agar dia boleh menyelitkan peringatan Andrew kepada gadis-gadis manis itu kelak. Iftikhar semakin bersemangat walau di hujung wilayah batinnya ada tanah resah yang terbenam. Sebagaimana semangatnya Benazir dalam semua ucapan-ucapannya ke seluruh dunia terutama di Barat. Wajah Benazir menyalakan semula api jiwanya. Iftikhar akan bangkit dengan berhati-hati, itu janji. Begitu juga Benazir bangkit menjunjung manifestasi hingga ke Rawalpindi.

“Apa yang ingin kita lakukan terhadap Iftee, kawan-kawan?” Terry tidak dapat menerima kegagalan Iftkhar begitu sahaja tanpa sebarang hukuman.

“Andy, saya serahkan tugas ini kepada awak.”

Andrew bangun menghampiri Iftikhar. Iftikhar tidak pasti apa yang ingin dilakukan Andrew. Semangat Benazir dipegangnya kejap. Semangat untuk mendampingi Jasmin yang ayu dan lincah itu diikat kemas di dalam lipatan minda dan hatinya. Iftikhar sanggup menerima apa sahaja tindakan yang mungkin diambil Andrew ke atas dirinya.

“Iftee, ini adalah amaran keras. Kalau awak tidak berhati-hati, awak boleh ditangkap sewaktu berurusan dengan mereka di Malaysia.” Andrew memancing ketakutan Iftikhar. Iftikhar semakin pasrah. Kalau diminta Terry untuk mendengar ceramah dadah Andrew selama berhari-hari pun Iftikhar sanggup dengan syarat dia boleh ‘bertugas’ semula di Malaysia.

“Pastikan semua bekalan dalam keadaan selamat. Contohnya, di Malaysia, seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 mengatakan bahawa barang siapa yang menyimpan atau berada di dalam pemilikannya, penjagaannya atau pengawasannya, kurang daripada 5gm candu mentah atau daun koka atau pokok popi atau biji ganja dari pokok popi, boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dihukum penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.” Iftikhar mengangguk-angguk.

“Dan hukuman paling berat ialah mati mandatori sekiranya memiliki jumlah yang dinyatakan atau lebih daripada 15 gm morfin atau 1000gm candu masak atau mentah, atau 40gm kokain, atau 200gm ganja, atau 2000gm daun koka atau 50gm Amphetamine Type Stimulants, contohnya syabu.” Iftikhar memberikan sepenuh perhatian dengan semangat dan harapan yang tinggi untuk melaksanakan tugas yang akan diberikan Terry nanti.

“Dengar itu Iftee. Aku tidak mahu kesalahan yang sama berulang lagi di Malaysia. Ingat Iftee!.” Terry dengan tegas memegang rakus bahagian hadapan baju Iftikhar. Iftikhar dengan penuh yakin dan bersemangat memberi janji padu untuk berhati-hati. Ada percikan gembira berbunga di dalam mata hati Iftikhar. Besar harapan Iftikhar supaya Terry mengarahkannya kembali ke Malaysia. Bayangan Jasmin hadir. Bayangan Benazir muncul. Bayangan itu silih berganti termasuk wajah-wajah Sheila dan Aliya yang masih berada di dalam tahanan.

Tiba-tiba satu bunyi yang halus tajam kedengaran. Pandangan Ikftikhar menjadi kabur. Ledakan kesakitan menguasai kepalanya. Iftikhar rebah. Darah merah mengalir di dahi kirinya. Persekitaran Iftikhar kelam. Jauh di satu sudut, dia dapat melihat ada bayang putih seorang wanita. Cahaya semangat mereka bertemu. Rawalpindi menadah kesayuan di pagar Liagat Bagh. Helensvale melagukan irama belasungkawa di Latrobe Avenue.

BIODATA: Ina Marjana Ulfah

INA Marjana Ulfah, nama pena bagi Mazlina Mohamad Mangsor @ Mansoor. Puisi pertamanya disiarkan dalam Berita Minggu pada 1992 manakala cerpennya, Lapan Belas, mendapat tempat dalam akhbar yang sama pada 1994. Karyanya kemudian mendapat tempat dalam Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Majalah Perempuan, Pelita Bahasa dan Wanita. Beliau pernah memenangi hadiah ketiga Sayembara Menulis Puisi 1994 anjuran KEMUDI dan hadiah sagu hati Sayembara Menulis Puisi Perpaduan 1995 (Melaka) anjuran Jabatan Perpaduan Negara. Kini berkhidmat sebagai Pensyarah Jabatan Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Cerpen: Malam Pertama di Rafah



Oleh Nazmi Yaakub


CINTA tidak mungkin bersatu, kata mereka.

Betapa tidak benarnya mereka, Rafiah!

Barangkali mereka melihat tembok waja di sempadan yang memisahkan Rafah dan al-Arish, sekali gus mengurungmu di Wilayah Gaza serta membantingkan aku kembali ke Mesir. Lalu cinta kita, tegas mereka, adalah mustahil.



Betapa pesimisnya mereka untuk menyedari cinta mewajarkan kemustahilan. Cinta bukan jisim yang boleh dikepung dalam wilayah dilingkari tembok. Cinta juga bukan jasad yang boleh melantun apabila terlempar ke tembok yang memisahkan dua negara kita.

Kalaupun cinta dapat diamati oleh deria, ia adalah suara.

Seperti suaramu, Rafiah. Pertama kali aku dengar dari balik tembok waja yang tidak mungkin membendungnya daripada terlepas bebas ke langit kita.

Kala itu, kauberbicara dengan adik lelakimu. Tentang jihad dan tentang syahid. Dan aku jadi khusyuk mengutip irama dan nada yang berlagu di lidahmu.

Dari balik tembok itu, kaumenguji adikmu: "Cuba bacakan ayat cinta paling agung di dunia ini?"

Adikmu membaca ayat al-Quran itu, sedikit gugup. Kau pun menyambung bacaannya:

"Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, akan tergamak untuk berkasih-sayang dengan golongan yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, meskipun mereka yang menentang itu ialah bapa, anak, saudara ataupun keluarga mereka," alun kau, serentak sekawan burung melayang dan melintasi tembok sempadan.

Aku mendengar lagi kau menyambung tartil bacaanmu: "Golongan (yang setia) itu, Allah menetapkan iman dalam hati mereka dan memperkuat mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sedangkan mereka kekal di dalamnya. Allah merestui mereka dan mereka pula meredai (serta bersyukur) nikmat anugerah-Nya. Merekalah penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong (agama) Allah itu ialah golongan yang berjaya."

Aku terus memasang telinga tentang riwayatmu: "Ada kisah cinta agung tentang sahabat Rasulullah, Handhalah bin Abu 'Amir."

"Bukankah Handhalah itu sahabat yang meminta izin daripada Rasulullah untuk membunuh ayah kandungnya kerana mengengkari kerasulan Nabi Muhammad dan bersifat hasad terhadap baginda?" Tanya adikmu dengan suara yang teruja.

"Ya, tetapi Rasulullah tidak mengizinkannya berbuat demikian. Riwayat Handhalah adalah kisah pencinta yang agung," balas kau, mendorong aku jadi lebih teruja daripada adikmu.

"Ceritakan kisah pencinta agung itu," pinta adikmu dan aku, serentak. Sudah tentu aku hanya meminta dari relung hati.

"Handhalah menikahi Jamilah binti Abdullah bin Ubay bin Salul dalam keadaan umat Islam di Madinah bersiap sedia untuk keluar berperang. Lalu, beliau meminta izin Rasulullah untuk bersama-sama isterinya pada malam pertama pengantin sebelum berangkat menyertai perang Badar. Keesokan harinya, bersenjatakan pedang yang berkilauan, beliau bertempur dalam perang itu," kata kau dengan nada sedikit tinggi, seolah-olah memancing minat adikmu.

"Sudah tentu Handhalah yang menebas-nebas pedangnya dengan bersemangat, menang dalam peperangan itu," sampuk adikmu.

Aku membayangkan kau tersenyum manis. Di hujung senyum, tergantung semangat jihad. Aku tahu Rasulullah dan sahabatnya memenangi perang Badar itu, tetapi Handhalah menemui syahid.

"Tidak adikku. Handhalah gugur di hujung pedang Abu Sufyan bin Harb," balas kau, tetapi aku tidak menemui sendu di hujung katamu. Juga tiada kecewa pada tingkah suara adikmu. Kalian berdua membesar dengan api jihad tak pernah padam.

"Handhalah syahid!" Tegas adikmu, mengiyakan telahanku.

"Lebih menarik, Rasulullah bersabda baginda melihat malaikat memandikan Handhalah di antara langit dengan bumi sehingga sahabat mendapati ada air menitis daripada kepala jenazahnya," sambung kau dengan nada syahdu yang terbuai di hujung riwayatmu.

Nada itu bagaikan melayang, lalu melintasi tembok sempadan dan hinggap di dadaku. Ia menjadi hujan, menumbuhkan cinta di atmaku.

Ya, syuhada' yang gugur berjihad pada jalan Allah tidak perlu dimandi dan dikafankan, tetapi Handhalah menghunus pedangnya dalam keadaan berjunub selepas bersama-sama isterinya. Aku menyambung riwayat itu dengan pohon cinta tumbuh perlahan-lahan, tetapi pasti di dada.

"Rafiah binti Meshaal! Ayuh, bawa adik lelakimu pulang ke rumah." Ada suara serak wanita mengganggu riwayatmu, tetapi aku tidak kesal kerana dapat mengetahui namamu.

Aku bayangkan kaubangkit sambil membetul-betulkan jilbab hitam yang membalut tubuhmu dan mengemas-ngemas khimar yang menutup rambutmu.

Bermula saat itu, cintaku tumbuh pada gadis bernama Rafiah! Kaulah itu!

Aku mula merisik tentangmu, Rafiah, lewat kaum kerabatku yang menetap di Rafah. Aneh bukan, kita dipisahkan tembok besi dan batu sedangkan kami dengan kalian adalah satu pada darah, bangsa dan agama.

Lewat lisan mereka, aku dapati kau bukan kalangan fellaheen biasa. Keringat keluarga kalian tidak hanya tumpah ketika berbudi pada tanah. Ayahmu, pejuang Hamas yang terbenam dalam penjara bawah tanah Israel tanpa bicara.

Abang sulungmu sudah mengorbankan dirinya untuk membeli syurga Allah kala gugur dalam pertempuran gerila dengan tentera Israel. Bersenjatakan senapang automatik Kalashnikov AK47, abangmu dan pejuang menyerang pos pengawal tentera Israel. Mereka membalasnya bukan saja dengan senapang automatik M16 buatan Amerika Syarikat (AS), bahkan lewat senapang mesin Negev berkeupayaan 800 pusingan perminit (rpm). Serangan itu sempat mencarik tubuh tentera Israel, tetapi hujan peluru mereka turut singgah di tubuh abangmu.

Abang keduamu lebih nekad. Beliau sebahagian Briged al-Qassam dan berbekalkan restu ibu, beliau melilitkan bom di pinggang, lalu meletupkan diri di pos pengawal tentera Israel. Abang keduamu sempat mengirimkan lima tentera Israel ke neraka.

Dunia mungkin saling bertingkah tentang tindakan abang keduamu, tetapi kalian di sana tidak menemukan hujah praktikal untuk berdepan dengan serangan peluru tanpa mata yang menjadi panah api dari langit.

Dari ceritamu kepada adik lelaki itu, nampaknya kau sedang mempersiapkannya sebagai mujahid dalam perjuangan intifadah.

"Seolah-olah keluarga mereka sudah bersumpah untuk menyerahkan saudara lelaki mereka kepada Tuhan," kata kaum kerabatku.

Namun, mereka masih meragukan cinta antara aku di al-Arish dan kau di Rafah. Mereka menggoda aku dengan was-was: "Bagaimanakah kau mahu menanam dan menyiram pohon dari balik tembok? Kau si petani dari Mesir, sedangkan ladangmu di Wilayah Gaza?"

"Suatu hari nanti, tembok itu akan runtuh. Kalaupun ia tidak runtuh, cinta kami pasti mendapat jalan untuk melintasinya," tegasku dengan rahang kukacipkan.

"Kalian terpaksa membuat pilihan yang sukar. Pertama, kau harus membawa Rafiah tinggal di al-Arish, sekali gus memaksa bakal isterimu membiarkan keluarganya meneruskan perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman ganas Israel. Atau kaumengikutinya ke Rafah dan meninggalkan kehidupan yang merdeka kepada perjuangan yang sarat dengan kepayahan," hujah mereka dengan lebih rasional selepas momokan tidak berjaya.

"Bumi dan langit ini hanya satu. Di antara al-Arish dan Rafah hanya ada tembok. Kalau cinta tidak melompatnya, ia pasti merempuhnya," tekad aku sambil menumbuk tapak tangan kiriku.

Menyedari keraguan yang mereka bidik tidak bisa menumbangkan keyakinanku, lalu mereka akur dengan hasrat itu. Mereka meminang kau, Rafiah di Rafah untukku di al-Arish.

Keluargamu menerima peminangan itu dengan reda. Sudah tentu bukan didasarkan kalian tidak mempunyai anggota keluarga lelaki yang dewasa. Keluargamu sudah bisa hidup tanpa kaum lelaki untuk mencari rezeki. Di tangan anggota keluarga wanita pun, kalian masih bisa mencari secebis roti.

Tuhan tentu tidak mempersia-siakan keluarga yang menyerahkan kaum lelakinya pada jalan Allah.

Keluarga aku juga bukan asing daripada perjuangan Palestin. Datukku pernah bersama-sama Yasser Arafat menyeludup senjata dari Mesir, lalu menyusupkannya masuk ke Palestin. Pertumpahan darah sudah tidak terelakkan apabila si bangsat dari Poland, David Ben-Gurion mengisytiharkan penubuhan negara haram, Israel pada 1948. Lalu senjata itulah, kalian gunakan untuk bertempur dengan tentera pengganas Israel yang melakukan pembunuhan dan pengusiran beramai-ramai. Malah, datukku pernah ikut berjuang dalam Perang 1956 bersama-sama pemuda bersemangat Islam yang meresap dalam tentera Mesir cuba menumpaskan tentera Israel.

Ayah sendiri dalam diam, tetapi pasti menggerakkan al-Ikhwan al-Muslimun meskipun dimusuhi tanpa alasan yang benar oleh kerajaan kami. Berbeza dengan datuk yang berjuang lewat senjata, ayah membantu rakyat Palestin khususnya penduduk di sempadan Rafah melalui stetoskop dan picagari. Beliau aktif dalam Kesatuan Doktor Sinai Utara, sekali gus sering melintas sempadan untuk mengirimkan bantuan kemanusiaan dan perubatan.

Justeru, latar keluarga kau dan keluargaku tumbuh pada bumi yang satu dan berteduh di bawah kolong langit yang sama. Dan aku mahu satukan susur galur keturunan kita lewat cinta yang bisa menerobos tembok sempadan al-Arish dan Rafah.

Tanpa visa dan tanpa pasport. Seperti puisi seorang sasterawan dari timur.

Kita terpaksa bertunang lebih lama apabila aku mendapat panggilan kerahan tenaga untuk berkhidmat dalam tentera Mesir selama tiga tahun.

Ada rahmatnya aku menjalani latihan ketenteraan di bawah angkatan tentera yang terkuat di rantau Arab dan benua Afrika itu. Aku senang membidik-bidik antara rifel sniper separa automatik Dragunov SVD dengan Heckler & Koch PSG-1.

Aku akrab dengan latihan menembak tepat kerana ia menuntut kesabaran yang amat tinggi. Bukankah aku sudah diuji untuk bersabar kala cuba membidikmu, Rafiah?

Meski aku menunjukkan prestasi yang tinggi dalam latihan ketenteraan itu, aku memilih untuk tidak kekal dalam dunia ketenteraan. Jiwaku lebih intim dengan al-Arish. Aku mahu mendamping Rafah. Lebih penting mahu mengakrabimu, Rafiah.

Lagipun perjuangan membebaskan negaramu, menuntut aku berada di al-Arish, berhampiran Rafah.

Sekembalinya aku ke wilayah ini, cinta kita diuji lagi. Kali ini lebih genting. Regim pengganas Israel menutup Wilayah Gaza hingga bekalan makanan, ubatan dan minyak khususnya diesel untuk jana kuasa elektrik terhalang.

Kalian di Rafah turut terkepung dalam penjara paling luas di dunia; sepanjang 40 kilometer dan selebar 10 kilometer.

Kau, Rafiah, cintaku dan tunangku, jadi banduan tanpa kesalahan bersama-sama 1.4 juta warga Gaza. Kesalahan kalian hanya kerana memilih Hamas untuk meneruskan hak hidup di bumi sendiri dan kesalahan Hamas kerana memilih untuk memerangi regim Israel setelah mereka merampas bumi kalian, membunuh saudara-mara kalian dan memungkiri perjanjian.

Bukankah mereka mengatakan cinta tidak mungkin bersatu? Kau di Rafah dan aku di al-Arish, lalu di antara kita adalah tembok waja yang memisahkan kita meskipun hakikatnya kita bersatu pada darah, bangsa dan agama.

Namun, cinta bukan jisim yang boleh dikepung atau jasad yang kembali terbanting tetapi cinta adalah kuasa yang bisa menerobos tembok besi baja paling padu sekalipun.

Dalam kepungan itu, kau kirimkan keyakinan kepadaku: Bumi dan langit ini hanya satu. Di antara al-Arish dan Rafah hanya ada tembok. Kalau cinta tidak melompatnya, ia pasti merempuhnya.

Dan cinta memilih untuk merempuhnya. Bukan sekali, bahkan 17 kali lewat letupan yang menumbangkan besi baja sebelum Subuh itu. Di antara Rafah dan al-Arish, cinta jadi bebas untuk melintasinya. Sebebas warga Rafah dan Gaza untuk membeli barang keperluan dari kota kami, Rafiah.

Rafah dan al-Arish sudah bersatu. Justeru kau dan aku juga mesti bersatu. Kita langsungkan perkahwinan ini. Meskipun dalam majlis penuh sederhana.

Lebih penting, aku jadi suamimu, Rafiah. Dan kau jadi isteriku.

Malam tadi, aku jadi petani dari al-Arish yang menyemai benih di ladang gadismu di Rafah. Dinihari ini, kala aku mengucup dahi mulusmu selepas aku beriwayat panjang tentang kisah cinta kita, aku ingin bertanya: "Apakah kau masih mengingati kisah Handhalah yang kauriwayatkan pada adikmu?"

Kali ini –tanpa berselindung di sebalik tembok waja itu lagi- aku menyaksikan kaumengangguk, lalu aku cubit dagu tirusmu.

"Panggilan jihad sedang berkumandang, Rafiah. Mereka memerlukan penembak tepat untuk operasi kali ini. Doakan moga-moga aku tidak perlu mengangkat hadas besar ini. Biarlah malaikat memandikan aku di antara langit dengan bumi," pohonku sambil mengucup bibir merahmu.

Dan aku seperti Handhalah, menyandang rifel sniper separa automatik, meninggalkanmu, Rafiah, menuju ke medan jihad.

PROFIL: NAZMI YAAKUB

NAZMI Yaakub, nama pena bagi Mohd Nazmi Yaakub yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, pada 10 Februari 1978 adalah lulusan Sarjana Muda Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar as-Syarif Cawangan Damanhur, Mesir. Cerpen dan puisinya mendapat tempat dalam akhbar dan majalah arus perdana negara ini manakala dua novelnya, Lambaian Huda diterbitkan Creative Enterprise dan Merentas Sungai Sejarah (Dewan Bahasa dan Pustaka). Memenangi hadiah ketiga Peraduan Menulis Novel Alaf Baru 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Hadiah Sastera Penulis Muda Kelantan anjuran DBP Wilayah Timur 2001/2002. Kini berkhidmat sebagai wartawan Berita Harian.

Cerpen: Kalau Jadi Orang



Oleh Rahimah Muda


RUMAH agam Tuan Ho meriah setiap kali Tahun Baru Cina menjelang. Tanglung besar merah bergantungan di beranda. Kain merah disimpul pada kedua-dua hujung penaka kelopak bunga sakura sebelum digantung di atas jenang pintu utama.

“Hu hu hu ha huhuu … Huhu haha hu huhuuu …” Kakinya terketik-ketik mengikut irama lagu Gong Xi Fatt Chai yang melenggok-lenggok keluar menari dari corong radio. Bunyi hon peraih ikan, daging dan sayur segar, kuat menerjah telinga. Tuan rumah sebelah keluar menahan peraih. Amah di rumahnya jarang membeli, kecuali jika lauk habis. Isteri Tuan Ho lebih suka membeli di pasar. Kalau keluarga Tuan Ho berpergian lama, dia diberi makanan awet dalam tin.

Dia enggan makan walau disorong jiran. Mana mungkin dia makan daripada pinggan lain kecuali pinggannya sendiri? Tidak mahu tidur kecuali di rumahnya sendiri. Enggan makan daging plastik bermutu rendah. Dia mahu yang terbaik. Daripada makan, minum, tempat tidur hingga kepada rantai leher, semua mesti teratur dan bagus. Ada gaya dan kelas tersendiri.



“Jangan harap aku mandi sendiri.” Ujarnya kepada Wang Wang yang diam di hadapan banglo Tuan Ho. Ada amah yang memandikannya. Bersiar-siar juga ada yang menemani. Andai sakit demam, terus dibawa ke doktor terbaik di kota kosmopolitan ini. Antara yang termahal kos perkhidmatannya.

Dia dipertuankan. Bukan merempat seperti nenek-moyangnya dahulu malah terlalu dimanjakan dan disayangi. Segala kehendaknya dituruti. Setiap kali melengking, ramai yang takut. Hatta mendekatinya pun ramai yang segan apatah lagi mengganggu. Walaupun di rumah besar Tuan Ho itu, dia satu-satunya yang bukan sedarah sedaging, tetapi dia disayangi benar.

Sesiapa sahaja yang melihat roman wajahnya, membandingkan pula dengan roman wajah Tuan Ho, akan terus berkata, keduanya memang tiada pertalian keluarga. Telinganya lebih capang daripada telinga Tuan Ho. Hidung Tuan Ho lebih mancung daripada hidungnya. Matanya lebih bulat daripada mata ketua keluarga Ho itu. Malah warna kulit kedua-duanya lain benar. Macam langit dengan bumi. Namun dia paling bertuah kerana dia sudah lama dianggap sebahagian daripada keluarga Tuan Ho. Satu penghormatan paling besar.

Sejak kecil, Tuan Ho mengasihinya. Memberi penuh kebebasan. Pernah Ling, anak gadis Tuan Ho meminta izin Tuan Ho membawanya ke bilik. Tuan Ho kurang setuju, tetapi sesudah Ling merengek-rengek dengan wajah manja, ditokok dengan bujukan isterinya yang manis, akhirnya dia diajak tidur sebilik. Kakak Ling tidak berani melarang. Abangnya juga takut menentang. Apa lagi amah yang baru lima bulan berkhidmat dengan keluarganya. Malah amah itu disuruh menghidangkan makanan untuknya. Juga di bilik. Terbeliak mata amah berkulit sawo matang itu melihat dia berlingkar dalam selimut Ling.

“Amboi …!” Amah menggiatnya. Dia mengenyit mata, mengusik nakal amah yang belum pun mencecah usia tiga dekad. Dia berbaring megah dengan senyum kejantanannya di ranjang gadis berkulit putih dan gebu. Alangkah bertuahnya dia!

Memang dia rasa bertuah. Lebih bertuah daripada orang biasa yang hanya mampu menghuni rumah setinggan. Yang cuma mampu bersesak-sesak tinggal di rumah pangsa yang sempit. Dia tinggal di banglo besar. Jauh lebih bertuah daripada rakyat Iraq yang diburu peluru setiap waktu. Jauh lebih mewah daripada kehidupan berjuta-juta orang kulit hitam mahupun kulit berwarna di serata dunia. Tidak pernah kebuluran seperti berjuta manusia gelandangan yang terpaksa berkongsi sekeping roti dengan sahabat senasib.

Pada hematnya, Tuan Ho hartawan terpelajar. Bicaranya berhemat. Tutur kata diselit falsafah. Tamsil ibaratnya berisi makna tersirat. Perlu dikupas bersih-bersih sebelum difahami makna bicaranya yang berlapis-lapis.

Petang Tahun Baru Cina cemerlang dalam langit kuning jingga. Dia paling awal melangkah ke ruang tamu, bersimpuh lima jengkal dari kaki Tuan Ho.

“Gong Xi Fatt Chai …” Ling mengangguk di hadapan Tuan Ho yang duduk di sofa besar berukir kayu mahogani merah. Ukiran kayu disalin menyerupai ukiran Dinasti Ming. Figura naga daripada bongkahan kristal berkilau disoroti lampu tumpu kecil di meja bulat daripada marmar di sisinya.

“Gong Xi Fatt Chai, papa.” Dua perjaka bujangnya mengucap hampir serentak. Tuan Ho mengangguk. Isteri Tuan Ho datang dengan senyum lebar. “Gong Xi Fatt Chai.” Sempat isterimya membetulkan ceongsam sempit berbelah tepi sebelum duduk di kerusi besar sebelah Tuan Ho. Warna merah terang ceongsam memantul di muka meja marmar putih.

Tepat seperti yang diduga, Tuan Ho memberi amanat. Satu amalan yang menjadi kelaziman Tuan Ho setiap kali menyambut Tahun Baru. Tuan Ho tidak mahu Ling dan anak isterimya melupakan adat resam yang dibawa dari Guazhong semasa moyangnya mengambil keputusan meninggalkan kemiskinan di belakang kehidupannya seratus empat puluh musim terdahulu. Dengan tekad kuat, moyangnya berlayar ke Temasik sebelum berkebun gambir dan lada hitam di Tanah Ujung Medini.

“Kalau jadi orang, jadilah orang yang baik. Tidak busuk hati. Gelojoh dan tamak jangan sekali-kali. Kalau jadi anjing, jadilah anjing yang baik. Tidak gelojoh berebut daging dan tulang.” Mata Tuan Ho memandang Ling dengan kasih sayang, namun nada suaranya tegas.

Dia memandang Tuan Ho dengan rasa kagum. Nasihat lelaki itu ditelannya. Mendengar dengan sabar dan kepala dingin. Tuan Ho tidak mahu dia mengulangi kesilapan anjing dalam kisah Anjing dengan Bayang-bayang. Dek kerana tamak haloba, anjing melepaskan tulang yang sedang demi untuk merebut tulang lain yang digonggong oleh bayang-bayang yang disangka seekor anjing lain.

Tuan Ho sering mengingatkan agar dia tidak menggigit paha sesudah diberi betis. Tauke kereta mewah itu mahu dia berhati suci. Kalau boleh Tuan Ho mahu tubuhnya juga sentiasa bersih. Bersih daripada kudis, apatah lagi kurap.

“Jika jadi orang, jadilah orang yang tahu nilai-nilai kemanusiaan. Jika jadi anjing, jadilah anjing yang tahu menghargai nilai-nilai keanjingan.” Tuan Ho menatap keluarganya bergilir-gilir.

“Manusia yang baik tahu menghormati sahabat sekampung. Menyanjung budi orang lain. Anjing yang baik menghormati sahabat sekandang. Menyanjung budi rakan-rakan seperburuan. Tidak makan sembarangan kecuali yang diunjuk. Tidak minum melainkan yang halal diteguk.” Isteri Tuan Ho membelek gelang jed hijau yang diselang-selikan kristal rose quartz di pergelangan tangan kiri. Dia teringatkan mendiang ibu Tuan Ho yang pernah menegur menantunya itu, selang dua Tahun Baru terdahulu.

“Tenaga chi masuk dari tangan kiri, mengalir keluar melalui tangan kanan.” Kerana teguran mendiang juga, kolam dibina di laman rumah agar menepati feng-shui. Sempat dia merindui nyonya yang kuat menggenggam amalan suku Teochew itu.

“Kalau jadi orang, jadilah orang yang setia. Patuh kepada pemimpin. Kalau jadi anjing, jadilah anjing yang patuh kepada tuannya.” Tuan Ho memandangnya. Kepalanya sebentar diangkat perlahan, sebentar diturunkan perlahan. Tuan Ho senyum. Mengusap-usap kepalanya sebelum mencuit hidung Ling.

“Orang baik menjauhi perbuatan mungkar, melakukan perkara-perkara baik. Taat perintah tuhan. Tidak mudah angkuh dengan kebendaan.” Pesan Tuan Ho, kalau mahu jadi orang baik, usah jadi hamba kepada kekayaan. Tidak takut mengakui kesilapan. “Anjing yang baik pula tetap setia kepada tuan yang pengasih. Tidak terbabas daripada sifat-sifat molek kehaiwanan. Takkan melengking sembarangan. Tidak menyalak pada yang tidak. Tidak menggigit pada yang sakit.”

Amanat Tuan Ho didengarnya dengan cermat. Tidak sekalipun dia menyampuk seperti sesetengah orang. Apatah lagi menganjing-anjingkan Tuan Ho. Dia tunduk. Matanya terkelip-kelip. Kedua-dua tangan diletakkan ke hadapan dengan tertib. Kedua-dua kakinya bersimpuh sopan. Dia tetap duduk penuh adab hingga semua penghuni beredar ke meja makan.

Ketika bermenung malam itu, kata-kata Tuan Ho terngiang-ngiang di telinganya. Wajah Tuan Ho yang lembut tergambar di mata. Macam-macam bermain di benak sehingga dia terlena dalam peristiwa yang berulang-ulang dan sesetengahnya dia memang kurang mengerti. Untuk menjadi yang terbaik, dia memilih untuk kelihatan mengerti. Berusaha untuk mengerti biarpun bukan semua difahami ertinya. Setidak-tidaknya dia boleh menjaga hati orang yang memeliharanya. Memberi kasih sayang dan kepercayaan yang tidak pernah berbelah bahagi.

Derianya menghidu sesuatu. Berkali-kali dia menggeliat malas, tetapi matanya terpejam. Telinganya menangkap bunyi desup-desap. Kantuk memberati bibir mata namun dia menggagahi diri bangkit. Dalam samar-samar, dia melihat sesosok lembaga menyusuri beranda di tingkat dua rumah.

“Ling?” Dia menelah. Mana mungkin gadis itu berjalan terhendap-hendap begitu. Dia menggeleng.

“Tuan Ho?” Tidak mungkin dia merayap dalam kegelapan, bisik hatinya.

“Amah atau isteri Tuan Ho?” Ah, bukan.

“Siapa?” Hatinya berdetak. Dadanya berdetup-detap melayani curiga. Dia serba-salah. Ada perkara buruk bakal terjadi. Dia dapat merasakannya. Dia tidak boleh menunggu lagi. Akhirnya dia bersuara nyaring, mengejutkan semua orang.

“Hoo hoho hooi…!” jeritnya.

“Hoho..hoho..hoohoooi…!” Pekikannya lebih kuat. Bunyi bising di tingkat atas seperti orang bergaduh. Lampu dinyalakan. Terang benderang.

“Pencuri, pencuri! Tolong, tolong!” Nyaring suara Ling memecah sunyi malam. Diikuti pekik suara garau dan nyaring lain. Dia turut melolong menggegar pintu pagar. Amah yang diam di tingkat bawah berkejar membuka pintu pagar. Dia terus menjerit.

Jiran-jiran datang. Ada membawa parang, cangkul dan tongkat. Ada membawa cortar dan buluh ampaian kain, malahan ada juga yang membawa penyapu dan rotan. Pendek kata semua orang datang dengan senjata masing-masing, gaya tersendiri. Sebentar kemudian polis sampai. Penceroboh dibawa pergi. Sesudah burung meninggalkan sarang, sesudah penghuni dan jiran meninggalkan rumah mencari rezeki, barulah dia terlelap, menyambung tidur yang tergendala.

Hidungnya menghidu bau enak. Perut terasa lapar dek aroma sesuatu yang sungguh dekat dengannya. Dia memaksa diri bangun daripada tidur yang amat lena dan menyenangkan. Otot matanya meregang dua kelopak mata yang payah dipisahkan. Dia menyungging senyum lebar. Dalam mangkuk di hadapannya, dihidang juadah kegemarannya. Mentari tegak di langit.

Ketika mengunyah suara amah bertubuh rendang meletus-letus membertih keluar. Jiran sebelah rumah yang dibatasi pagar batu yang diukir lubang-lubang kecil berdiri mengadapnya.

“Rupa-rupanya pencuri itu bukan orang lain, tetapi pekerja Tuan Ho sendiri.” Suara amah jelas menerjah koklea telinganya.

“Suruhlah Tuan Ho guna kamera tersorok. Bukankah lebih mudah? Boleh cam penceroboh, tahu apa yang dibuat orang dalam rumah.” Jiran sebelah rumah menyambut bicara.

“Hish … kalau nampak semua, waima hendak salin baju pun takut. Kalau gambar disalin orang, dijual pula ke pasar malam, susah. Apa lagi kalau ada aksi terlampau.” Amah berdesis, bibir atasnya terangkat, menyeringai.

“Entahlah ...” Dia meneleng kepala ke kanan dan ke kiri. Kesal dengan hakikat yang didengarnya sebentar tadi.

“Lebih baik menjadi seekor anjing yang setia kepada manusia daripada menjadi manusia yang tidak kenal makna setia.” Kata jiran Tuan Ho sebelum menghilang ke dalam banglonya.

Memang benar. Dia mengangguk-angguk. Anjing lebih tahu berbudi kepada manusia. Dia sendiri tidak pasti adakah Tuan Ho masih mahu mempercayai manusia sesudah kejadian itu. Apakah manusia sudah hilang kasih sayang dan sifat-sifat kemanusiaannya sudah kabur?

“Alangkah bagus jika manusia terus jadi manusia yang baik dan dia terus menjadi anjing yang baik.” Dia menyimpul resolusi. Bunyi detap telapak kaki menghampiri.

“Dia seekor anjing yang baik!” Tuan Ho dan dua orang lelaki beruniform biru gelap, bertopi hitam berdiri di hadapannya. Sepucuk pistol bergetar-getar di pinggang dua lelaki beruniform, mengikut gerak tubuhnya. Isteri Tuan Ho, Ling, abang-abangnya dan dua orang jiran tersenyum menatapnya. Dia tersenyum megah. Tahun Baru Cina sesudah lima tahun mendiami rumah agam Tuan Ho. Benar kata Tuan Ho. Dia tidak mahu lupa diri. Enggan dibuai ego dan kemewahan yang dipinjamkan kepadanya.

“Ya, aku mahu terus menjadi seekor anjing yang baik!” Hatinya bersenandika sambil mengunyah daging yang lembut dan enak itu tanpa menoleh-noleh lagi. Wang Wang mengiau nyaring mencakar-cakar pagar.


PROFIL: Rahimah Muda

RAHIMAH Muda memenangi hadiah sagu hati Sayembara Menulis Cerpen Sempena 50 Tahun Kemerdekaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru diumumkan pada minggu lepas. Beliau yang terbabit dalam genre puisi, cerpen turut muncul sebagai naib johan Pertandingan Menulis Esei Johor 2006, Juara Sayembara Menulis Cerpen Sejarah Johor 2006 dan Skrip Terbaik Pertandingan Monodrama

Cerpen: Belakang Kira

Oleh Masnah Rais






TELEFON bimbitnya mula berdering.

“Teknikal committee habis meeting?” suara telefon bimbit Datuk Sidi tiba-tiba membawa soalan. Datuk Sidi tahu sangat siapa punya suara parau di cuping telinganya. Tangan kanannya yang dihiasi rantai sauh emas putih menampakkan gaya yang tersendiri dan mewah. Di tangan kirinya terpasang jam tangan Rolex Oyster.

“Sudah.” Sidi menjawab, disusuli dengan ketawa kegirangan.



“Bergayalah awak lepas ni, Edmund.” Sidi tak putus-putus senyum lebar.

“I OK, Datuk also OKlah”, suara parau di dalam telefon bimbit lantas bersuara lagi,

Kedua-dua suara bertingkah dengan gelak ketawa.

“Tomorrow I send in some fund for Datuklah.” Suara sebelah sana membuat pengesahan dalam bahasa Inggeris pasar tempatan.

“Ehm ,,, macam mana cepat sangat? Jawatankuasa Tender masih belum mesyuarat?” Tiba-tiba Datuk Sidi menyampuk, senyum kepuasan berterusan di bibirnya. Waktu Rolex menunjukkan 11 pagi. Mesyuarat jawatankuasa teknikal memang baru saja habis. Syarikat Gunung Emas milik orang menelefon tadi, berada di tahap teratas dengan tawaran RM12.6 juta untuk membina sebuah kompleks pelancongan sederhana di luar bandar. Butiran spesifikasi projek betul-betul macam yang dikehendaki kementerian.

“Macamlah Datuk pura-pura tak tahu. The tender committee only formality what, we sure get one. Like beforelah. Belakang kita boleh kira.”

Datuk Sidi lekas-lekas menjawab, “OK, OK kalau macam tu, malam esok you datanglah jam 10, saya tunggu di rumah.” Telefon bimbit pun ditutup. Pelik sikit, semasa bercakap telefon tadi macam bunyi dalam gaung. Jangan-jangan percakapan tadi dirakam.” Tapi Sidi tak kisah sangat. Yang penting habuan besar akan datang lagi.

Datuk Sidi dengan gaya yang paling bersahaja menyimpan telefon bimbitnya ke dalam saku. Hai, apalah nak jadi, kalau telefon bimbit tak ada dalam dunia ni? Dia berkata dalam hati. Dia masih ingat semasa jadi Setiausaha Bahagian di Jabatan Kerja Raya 17 tahun dulu, telefon sandang yang berat pun jadi igauan pegawai tinggi. Kini budak pejabat pun ada telefon tangan. Telefon inilah yang sering bawa berita rezeki. Dia senyum puas lagi.

Pemikiran Datuk Sidi berbalik kepada panggilan yang baru diterimanya tadi. Kali ini kebahagiaan akan kekal, bisik hatinya. Lepas ni tak payah buat apa-apa lagi, cukup secukupnya. Dua orang anak baru saja selesai dapat ijazah dari UK. Hutang rumah sudah beres. Hutang lain tak ada. Rumah kedai enam buah, kondominium mewah baru saja diurus di ibu kota dan dusun durian 18 ekar.

Fikirannya terus menjangkau jauh. Macam mana susah nak jadi Timbalan Ketua Setiausaha kanan di kementerian? Menteri dan KSU percaya padanya, lalu diarah mempengerusikan jawatankuasa teknikal tender. Sudah 3 tahun jadi pengerusi, semuanya beres.

Di saat itu matanya melirik ke foto Anugerah Datuk Setia Mahkota yang baru diambil di istana Diraja sempena menerima anugerah gelaran itu pada keputraan Sultan dua bulan lalu.

“Wah, macam orang senyum dalam mimpi aje nampaknya,” pada saat itu isterinya, Datin Epah masuk membawa secawan teh susu dengan kek oren kegemarannya. Dikalihkan pandangan ke arah isterinya yang mendekatinya. Dagu dua lenggek Datin Epak jelas kelihatan, tapi manis rupanya tetap menenangkan Sidi.

Dipegangnya lengan kiri isterinya dengan lembut, tanda sayang jelas terbayang. Di pergelangan tangan Datin Epah, bergulung-gulung rantai permata, jari telunjuk pun ada cincin permata hampir sebesar kacang. Jam emas berjenama juga berkerlipan di tangan Datin Epah. Bilik khas itu juga cukup mencerminkan kemewahan. Semua perhiasan buatan Itali. Kerusi sofa masih berbau aroma kulit.

Keesokannya hampir jam 10 malam, pemanggil telefon bimbit kelmarin yang bernama Edmund datang seperti yang dijanjikan. Dari jauh Datuk Sidi sudah nampak kawan lamanya itu turun kereta mewahnya dengan sebuah beg kulit. Agak berat juga nampaknya beg itu. Semacam ada sebuah kereta warna hitam di pintu pagar rumah, tetapi kereta itu tak jadi masuk. Datuk Sidi menjangkakan itu mesti kontraktor kondominium yang hendak berbincang dengannya.

Sejurus kemudian tuan rumah dan tamu asyik bertransaksi di ruang khas.

“Malam ni, I bawa 300 ribu dulu, Datuk. Bila tender lulus, I bring the rest.” Edmund mula merokok dengan gaya orang yang cukup puas dengan hidup.

“How can I thank you enough Edmund,” Datuk Sidi meluahkan terima kasihnya.

Kopi dihirup, rokok dipasang lagi.

Tiba-tiba pintu gelas ruang itu diketuk orang.

“Buka pintu, kami pegawai antirasuah.” Di saat itu Datuk Sidi pucat lesi. Rokok di bibirnya jatuh, lantaran mulutnya terlopong terkejut. Tetapi Edmund nampak macam tak ada apa-apa saja. Tak disedari semasa bercakap-cakap tadi, sebuah kereta Proton Eksekutif sudah mengekori Edmund dan masuk ke halaman rumah. Datuk Sidi amat asyik tadi membelek-belek bungkusan not seratus dari beg Edmund. Sedang berkhayal dengan impian gelojohnya, serbuan tiba.

“Macam mana dia orang dapat tahu Edmund?” Soalan Sidi tak terjawab oleh Edmund. Dia hanya memandang kepada ketua pegawai BPR. Pegawai itu tiba-tiba menjawab,” Kami telah rakam semua percakapan telefon antara Datuk dengan dia semenjak 3 bulan dulu lagi.”

Beberapa foto diambil oleh seorang pegawai berbadan tinggi lampai bermisai P Ramlee. Dia menggunakan kamera digital. Kemudian duit dalam beg dipunggah keluar, bersama-sama dengan beg sekali. Tak lama kemudian, seorang lagi pegawai tampil ke dalam lalu mengeluarkan satu dokumen yang menyenaraikan barangan yang dirampas. Dalam senarai itu dicatat wang kertas not RM100 = RM200,00, siap dengan nombor keluarannya sekali. Sidi membeliakkan matanya kepada Edmund. Macam mana dia orang boleh catat semua nombor duit dalam masa sesingkat itu?

Sidi sedar ketika itu yang dia telah diperangkap rasuah.

“Eh Tuan tadi ada 300 ribu. Ini Cuma kata 200 ribu!” Tiba-tiba Edmund sempat menyampuk. Pegawai berbadan gempal itu tak berkata-kata. Sidi dan kawannya diisyaratkan supaya menandatangani borang yang dikemukakan.

“Masya-Allah ... habislah aku,” itu saja yang terungkap oleh Datuk Sidi. Lepas itu dia dan Edmund diarah ikut ke pejabat BPR. Datin Epah terjerit-jerit dengan laungannya. “Apa dah jadi bang, apa ni....” Di balai Edmund dilepaskan. Sidi merengkok dalam tahanan hampir 2 minggu.

Epah berlelah mendapatkan khidmat guaman firma Rampal & Co. yang terkenal dengan pembelaan kes-kes jenayah rasuah selama ini. Sidi macam tak ada apa-apa bila peguam menetapkan bayaran RM120 ribu. RM40 ribu mesti dibayar sebagai cengkeram. Selebihnya hendaklah dibayar sebaik sahaja kes selesai. Kalah menang belakang kira. Setiap hari perbicaraan yang dihadiri peguam kena dibayar RM3,000. “Tak apa, Kita boleh bayar,” Sidi memutuskan.

Datin Epah tangkas bertanya, “Mahal tu Bang, mana nak cari duit sebanyak itu sekarang?”

“Jangan gaduh, barang kemas awak tu pun sudah cukup untuk bayar peguam.” Buat pertama kali Sidi sinis terhadap isterinya yang selama ini tahu ada saja segala-galanya. Apa orang lain ada, dia mesti ada. Berlagak macam tak ada esok.

Sidi sudah ditahan kerja, ditahan gaji hampir 2 bulan. Dia pegawai contoh selama ini. Sudah berkhidmat lebih 18 tahun dan menikmati skala Jusa C. Ada kereta dan pemandu dibekalkan kerajaan. Dia pantas dan dedikasi buat kerja. Macam perbilangan lama, belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang. Fail yang bertimbun di mejanya biasa selesai menjelang petang, tetapi kerja rasuah macam yang dilakukannya dengan Edmund juga pantas diselesaikan selama ini.

Di ruang tahanan, Sidi buat protes sendirian, “Setahu saya hanya kes ISA ditahan macam ini.” “Datuk, tak tahukah kuasa kami di bawah seksyen 115 CPC, boleh tahan sampai dua minggu. Kalau tak selesai penyiasatan boleh minta lanjutan tahanan lagi. ISA bukan undang-undang jenayah. Ia undang-undang tahanan pencegahan.”

“Kalau macam tu, tahan saja saya di bawah ISA.” Sidi tiba-tiba bersuara. Dia nampak wajah Edmund, bukan wajah keluarganya. Pegawai terbahak-bahak ketawa sambil meninggalkan Datuk Sidi.

Pada hari perbicaraan Datuk Sidi dengan tangan digari diseret dan dihadapkan ke mahkamah. Di luar mahkamah matanya berpinau-pinau seketika lantaran dipercik cahaya lampu kamera pelbagai jenis. Mahkamah di saat itu sudah penuh sesak dengan pemerhati, saudara mara, sahabat handai, kakitangan kerajaan duduk berbaris di kerusi panjang bahagian hadapan mahkamah. Di hujung galeri isterinya duduk dengan dua anak perempuannya.

Setelah pertuduhan dibaca, Sidi mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima sogokan rasuah. Dia minta dibicarakan. Hakim menetapkan tarikh perbicaraan selama 2 atau tiga minggu kemudian perbicaraan selesai.

Datuk Sidi mula-mula nampak tenang saja bila hakim mengumumkan hukuman. “Setelah mendengar pembentangan dakwaan dan bukti-bukti yang relevan serta substantif oleh pendakwa dan setelah mendengar penggulungan kes oleh peguam pihak didakwa, mahkamah mendapati anda, Sidi bin Abdul Rahman bersalah di bawah seksyen 27 Akta Rasuah 1007 seperti yang dipertuduhkan.” Hakim lantas menghalakan pandangan kepada Sidi sebagai tertuduh.

Sesaat dua kemudian hakim menambah, “Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara 8 tahun berkuat kuasa dari tarikh anda direman dan didenda RM300 ribu sebagai pulangan kembali khazanah Kerajaan yang anda telah didapati salahguna sebagai rasuah di sisi undang-undang”.

Ini semua diungkapkan dalam bahasa Inggeris oleh hakim, Sidi mendengus dalam hati, “dah lima puluh tahun merdeka, masih lagi cakap orang putih di mahkamah.” Macam manapun semua yang hadir faham dia selaku Timbalan Ketua Setiausaha, sudah didapati bersalah oleh mahkamah sebagai perasuah.

Anggota keluarga yang genap hadir di galeri awam mahkamah semuanya hening dan diam tanpa kata. Datin Epah tajam memandang ke arah hakim. Pendakwa yang telah menyimpulkan hujahnya lantas berdiri dan dengan air muka yang puas mengungkapkan “Much obliged Yang Ariff.”

Peguam yang mewakili Sidi, Sangkar Nair, yang fasih berbahasa Melayu turut berdiri sebagai amalan biasa. Dia tidak melahirkan apa-apa reaksi walaupun rasa kecewanya ternyata daripada gaya dia menutup fail sambil menamparnya dengan kuat. Geram agaknya lantaran ada benda yang tak kena atau yang tak diambil kira oleh hakim dalam menilai hujah dan bukti.

Bagaikan proses automatik, Sangkar berkata kepada hakim, “Kami akan memfailkan notis rayuan Yang Ariff. Oleh itu, mahkamah di pohon supaya anak guam kami dibebaskan dengan ikat jamin atas jumlah yang berpatutan.”

Pendakwa bangun membantah. Katanya, “Kes ini merupakan kes rasuah seorang pegawai tinggi kerajaan. Mahkamah harus menunjukkan contoh dan teladan yang tegas kepada masyarakat.” Pendakwa seterusnya menghujahkan walaupun ikat jamin merupakan budi bicara mahkamah setelah mengambil kira perkelilingan kes, kes ini adalah kes yang sangat serius.” Lalu disebutkannya lunas undang-undang yang membawa pengertian bahawa ikat jamin dalam kes-kes jenayah rasuah adalah mengikut budi bicara mahkamah.

Di saat itu, Sidi yang berada di kandang dakwaan, mula berasa nak pitam. Dunia di saat itu terlalu gelap baginya. Jantungnya menusuk bagaikan nak pecah. Kakinya rasa lemah tak upaya nak berjalan. Pemandangannya mulai kabur. Hakim yang duduk di atas panel mahkamah tampak samar-samar saja. Peluh sejuk mulai mengalir dari dahinya. Sempat dikalihkan pandangan kepada Datin Epah, isterinya yang duduk di galeri mahkamah bersama Jono dan Hasnah, dua orang anaknya yang baru selesai menuntut di Universiti London. Anak-anak sebak, siisteri sedih.

Datin Epah mengisyaratkan dengan mata kayu seolah-olah berkata, “Aku bersamamu”. Air mata sedih mula mencelah di sudut mata. Isteri mana yang tak sebak dan sedih melihat suami dalam kes seaib ini dan dijatuhi pula hukuman seberat itu. Datin Epah membalik-balik lipatan hati dan ingatannya sambil menghalakan pandangannya ke ruang galeri sebelah kiri mahkamah. Ramai kawan-kawan lama suaminya yang turut hadir di mahkamah pagi itu. Rakan-rakan sepejabatnya juga, ada yang hadir walaupun hari itu hari kerja.

Di tepi barisan galeri mahkamah seorang lelaki bertali leher hitam berjalur putih nampak melorek senyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya semasa hakim mengumumkan keputusan penghakiman tadi. Sejurus kemudian, dia bergegas meninggalkan mahkamah. Sebaik sahaja sampai di ruang luar, lelaki itu cepat membuat panggilan. “Dia dah kena lapan tahun.” Dia senyum lagi. Dia berjalan pantas keluar bangunan dan dalam beberapa minit saja sampai kembali di pejabat penguatkuasaan jabatannya.

Otak Datin Epah merempuh pelbagai senario. Mana nak sorok muka lepas ini? Media sudah berhari-hari menyiarkan gambar dan liputan tentang suaminya diseret ke mahkamah atas tuduhan rasuah, salahguna kuasa dan menipu. Satu negara sudah tahu yang Datuk Sidi, pegawai kanan didakwa atas pelbagai pertuduhan.

Macam mana suami tercinta boleh dihempap malang ini? Datin Epah masih mengulangi pertanyaan dalaman dirinya. Soalan inilah yang bertubi-tubi dikemukakannya kepada Sidi semenjak sebulan lalu, bila Sidi tiba-tiba ditangkap oleh pegawai-pegawai pencegah rasuah di rumah mereka di Taman Senang.

Sidi terbayang akan kandang besi yang bakal dihuninya. Dia terbayang wajah isterinya dan anak-anak yang bakal terpisah. Dunianya sudah hancur. Seluruh tubuhnya tiba-tiba rasa lemah. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya kepada Sankar sebagai mengisyaratkan nasibnya yang malang. Sekali lagi muka Edmund melintasi benaknya. Dia betul-betul geram.

Di saat itu dunia Sidi tiba-tiba gelap. Dia rebah pengsan.

Cerpen -- Lembu betina

Oleh Wan Ahmad Ismail


PETANG/PANTAI
Aku sudah kata. Kataku. Dia diam. Dia tidak berkata apa-apa. Dia masih bermain- main dengan pisau di tangannya.

Aku sudah beritahu. Ceritaku. Dia diam, masih lagi berdiam. Kali ini pisau meraut rumput dipacak ke tanah. Dia melentang dirinya di tanah pasir pantai yang bersih. Ombak laut memecah pantai dan angin petang menderu kalbu.

“Beritahu apa, kata apa?” dia mula bersuara. Suaranya sedikit tenggelam oleh gelombang laut yang keras memukul pantai. Airnya hampir tempias mengena aku dan dia yang seorang gelisah. Sepanjang waktu berada di pantai itu dia amat gelisah.

“Jangan bermain api?” jelasku.

“Siapa yang bermain api?” keras suaranya.

“Kan sudah terbakar!” beritahuku lembut.

“Apa yang terbakar, siapa yang terbakar, kena bakar?” suaranya semakin keras. Beberapa ekor burung terbang berlalu melintasi kawasan tempat duduk kami. Hempasan ombak juga terasa keras bunyinya.

“Kaulah yang terbakar!" jelasku sambil melukis bentuk sebilah pisau di tanah pasir pantai, Pantai Batu Buruk itu. Aku meniru bentuk pisau yang dimain-mainkannya itu. Dia memerhati lukisan pasir itu. Di sebelah lukisan itu, dia melukis wajah seorang lelaki.

Dia tiba-tiba ketawa. Dia bangun dari tempat lentangan di atas tanah pasir pantai itu. Dia berlari-lari beberapa ela menjauhi daripada aku. Aku memerhati peredarannya seketika itu dengan sedikit kebingungan. Dia kembali ke tempat aku beberapa saat selepas itu.


“Memang aku rasa terbakar oleh perbuatan Seman yang celaka itu. Dia ingat dia gedebe, dia ingat dia samseng. Dia belum kenal aku siapa. Aku Rahim. Rahim yang pernah menumbang Mat Soh di gelanggang silat setahun dulu. Mungkin dia lupa,” jerkah dia.

“Ini bukan soal bertikam silat, ini soal lembu, lembu betina yang bakal beranak lebih daripada satu. Ini soal maruah. Soal lembu kamu boleh diambil oleh Seman begitu saja tanpa tentangan daripada kamu, Him. Sepatutnya sewaktu kamu masuk kawasannya kamu boleh tarik lembu itu keluar kerana kamu sudah kenal akan lembu kamu itu dan kamu pasti lembu itu lembu kamu. Kenapa kamu tidak bertindak. Dan sekarang bercakap soal kekuatan diri kamu, soal terbakar, soal kesamsengan kamu di hadapan aku, di tepi pantai ini, di hadapan laut yang luas ini.” Sindirku dengan penuh geram dan kegeraman. Aku seperti mahu melempar Rahim itu ke tengah laut. Cakap saja besar, berdegar-degar.

“Bukan begitu Karim!” jelasnya dengan suara yang agak kasar dan pongoh.

“Kalau bukan begitu, kalau bukan kerana lembu betina kesayangan kamu itu, kenapa kamu tak terjun laut tu, mati saja dalam laut itu. Semua akhbar siar tajuk “Rahim Mati Kerana Lembu Betina”, begitu?” sindirku lagi. Kali ini aku terus memanaskan dirinya untuk terus terbakar biar menjadi merah menyala.

“Kalau aku mati, macam mana aku dapat lihat gambar aku terpampang di dada akhbar, kartunlah kamu ni!” Dia memusnahkan lukisannya di tanah pasir dengan kakinya.

“Memang kartun, sebab kamu lebih kartun daripada aku. Kartun yang tidak berani berhadapan dengan kenyataan,” suaraku semakin tegas untuk meyakinkan Rahim supaya segera bertindak tanpa batasan. Itu bukan kemahuan aku, tetapi hanya satu arahanku sahaja.

“Apa yang mesti aku buat sekarang?” Dia bertanya dalam lagak seorang pahlawan yang bersedia untuk menentang musuh di gelanggang.

“Sekarang buat diam sajalah, kita di tepi pantai, bukan di kampung. Kita balik, kita bincang di rumah selepas isyak, kita cari jalan yang terbaik.” Aku meredakan keadaan apabila emosinya semakin memuncak. Akhirnya Rahim akur atas perbuatan dan tindakannya yang salah langkah itu. Panas barannya sering terjadi. Seperti ayahnya, seperti datuknya.

“Perlu kita lapor polis?” pintanya orang benar-benar kecewa. “Jangan!” Aku memintanya bersabar.

“Perlu kita beritahu Jabatan Haiwan?” Di alih sasar stationnya.

“Jangan lagi. Kita selidik sekali lagi, kita pastikan sekali lagi, entah-entah bila kita sampai kat rumah nanti, lembu betina kamu itu sudah berada di kandang kamu. Mana tahu.” Aku mahu meyakinkan dirinya.

Kami pulang meninggalkan pantai yang cantik, bersih itu. Ombak, air laut masih mengganas walaupun pukulan ke tepi pantai tidak mencederakan tepinya. Burung-burung, beberapa ekor burung masih lagi berterbangan, mungkin juga untuk pulang ke tempat masing-masing. Mereka juga faham erti waktu hampir hendak masuk maghrib. Sesetengah orang yang masih berlama-lamaan di pantai itu masih lagi menunggu. Mungkin mereka tidak faham akan isyarat kepulangan burung-burung itu.

Cerita yang diceritakan untuk diceritakan kembali bagi mencari jalan untuk memperbetulkan keadaan terbantut apabila Rahim membawa cerita lembu betina kesayangannya diambil oleh Seman. Cerita lembu itu semacam cerita yang seorang kami hadapi ketika itu. Lembu yang disayangi itu menjadi rebutan sebagaimana kumpulan yang sudah mulai reput tetapi masih bertahan untuk bergantung kerana ada di kalangan masih menahan dahan, batang yang reput itu daripada patah dan tumbang. Kami juga seperti sesetengah orang lain, sayangkan pohon kumpulan yang berusia empat puluh tahun itu.

Entahlah, kami sayangkan kumpulan yang tidak mafia itu sebagaimana Rahim sayangkan lembu betinanya itu. Bagi Rahim, Seman bagaikan seorang mafia. Tapi kata Rahim, lembunya diambil Seman. Itu kata Rahim.

Malam/wakaf

Setelah selesai sembahyang isyak, kami, aku dan Rahim bertandang ke wakaf. Kami duduk di wakaf di kampung kami yang bernama Wakaf Tembesu itu. Kami ingin menyambung sembang kami yang belum selesai sewaktu di pantai petang itu. Bukan cerita pasal kumpulan yang bukan mafia itu lagi. Bagi kami, cerita pasal kumpulan, pasal sahabat-sahabat yang membawa cerita buruk yang merosakkan itu sudah tidak lagi penting kerana ia permainan sebuah cerita dunia selagi hidup bernama manusia yang tidak akan selesai.

Sebelum itu lembunya itu pernah kehilangan sekali. Bukan hilang ke mana. Rahim tidak ingat untuk ditambat talinya di pokok kelapa tepi rumahnya. Lembu itu terlepas. Lembu itu merayau-rayau entah ke mana. Sepetang dicari Rahim. Dia cuba mengandaikan bahawa lembunya dicuri orang. Di buat tuduhan kononnya lembunya diambil oleh musuhnya, lembu itu dijual. Dia menyumpah seranah. Akhirnya lembunya balik ke kandang. Lembu itu cerdik. Dia lebih daripada Rahim, lebih cerdik daripada beberapa orang dalam kumpulan yang kami anggotai. Lembu betina itu kenal tempat duduknya, kenal akan kandangnya. Hanya orang seperti Rahim tidak kenal akan tabiat lembunya.

“Salah kamu, Him!” “Salah aku?”

“Seman yang curi lembu aku, kau kata salah aku. Kalau aku yang mencuri lembunya tentunya salah aku, ini lembu aku, jadi terbalik pengakuan kamu. Kamu semacam masuk menyebelahi Seman saja.”

“Bukan macam tu, Him!” “Habis macam mana?" “Kau membiarkan lembu kamu berkeliaran, tidak tambat. Jadi terlepaslah dia, masuklah kawasan Seman. Jadi aku rasa Seman ingat itu lembunya. Dia masuklah semuanya ke dalam kandangnya. Jadi lembu Semanlah walaupun kamu kata itu lembu kamu. Lembu itu dalam kandang Seman, lembu Semanlah.” “Kartun cerita kamu ni, Rim. Macam cerita Keluarga 69.”

“Sudah aku tambatkan, sebelum aku pergi kerja.” Dia buat pengakuan. Dia bertegas. Dia seperti pasti. Pengucapannya bersungguh.

“Alah sekarang ini kamu tahu, yang tambat dengan tali besi pun boleh terlepas, inikan pula tambat dengan tali sabut. Sekarang ini banyak binatang lebih cerdik daripada manusia. Hatta manusia pun makan rumput, makan daun,” jelasku. Aku tahu sekarang ini segala macam boleh berlaku. Ada orang boleh makan kaca.

“Cakap jangan sebarang cakap, mulut tu jaga sikit. Sebab itu ramai orang tak suka akan kamu, cakap celupar, cakap main lepas saja.” Rahim patah balik cakapku, Dia tahu sangat perangaiku. Aku bila bercakap tidak pernah bertepi. Cakap terus tanpa simpan-simpan. Kalau simpan akan Jadi darah, Jadi busut, jadi nanah dan jadi barah. Tidak perlu disimpan lama-lama, terus cakap saja tanpa bertapis. Itu aku, yang Rahim kenal.

“Apa tak betul ke cakap aku. Ramai orang cari rumput jarum emas. Makan rumput kononnya tambah tenaga. Bukan kamu tak ingat, suatu masa lalu, ramai yang berebut-rebut mencari dan memakan rumput jarum emas. Salah ke aku kata orang pun macam lembu makan rumput. Salah ke?” Aku nyatakan kebenarannya.

“Betul! Tak salah, aku pun cuba makan rumput itu, tak makan atas padang, makan dalam rumah.”

“Kamu makan rumputkan?”

“Makan!”

“Siapa lagi makan rumput?” “Lembu! Kambing!”

“Hah! Jadi lembu, jadi macam kambinglah kamu!" Rahim ketawa. Sikapnya mulai berubah kerana cerita kelakar yang benar itu. Marahnya sedikit reda.

“Tidaklah semacam itu!”

“Aku faham, tak banyak tuan lembu macam lembu. Membiarkan lembu berkeliaran. Sepatutnya jabatan Haiwan atau Majlis Daerah jangan tangkap lembu tapi tangkap tuan lembu macam kamu ni. Lembu memang dah bodoh, tapi tuan lembu juga bodoh kerana tak kandangkan lembu. Baik tuan dan lembu duduk dalam satu kandang. Lembu makan makanan orang, berak di merata, mengotorkan kawasan. Patut tuan lembu makan tahi lembu mereka supaya tempat yang diberak lembu itu bersih, kembali licin.”

“Kuatnya sindir kamu. Nak cari musuh ke, nak aku bakar kamu ke macam aku nak bakar Seman tu, macam aku tumbang Mat Soh tu.” Gertak Rahim. Semacam aku takut gertak kelingnya. Aku kenal Rahim. Penakut benar dia. Dua puluh kali lawan, sekali adalah dia menang.

“Bagaimana?" tanya Rahim. Matanya sedikit merah. Rambut sudah sedikit tak terurus.

“Bagaimana apa?" tanyaku balik tanpa melihat wajahnya semakin bengis. Macam wajah Salleh Kamil, Mahmud June, pelakon filem Melayu itu.

“Kita ke rumah Seman!” ajak Rahim dengan tegas dan penuh bara.

“Sekarang?" tanyaku seperti tidak percaya. Emosiku terganggu. “Sekarang!” bentaknya seperti perintah seorang askar.

“Macam tidak ada hari esok, malam-malam macam ni tak elok ke rumah orang, lebih-lebih lagi dalam suasana macam ni. Seman mungkin dah nak tidur, lembu pun nak tidur juga. Jangan kacau mereka dalam keadaan yang tegang seperti ini. Tidak menyelesaikan masalah. Esok saja. Selepas subuh kita ke rumahnya. Waktu-waktu macam tu, sejuk, nyaman dan tenang.” Aku cuba menenangkan emosi dan gangguan mental Rahim yang kian menjadi-jadi. Aku menyuruh dia mengucap dan mengingatkan Allah.

Kami terus berbual, berbincang dan berbicara malam itu.

“Kenapa kau bercakap macam tu, Rim? Hairanlah aku. Aku yang sepatutnya yang merasakan semuanya, ini pula kau, aku yang kehilangan buah hati aku yang harganya bernilai ribuan itu. Kau pula yang rasa sesuatu yang berlainan dalam diri kamu, kenapa?”

“Bila aku fikir tentang sahabat-sahabat kita, waktu kita berada, berpangkat, kita didekati, dikawani, disahabati tetapi bila kita sudah hilang sedikit kuasa mereka khianati kita. Entahlah begitulah mereka. Mungkin juga lumrah manusia begitu.”

“Mungkin Seman juga khianati aku dengan menggunakan lembu betina aku sebagai tebusan, mungkin.”

“Tebusan apa pula ni, macam cerita jenayah saja ni. Lain pula ceritanya. Aku cerita pasal kawan-kawan kita yang suatu had akan merasai sama jika seusia kita, secara kedudukan kita. Ini timbul tebusan pula, apa cerita ni, pelik aja bunyinya.”

“Entahlah, aku andai, aku reka, aku cipta saja ceritanya. Ini kerana dua tiga hari lepas dia ugut aku supaya calon dia jadi pengerusi JKKK. Dia minta aku beritahu YB. Aku tolak kerana ada orang lain lagi lebih layak.”

“Dia marah ke?”

“Marahlah, apa tak marahnya. Jadi pengerusi JKKK banyak dapat faedah dan ganjarannya. Dia tidak fikir banyak kerja, beban dan tanggungan serta tanggungjawabnya. Dia fikir nak senang saja.”

“Aku rasa bukan begitu, kau yang sering salah anggap. Kau yang salah melepaskan lembu betina kamu itu berkeliaran. Masuk kawasan Seman. Tentunya semuanya Seman kandangkan. Dia tentu tak akan kenal semua lembunya tidak akan ingat jumlah lembunya waktu itu.”

“Memang Seman jahat, depan baik, belakang ya Allah, macam syaitan. Banyak pura-

pura, muka-muka, mengada-ada. Aku tak bohong. Dia macam kawan-kawan kita dalam persatuan yang sedang digolokkan itu. Persatuan tak apa, orangnya saja sedang bermain sandiwara.”

“Begini sajalah Him, selepas subuh kita ketemu, kita ke rumah Seman, aku bantu kamu. Kita selesaikan masalah bersama, bagaimana?”

“Malam ini juga!”

“Tak elok macam-malam ke rumah orang, salah langkah, kita tumbang, besok sajalah.”

“Kalau ditumbang, disabotaj macam-malam buta, kalah kita. Oklah, oklah, besok saja. Besok saja kita jumpa.”

Kami pulang ke rumah masing-masing meninggalkan wakaf tempat kami sering bertemu selepas sembahyang subuh had minggu atau selepas sembahyang isyak jika ada masa kelapangan.

Langit semakin gelap. Hujan seperti mahu menjadi. Sejak petang lagi, keadaan di kampung aku menjadi redup dan gelap begitu.

Subuh/kawasan surau

“Assalaimualaikum.”

“Waalaikumusalam,” jawab kami berdua, aku dan Rahim.

“Hei! Seman, apa khabar, awal menyerah diri,”sindirku dalam keadaan bergurau.

“Serah diri, kenapa pula? Apa yang berlaku?”

“Kamu curi lembu betina aku ya?” tinggi suara Rahim. “Curi apa pula, jangan cepat menuduh, Him!”

“Lembu betina kesayangan aku, aku lihat ada dalam kandang kawasan kamu tu.”

“Mujur ada dalam kandang kawasan tempat aku, kalau dibawa lari oleh pencuri dengan lori apa jadi?

“Pencuri bawa lari dengan lori? Apa cerita ni? Jangan nak reka-reka cerita pula!”

“Itulah kau, biar lembu berkeliaran, makan tanaman orang, berak tengah jalan, menyusahkan banyak orang. Kamu tidak susah, yang susah orang ramai.” “Seman! Kamu kata aku tidak susah, sehari semalam aku susah bila lembu aku hilang, akhirnya aku dapati lembu aku ada dalam kandang kamu. Memang aku susah. Memang aku dendam, memang aku mahu bunuh kamu kalau dapat. Mahu aku makan kamu hidup-hidup.”

Seman ketawa dengan terus ketawa memanjang. Rahim hairan. Aku juga hairan. Dia berani datang ke tempat aku dan Rahim berada. Rahim tahu Seman yang mengambil lembu Rahim itu. Seman pun tahu, lembu Rahim berada dalam kandang Seman. Seman sanggup datang bersendirian seperti menyerah din kepada Rahim yang panas membara sejak kelmarin lagi.

“Kita susah, dia ketawa! Apa jenis manusia kamu ni Seman!”

“Patut kamu berterima kasih kepada aku. Kalau tidak kerana aku dan beberapa sahabat lain bertindak segera sudah tentu lembu kamu sudah naik lori dan dibawa lari. Macam-macam cara dikerjakan pencuri,” jelas Seman. Kami senyap seketika. Ramai jemaah sudah pulang. Yang tinggal di kawasan surau itu beberapa orang sahaja. Lembu Rahim tidak kelihatan di situ.

“Mana lembu aku?”

“Alah,di kadang kawasan akulah, bukan aku nak bawa, nak ajak lembu kamu berembun subuh bersama kita sudah berumur, masih tak erti makna seekor binatang, seorang manusia. Fikirlah sikit. Aku yang datang memberitahu, sepatutnya kamu datang ke rumah aku, sepatutnya. Kan come! jadinya.” Seman seperti menyindir. Diperbetulkan kopiah yang warna putihnya sudah kelabu.

“Memang aku mahu pergi ke rumah kamu, selepas sembahyang subuh ini, tapi kamu sudah datang, baguslah. Kalau tidak...”

“Kalau tidak kamu mahu ajak aku berperang dengan kamu kerana lembu itu. Aku bersedia. Tetapi aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa lagi. Aku juga tidak mengharapkan untuk menjadi pengerusi JKKK lagi. Tak perlu semua itu. Aku datang berjumpa kamu untuk kembali yang berhak.”

“Tak perlu diungkit-ungkit lagi. Yang penting tohmahan kamu terhadap Seman salah. Seman tidak seperti sahabat-sahabat lain. Kita tidak perlu bermusuh kerana seekor lembu, soal jawatan dalam JKKK. Yang penting kita bersatu dalam menghadapi semua dugaan, rintangan dan halangan. Kita mesti bersatu sekarang.”

Mujurlah lembu betina itu yang hilang, kalau tidak Seman dan Rahim masih bermasam muka. Cerdik juga menjadi lembu. Lembu itu memang cerdik sebab itu amat disayangi Rahim.

Lembu betina Rahim makan rumput. Aku juga lihat Rahim makan rumput. Rahim makan rumput jarum emas untuk kuatkan tenaganya. Lembu Rahim lembu betina.